TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Wednesday, January 31, 2018

Le Tour De Langkawi 2018 kembali lagi ke Cameron Highlands

Saya menjangkakan tahun lepas adalah tahun terakhir Le Tour De Langkawi akan singgah ke Cameron Highlands kerana Genting Highlands telah siap proses naiktaraf laluan pendakian. 

Namun pengumuman penganjur kelmarin minggu lepas menyaksikan Cameron Highlands tetap menjadi pilihan laluan peringkat pendakian utama  iaitu di PERINGKAT KELIMA DARI RAUB KE CAMERON HIGHLANDS.


Laluan ini mencuba laluan kayuhan baru iaitu dari Daerah Raub ke Felda Sungai Koyan, Kuala Lipis sebelum memasuki laluan Pos Betau ke Ringlet dan akan berakhir di Tanah Rata melibatkan kayuhan sejauh 140.4 km.

Pastinya laluan ini adalah peringkat utama mencari 'King Of Mountain' (KOM) atau Raja Pendakian

Tarikh peringkat kelima ini dijadualkan pada Hari Selasa, 20 March 2018 namun pengumuman UCI mengenai hanya 8 peringkat perlumbaan diluluskan untuk Le Tour De Langkawi 2018 pastinya akan memerlukan rombakan tarikh perlumbaan.

Namun pihak penganjur telah memaklumkan bahawa Peringkat Kelima melibatkan laluan ke Cameron Highland dan peringkat kedua iaitu Grik ke Kota Bahru akan kekal dalam laluan pertandingan. 

Apapun kita tunggu pengumuman rombakan laluan Le Tour De Langkawi 2018 daripada pihak penganjur. 

Sejarah Bharat Tea Plantation

Masih sekitar teh di Cameron Highlands. Kali ini saya nak kongsikan fakta sejarah Bharat Tea Plantation yang membawa jenama Cameron Valley dan lokasi 'Tea Shop'nya amat popular dan sangat mudah untuk dikunjungi kerana terletak di tepi jalan utama sahaja. 


Sejarahnya seperti di bawah ....

Tahun 1893:
Shuparshad Bansal Agarwal dilahirkan berdekatan dengan Agra, Uttar Pradesh, Utara India.uncit

Tahun 1910:
Berhijrah ke Malaysia iaitu Taiping Perak dan membantu pakciknya di kedai runcit sebelum berpindah ke Tapah dengan membeli estate getah dan menjalankan perniagaan runcit yang mana menyediakan keperluan pekerja yang membina jalan raya ke Cameron Highlands. 

Tahun 1933:
Menubuhkan Syarikat Bharat dan memperolehi tanah di Cameron Highlands dari Kerajaan British ketika itu dan mula menanam teh di mana daun teh keluaran ladang tehnya dijual ke kilang berhampiran.

Tahun 1937:
Shuparshad telah meninggal dunia dan meninggalkan anaknya Brijkishore yang hanya berusia 9 tahun. Perniagaannya diambil alih oleh adik beradikanya Nandkishore dan Kailashchand sementara anak Mendiang melanjutkan pelajaran ke India.

Tahun 1944: 
Walaupun menghadapi Perang Dunia Kedua dan pendudukan Jepun di Cameron Highlands, ianya tidak melemahkan perniagaan mereka kerana menjadi tunjang kepada pembekalan beras dan gula ke seluruh komuniti Cameron Highlands

Tahun 1952:
Brijkishore pulang ke Malaysia selepas menamatkan pengajian di India ketika berusia 20 tahun dan mula mengambil alih perniagaan warisan bapanya. Beliau berjaya mendapatkan kontrak untuk menguruskan operasi kilang Teh di Pusat Penyelidikan Pertanian iaitu kini Stesen MARDI. Syarikat nya mula memproses daun tehnya sendiri dan dipasarkan dengan jenama CHOP RUSA. Kilang tersebut saya kongsikan dalam catatan ini, KLIK

Tahun 1957:
Merdeka !!! Merdeka !!! Merdeka !!! Brijkishore disertai oleh adik bongsunya, Shriniwa dan menikmati erti kebebasan dan kemerdekaan dan mula mengorak langkah memperkukuhkan dan memperkembang perniagaan sehingga menjadi antara penyumbang kepada perkembangan ekonomi Cameron Highlands.

Tahun 1963: 
Bharat Group berjaya memiliki Shalimar Tea Estate beserta dengan kilang pemprosesan tehnya sendiri dan berjaya menjadi pengeluar teh yang mempunnyai reputasi dalam pengeluaran teh yang berkualiti kepada pemborong dan pengilang teh berjenama.

Tahun 1965:
Brijkishore dianugerahkan dengan pangkat ' JAKSA PENDAMAI' dan diberi pengiktirafan anugerah  Dato. Dato Brijkishore masih kekal sebagai Pengerusi Kumpulan Bharat manakala anak-anaknya bekerja keras untuk mengembangkan perniaagan mereka.

Tahun 1972:
Gabungan adik dan abang, Dato Brijkishore dan Nandkihsore berjaya mengembangkan perniagaan dengan pantas. Bagaimanapun, Dato Brijkishore berjaya menguasai pelbagai bidang perniaagaan dan mengambilalih pegangan saham adiknya, Nandkhisore dan akhirnya gabungan Pernigaan Shuparshad dan Adik Beradik dikenali sebagai Shuparshad dan Anak-Anak di dalam Kumpulan Bharat.

Tahun 1994:
Kumpulan Bharat mula berkembang ke seluruh pasaran runcit negara dengan jenama 'Cameron Valley'.

Tahun 2002:
Tea Shop Pertama mula dibuka dan kini dinamakan sebagai Tea Shop 1. Saya sempat ke sini tahun 2003. Tak de bumbung pun tempat makannya. Terbuka dan memang segar....

Tahun 2006:
Dato Seri Brijkishore meninggal dunia dan legasi perniagaaan diteruskan oleh dua anaknya iaitu Dato Kesav dan Dato Vinod secara bersama sehingga kini.

Baru saya tahu kisahnya sebab saya menyewa di salah satu aset sewaan mereka sendiri tak kenal siapa Dato Brijkishore.....

Mana saya tahu  semua fakta di atas ini?... kat laman website mereka la...

Tuesday, January 30, 2018

Fakta Teh Cameron Highlands... 2



Masih dalam mood teh untuk beberapa hari ini. Sekadar nak seronok-seronok sahaja tanpa apa-apa tujuan. 

  1. Hanya ada dua syarikat yang masih mengusahakan ladang teh di Cameron Highlands iaitu BOH Plantation dan Bharat Tea Plantation.
  2. BOH Plantation memulakan penanaman teh mereka seawal 1929 oleh pengasasnya A.J Russel.
  3. Bharat Tea Plantation pula memulakan perusahanan teh mereka seawal 1933 oleh Shuparshad Bansal Agarwa.
  4. Dua syarikat yang telah menamatkan perniagaan teh Golden Mountain Tea iaitu di Jalan Shum Yip Lum  dan Blue Valley Tea di Blue Valley berdekatan dengan sempadan Lojing. 
  5. Kalau anda beli produk teh bukan dari BOH dan Bharat Tea, maka itu bukan produk asli teh dari Cameron Highlands.
  6. BOH ada 3 estate teh di Cameron Highlands iaitu Ladang BOH dan Ladang Fairlie di Habu, Ringlet dan Ladang Sungei Palas di sekitar Kea Farm. Manakala Ladang Bukit Cheeding di Banting Selangor dengan jumlah keseluruhan 1,200 ha.
  7. Bharat Tea Plantation mempunyai 3 Ladang Teh iaitu di Ladang Teh 'Tongkiat', Habu, Ladang Teh Shalimar di Tanah Rata dan Ladang Teh Kuala Terla dengan jumlah luas keseluruhan 632 hektar. 
  8. Pengeluaran daun teh oleh BOH adalah sebanyak 4 juta kilogram setahun.
  9. Pengeluaran teh oleh BOH Plantation menghasilkan 5.5 juta cawan teh setiap hari bersamaan 70% dari teh yang terhasil di Malaysia.  
  10. Pengeluaran daun teh oleh Bharat Tea adalah sebanyak 3.8 juta kilogram setahun dengan purata 70,000 kilogram seminggu.
Cukuplah 10 fakta ini dahulu. Saya sekadar salin dan tampal dari pemahaman saya melalui Artikel dari The Star 6 February 2013. 

Koleksi catatan saya sebelum ini mengenai ladang teh ada di sini. KLIK

Fakta Industri Teh di Malaysia


Masih dengan Teh di Cameron Highlands. Saya sukakan suasana persekitaran ladang teh di Cameron Highlands yang bagi saya adalah tulang belakang kepada Cameron Highlands selain dari cuacanya yang istimewa.

Bila melihat pokok teh yang merenek hamparannya baik di Ladang Teh milik BOH ataupun Bharat Tea, saya sering terfikirkan kepada berapakah nilai industri. 

Saya temui beberapa fakta tetapi dibuat diterbitkan di dalam World Tea News, 4 November 2013.

Saya ringkaskan perkongsian fakta dari journal yang dihasilkan oleh Remco Verwoerd and Vanessa L. Facenda ini seperti dibawah dan selebihnya dari taklimat semasa lawatan saya ke Ladang BOH  baru-baru ini.
  1. India, China, Sri Lanka dan Vietnam adalah antara pengeluar teh terbesar di dunia.
  2. Pada tahun 2001, Malaysia diletakan sebagai pengeluar teh ke 18 terbesar di Asia.
  3. Penguasaan pasaran teh dimiliki Malaysia adalah pada kadar 0.45% dari pengeluaran teh dunia.
  4. BOH merupakan pengeluar Teh terbesar di Malaysia dengan keluasan 1200 ha ladang teh.
  5. Bharat Tea merupakan pengeluar Teh kedua terbesar di Malaysia dengan keluasan 642 ha ladang tehnya.
  6. Sabah Tea pula pengeluar teh ketiga terbesar di Malaysia.
  7. Tanaman teh diperkenalkan dan mulai ditanam oleh A.J Russel pada tahun 1929 dengan bantuan bantuan pakar teh British berpengkalan di Sri Lanka, A. B Milne. 
  8. Pokok pertama ditanam di Ladang Teh BOH habu masih dituai hasilnya sehingga kini dan berusia 80 tahun. 
  9. Jangka hayat pokok teh yang produktig dianggarkan mampu bertahan sehingga 100 tahun.  
  10. Ladang teh memerlukan seorang pekerja bagi setiap hektar tanaman ladang teh bagi memastikan semua operasi ladang dapat dilaksanakan.
  11. Setiap 24 kilogram produk teh terhasil daripada 1,000 kilogram daun teh segar.
  12. Ladang BOH menghasilkan 3 juta kilogram daun teh segar setiap tahun untuk memenuhi permintaan pasaran.
Catatan lain mengenai ladang teh di Cameron Highlands saya kongsikan dalam koleksi catatan ini, Klik

Sumber : 
  1. Remco Verwoerd and Vanessa L. Facenda , Discovering Tea in Malaysia,
  2. Lawatan ke Ladang Teh BOH, 2018.

Sunday, January 28, 2018

Koleksi Catatan Ladang teh di Cameron Highlands


Saya tak boleh nafikan, antara tarikan utama di Cameron Highlands adalah kerana Ladang Teh yang terdapat di sini. Uniknya di Cameron Highlands, tanaman teh ini adalah diibaratkan sebagai kembar kepada pembangunan Cameron Highlands dari mula diterokai.

Kisah tanaman teh di Cameron Highlands bermula seawal tahun 1924 lagi bilamana A.J Russel mula datang dan membuka ladang tehnya di Habu, Ringlet. Pada masa yang sama juga, tanah tinggi Cameron juga dibuka sebagai stesen tanah tinggi.

Saya ada membuat beberapa catatan dari pemerhatian saya dan juga beberapa sumber yang saya perolehi. Untuk catatan ini, saya sekadar nak membuat koleksi catatan lama saya mengenai ladang-adang teh di Cameron Highlands.

Koleksi catatan di bawah ini saya tulis dan ada yang diperolehi dari sumber petikan berita yang saya muatnaikan sebagai simpanan atau rujukan arkib saya semata di mana semuanya telah dikongsikan sepanjang 9 tahun kebelakangan ini.

Maklumatnya terhad dan ada yang tidak beberapa tepat kerana diperolehi secara lisan. Juga link kepada gambar saya dapati ada yang tidak berfungsi kerana masalah platform asal yang digunakan.

Apapun sekadar berkongsi tak salah rasanya cuma kalau anda ingin dan mahukan maklumat lanjut dan rasmi,  hubungilah pihak pengurusan yang terbabit.   Catatan di bawah ada yang berulang kisah dan lokasi yang sama tetapi kunjungan di waktu yang berbeza, lagi dan lagi ......
  1. Legasi Teh BOH 
  2. Istimewa di Ladang Teh Sungei Palas
  3. Maksud BOH
  4. Ladang BOH Sungei Palas
  5. Ladang Teh BOH, Habu 
  6. Ladang Teh BOH , Habu 2
  7. Malaysian Nature Society  Centre di Ladang Teh 
  8. Re Visit Ladang Teh Boh
  9. Sisi yang berbeza
  10. Morning Madness
  11. Matahari Terbit di Ladang Teh 
  12. Revisit Matahari Terbit di Ladang Teh 
  13. Hentian atau Kedai Teh
  14. Bharat Tea Plantation
  15. Tea Walk di Ladang Teh Sungei Palas
  16. Pokok Teh
  17. Kisah Pemetik Daun Teh 
  18. Koleksi Pemetik Daun Teh 1
  19. Koleksi Pemetik Daun Teh 2
  20. Kayuhan Santai ke Farlie Estate
  21. Thompson Trail 2013 - Ladang Teh BOH
  22. Santai ke Tea Centre Sungei Palas
  23. Tea Centre BOH Habu
  24. Shuttel Bas ke Tea BOH Habu
  25. Tea Centre Bharat Tea Kuala Terla
  26. Bharat Tea Tea Shop 2 - Revisit
  27. Jualan Pokok Teh di Bharat Tea Shop
  28. Revisit Bharat Tea Shop Kuala Terla
  29. 4X4 Safari Ride di Ladang Bharat Tea Kuala Terla
  30. ATV Ride di Bharat Tea Shop Kuala Terla
  31. Revisit Ladang Teh BOH Habu 2016
  32. Revisit Tea Centre Sungei Palas 2016
  33. Tea Walk di Bharat Tea Plantation
  34. Perkhidmatan Bas Shuttle ke Tea Centre Sungei Palas
  35. Division Gunung Brinchang 
  36. Pemprosesan Teh ... yang saya paham...
  37. Kilang Pemprosesan Teh tertua di Cameron Highlands
  38. Kekurangan Pekerja di ladang teh
  39. Tea Shop 2 Bharat Tea
  40. Pemertik Daun Teh BOH Habu
  41. Birthday di Ladang Teh
  42. Aronda Nova ..dekat dengan ladang teh 
  43. Kisah Pemetik Daun Teh ..keringat yang mengalir
  44. Kisah Pemetik Daun Teh..etika bersama mereka
  45. Aksi CHTT 2014 di Ladang Teh BOH Habu
  46. Peta Kayuhan di Ladang Teh
  47. Peta Kayuhan di Ladang Teh 2
  48. Pembajaan melalui Udara di Ladang Teh
  49. Kayuhan Gunung Brinchang
  50. Sejarah Golden Mountain Tea ....
  51. Fakta Teh Malaysia
  52. Fakta Industri Teh Cameron Highlands
  53. Sejarah Bharat Tea
Segalanya mengenai teh di sini. Banyak lagi kisahnya yang belum saya dapat maklumat lain seperti tinggalan  sejarah Golden Mountain Tea di Shum Yip Leong, Tongkiat milik Bharat Tea dan juga Terkuburnya juga Blue Valley Tea di Blue Valley....

Thursday, January 25, 2018

Promosi kawan-kawan : Kedai Kek Norsham di Cameron Highlands

Saya pernah berkongsikan kisah Kedai Kek Norsham yang dahulunya dibuka di Royal Lily, Tanah Rata sebelum berpindah ke Kampung Taman Sedia.  Catatan lama saya di SINI .

Kini mereka beroperasi di Kompleks Sungai Bisek bersebelahan Agrohighlands Sungai Bisik. Ianya berdekatan dengan Tea Shop 1 Bharat Tea Plantation.


Jika anda ingin menempah kek sempena ulang tahun perkahwinan, harijadi atau apa sahaja sepanjang anda bercuti di Cameron Highlands dan inginkan buatan Bumiputera dan Muslim yang tidak perlu diragui status halalnya, saya mencadangkan anda menghubungi Kak Normah.

Nombor telepon Kak Normah, 018 2944059 atau terus ke kedainya di No 2 Kompleks Sungei Bisek, Jalan Tanah Rata ke Ringlet.

Juga boleh mendapatkan maklumat melalui Laman Facebooknya iaitu Norsham Cameron Confectionery Hatter's Cafe Bakeries, atau di melihat koleksi kek mereka di laman web mereka https://norshamcakecameron.wordpress.com/ .


Sebaiknya anda menempah dahulu kek sebelum anda sampai di Cameron Highlands supaya anda tidak tergesa-gesa dan lebih tenang bercuti tanpa perlu tercari-cari di mana nak beli kek semasa tiba kelak.

Juga terdapat produk lain seperti aneka coklat dan juga roti untuk anda tempah.

Sent from my S7edge smartphone

Koleksi Catatan Pilihan Steamboat Halal di Cameron Highlands


Saya ada membuat beberapa catatan mengenai 'Pilihan Steamboat di sekitar Cameron Highlands' terutamanya yang halal dan diusahakan oleh pengusaha Muslim.

Jadi dalam catatan ini saya sekadar nak kumpulkan 'link catatan' yang telah saya kongsikan bagi memudahkan anda membuat persediaan, perbandingan seterusnya memilih pilihan steamboat anda kelak. 

Namun harus diingat, saya tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan pengusaha ini dan jika ada pertanyaan anda wajib menghubungi mereka samada melalui nombor perhubungan ataupun laman facebook mereka. 

Klik Catatan Pilihan Steamboat di bawah untuk perincian kisahnya....
  1. DEBAMBOO TOWER STEAMBOAT, GRILL & STEAM, TAMAN SEDIA kini STONE VALLEY STEAMBOAT AND GRILL
  2. TAMAN ABANG STEAMBOAT & GRILL, TANAH RATA kini dikenali sebagai  Taman Epal Cameron
  3. ATILLA SANTAI STEAMBOAT , TANAH RATA
  4. PDM CAFE, TAMAN SEDIA  telah ditutup
  5. HIGHLANDS CHEESE STEMBOAT AND GRILL, TANAH RATA 
Ini sahaja ke lokasi steamboat pengusaha bumiputera di Cameron Highlands? Ada lagi sebenarnya tetapi yang ini dahulu saya kongsikan sebab selalunya saya kongsikan yang mana saya pernah mencuba dahulu. Nak pergi selalu rasa kurang sikit sebab dah selalu muak pula. Kita bagi peluang kepada pelancong mencuba aneka pilihan steamboat.

Ingat, hubungi pengusaha di atas untuk lebih maklumat yang tepat.

Wednesday, January 24, 2018

Pilihan Steamboat: De Bambo Tower Steamboat, Grill & Steam

Kemaskini April 2019:
De Bamboo Steamboat and Grill telah berpindah ke lokasi baru namun masih di dalam Kampung Taman Sedia. Klik sini untuk ke Catatan Terkini mengenai mereka : KLIK .

Namun apa kata anda baca dahulu mengenai mereka,

Pilihan Steamboat seterusnya adalah pilihan utama saya sebenarnya dari dulu. Mereka adalah pelopor pertama Steamboat dan Grill di Cameron Highlands. Mereka juga adalah pelopor pertama steamboat ala buffet di Cameron Highlands tatkala rata-rata pengusaha steamboat hanya menawarkan pakej steamboat ikut harga per kepala ala carte dan hanya rebusan sup atau tomyan. 

Malah tidak keterlaluan saya katakan mereka ini adalah antara 'enzim' perniagaan steamboat muslim. Bukan tak ada pengusaha steamboat muslim di Cameron Highlands tetapi lebih kepada menu sampingan di restoran dan gerai makan muslim  bukannya khusus untuk steamboat.

Juga tidak boleh saya nafikan mereka adalah 'enzim' aktiviti malam di Kampung Taman Sedia yang mana sebelum itu agak muram kerana selepas kiosk strawberry tamat operasi pukul 6 petang, tiada aktiviti di sini.

Kini untuk tahun 2018 mereka kembali dengan pembaharuan konsep steamboat dan dikatakan pertama di Cameron Highlands serta Pahang dan kedua berkonsepkan sebegini di Malaysia. 

Kini mereka dikenali dengan DE BAMBOO TOWER STEAMBOAT, GRILL AND STEAM di mana konsep bersteamboat diperluaskan dengan teknik steam. 


Saya sejujurnya belum sempat ke sana. Jadi bahan utama gambar dan cerita info dalam catatan ini saya petik sepenuhnya dari Facebook mereka : Klik

Konsepnya masih sama , Steamboat Buffet dengan harga pakej seorang RM 30 untuk pilihan 110 menu steamboat. Kalau dulu pakejnya RM 28 tetapi dengan tambahan RM 2 ini anda mendapat tambahan menu yang sangat berbaloi.

Konsep masakan dengan dapur Tower. Istimewanya anda boleh menikmati Dimsum dibahagian atas dengan pilihan pelbagai sehingga kenyang.


Lokasi mereka masih sama iaitu di Kampung Taman Sedia. Dari Tanah Rata, anda perlu ke arah Brinchang namun hanya 1.5 km sahaja dari pekan Tanah Rata terdapat simpang masuk ke Kampung Taman Sedia. Lokasi gerai mereka hanya ditepi jalan dengan hiasan gerai makan berkonsepkan BULUH.  

Google Map atau Waze aje senang untuk dicari.

Selamat menjamu selera... mencari kelainan bersteamboat... ini adalah pilihannya...

Untuk mengetahui pilihan Steamboat di Cameron Highlands yang lain, anda boleh klik di PILIHAN STEAMBOAT DI CAMERON HIGHLANDS

Friday, January 12, 2018

Sejuknya di Cameron Highlands, Januari 2018

Saja nak kongsikan bahawa musim sejuk melanda Cameron Highlands sejak dua hari ini. Suhunya sekitar 13 -16  darjah celcius di waktu siang dan malam. 


Sudah tentu, faktornya disebabkan hujan yang berpanjangan. Namun bukan Cameron sahaja yang sejuk kerana rata-rata di kawasan bawah juga sejuk sehingga mencatatkan suhu sekitar 21 darjah celcius iaitu suhu normal bagi Cameron Highlands. 


Adakah masanya sesuai nak ke Cameron Highlands kerana hujan? Terpulang kepada anda membuat keputusan untuk datang atau tidak bercuti di sini kerana anda lebih mengetahui kekangan dan keupayaan ahli rombongan anda .

Rujuk dengan laman JABATAN METEOROLOGI MALAYSIA mengenai ramalan cuaca di sini sepanjang minggu. Mereka ada ramalan yang boleh dipercayai. 


Jugak buat persiapan rapi untuk bercuti di musim hujan dan sejuk ini di Cameron Highlands. Saya ada buat catatan mengenai tips bercuti di musim hujan tahun lepas . Klik..

Atilla Box Port di Tanah Rata

Lokasi tempat makan yang nak saya kongsikan ini bukan lokasi baru tetapi lebih kepada penjenamaan baru dibawah pengurusan baharu.


Saya pernah kongsikan catatan BOX PORT dahulu namun perkembangannya agak malap dan kurang mendapat sambutan. Ada beberapa faktor seperti susun atur kawasan makan ini dahulu yang agak tertutup dan pilihan gerai makan yang terhad. 

Kini BOX PORT di bawah pengurusan baharu dan dinamakan ATILLA BOX PORT

Lebih terbuka kawasan dan gerai makannya yang boleh dilihat dari tepi jalan yang mampu menarik pandangan pelancong dengan lebih mudah.

Saya suka ke sini kerana kawasan tempat makan yang luas dan lebih selamat jika membawa anak kecil kerana jauh dari jalan utama. 


Juga bilangan gerai di sini lebih banyak dengan konsep 'free sitting' dan memudahkan anda mempelbagaikan menu pilihan anda kelak. Tak de lagi Pak Cik tua yang menghalau anda kelak kerana makan di hadapan gerainya, makanan dari gerai yang lain. 

Tempat ini lebih ideal untuk membawa rakan yang datang bercuti kerana pastinya kita akan bersembang panjang dan jika di food court biasa, pemiliknya mahukan kita makan dengan segera dan pergi kerana kerusi meja yang terhad.


Apa yang ada di sini? Ada 3 gerai pilihan masakan panas, 1 gerai resipi pantai timur seperti nasi kerabu dan nasi lemak ayam berempah serta pemiliknya sendiri membuat sudut Steamboat dan Grill berkonsepkan makan sampai kenyang , Laksa dan Sizling.

Selain itu juga ada gerai cenderahati Cameron Highlands serta gerai produk sayuran tempatan dibahagian depannya. 


Lokasinya di Jalan Masuk ke Pekan Tanah Rata dari arah Ringlet.

Jika kena dengan masanya, pemilik Atilla Box Port ada menganjurkan Majlis Ceramah Agama seperti malam esok dengan Penceramah Jemputan Dato Haji Mohd Najmuddin Ellias .



Bagus kan... Karaoke tak ada tauuuuu..

Klik Facebook ATILLA BOX PORT. KLIK

Thursday, January 11, 2018

Pilihan Steamboat: Atlilla Box Port, Tanah Rata

Catatan Pilihan Steamboat yang seterusnya adalah ATILLA SANTAI STEAMBOAT & GRILL  di ATTILLA BOX PORT, Tanah Rata.

Baru sahaja diperkenalkan steamboat corner ini di Attilla Box Port selepas diambil alih oleh pengurusan baharu dan dimiliki sepenuhnya oleh En. Fajaruddin.


Konsep steamboat di sini adalah 'buffet makan sampai kenyang' dengan hanya membayar mengikut bilangan kepala sahaja. 

Teknik masakan steamboat adalah Grill dan Steamboat dengan pilihan rebusan perisa sup ataupun tomyam.


Lokasinya adalah di Atilla Box Port iaitu berdekatan dengan jalan masuk ke Pekan Tanah Rata dari arah Ringlet.  

Ruang makannya agak luas dan juga  tertutup atau berbumbung sepenuhnya tanpa perlu risau hujan atau kekurangan tempat duduk. 


Lebih menarik adalah konsep 'Food Court' di sini memberikan pilihan gerai makan yang lain bersebelahan dengan sudut steamboat ini. Jadi anda boleh mencuba pelbagai tambahan menu selain dari steamboat di sini.

Malah terdapat kedai cenderahati berkonsepkan Cameron Highlands yang memudahkan anda makan dan membeli belah di sini. 

Harga pakej steamboat dan grill ini adalah RM 30 bagi dewasa, , Warga emas  RM 25 , OKU RM 23, Kanak-kanak pula RM 20, manakala kanak-kanak bawah 5 tahun adalah percuma


Namun untuk tempoh sehingga 31 Januari 2018 ini, terdapat potongan harga promosi pembukaan di sini kepada semua pelanggan dengan hanya RM 25 untuk seorang dewasa.


Hubungi mereka untuk pertanyaan lanjut dan lihat sendiri Facebook mereka untuk mengetahui suasana persekitaran dan maklum balas dari pelanggan mereka. KLIK

Untuk mengetahui pilihan Steamboat di Cameron Highlands yang lain, anda boleh klik di PILIHAN STEAMBOAT DI CAMERON HIGHLANDS

Pilihan Steamboat: Restoran Kerisik Emas, Brinchang

Catatan Pilihan Steamboat saya teruskan dengan lokasi restoran yang menawarkan pakej steamboat di kawasan Pekan  Brinchang iaitu RESTORAN KERISIK EMAS

Saya sekeluarga pernah beberapa kali menikmati steamboat di sini tetapi agak lama rasanya dan ketika itu mereka menggunakan set steamboat berkuah sahaja tanpa grill dan menggunakan dapur kecil sama seperti lokasi lain. 

Namun baru-baru dari facebook mereka, dapur arang mula digunakan di premis restoran mereka. Menarik dapur arang ini kerana belum pernah saya cuba. 


Malah sepengetahuan saya, inilah satu-satunya restoran Melayu yang menggunakan dapur arang sebagai dapur steamboat berbanding lokasi lain yang menggunakan dapur gas dan juga elektrik. Ada beberapa restoran steamboat dapur arang di Brinchang tetapi di Restoran Cina.

Ada perbezaan ke rasanya? Itu anda kena cuba sendiri malah saya sendiri masih belum pernah mencuba baik di restoran ini ataupun di lokasi lain. 

Pakej Steamboat mereka adalah hidangan ala carte mengikut jumlah orang yang ditempah Harga bagi pakej Steamboat mereka rasanya RM 20 Seorang. Atau anda tanya sendiri pemilik restoran ini melalui Facebook  RESTORAN KERISIK EMAS . KLIK


Lokasi RESTORAN KERISIK EMAS adalah di Pekan Baru Brinchang. Anda cari KAVY HOTEL  di mana lokasi mereka adalah di seberang jalannya. 

Selain steamboat dapur arang, mereka juga ada masakan panas dan juga bermula dari sarapan, makan tengahari sehinggalah ke malam. 

Saya kenal pemiliknya Abang Sabri semasa sama-sama menunggu anak pulang dari Tadika Taman Sedia 4 tahun lalu dan ketika itu beliau baru mula  mengambil alih restoran ini dari pemilik lama.


Gambar dalam catatan ini saya ambil dari laman facebook mereka sebab saya tak jumpa catatan lama saya ke sana. 

Kalau saya ada ke sana nanti, saya kongsikan gambar sendiri ya... 'Steamboat Dapur Arang Kerisk Emas' ....

Untuk mengetahui pilihan Steamboat di Cameron Highlands yang lain, anda boleh klik di PILIHAN STEAMBOAT DI CAMERON HIGHLANDS

Monday, January 8, 2018

Pilihan Steamboat: Taman Epal Cameron, Tanah Rata

Kemaskini July 2018: TAMAN ABANG kini dikenali sebagai TAMAN EPAL CAMERON. Hanya nama dan pemilikan berubah dibawah pengurusan lama dan masih mengekalkan ke semua ciri-ciri perniagaan yang sama.  Jadi catatan dibawah adalah masih bersesuaian. 

 ***********************  

Pilihan steamboat yang saya syorkan seterusnya adalah yang agak popular iaitu TAMAN ABANG BUFFET STEAMBOAT & GRILL atau kini dijenamakan sebagai TAMAN EPAL CAMERON.


Lokasinya di tengah Pekan Tanah Rata bersebelahan dengan Hotel Cool Point. Untuk ke sana anda boleh meletakkan kenderaan anda di kawasan letak kereta di Dataran Tanah Rata iaitu kawasan letak kereta utama di pekan ini sebelum menyeberangi menggunakan jambatan ke Hotel Cool Point. 

Dahulu anda boleh meletak kereta di kawasan hotel tersebut tetapi saya memahami kenapa mereka menghalang meletak kereta dikawasan  hotel demi keselesaan penghuni hotel.

Atau anda letak sahaja kereta di kawasan letak kereta MDCH yang luas dari arah MAYBANK. Lebih mudah kerana ruang parkir yang banyak dan sebelah sahaja lokasi pintu masuk ke Taman Abang ini. 


Taman Abang ini telah dibuka hampir 4 tahun rasanya dan dahulu caj seorang untuk makan sekitar RM 25 sahaja namun penambahan aneka bahan steamboat yang dibuat secara buffet yang pelbagai menjadikan harganya kini dinaikan selaras dengan kualiti dan kuantiti makanan yang disediakan. 

Berapa tu ? 

3 minggu lepas kami sekeluarga ke sana bagi meraikan kedatangan rakan sekolah lama isteri saya. Cajnya adalah RM 39 untuk dewasa dan RM 25 untuk kanak-kanak. 

Apa yang saya dapat? 

Pilihan bahan steamboat yang boleh diambil berulang kali dan terdapat banyak sangat variasi tambahan seperti nasi goreng, bihun goreng, nasi lemak pandan, aneka air panas dan sejuk, ais krim. dan banyak lagi. 

Bahan steamboatnya menjangkau dari pilihan seafood mentah, perapan BBQ serta yang segera yang bersaiz besar. Sayurnya juga pelbagai.


Semuanya dimasak sendiri di atas dapur grill  dan sup dengan pilihan sup ataupun tomyam. 

Taman Abang ini memang menjadi tumpuan dan masa kami pergi, kami perlu menunggu sehingga 30 minit untuk mendapatkan tempat duduk yang bersaiz besar memandangkan dua keluarga. Namun kerusi menunggu disediakan di laluan masuknya.

Kawasan tempat makannya luas dan mempunyai variasi pilihan samada duduk di meja atau duduk bersila di ruang pangkin yang disediakan. 


Saya mencadangkan anda klik di facebook mereka sahaja untuk lebih gambar dan maklumat lanjut kerana mereka juga menawarkan perkhidmatan makan dan minum diluar waktu steamboat mereka iaitu pagi dan tengahari,. KLIK 

Gambar di atas semuanya kecuali gambar pertama saya ambil dari facebook mereka. Segan pulak nak kongsi gambar dari handphone kita yang tak seberapa ni.

Untuk mengetahui pilihan Steamboat di Cameron Highlands yang lain, anda boleh klik di PILIHAN STEAMBOAT DI CAMERON HIGHLANDS

Sunday, January 7, 2018

Pilihan Steamboat: PDM Cafe , Taman Sedia, Tanah Rata



Lokasi Restoran Steamboat baharu yang dibuka bulan lepas di Cameron Highlands adalah di PDM Cafe di Taman Sedia, Tanah Rata.

PDM adalah singkatan Pahang Darul Makmur rasanya dan ianya dimiliki oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Restoran ini menyediakan pilihan steamboat secara ala carte dengan dua pilihan set iaitu Set A bernilai RM 29.90 untuk dua orang  dan Set B berharga RM 59.90 untuk 4 orang.


Saya dan keluarga sempat menikmati Set B di sana dua minggu lepas dan ianya dihidangkan dengan set BBQ Grill dan Steamboat elektrik.


Saya suka suasana cafe mereka yang bercirikan Enggeris dengan rekabentuk dalaman menggunakan hiasan wainscotting di bahagian dinding mereka. 

Selain daripada steamboat, terdapat juga pilihan menu ala carte yang lain seperti mee gorang, nasi goreng dan nasi lemak.

Untuk steamboat pilihan cicipan steamboat agak tidak variasi dan agak besar dan ringkas. Pilihan kuah adalah seperti yang lain iaitu tomyam ataupun sup. Mungkin pemilik dan pengurusan restoran perlu menambah lagi variasi cicipan atau bahan steamboat mereka seperti isi ketam yang menjadi kegemaran kanak-kanak kerana lembut. 

Untuk ke sini, tidak susah untuk anda menemui PDM Cafe iaitu hanya perlu masuk ke  Kampung Taman Sedia dari arah Tanah Rata dan restoran ini terletak di sebelah kiri jalan sahaja. 

100 meter dari cafe ini terletaknya De Bamboo Steamboat and Grill iaitu restoran pertama steamboat di  Kampung Taman Sedia.

Selamat Menjamu selera...

Untuk mengetahui pilihan Steamboat di Cameron Highlands yang lain, anda boleh klik di PILIHAN STEAMBOAT DI CAMERON HIGHLANDS

Pilihan Steamboat : Highlands Steamboat Cheese and Grill

Untuk catatan tahun 2018, saya akan kongsikan beberapa lokasi steamboat baharu yang dibuka sekitar Tanah Rata.

Terdapat 3 tempat makan baharu yang menawarkan steamboat di sini. Dan pada musim cuti sekolah tahun lepas, kami menikmati pilihan baru ini sebagai nak mencuba sahaja.

Jom .....
HIGHLANDS STEAMBOAT CHEESE AND GRILL


Baru dibuka hujung tahun lepas tapi dah dekat penghujung cuti sekolah. Kalau mereka buka lebih awal tentu akan lebih ramai pelancong yang akan ke sana.  Tak apa, itu perancangan perniagaan mereka bukan saya. Saya pelanggan sahaja.

Lokasi Restoran ini adalah di Perumahan Cameron Jaya yakni di Jalan Tengkolok dengan memasuki simpang di sebelah  Balai Polis Tanah Rata. 

Kawasan parkir agak banyak ketika ini kerana masih ramai  yang tidak memasuki atau menetap di perumahan baharu ini. Tak tahu pula bagaimana keadaan parkir di masa hadapan jika ramai yang berpindah ke sana. 

Konsep kedai adalah secara Buffet Steamboat di mana anda boleh makan dengan sepuasnya. 

Pilihan menu istimewa dan berbeza berbanding dengan steamboat ditempat lain adalah Air Root Bear Float gelas besar dan juga Strawberry dan Mashmellow Celup Coklat. 

Pilihan steamboat agak banyak dan bersaiz besar.

Kadar harga adalah RM  35 untuk dewasa (pamplet mereka tulis RM 34 tapi yang jaga kaunter kata tersilap cetak) dan kanak-kanak RM 20 seorang.  Nak tambah cheese mozarella dan satu lagi cheese cream kena tambah RM 7 bagi set cheese tersebut. 

Tapi masa kami pergi malam kedua promosi adalah RM 20 dewasa. Dan sebab itu pandang kiri dan kanan ramai sungguh orang tempatan Cameron Highlands malam tu. 

Secara keseluruhan saya boleh bagi rating yang baik untuk restoran ini cuma perlu menambah jumlah pekerja di waktu puncak selain ada kerusi untuk pelanggan yang perlu menunggu di luar. 

Pengalaman kami sekeluarga tempoh menunggu sekitar 20 minit malam tersebut dan nasib kereta dapat parkir betul-betul di hadapan restoran untuk melihat jika ada kekosongan kerusi dan meja.

Ada beberapa maklum balas rakan-rakan yang berkunjung malam tersebut juga pulang hampa kerana terlalu ramai dan bagaikan kurang mesra dilayan kerana kekurangan meja dan pekerja.  Ada yang dah berikrar merajuk sampai sudah tak mahu ke sana. Relax bang,.....  Buat tempahan tempat duduk dan meja dengan menghubungi mereka dahulu.

Tak apa, malam kedua baru dan masih banyak yang boleh ditambahbaik kemudian.  

Cuma nak komen lebih-lebih pun tak boleh sangat sebab dah bersyukur dapat harga promosi RM 20 malam tu. 

Sekali lagi, lokasinya adalah di PERUMAHAN CAMERON JAYA JALAN TENGKOLOK TANAH RATA dan kedai betul-betul dihadapan laluan masuk. 

Anda google sahaja Facebook mereka.... Klik 

 Ini bukan kedai saya ya.. saya tak dapat membantu anda... saya kongsi info sahaja.

Cuma kepada pemiliknya , saya pelik anda beria benar buat pamplet bahasa Enggeris... hakiknya yang perlu anda fokus adalah pamplet bahasa Melayu sebab majoriti yang akan makan di sana adalah pelancong Melayu.

Jangan terlalu memandang rendah keupayaan membeli dan berbelanja pelancong tempatan berbangsa Melayu.  Buatlah pamplet berbahasa Melayu...  saya bukan rasis.. cuma sekadar mencadangkan..............

Untuk mengetahui pilihan Steamboat di Cameron Highlands yang lain, anda boleh klik di PILIHAN STEAMBOAT DI CAMERON HIGHLANDS

Cameron Ultra Trail 2018



CAMERON ULTRA TRAIL kembali lagi bagi edisi tahun ketiga. Saya teruja mengikuti acara tahunan ini walaupun bukan sebagai ajk atau wakil atau apa sahaja kaitan dengan penganjur.

Saya menyokong sepenuhnya acara penganjuran ini yang akan berlangsung pada 28 hingga 29 July 2018 di Tanah Rata dan melibatkan trail laluan sekitar Tanah Rata ke Habu, Cameron Highlands.

Ini bukan larian biasa. Malah ianya amat luarbiasa dan anda perlu membuat persiapan mental dan fizikal yang luarbiasa jika ingin menyertainya.

Lazimnya, penyertaan Cameron Ultra ini akan menjangkau ke 1,300 peserta dari seluruh dunia dan tahun lepas mereka telah mendapat sambutan peserta dari hampir lebih 24 buah negara asing.

Saya syorkan anda ke laman facebook penganjur untuk lebih maklumat mengenai penganjuran ini.

Laman Facebook : Klik 
Laman Blog : Klik 

Pendaftaran dibuka mulai  1 Februari 2018 dan biasanya hanya dalam tempoh sebulan sahaja kuota peserta akan penuh dan ditutup.

Anda bersedia ? Mulakan dengan mendaftar dahulu..... Kalau mendaftar pun liat..jawabnya tak ultra lagi mental anda ..

Ingat... saya bukan sebahagian daripada penganjur, saya  sekadar teruja dengan penganjuran ini...

Catatan Tahun Baru 2018


Hari ini 7 Januari 2018, dah seminggu tahun baru 2018 menjengah namun saya masih belum membuat dan memuatnaikkan catatan baharu lagi di mrkumai.blogspot.com.

Bukan apa, saya masih belum pasti apa lagi yang nak saya kongsikan mengenai Cameron Highlands dan juga catatan yang lain bagi tahun 2018 ini.

Tetapi ada baiknya jika saya memulakan tahun 2018 ini dengan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah singgah atau tersinggah di blog saya ini. Saya sangat hargai kesudian anda mengikuti blog ini dan bagi yang memberikan maklumbalas juga amat saya hargai. 

Cuma saya nak jelaskan, blog mrkumai.blogpsot.com ini sekadar blog peribadi saya semata-mata. Tiada keuntungan dijana dari mana-mana catatan dalam blog ini dan ruangan sisinya. Saya masih belajar kalau ada ruang dan peluang nak mendapatkan sedikit keuntungan namun setakat ini tak bersungguh kerana matlamat awalnya saya menulis di blog ini adalah semata-mata sebagai medium peribadi saya sahaja baik berkongsikan gambar dan selebihnya kepada arkib simpanan peristiwa yang saya anggap penting dan istimewa untuk rujukan peribadi di masa hadapan.

Namun semuanya berubah bilamana ramai kawan sekolah, sekampung dan yang mengenali saya mula mengetahui saya menetap di Cameron Highlands maka kerjaya tak rasmi menjadi rujukan dan kaunter pertanyaan untuk tips melancong ke sini. 

Bagi mengelakan saya mengulang jawapan berkaitan yang hampir sama, maka saya mulai menulis dalam bentuk catatan di blog dan jika ada pertanyaan, akan saya copy dan kongsikan link catatan berkaitan sebagai jawapan saya kepada mereka. 

Jadi, dari blog berkaitan peribadi, ianya menjadi koleksi jaw catatan jawapan kepada pertayaan rakan-rakan untuk tips bercuti di sini tanpa perlu saya ulang jawab soalan yang sama.

Untuk tahun 2018, saya rasa akan mula fokuskan secara sedikit keluar dari tips melancong tetapi saya akan lebih kritikal dalam catatan berkaitan perlancongan di Cameron Highlands.  

Antaranya kemudahan sektor pelancongan yang sedia ada yang bagi saya tidak setara dengan jumlah kehadiran pelancong ke sini. Saya merasakan tiada persediaan dan penambahbaikan dalam kemudahan pelancongan dari pihak agensi tempatan dan jika saya boleh katakan sambutan tuan rumah terlalu dingin kerana ibaratnya dah terlalu popular, tak perlu bersungguh sangat mencari orang nak datang. Pejam mata pun akan penuh juga orang ke sini. 

Cuma kritikan terbabit bukan berniat untuk menggangu periuk nasi pihak terbabit tetapi lebih kepada usaha menambaikan keadaan. Kita tidak perlu menjadi 'tupai yang membaiki labu' atau 'langau yang hanya membusukkan daging'.  

Pada masa yang sama juga saya akan lebih kritikal pada sikap pelancong yang datang ke sini terutamanya sikap negatif mereka seperti pemanduan di jalan raya, kebersihan, dan sikap negatig yang menggangu keharmonian penduduk setempat dan sebagainya. 

Ibarat pepatah, 'orang berbudi kita berbahasa, orang  memberi kita merasa' ... 'usahlah pula madu diberi tuba pula dibalas'.

Selain itu, pastinya maklumat berkaitan dengan info Cameron Highlands terkini akan saya kongsikan dari masa ke samasa. Semoga ada catatan yang dapat membantu anda kelak.  

Selamat Melancong ke Cameron Highlands. 

Anda boleh menyertai facebook mrkumai.blogspot.com untuk lebih cepat kemaskini catatan di sini...

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock