Felda Kumai......jika anda pernah membaca catatan terawal saya adalah berkenaan dengan sedikit maklumat mengenai Felda ini. Anda boleh menyambung bacaan catatannya di SINI.
Apapun saya sekadar ingin berkongsikan gambar felda ini yang saya rakamkan sekitar setahun dua yang lalu dari lokasi kegemaran saya semasa kecil. Malangnya saya tidak mempunyai Kamera ketika itu untuk merakamkan gambar. Jika tidak pasti akan dapat saya bandingkan dengan perubahan ketika ini.
Apapun antara sebab saya ingin berkongsikan gambar-gambar ini adalah untuk simpanan hari yang akan datang kerana takut tersalah letak koleksi gambar ini. Juga kepada anak felda ini yang mungkin tidak pernah ke sini untuk menikmati pemandangan feldanya sendiri.
Felda Kumai di sebelah tenggaranya bersempadan dengan Hutan Simpanan Chini yang melebar jauh ke Felda Chini di Pekan.
Jika zaman pendudukan awalnya hutan ini begitu banyak menyimpan khazanah dan menjadi kebiasan kepada kanak-kanak dan orang tua untuk keluar masuk mencari sesuatu seperti buah-buahan hutan seperti keranji, berangan, kembang semangkuk dan daun palas.
Jika kenduri kendara, hutan inilah yang membekalkan kayu api dan kayu untuk membuat khemah. Malah jika ada yang ingin menambah ruang rumah, hutan inilah juga yang membekalkan kayu-kayan yang diperlukan dengan memotongnya terus di hutan biarpun aktiviti ini haram.
Hutan ini juga menjadi sumber daging haiwan liar yang esotik seperti landak, burung-burung, kancil dan sebagainya biarpun bukan mudah untuk diperolehi dan tentunya aktiviti ini haram di sisi undang-undang.
Felda Kumai sehingga kini membangun dengan perkembangan warganya. Dari ayah dan ibu yang masih muda ketika mendaftar masuk sebagai peneroka, menghadapi pelbagai cabaran kesusahan hidup ketika zaman kejatuhan ekonomi dan harga minyak sawit sekitar 1985 sehinggalah kepada sukarnya mendapat kemudahan asas yang sempurna biarpun ada disediakan.
Namun jalur-jalur hidup yang sedikit berselirat ini akhirnya membuahkan hasil. Intipatinya adalah kesungguhan, ketabahan, kesabaran, kemuafakatan dan pelbagai lagi nilai murni yang terbentuk dan dibentuk dikalangan generasi pertama ini.
Hasilnya generasi kedua membuka langkah yang panjang untuk keluar dari kancah kehidupan ini untuk hidup yang lebih baik .
Kini generasi ketiga juga meneruskan rentak langkah yang lebih panjang dan pantas. Mereka kini bukan lagi bangsa dan generasi yang mundur dan terpinggir tetapi kini antara penyumbang utama dalam pembangunan negara.
Saya bersyukur malah amat bersyukur menjadi sebagahagian kisah warisannya... Alhamdulillah ...
No comments:
Post a Comment