Aku selalu membaca mengenai Kashmir dan aku dapati mungkin sesuatu yang berbaloi untuk dikunjungi. Cuma angan-angan tu semoga menjadi kenyataan. Bayangkan jika tiada kekalutan di sana dan kalaulah tiada permusuhan, Kashmir pasti menjadi tumpuan dunia.
KASHMIR kini melalui detik-detik yang tenang sejak lapan tahun lalu selepas termeterainya gencatan senjata di antara India dan Pakistan.
Bagi penduduknya, keadaan itu membolehkan mereka membina semula kediaman dan menanam padi di wilayah yang mempunyai ketumbukan tentera paling ramai di dunia berhampiran sempadan kedua-dua negara.
Namun, bagi tentera yang berkawal di wilayah pertikaian itu, keamanan yang dikecapi bersifat sementara dan boleh berubah pada bila-bila masa.
"Saya tidak menganggap hubungan yang terjalin di sempadan ini sebagai satu kemesraan. Kami menganggapnya sebagai satu hubungan profesional," kata seorang pegawai dari Pasukan Keselamatan Sempadan India (BSF), yang enggan mendedahkan identitinya.
Ketika ini kedua-dua negara cuba memulakan proses damai dan memutuskan bagaimana mahu membuka semula sempadan bagi meneruskan aktiviti perdagangan dan pelancongan. Ia sedikit-sebanyak dapat mengendurkan ketegangan seperti yang berlaku di Suchetgarh sebelum ini.
Pada Jun lalu, ketegangan memuncak di kawasan itu selepas seorang tentera BSF maut, dipercayai dilakukan oleh penembak tepat tentera Pakistan.
Bagaimanapun, unit renjer Pakistan menafikan penglibatan mereka dan mendakwa kemungkinan ia dilakukan oleh orang dalam.
Sebagai tindak balas, tentera India telah melepaskan tembakan dan disusuli kejadian berbalas tembak antara tentera kedua-dua negara yang berlangsung hampir satu jam.
Kejadian itu nyata bertentangan polisi ketenteraan yang telah dipersetujui membabitkan Garisan Kawalan di Kashmir. Namun, kejadian yang sama sering berlaku hampir saban hari berikutan ketegangan hubungan antara kedua-duanya sebelum gencatan senjata pada November 2003.
Mengurangkan kawalan
Sejak itu, keamanan mula dicapai di kawasan sempadan bermula di Suchetgarh, dataran kering di wilayah Jammu dan sehinggalah ke Kashmir.
"Situasi kami belum sampai ke tahap berjaga-jaga, namun kami tidak boleh mengurangkan kawalan yang dilakukan. Tidak sesekali, walaupun untuk seketika," kata seorang pegawai, yang duduk di sebuah khemah kira-kira 100 meter dari kawasan sempadan yang ditanda dengan dua pagar tinggi dengan kibaran bendera di atasnya.
Kedua-dua pagar sempadan yang ditanda warna biru di sebelah India dan hijau di sebelah Pakistan sentiasa ditutup.
Ia hanya dibuka ketika komander kedua-dua negara menyeberang ke sempadan untuk bertemu dalam mesyuarat atau ketika kehadiran anggota Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dibentuk selepas perang di Kashmir tamat pada tahun 1947 hingga 1948.
Seorang tentera BSF dilihat merentasi kawasan kubu di atas sebuah bangunan yang dibina ketika era kolonial dahulu. Bangunan itu pernah berfungsi sebagai pusat kastam untuk kereta api barang yang tiba dari bandar Sialkot di Pakistan, tidak jauh dari sempadan.
Pos kawalan itu menawarkan perlindungan kepada kubu-kubu lain di kawasan tinggi tidak jauh dari garisan sempadan bagi menghalang pencerobohan militan-militan yang berjuang menentang pemerintahan India di Kashmir.
Di belakangnya, terdapat dua lapisan pagar berduri setinggi tiga hingga empat meter dengan wayar konsertina.
Kerajaan India membinanya di kawasan sempadan sejauh 2,900 kilometer bermula dari Kashmir sehingga ke Gujerat yang bertindak sebagai kawasan pertahanan kedua.
Pagar elektrik yang dipasang disambungkan dengan rangkaian sensor, peranti pengimejan terma dan penggera.
Kerajaan India mendakwa ia berjaya mengurangkan pencerobohan militan-militan ke Kashmir kepada sifar sejak pemberontakan bermula pada tahun 1989.
"Pagar itu tidak dapat menghalang tindakan penceroboh. Tetapi, ia mampu memperlahankan tindakan mereka dan memberi masa kepada tentera kami untuk bertindak balas," kata Swaran Lal, ketua kampung Suratgarh yang mengetuai usaha orang awam untuk menjadi pemerhati di kawasan sempadan.
Gencatan senjata yang dicapai sebelum ini telah berjaya membuka sempadan tetapi ia agak terbatas.
Pada tahun 2008, kedua-dua negara bersetuju membenarkan perdagangan dalam jumlah yang terhad dan perjalanan di antara wilayah yang dikuasai, berikutan desakan penduduk yang sering menganggap mereka terperangkap dalam pertelingkahan yang berlaku.
Perdagangan di sempadan
Perdagangan yang dijalankan terhad kepada 21 barangan, dilakukan secara kecil-kecilan, dihalang oleh fakta bahawa ia hanya boleh dilakukan melalui sistem barter memandangkan kedua-dua kerajaan tidak mengiktiraf mata wang masing-masing, walaupun mata wang dari negara lain di Kashmir.
Kedua-duanya bimbang penerimaan terhadap langkah-langkah itu akan menjejaskan tuntutan terhadap keseluruhan wilayah berkenaan.
Pedagang-pedagang menjalankan perniagaan mengikut kaedah mereka, pertukaran barangan dengan menggunakan formula tersendiri dengan membandingkan nilai di antara mata wang India dan Pakistan.
Namun, pembukaan laluan perdagangan itu dilihat mampu memecahkan kebuntuan terhadap konflik sejak 60 tahun lalu di Kashmir.
"Kesan psikologi melalui pembukaan sempadan ini memberi impak besar," kata Shakeel Qalandar, bekas presiden Persekutuan Persekutuan Industries Kashmir.
"Selama lebih lima dekad, hanya laluan di sebelah selatan India sahaja yang dibuka. Sekarang pintu sempadan telah dibuka untuk menyatukan kembali Kashmir."
Usaha meredakan ketegangan di sempadan melalui perdagangan dan kebenaran perjalanan merupakan asas kepada draf pelan tindakan 2007 yang dipersetujui secara rahsia sebelum ini, namun situasinya tampak sukar berikutan penglibatan kedua-dua pemerintah dalam konflik dalaman.
Bulan lalu, menteri luar kedua-dua negara bersetuju meningkatkan jumlah hari perdagangan di Kashmir daripada dua hari kepada empat minggu dan memendekkan tempoh permohonan bagi perjalanan merentasi sempadan kepada 45 hari berbanding tiga hingga empat bulan sebelum ini.
"Banyak lagi usaha yang boleh dilakukan di Kashmir, namun keboleh percayaan masih tipis.
"Mereka telah mengambil dua langkah ke hadapan dan secara senyap-senyap mengambil langkah ke belakang pula," kata Arjimand Husain Talin, pakar bebas mengenai pembangunan Kashmir yang berpangkalan di bandar musim sejuk Srinagar.
No comments:
Post a Comment