TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, August 19, 2011

Memori beli-belah di Kampung Jawa , Melaka

Sebuah artikel menarik mengenai Jalan-jalan di Melaka.. Jika anda ke Melaka, singgahlah di sini kerana anda akan mendapati ianya cukup klasik dan mempunyai nilai sentimental bagio meraka yang sudah lama membeli belah disini.. 


Bagi aku ..di sini, melengkapi lokasi pilihan untuk potret jalanan...  


WARNA garang terompah-terompah yang digantung di kedai-kedai sepanjang jalan, pasti menarik perhatian anda.


JIWA penulis dengan Kampung Jawa, di tengah-tengah bandar Melaka sangat dekat. Ketika zaman kanak-kanak, arwah bapa, akan membawa penulis bersama adik-beradik yang lain membeli pakaian sekolah termasuk membeli kelengkapan hari raya.
Pada era 1980-an, tiada lokasi yang paling ideal untuk membeli-belah selain di Kampung Jawa. Betapa hebatnya kampung yang sarat dengan ceritera purba itu, emporium seperti The Store dan Madam Kings yang radiusnya cuma beberapa kilometer yang wujud ketika itu, tidak mampu mengalahkan populariti Kampung Jawa.
Kunjungan orang ramai pada musim-musim tertentu di Kampung Jawa penuh warna-warni. Jeritan kanak-kanak yang meraung tatkala permintaan mereka untuk membeli baju atau kasut yang tidak diendahkan oleh ibu bapa, adalah pemandangan biasa .
Destinasi klasik Memori yang tersimpan hampir dua dekad lalu itu sesungguhnya tidak mampu dilenyapkan begitu saja. Kunjungan semula penulis ke destinasi klasik itu minggu lalu, sememangnya membangkitkan nostalgia.
Kedai yang terletak di pintu masuk dan menjadi singgahan utama keluarga penulis masih tetap ada dan tidak banyak berubah. Peniaga wanita yang melayan kami dulu masih kelihatan walaupun dia sudah nampak uzur.
Perbezaan ketara ialah jumlah kedai di Kampung Jawa makin berkurangan.

GUBAHAN bunga di Kampung Jawa boleh didapati dengan harga yang murah.

Benar, Kampung Jawa melalui Jalan Kee Ann atau dikenali Bazar Kampung Jawa hanyalah deretan gerai lama dan bangunan papan yang berusia hampir separuh abad.
Namun, sama ada percaya atau tidak, rekaan pakaian baju kurung atau baju Melayu mengikut trend semasa.
Malah, jenis kain yang ditawarkan bukan sebarangan sebaliknya ada pengusaha yang mengimportnya dari China, India dan Itali.
"Kami menjahit semua pakaian ini sendiri dan rekaannya mengikut peredaran zaman dan materia fabrik yang berkualiti," kata pasangan adik-beradik Syafiqah Sulaiman, 27, dan Syarina Sulaiman, 24. Kedua-duanya mengusahakan kedai pakaian yang diwarisinya daripada datuknya, Omar Ismail, 86, di Kampung Jawa sejak 34 tahun lalu.
Meskipun masing-masing mempunyai Diploma Informasi Teknologi dan Diploma Fesyen dari Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) yang membolehkan mereka melebarkan sayap kerjaya, namun kedua-duanya memilih untuk meneruskan perniagaan yang diwarisi daripada generasi ke generasi.
Syafiqah memberitahu, pada musim raya kali ini, dia menyediakan lebih 2,000 pasang baju Melayu dan baju kurung untuk wanita. Mereka juga turut menjual jubah, pakaian sekolah, kelengkapan haji termasuk kelengkapan kematian.
Sambung Syarina : "Menariknya di Kampung Jawa ini, kami menyediakan pakaian yang sedondon untuk ibu, bapa dan anak-anak.
"Biasanya itulah yang orang akan cari kalau datang ke sini."
Seorang lagi peniaga, Sulaiman Omar, 47, berkata, rezekinya mencurah-curah setiap kali Ramadan.
Perniagaan kainnya bukan saja menarik pengunjung tempatan malah ada yang datang jauh dari Singapura.
Disebabkan sudah lebih tiga dekad berniaga, dia diberi kepercayaan untuk menyediakan baju kurung yang ditempah secara borong.
Tawar-menawar

KAMPUNG JAWA menjadi tempat singgah pelancong-pelancong asing yang bertandang ke negeri Melaka.

Kampung Jawa yang terletak di sepanjang Sungai Melaka dan berusia hampir 60 tahun itu memiliki apa sahaja yang diperlukan oleh orang ramai.
Bukan saja soal pakaian malah kelengkapan bilik tidur sehinggalah kepada perkakasan dapur, terompah, barangan kemas, kuih-muih dan hiasan rumah seperti langsir serta permaidani, turut dijual di Kampung Jawa.
Mohd. Aiman Mohd. Ali, 23, misalnya telah menjual gubahan bunga di kaki lima Kampung Jawa sejak 12 tahun lalu.
"Bunga-bunga saya semuanya bawah RM100, jangan risau, kita boleh tawar lagi," katanya.
Peniaga pelbagai jenis corak langsir dan permaidani, Ah Seng, 50-an memberitahu penulis, proses tawar-menawar yang dipraktikkan sejak dulu lagi menjadikan destinasi itu disukai ramai.
"Untung tak banyak tapi asalkan orang ramai gembira, kita pun gembira," katanya ringkas.
Seorang pelanggan, Sharifah Aishah Syed Dahlan, 43, berkata, dia akan datang ke Kampung Jawa setiap hari Jumaat.
"Bukan saja pada musim Ramadan, setiap hari Jumaat saya akan datang dan tak sah kalau tak beli apa-apa," katanya yang baru saja membeli baju Kedah.
Rakannya yang mahu dikenali sebagai Mak Mah berkata, Kampung Jawa merupakan singgahan wajibnya pada Hari Raya Aidilfitri.
"Rasa lainlah kalau tak datang sini," katanya sambil tertawa kecil.
Meskipun Kampung Jawa pernah dikhabarkan akan bertukar wajah menjadi sebuah perkampungan Arab, lebih daripada 100 pengusaha berharap mereka akan diberi peluang untuk meneruskan perniagaan di situ sampai bila-bila.
"Antara kami dan Kampung Jawa ibarat irama dan lagu yang mustahil untuk dipisahkan," kata Sulaiman. - MAZLINA ABDUL MAJID

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock