Apa kata anda klik info ini.. saya tak marah ...

Gambar terkini di Facebook mrkumai.blogspot.com

Buat Carian Pantas seperti tempat makan, tips bercuti, strawberry dan sebagainya di sini:

Rabu, 31 Ogos 2011

Merdeka!!! Merdeka !!! Merdeka!!!

mrkumai.blogspot.com 
Hari ini 31 Ogos 2011,
mengulangi kembali sejarah yang tercipta pada 
31 Ogos 1957, 
dengan penuh bangga dan amat bersyukur berkongsi kegembiraan bersama semua rakyat MALAYSIA di atas:
Sambutan Kemerdekaan
MALAYSIA TANAH TUMPAH DARAHKU !!!

SELAMAT HARI RAYA

mrkumai.blosgpsot.com mengucapkan : 
SELAMAT HARI RAYA
&
MAAF ZAHIR BATIN
 
di kala kita bergembira, ada yang berduka lara diluar sana..
di kala kita bergerak secara bebas dan aman, ada yang terbatas dan dalam sekatan...di kala kita menjamah pelbagai juadah, ada yang berterusan terpaksa berpuasa.. Bersederhanalah kita menyambut hari raya...

Sabtu, 27 Ogos 2011

Selamat Pulang ke kampung halaman...


mrkumai.blogspot.com ingin mengucapkan 

SELAMAT PULANG KE KAMPUNG... 

HATI-HATI DI JALAN RAYA .... 



Jadi pemandu yang bertimbang rasa





KALAU diizinkan Tuhan, umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari Selasa depan. Selepas sebulan berpuasa, pastinya semua orang mahu menyambut hari penuh bahagia itu bersama mereka yang tersayang di kampung halaman.
Sudah menjadi amalan pada setiap tahun, kebanyakan daripada kita akan pulang ke kampung. Sama ada memandu atau menaiki kenderaan awam, kota-kota besar terutama Kuala Lumpur akan ditinggalkan sepi untuk beberapa ketika.
Sementara bandar-bandar seperti Kota Bharu, Kuantan, Ipoh atau Seremban akan berubah wajah menjadi sangat sesak dengan kenderaan. Jumlah kenderaan bertambah berlipat kali ganda.
Sesaknya tidak ubah seperti di lebuh raya Persekutuan ketika orang ramai hendak pulang untuk berbuka puasa. Maklumlah, ramai yang hendak menayangkan kereta baharu mereka kepada orang kampung.
Baiklah, semua persiapan raya telah dibuat. Baju Melayu dan baju kurung sudah diambil dari kedai jahit. Kuih-kuih raya dan kerepek untuk hidangan tetamu di pagi Syawal pula telah siap dibeli serta diletakkan di dalam kereta.
Tetapi, adakah kenderaan anda sudah bersedia untuk menempuh perjalanan yang jauh dan panjang itu? Bagaimana pula dengan persediaan anda sendiri sebagai seorang pemandu? Sudah bersedia dari segi fizikal dan mentalnya? Semua ini penting kerana selain masalah kenderaan, sikap pemandu merupakan antara punca utama berlakunya kemalangan.
Rancang perjalanan
Sebagaimana yang biasa dibuat, kita akan sibuk pergi ke bengkel untuk membolehkan kereta diservis. Bagi mereka yang memang tidak pernah tertinggal membuat penyelenggaraan secara berkala, besar kemungkinan kenderaan berada dalam keadaan yang memuaskan. Namun, ambillah sedikit masa untuk membuat pemeriksaan ringkas.

PIHAK polis akan menjalankan operasi bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang lalu lintas.


Bagi anda yang bakal berjalan jauh seperti ke negeri Utara atau Pantai Timur, pastikan perjalanan ke kampung dirancang. Ambil perhatian terhadap jadual waktu perjalanan yang diumumkan oleh pengendali lebuh raya seperti Projek Lebuh Raya Utara-Selatan Berhad (PLUS). Jadual waktu itu cukup kritikal dalam memastikan perjalanan di lebuh raya dapat dilakukan dengan lancar dan selamat.
Anda mahu memulakan perjalanan selepas berbuka? Janganlah makan sehingga tidak ingat dunia. Ia hanya akan membuatkan mata berat ketika memegang stereng. Jika mengantuk, ambil masa untuk berehat di R&R. Setelah tubuh kembali segar, mulakan semula perjalanan.
Jangan berhenti di tepi jalan
Masih segar dalam ingatan, saya terpaksa menempuh kesesakan teruk dalam tempoh yang lama di lebuh raya Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menuju ke Kuantan pada menjelang hari raya tahun lepas.
Situasi ini memang menghairankan kerana lebuh raya Karak jarang sekali menjadi terlalu sesak. Selepas melepasi azab itu, barulah tahu bahawa tiada apa yang berlaku sebenarnya.
Tiada kemalangan atau sebagainya. Tetapi kesesakan itu berlaku kerana banyak kereta berhenti di tepi jalan. Antaranya untuk merokok dan pengguna jalan raya yang lain memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang berlaku! Ini sememangnya situasi yang tidak perlu ditempuh jika kita semua tidak berhenti sesuka hati di tepi jalan.
Sebagai seorang yang gemar memandu pada waktu malam, saya sentiasa berdepan dengan pemandu-pemandu yang tidak bertimbang rasa.
Memasang lampu tinggi sepanjang perjalanan memang menyakitkan hati orang yang memandu di hadapan dan bertentangan dengan anda. Sakit hati makin bertambah jika lampu itu mengalahkan lampu sorot stadium. Silap-silap, sampai rumah boleh jadi sakit kepala.
Jadi, sila peka dengan persekitaran anda. Rendahkan lampu jika ada kenderaan di hadapan dan di laluan bertentangan. Ini juga merupakan salah satu tanda anda menghormati pengguna jalan raya yang lain.
Pandu di lorong yang betul
Kita mempunyai kecenderungan yang berbeza ketika memandu. Ada yang gemar memandu laju dan ramai juga bersikap sebaliknya. Itu tidak salah jika anda berada di lorong yang betul.

MENERIMA surat saman daripada pihak berkuasa pastinya bukan pengalaman indah ketika balik beraya.


Jangan sekali-kali memandu perlahan di lorong laju. Mungkin perkara ini kedengaran remeh, tetapi tidak sedikit yang bersikap sedemikian. Memandu perlahan di lorong laju bukan sahaja melambatkan perjalanan orang lain, malah tidak mustahil boleh menyebabkan kemalangan kerana pemandu di belakang tidak tahu kelajuan sebenar kenderaan anda.
Pasti ramai antara kita yang akan melalui lebuh raya bertol. Di sini, ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan kesesakan di tol.
Pertama, gunakan kad Touch N Go atau Smart Tag untuk melancarkan perjalanan. Pembayaran tol secara manual hanya melambatkan perjalanan.
Sila pastikan juga anda tidak memotong barisan ketika hendak membayar tol. Perbuatan sebegitu memang tidak beradab dan mementingkan diri sendiri.
Lorong Kecemasan
Lorong kecemasan adalah untuk hal-hal kecemasan seperti sakit tenat dan sebagainya. Jadi, hal anda untuk bermain mercun dengan anak saudara di kampung atau hendak merasa rendang yang dibuat ibu untuk hari raya esok bukan kecemasan.
Menggunakan lorong kecemasan hanya akan menyebabkan kesesakan apabila kenderaan mula mencelah-celah untuk memasuki ke laluan utama kerana lorong kecemasan itu sudah tiba di penghujungnya.
Satu lagi perkara yang harus diambil kira ialah tahu kemampuan dan kekangan kenderaan anda. Maksudnya, pandulah kereta secara selamat. Jangan pandu Myvi mengalahkan BMW 5 Series lajunya.
Walaupun pihak berkuasa akan melaksanakan operasi sepanjang cuti hari raya ini, ia tidak akan mampu mengurangkan kadar kemalangan jika kita sebagai pemandu tidak mengambil langkah berhati-hati di jalan raya.
Akhir kata, patuhi semua undang-undang lalu lintas. Jadilah pemandu berhemah dan bertimbang rasa. Selamat menyambut hari raya dengan gembira!


Ketupat Daun Palas

Menyambut hari lebaran ini pastinya tidak akan lengkap jika tidak disediakan makanan tradisional dan antaranya adalah ketupat palas. Teringat aku ketika zaman persekolahan, selalunya aku dan rakan-rakan akan memasuki kawasan hutan simpan di belakang rumah untuk mencari daun palas dan selalunya jika tiada daun palas terdapat satu lagi daun yang aku terlupa namanya tetapi bersaiz lebih besar.

Sebenarnya keseronokan mencari daun ketupat adalah sebahagian kenangan alam remaja dan kini menikmati ketupat palas ketika hari lebaran pastinya akan mengimbau kenangan ini. Termasuklah melihat mak atau ahli keluarga yang lain membuat ketupat ini.

Beza antara ketupat daun palas dan ketupat daun kelapa adalah bahan utamanya iaitu ketupat daun palas menggunakan beras pulut tetapi ketupat daun kelapa adalah menggunakan beras dan mempunyai peminat masing-masing..

Kosmo mempunyai butiran lengkap tradisi menyediakan ketupat daun palas ini.

Ketupat palas tahan 4 bulan



LAZIMNYA, apabila Aidilfitri semakin hampir tukang masak tersohor di Kampung Gong Manak, Pasir Puteh, Kelantan perlu bersengkang mata untuk menyiapkan ketupat palas yang ditempah oleh para pelanggannya.
Namun, Rahaizura Mohd. Shafie, 39, tidak bersendirian. Dia dibantu tujuh pekerja yang terdiri daripada kalangan jiran-jirannya. Mereka tidak menang tangan membuka daun palas dan membungkus ketupat tersebut kerana tempahan untuk Ramadan dan Syawal meningkat berganda-ganda berbanding bulan-bulan yang lain.
Rahaizura yang berpengalaman membuat ketupat palas secara komersial sejak sedekad lalu adakalanya menerima tempahan gulai kawah.
Menurutnya, setiap hari pada bulan-bulan yang lain beliau memerlukan 10 kilogram (kg) beras pulut, 3 kg gula, 1.5kg santan pekat yang diperah sendiri serta lebih 500 gram kacang untuk menghasilkan ketupat palas.
“Sepanjang bulan puasa hingga hari raya, saya terpaksa meningkatkan penghasilan sekali ganda iaitu 20 kg beras pulut untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 1,500 biji ketupat sehari,” katanya.
Rahaizura berkata, dia menerima tempahan menerusi talian khas yang sentiasa diingati oleh pelanggan tetapnya, selain dijual ke seluruh pasar tani di Kelantan dan Terengganu.
Beliau berkata, ketupat yang dihasilkannya tahan sehingga empat bulan jika disimpan dalam peti ais beku.

Langkah kedua melibatkan proses membentuk rupa bentuk ketupat tiga bucu yang kemas.


“Ia boleh direbus atau terus digoreng. Percayalah, ia tidak akan basi dan masih enak dinikmati dalam tempoh 120 hari. Saya akan memastikan penggunaan santan kelapa pekat yang diperah sendiri adalah berkualiti bagi memberi ketahanan kepada ketupat, tanpa menggunakan bahan pengawet,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ketupat palas atau ketupat pulut ialah masakan tradisional yang menggunakan daun pokok palas sebagai pembungkus atau anyamannya. Rasanya lemak dan manis.
Bentuk kipas
Palas atau Licuala sp. adalah pokok palma tropika yang tumbuh di pelbagai habitat. Spesies pokok itu ditemui di Asia Selatan hingga ke barat daya Pasifik. Kebanyakan spesies Licuala ditemui di hutan hujan dataran rendah teduh yang memerlukan cahaya dan suhu yang berubah-ubah.
Ia dikenali dengan daunnya yang berbentuk kipas yang sering mempunyai pola membelah yang menarik.
Palas adalah tumbuhan dalam kumpulan rumpai tetapi berasal daripada keluarga palma. Di negara ini terdapat pelbagai banyak jenis pokok palas seperti palas Bintulu (Licuala Bintuluensis); palas Borneo (Licuala Cordata); palas Sarawak atau nama saintifiknya Licuala Orbicularis yang bernilai dalam dunia seni taman.
RAHAIZURA menunjukkan ketupat yang dihasilkan di bengkelnya di Kampung Gong Manak, Pasir Puteh, Kelantan.


Pokok palas duri atau nama saintifiknya Licuala sapinosa roxb adalah spesies yang biasa digunakan untuk pembungkusan makanan khususnya ketupat pulut atau palas.
Menjelaskan lebih lanjut, Rahaizura atau lebih mesra dengan panggilan Zura berkata, ketupat palas berbeza daripada ketupat nasi. Perbezaan itu ketara dari segi bentuk, saiz, jenis daun yang digunakan untuk membalut, teknik membungkus dan jenis berasnya.
“Ketupat daun atau ketupat nasi, dianyam berbentuk empat segi ataupun bentuk bawang yang menggunakan daun kelapa. Berbeza dengan ketupat palas ia berbentuk tiga segi.
“Penggunaan beras sebagai isi atau inti ketupat juga berbeza. Beras yang digunakan untuk ketupat palas ini ialah beras pulut, manakala isi ketupat daun menggunakan beras iaitu beras yang menjadi makanan harian,” katanya.
Jantina ketupat
Menurut Zura, teknik membungkus ketupat palas menggunakan daun palas juga perlu betul agar ia nampak kemas dan membezakan jantinanya ketupat tersebut.
Ketupat palas jantan lazimnya mempunyai isi atau pulut lebih di bahagian akhir balutan. Ikatan dan balutannya juga lebih kemas berbanding ketupat palas betina dengan saiznya yang kecil dan tidak mempunyai isi atau pulut lebih di bahagian ikatan atau balutan.
KELONGSONG daun pucuk palas yang sudah diproses.


Menurutnya, cara masakan ketupat palas atau ketupat pulut, boleh dilakukan secara kukus atau direbus secara terus. Ia akan lebih beraroma sekiranya kayu digunakan sebagai bahan pembakar semasa merebus.
Rahaizura berkata, pada tahun ini ketupat palas dijual pada harga RM50 untuk 100 biji memandangkan semua kos termasuk bahan api, beras dan gula meningkat.
Norma Adam, 40, yang berpengalaman membungkus ketupat lebih 12 tahun lalu di kampung yang sama berkata, cara membuka daun palas perlu dilakukan dengan kaedah tertentu seperti yang diajar oleh nenek moyang dahulu.
Beliau berkata, selepas daun palas dibersihkan, ia dibuka secara berhati-hati supaya daunnya tidak terkoyak. Daunnya kemudian digulung sehingga lentur dan lembut bagi memudahkan kerja-kerja membungkus pulut.
“Buat bentuk kon dan lipatkan daun dalam bentuk tiga segi. Sarang ketupat yang siap kemudiannya dirungkai semula untuk diisi dengan pulut. Kemahiran ini seharusnya dipelajari oleh generasi masa kini supaya penghasilan makanan tradisi ini tidak luput ditelan zaman dan keasliannya tetap terjamin,” katanya.

Perkahwinan kanak-kanak : Amalan atau penindasan...

070214_sinclair_nepa#3BD658Di Malaysia, had umur untuk boleh berkahwin adalah 18 tahun seperti Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang digubal selepas merdeka memperuntukkan usia minimum 18 tahun untuk berkahwin dan mereka yang belum mencecah usia tersebut perlu memohon kepada Mahkamah Syariah jika mahu berkahwin.

Namun di kebanyakan negara ketiga seperti India, Pakistan, Bangladeshi, Nepal malahan menjangkau ke benua Afrika dan negara latin, terdapat amalan perkahwinan seawal usia 14 tahun malah menjadi tradisi yang dipertahankan sedari dahulu lagi.  

Pelbagai tanggapan dan alasan dinyatakan bagai meneruskan tradisi ini sehingga kini dan salah satunya adalah kemiskinan keluarga.

Anda boleh meninjau koleksi dari laman ini untuk gambaran perkahwinan bawah umur ini..

Memetik laporan dari Kosmo, aku lanjutkan kisah seterusnya...


Ragut kebebasan kanak-kanak


PERKAHWINAN kanak-kanak, yang meragut kebebasan jutaan kanak-kanak tidak berdosa di seluruh dunia hingga menyebabkan mereka hidup dalam kemiskinan, kejahilan dan tahap kesihatan yang buruk merupakan salah satu daripada halangan terbesar kepada pembangunan.


Demikian kenyataan yang dikeluarkan sebuah kumpulan hak asasi manusia yang mementingkan kebajikan kanak-kanak, Plan UK baru-baru ini.
Menurut kenyataan tersebut, kanak-kanak perempuan di bawah usia 18 tahun akan dikahwinkan setiap tiga saat iaitu kira-kira 10 juta setahun. Seringkali ia dilakukan tanpa persetujuan mereka dan dijodohkan dengan pasangan yang jauh lebih berumur.
Kebanyakan perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak tersebut berlaku di Afrika, Asia Barat dan Asia Selatan.
“Ini merupakan antara isu pembangunan terbesar masa kini dan kami komited untuk meningkatkan suara berjuta-juta kanak-kanak perempuan yang berkahwin tanpa kerelaan mereka,” kata ketua Plan UK, Marie Staunton dalam ucapan pengenalannya kepada Breaking Vows, laporan global terkini mengenai perkahwinan kanak-kanak.
Daripada kecederaan teruk sewaktu melahirkan anak hingga menyentuh rahsia di mana sebenarnya kanak-kanak perempuan dijual demi mendapatkan wang dengan cara berkahwin, kesan akibat perkahwinan kanak-kanak dit dalam dokumentari multimedia oleh TrustLaw, perkhidmatan berita undang-undang yang dijalankan oleh Thomson Reuters Foundation (childmarriage).
Kecewa dalam hidup

MEREKA yang tidak mendapat pendidikan tinggi berisiko berkahwin pada usia muda.


“Pada usia masih muda saya telah mempunyai anak. Hidup saya musnah, pelajaran saya entah ke mana. Apa yang pasti, anda akan berasa kecewa dengan semua yang berlaku dalam hidup,” ujar Kanta Devi kepada TrustLaw. Devi berusia 16 tahun ketika dipaksa berkahwin di perkampungan Badakakahera, Rajasthan, India.
Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Kanak-Kanak menganggap perkahwinan sebelum mencapai umur 18 tahun adalah melanggar hak asasi manusia.
Tetapi, menurut Pusat Kajian Wanita Antarabangsa (ICRW), terdapat lebih daripada 50 juta pengantin kanak-kanak di seluruh dunia. Jumlah itu dijangka meningkat sehingga 100 juta menjelang dekad seterusnya.
Aktivis hak asasi berkata, enam daripada lapan Matlamat Pembangunan Milenium PBB yang perlu dicapai menjelang tahun 2015 secara langsung dipengaruhi oleh kelaziman perkahwinan kanak-kanak.
Ia melibatkan pembasmian kemiskinan dan kelaparan, pencapaian pendidikan rendah yang universal, menggalakkan kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita, pengurangan kadar kematian kanak-kanak, peningkatan dalam kesihatan ibu serta memerangi HIV/AIDS, malaria dan penyakit lain.
Pakar mengatakan kesan daripada perkahwinan sebegini amat buruk. Kanak-kanak perempuan yang dipaksa berkahwin pada usia muda jarang meneruskan pelajaran sekali gus menafikan harapan mereka untuk hidup berdikari, berkeupayaan untuk mencari sumber pendapatan atau membuat sumbangan ekonomi kepada isi rumah mereka.
Tamatkan sekolah
Amalan ini juga secara tidak langsung mengukuhkan lagi konsep kanak-kanak perempuan sebagai beban yang tidak bernilai pada keluarga mereka dan perlu dibuang secepat mungkin.
Kebarangkalian kanak-kanak perempuan yang berjaya menamatkan sekolah menengah adalah enam kali kurang untuk menjadi pengantin kanak-kanak daripada rakan seusia yang tidak mendapat pendidikan, jelas ICRW, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Washington.

WANITA yang berkahwin pada umur terlalu muda boleh meningkatkan risiko kecederaan semasa melahirkan anak.


Bagaimanapun jarak yang jauh dari sekolah dan kekurangan yuran sekolah sering menjadi menghalang pendidikan untuk kanak-kanak perempuan yang miskin. Situasi itu menyebabkan mereka lebih berkemungkinan untuk berkahwin muda berbanding anak-anak daripada keluarga kaya.
Berdasarkan analisis data demografi dan kesihatan ICRW tahun lalu, lebih daripada 70 peratus kanak-kanak perempuan di Niger, Chad dan Mali telah berkahwin sebelum usia mereka mencapai 18 tahun.
Malah, data itu juga menunjukkan kadar perkahwinan kanak-kanak di Bangladesh, Guinea, Republik Afrika Tengah, Mozambique, Burkina Faso dan Nepal melebihi 50 peratus.
Negara-negara lain seperti Habsyah, Malawi, Madagascar, Sierra Leone, Cameroon, Eritrea, Uganda, India, Nicaragua, Zambia and Tanzania semuanya mencatat kadar melebihi 40 peratus.
“Kebanyakan keputusan perkahwinan seseorang kanak-kanak dibuat oleh ahli keluarga terdekat mereka. Tetapi kami mendapati, bagi sebahagian besar, bahawa orang yang membuat keputusan ini kerana mereka rasa ia satu perkara terbaik untuk anak-anak perempuan mereka.
“Ibu bapa sudah tentu menyayangi anak-anak mereka dan hanya mahukan yang terbaik untuk mereka. Cuma, mereka tidak pasti apakah perkara terbaik itu,” Jeffrey Edmeades, seorang demografi sosial dengan ICRW, memberitahu TrustLaw.
Risiko kesihatan
Edmeades, yang bekerja dengan agensi bantuan CARE dalam projek untuk menangani perkahwinan kanak-kanak di Habsyah, memberi contoh kanak-kanak di negara itu ditunangkan sebelum kelahiran untuk mengukuhkan pakatan strategik antara keluarga.
Dalam kes-kes lain, kanak-kanak perempuan dipaksa berkahwin awal semata-mata untuk memastikan keperawanan mereka terpelihara. Sehubungan itu, nilai ekonomi mereka sebagai pengantin, masih utuh dan maruah keluarga dilindungi.
Sementara itu, hutang dan bencana alam, seperti tsunami dan kemarau, boleh membawa kepada kanak-kanak perempuan dijual sebagai pengantin perempuan bagi sesebuah keluarga meneruskan kelangsungan hidup.
Menyentuh permasalahan itu, pakar perunding Obstetriks dan Ginekologi Hospital Pantai Ampang, Dr. Suhaimi Isa memberitahu, perkahwinan bawah umur boleh menyebabkan kanak-kanak atau remaja perempuan akan hamil dalam usia terlalu muda.
Keadaan itu sekali gus memberi kesan buruk terhadap tubuh mereka terutama berhadapan dengan banyak komplikasi, antenatal iaitu masalah kesihatan ketika hamil, intrapartum (sewaktu melahirkan) dan post-partum (selepas melahirkan).
“Gadis yang berusia kurang 15 tahun, tubuh mereka masih dalam proses membesar dan pelvis mereka sempit. Justeru, mereka berisiko lima kali lebih tinggi meninggal dunia sewaktu hamil atau melahirkan berbanding wanita yang hamil pada usia 20 tahun ke atas.
“Apatah lagi, jika mereka tidak mendapat kemudahan optimum seperti pemeriksaan kesihatan di hospital, pengambilan ubat-ubatan dan suplemen ketika hamil, sudah pasti ia akan meningkatkan lagi risiko kematian,” jelas Dr. Suhaimi.

Jumaat, 26 Ogos 2011

Had Laju dikurangkan sebanyak 10 km/j ....

Ada yang dah bergerak balik dan ada yang akan bergerak balik hari ini menuju ke kampung halaman masing-masing. 

Hati-hati di jalan raya dan sedikit info kepada pemandu dan pengguna jalan raya berkenaan pengurangan had laju di jalan perseketuan dipetik dari Berita Harian....

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Had laju bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di seluruh negara diturunkan sebanyak 10 kilometer sejam (km/j) sempena musim perayaan ini berkuat kuasa kelmarin sehingga 6 September ini.


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha (gambar) berkata, ini bermakna had laju maksimum sepanjang tempoh tersebut bagi Jalan Persekutuan adalah 80 km/j manakala bagi jalan negeri 70 km/j.

“Langkah ini diambil berikutan jumlah kenderaan di jalan raya pada musim perayaan bertambah dua hingga tiga kali ganda berbanding pada hari biasa iaitu sehingga 300,000 kenderaan.

“Walaupun kes kematian menunjukkan penurunan sebanyak empat peratus bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini iaitu 3,234 kes berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 3,379 kes namun langkah berjaga-jaga perlu diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2011 di Stesen Sentral di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Wong Shaw Voon, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Leslie Leon dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ismail Ahmad.

Mengulas mengenai 1,200 bas ekspres yang tidak lulus pemeriksaan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) baru-baru ini, Cho Ha berkata, pihaknya berharap supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengawal selia permit bas ekspres sementara dan tambahan.

“SPAD juga diharap berbincang dengan pemilik syarikat bas tersebut supaya mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Larangan penjualan Colour Crystall Ball...

Menghias rumah sempena perayaan ini menjadi satu kewajiban yang tidak akan dilupakan. Langsir, pembalut kusyen, perabot, lantai dan pelbagai barangan perhiasan dibeli dan digunakan bagi menaikan suasana ceria di hari perayaan.

Antara pilihan lain adalah Colour Crystall Ball yang begitu popular untuk digunakan sebagai hiasan di atas meja dengan sedikit tanaman air sebagai penghidup suasana. Malah kalau dilihat di ruang pejabat dan sudut meja kerja , sememangnya ianya amat popular dan menajdi pilihan kepada pekerja sebagai hiasan meja masing-masing.

Cantik dan segar terasa bilamana tumbuhan air ini diletakan sebagai antara perhiasan. Tetapi tahukah anda bahaya colour crystall ball ini sebenarnya merbahaya? 

Ikuti larangan penggunaannya di petik dari Utusan Online:



Putrajaya; 25 Ogos - Kerajaan hair ini mengumumkan larangan penjualana Colour Crystall Ball yang digunakan secara meluas sebagai perhiasan pasu selepas mendapati produk tersebut mampu meragut nyawa kanak-kanak jia ianya tertelan.


Kajian makmal mendapati produk menyerupai sagu dalam ais kacang itu mampu mengembang sehingga 55 peratus dalam tempoh dua jam di dalam perut manusia sehingga menyebabkan usus kanak-kanak pecah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini lapan pembedahan besar telah dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menyelamatkan kanak-kanak yang tertelan Colour Crystal Ball.

''Walaupun kandungan kimia dalam Colour Crystal Ball adalah pada tahap selamat namun masalahnya produk ini mampu mengembang 290 hingga 444 peratus selepas menyerap air selama dua jam.

''Ujian simulasi berdasarkan keadaan dan tahap asid perut pula mendapati ia boleh mengembang sebanyak 36 hingga 55 peratus dalam tempoh dua jam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, rupa Colour Crystal Ball yang berwarna-warni dan menyerupai agar-agar sering mendorong kanak-kanak menelannya.

Menurutnya, kanak-kanak yang tertelan Colour Crystal Ball akan mengalami tanda-tanda seperti muntah, demam, sembelit, perut kembung, sakit perut, usus tersumbat dan yang paling serius usus pecah.

''Saya menasihatkan orang ramai yang mempunyai produk ini supaya segera membuangnya, ia adalah berbahaya terutama terhadap kanak-kanak di bawah lima tahun.

''Bagi peniaga pula, mereka tidak lagi dibenarkan menjual produk ini atau berdepan risiko denda RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama di bawah Akta Perlindungan Pengguna," katanya.

Beliau berkata, pemantauan kementeriannya mendapati kebanyakan Colour Crystal Ball direka di Korea Selatan tetapi dikeluarkan di Jepun dan China.

''Malaysia bukan negara pertama yang melarang penjualan produk ini, Poland dan Itali telah mengenakan larangan sama pada tahun lalu.

''Filipina pula mengeluarkan amaran berjaga-jaga terhadap pembekalan dan penjualannya kerana produk ini mudah menyebabkan kanak-kanak tercekik," katanya.

Khamis, 25 Ogos 2011

Tips keselamatan meninggalkan rumah di musim perayaan...


Minggu ini belum lagi musim perayaan tetapi salah seorang rumah rakan sekerja telah dipecah masuk pada waktu bekerja. Apatah lagi mulai esok malam, ramai di kalangan warga kota akan kembali ke kampung halaman sekurang-kurangnya seminggu untuk menyambut hari raya.

Kebimbangan pastinya terasa untuk meninggalkan rumah dan mungkin ada yang telah mengalami trauma kes terdahulu. 


Pelbagai tips keselamatan dan panduan telah diberikan samada oleh pihak berkuasa ataupun rakan-rakan tetapi ianya belum menjamin sepenuhnya keselamatan. 

Namun lebih baik kita berusaha mengekang segala peluang yang mudah kepada penceroboh dan pencuri ini. Antara tips keselamatan yang boleh dikongsi adalah seperti berikut :



1. Pastikan pintu dan tingkap rumah ditutup dan dikunci dengan ibu kunci (padlock) yang tidak mudah dipecah atau diumpil.

2. Pastikan lampu di sekeliling rumah (depan/belakang) dipasang mulai jam 6.00 petang hingga 7.00 pagi (menggunakan auto timer) setiap hari. Pastikan alat penggera dipasang dan berfungsi dengan baik (jika ada).


3. Pastikan alat keselamatan tambahan seperti rantai dengan ibu kunci (padlock) yang dipasang di tempat yang dianggap mudah dipecah masuk seperti pintu pagar hadapan dan belakang, pintu besi (grill) hadapan dan belakang rumah. Alat tersebut harus dipasang sebelum meninggalkan rumah.


4. Jangan membiarkan binatang peliharaan anda kebuluran semasa anda bercuti.


5. Pastikan jiran sebelah-menyebelah rumah (termasuk jiran di hadapan/belakang rumah) dimaklumkan, serta diberi nombor telefon yang mudah dihubungi dalam jangka masa ketiadaan anda.

6. Pastikan barang-barang kemas seperti emas, wang tunai, jam berharga dan sebagainya dibawa bersama atau disimpan di tempat yang selamat dan bersesuaian.


7. Hentikan langganan suratkhabar bagi mengelakkan penjenayah daripada mengetahui rumah ditinggalkan kosong. Meminta pertolongan jiran untuk menyimpan surat kiriman yang diletakkan di dalam peti surat atau pintu pagar dalam jangka masa ketiadaan anda.


8. Maklumkan kepada pegawai atau anggota bertugas di bilik gerakan polis apabila anda bercuti dengan menghubungi nombor telefon ibu pejabat polis berdekatan dengan tempat tinggal anda dan berikan maklumat seperti berikut:
  • Nama dan alamat
  • Nombor telefon yang mudah dihubungi
  • Tarikh berlepas dan balik
  • Nombor dan jenis kenderaan yang ditinggalkan semasa cuti
9. Anda juga dinasihatkan mengambil polisi Insuran untuk melindungi rumah dan peralatan anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...