TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Tuesday, August 9, 2011

Tragedi tanah runtuh ... Kampung Orang Asli Sg Ruil.. siri ketiga

Untuk siri ke tiga ini aku sekadar nak lanjutkan sorotan selepas tragedi tanah runtuh daripada surat khabar utama negara.. Kisah selepas tragedi ...

Sorotan Berita Harian:


  • Foto
    Sukainai Jaafar, 18, tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan ibu, bapa dan adiknya dalam tragedi tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata kelmarin. 
  • SAADIA Yusop mendukung anaknya, Izran Sitip melintasi jalan berlatar belakangkan tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, semalam.
Saudara baru sedih tak sempat berbuka puasa bersama, sambut Aidilfitri

CAMERON HIGHLANDS: Ramadan dan Aidilfitri tahun ini tidak lagi bermakna bagi saudara baru, Sukainai Jaafar, yang memeluk Islam tiga tahun lalu selepas kehilangan tiga anggota keluarga serentak dalam kejadian tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata di sini petang kelmarin.

Kemeriahan Aidilfitri yang bakal diraikan buat kali ketiga tahun ini pasti tidak lagi meriah tanpa bapanya, Jaafar Balad, 49; ibu, Norma Gunung, 51, dan adik, Mohd Iqbal, 15, yang meninggal dunia akibat tertimbus dalam tragedi itu.

Beliau juga terkilan kerana tidak sempat berbuka puasa bersama keluarganya pada Ramadan kali ini selepas menikmati nikmat dan manfaat berpuasa serta berbuka bersama keluarga dua tahun lalu.

Ini kerana Sukainai hanya sempat bersahur bersama keluarga pada hari pertama Ramadan dan pulang ke Institut As Shifa di Taiping untuk mengikuti kursus Sains Persekitaran.

“Kini saya terpaksa tabahkan hati menerima kehilangan ayah, ibu dan adik bongsu,” katanya dalam linangan air mata ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di sini semalam.

Kejadian itu bukan saja mengorbankan bapa ibu dan adiknya, malah iparnya, Yusnizan Yusof, 22 dan ketika ditanya perancangannya selepas ini, Sukainai berkata, beliau akan membawa kakaknya, Norfifa, 20, tinggal bersama ibu saudara mereka di Ipoh.

"Dua abang saya, Mohd Riduan, 30, dan Azhar, 26, mungkin akan menetap di kampung ini," katanya.
Jenazah keluarga Jaafar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sedia, di sini, sebaik urusan menuntut jenazah selesai.

Sementara itu, Sendiwara Mohd Ali, 27, iaitu anak kepada seorang lagi terbunuh, Ali Hassan, 50, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian jam 10 pagi semalam dan ketika kejadian berlaku bapanya sedang tidur dalam rumah.

"Saya dimaklumkan, ayah baru pulang dari kerja dan akibat kepenatan dia tertidur. Jadi, dia tidak sempat melarikan diri sebaik rumah kami tertimbus. Kali terakhir saya bertemu ayah pada Oktober lalu,” katanya.

SEDIH...Sukainai (kanan) bersama abang dan kakaknya tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan ibu, ayah dan adik mereka dalam tragedi tanah runtuh.
SEDIH...Sukainai (kanan) bersama abang dan kakaknya tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan ibu, ayah dan adik mereka dalam tragedi tanah runtuh.


Dari Utusan Online :


Suasana pilu


Shaari Balad (tengah) menangis sambil memeluk dua anaknya ketika menuntut mayat isterinya, Sara Gunung di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata, Cameron Highlands, semalam. – utusan/Roy Azis Abd. Aziz


CAMERON HIGHLANDS 8 Ogos – Suasana pilu menyelubungi pekarangan Bilik Mayat Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata di sini apabila kaum keluarga hari ini tampil menuntut mayat tujuh mangsa tragedi tanah runtuh yang di Perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Ruil semalam.

Mereka yang kebanyakannya masih trauma dengan tragedi itu tidak mampu menahan kesedihan apabila diberi peluang membuat pengecaman mayat ahli keluarga masing-masing.
Proses pengecaman yang bermula pukul 9 pagi ini berakhir kira-kira pukul 2 petang.

Mayat pertama, Sara Gunung, 37, dibawa keluar dari rumah mayat pukul 2.35 petang manakala mayat terakhir, Mohd. Iqbal Jaafar, 15, dituntut ahli keluarga pada pukul 4 petang.

Semua mayat mangsa bukan Islam kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Lapan di sini manakala jenazah mangsa beragama Islam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Setia di sini.

Antara hadir menziarahi keluarga mangsa ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk SK Devamany.

Dalam kejadian pukul 5.45 petang semalam, tujuh termasuk empat wanita dan tiga lelaki maut manakala dua lagi cedera parah.

Mangsa yang terbunuh ialah Normadiah Lasik, 69; Ali Hassan, 50; Jaafar Balad, 49; Mohd. Iqbal, 15; Sara Gunung, 37; Norma Gunung, 51, dan Yusmizan Yusof, 22.

Dua lagi yang cedera parah adalah Bah Anjang Besar Alang, 39, dan Serry Priska Saari, 15.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Wan Zahri Wan Busu berkata, mangsa pertama Normadiah ditemui pada pukul 6.30 petang; Ali (11.22 malam); Sara Gunung (12.29 pagi) dan Yusmizan (12.32 pagi).

Katanya, mayat Mohd. Iqbal dan Jaafar dijumpai pada pukul 1.16 pagi manakala Norma Gunung pukul 1.20 pagi.
Operasi mencari dan menyelamat oleh 248 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi dihentikan pada pukul 1.50 pagi selepas kesemua mayat ditemui.

Sementara itu, Wan Zahri berkata, pemantauan masih dijalankan di lokasi kejadian bagi mengelak kawasan berkenaan dicerobohi.

“Polis akan terus melakukan kawalan di lokasi runtuhan berikutan struktur tanah yang masih lembut dan berisiko untuk runtuh.
“Buat masa ini, seramai 60 penduduk yang terselamat ditempatkan di Dewan Serbaguna Brinchang sebagai perlindungan sementara,” katanya.

Sebanyak 145 keluarga membabitkan kira-kira 1,300 penduduk tinggal di kawasan penempatan Orang Asli itu.


No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock