Apa kata anda klik info ini.. saya tak marah ...

Gambar terkini di Facebook mrkumai.blogspot.com

Buat Carian Pantas seperti tempat makan, tips bercuti, strawberry dan sebagainya di sini:

Isnin, 25 Februari 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Liputan LTDL 2013

Saya menamatkan kisah mengenai LTDL 2013 yang berpenamat di sini untuk peringkat ketiga perlumbaan dengan sedikit luahan kekecewaan mengenai liputan penuh pada pukul 11.30 malamnya. 



Liputan kali ini amat kurang berkualiti. Bukan salah kepada pengulasnya Haji Hasbullah Awang dan pasangannya tetapi mutu suntingan yang dilakukan. 

Bayangkan dari permulaan kita merasa amat tertarik dan teruja untuk mengetahui kisah sebenar di peringkat ketiga ini namun apa yang disajikan adalah amat mengecewakan. 

Bayangkan dalam keadaan perlumbaan yang masih berada di peringkat awal dan zon pecutan, penyunting memilih untuk menyelitkan beberapa adegan pendakian di Tapah ke Cameron Highland. Kemudian penyunting kembali menyelitkan zon pecutan dan landai. 

Kami yang menetap di Cameron Highlands amat menyedari kesilapan ini kerana telah biasa dengan laluan dari Tapah ke Cameron Highlands.  Mana mungkin aksi mendaki melalui batu 7 tiba tiba mengundur kembali kepada 5 pelumba yang sedang mendahului perlumbaang di zon pecutan di Tapah. 

Mungkin penyunting telah sambil lewa dan mungkin mempunyai niat bersama penerbitnya untuk menghasilkan liputan yang manarik dengan mengabungkan kedua aksi perlumbaan. 

Malangnya yang menerimanya adalah pengulas yang mula-mula teruja mengambarkan pendahulu pendakian tetapi terpaksa pula menyatakan aksi pecutan di zon pecutan. 


Kepada RTM .. kualiti liputan anda di peringkat ke 3 amat BURUK!!!! 

Tips Melawat Cameron Highlands: Berakhiornya LTDL 2013

Peringkat ketiga edisi LTDL 2013 telah berakhir sabtu yang lalu dengan satu rekod baru tercatat bilamana pemenang peringkat ini iaitu Wang Meiyin dari pasukan Hengxiang Cycling Team berjaya bukan hanya memenangi peringkat ini tetapi 4 jersi yang diperuntukan. 


Kehebatan pelumba ini mengayuh secara sola bermula dari Lata Iskandar dengan memisahkan dirinya dari 5 pelumba yang mendahului perlumbaan dalam 3 zon pecutan memang mengagumkan. 

Edisi laluan di Cameron Highlands kalau saya melihat rekod kemenangan dari 3 edisi seperti 2001, 2011 dan 2013 semuanya berpihak kepada pelumba Asia. Kalau tak silap saya pelumba China Wang Kam Po telah memenangi edisi 2001, sebelum Fujisima Abe (Kalau tak salah ejaan saya) pula edisi 2011 dan kini Meiyin. 

Cuma saya inginkan berkongsi suasana di Cameron Highlands. Kali ini dari pemerhatian saya yang tiba seawal pukul 10 pagi ke lokasi penamat ini mungkin boleh mengkelaskan kurang meriah berbanding edisi 2011.

Pertama, lokasinya di Brinchang yang mengundang kurang penonton berbanding di Tanah Rata edisi yang lalu biarpun kali ini diadakan pada hari Sabtu berbanding Selasa pada edisi yang lepas. 

Kedua, kehangatan di lokasi penamat tidak semeriah dahulu. Kalau dahulu karnival atau cycle festnya agak besar dan pelbagai aktiviti diadakan, tahun ini  begitu ringkas. Tiada aktiviti yang boleh menarik minat pengunjung ke sini kecuali pertandingan mewarna kanak-kanak. Kami penduduk sini rata-ratanya amat kecewa dengan persediaan kali ini. 

Ketiga, calvarade tahun ini cukup kedekut. Hanya TM sahaja yang mengagihkan cenderahati kepada pengunjung. Maka sokongan dan jeritan kemeriah penonton kurang terasa

Ini diakui sendiri oleh Hanim  iaitu salah seorang pengacara bersama Hafizal Hamad yang menyatakan sambutan kali ini agak kurang berbanding edisi yang lalu. Namun saya akui  dan menghargai Hafizal  yang bekerja keras untuk menaikkan suasana meriah di kalangan penonton. Tahniah.

Apapun, di kalangan penganjur, mereka tetap menyatakan Cameron Highlands masih lokasi penamat yang terbaik di kalangan lokasi yang lain. Biar hujan tidak berhenti-henti, penonton tetap setia berdiri di sepanjang 300 meter laluan penamat ini tanpa henti bersorak biarpun tidak sekuat tahun 2011.

Tahniah kepada penduduk Cameron Highlands. Saya sempat merakamkan gambar sekitar lokasi penamat ini. Harapan saya masalah kapasiti blog ini dapat diselesaikan segera untuk saya berkongsikan rakaman tersebut.

Apapun klik laman LTDL ini untuk liputan penuh peringkat ketiga ini , Klik

Saya akan menamatkan satu lagi catatan mengenai LTDL ini dengan sedikit luahan rasa kecewa yang amat sangat dengan mutu liputan RTM di catatan yang seterusnya. 

Jumaat, 22 Februari 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: LTDL 2013


Esok, Cameron Highlands akan kembali menjadi tuan rumah lokasi penamat Le Tour De Langkawi edisi 2013.

LTDL 2013: Stage 03
SUNGAI SIPUT - CAMERON HIGHLANDS
Saturday • 23 February 2013
140.7km
STAGE 03: ROUTE
STAGE 03: RACE START
SUNGAI SIPUT
SUNGAI SIPUT
STAGE 03: SPRINT 1
Ipoh • 27.8km
Ipoh • 27.8km
STAGE 03: SPRINT 2
Kampar • 59km
Kampar • 59km
STAGE 03: SPRINT 3
Tapah • 79.2km
Tapah • 79.2km
STAGE 03: KOM 1
Ringlet • 122.4km • 1200m Cat 1
Ringlet • 122.4km • 1200m
Cat 1
STAGE 03: KOM 2
Brinchang • 140.7km • 1500m HORS Class
Brinchang • 140.7km • 1500m
HORS Class
STAGE 03: FINISH
CAMERON HIGHLANDS

Jom meriahkan acara ini...
Lokasi Penamat : Pekan Brinchang dihadapan CT Kraf.

Datang seawal 10 pagi untuk mengelakkan laluan ke Pekan Brinchang di tutup.

Rabu, 20 Februari 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: LE Tour De Langkawi @ Cameron Highlands

Selepas dua tahun menyinsihkan Cameron Highlands sebagai lokasi penamat LTDL, kini pada 23 Feb 2013, ia akan datang kembali. 

LTdL

Kalau dua tahun yang lalu, penamatnya melalui laluan Simpang Pulai ke Tanah Rata, untuk edisi kali ini laluannya diubah di saat terakhir melalui laluan Tapah dan penamatnya di Pekan Brinchang. 

Laluan ini melibatkan perubahan ataupun tambahan 4.8 km dari laluan asal iaitu 140.7 km berbanding perancangan asalnya adalah melibatkan laluan Simpang Pulai ke Cameron Highlands. 

Kini laluan terkini  perlumbaan adalah bermula dari Sungai Siput ke Cameron Highlands dengan alasan laluan lama boleh mendatangkan risiko tanah runtuh. Laluan Tapah lagi senang untuk runtuh sebenarnya. 

Laluan terbaru ini mungkin sedikit mencabar kerana 230 selekoh pendek dan sempit perlu dilalui oleh pelumba-pelumba berbanding di laluan Simpang Pulai yang lebar dan kurang tajam.  

Yang untungnya adalah kami. Beberapa lokasi laluan telah diperbaiki dengan turapan tar yang baharu bagi mengurangkan risiko dan kelancaran perlumbaan.  

Malah sehingga pagi tadi masih terdapat beberapa bahagian jalan yang sedang diturap.

Jika anda ingin sama merasai kemeriahan edisi ini di Cameron Highlands, anda perlu hadir awal kerana laluan akan ditutup secara berperingkat mulai pukul 10 pagi. 

Jika anda bercadang untuk bercuti di Cameron Highlands minggu ini, elakan menggunakan laluan di Tapah sebaliknya gunakan laluan Simpang Pulai. 

Juga anda boleh merancang perjalanan anda dengan melewatkan waktu tiba di sini iaitu selepas pukul 2 petang di mana laluan akan dibuka semula selepas perlumbaan tamat.

penamat edisi 2010 di Tanah Rata

Nasihat saya, dah alang-alang berada di Cameron Highlands minggu ini, apa kata anda sertai kami memeriahkan perlumbaan edisi kali ini. Terdapat gerai Cycle Fest dianjurkan bagi memeriahkan acara penamat itu nanti.

Harap-harap minggu ini tidak hujan kerana edisi 2010, hujan seawal pagi hingga waktu penamat namun masih tetap meriah dengan penonton. Ibarat kata Datuk Hasbullah Awang, LTDL perlu datang setiap tahun ke Cameron Highlands kerana sambutan luar biasa biarpun hujan berbanding di lokasi penamat yang lain ... 

Isnin, 18 Februari 2013

Ubimas dari Felda Kumai

Bercerita mengenai cerita yang bertemakan Felda Kumai, saya ingin berkongsikan mengenai produk UBIMAS yang dihasilkan oleh salah seorang Peneroka Felda Kumai ini sendiri iaitu En. Masfol bin Kasan Raji.

UBIMAS ENTERPRISE menggunakan jenama keropok MAS Food merupakan keropok Ubi Berperisa yang dihasilkan sendiri oleh beliau. Malah pengalaman beliau menghasilkan keropok ini bermula dari penanaman ubi kayu yang diusahakannya sebelum ini. 

Jika dahulu, ubi kayu yang ditanamnya dijual secara terus kepada pengusaha keropk ubi di Sepang namun beliau akhirnya memberanikan diri untuk menghasilkan terus produknya sendiri. 

Produk ini dipasarkan oleh FAMA. Malah mendapat bantuan dan khidmat nasihat daripada agensi kerajaan seperti FAMA dan MARDI serta MARA. 

Beliau dibantu oleh anaknya sendiri dalam pengurusan di kilang UBIMAS mereka yang terletak di kawasan perniagaan Felda Kumai. 


Sebenarnya saya sendiri tidak menyedari adanya produk sebegini dari Felda Kumai.Hanya pada tahun lepas, salah seorang pegawai MARDI yang saya temui di hari pengembangan mereka mengatakan beliau baharu sahaja pergi ke Felda Kumai untuk memberikan khidmat dan nasihat cara pembungkusan setelah mengetahui saya juga berasal dari Felda Kumai.

Jadi kepada anda diluar sana, jika anda menemui produk ini, belilah. 


Ianya ditanam di Felda Kumai dan diproses juga di Felda Kumai. Menjadi antara kebanggaan kami...   


TAHNIAH WAK MASFOL ... anda kebanggan warga Felda Kumai.

Selasa, 12 Februari 2013

Tips Melawat Cameron Highlands : Bertimbang rasalah...

Sekarang Cameron Highlands sedang sesak teruk dari hari Jumaat lepas kerana kedatangan pelancong ketika cuti panjang Tahun Baru Cina. 

Muslim holiday apartment cameron highlands  - Image

Jalan raya sesak teruk. Kedai-kedai makan penuh dengan pelancong. Hotel-hotel samada yang bajet ataupun kelas mewah penuh dengan pelanggan. 

Apartment Percutian juga penuh dan sukar ditempah. Malah saya difahamkan ada pelancong yang terpaksa balik hari kerana tiada penginapan. 

Yang dapat penginapan difahamkan pula ada mencecah RM 500 semalam bagi sebuah apartment percutian. 

Yang saya nak sentuh bukan perkara ataupun tips tetapi sedikit pertimbangan dari anda yang telah dan bakal datang ke Cameron Highlands dengan memilih cara Apartment Percutian. 

Dalam catatan saya terdahulu telah menyatakan, apartment percutian adalah apartment yang disewakan oleh pemiliknya dengan kadar harian. Lokasinya adalah di dalam komuniti ataupun masyarakat tetap di sini. 

Bagi kami, keselesaan sebagai orang tempatan telah lama dikompromikan hanya kerana menyedari ianya salah satu sumber pendapatan penduduk yang berkenaan. 

Namun dalam soal kompromi ini, perlu ada reaksi yang sama dari anda. Kami bertolak ansur untuk menerima kedatangan anda di sini untuk perlancongan bajet anda. Kami mengalu-alukan kedatangan anda untuk menikmati suasana yang amat segar dan berbeza. 

Namun di sebalik keterbukaan kami, ada yang tidak menghargainya... 

Jom kita lihat apa yang selalunya berlaku :

Menghormati Jiran tetangga :
Apartment percutian adalah sebahagian dari kawasan kediaman. Selalu terjadi, pelancong membuat aktiviti sehingga larut malam seperti bbq, bersembang dan kadang-kala berkaraoke di unit yang disewa. 

Ianya jelas menganggu ketenteraman awam penduduk tetap untuk berehat selepas penat bekerja dan akan bekerja semula keesokan harinya berbanding anda yang datang untuk bercuti bersama rakan dan keluarga. 

Jika ingin melakukan aktiviti lewat malam, pilihlah lokasi yang bersesuaian. Malah Hotel pun kadang-kala akan melarang aktiviti lewat malam kerana menganggu pelanggan yang lain... 

Terfikirkah anda....

Tempat letak kereta:
Yang ini perkara yang selalu dibualkan oleh kami. Sesetengah kawasan kediaman yang menjadi apartment percutian mempunyai kawasan parking kereta yang terhad. Malah kebanyakkan kawasan meletak kenderaan telah dimiliki secara individu kerana mereka telah membeli unit meletak kenderaan tersebut beserta rumah. 

Maka mereka dibenarkan meletakan tanda seperti kon dan papan notis dikawasan tempat meletak kenderaan tersebut. 

Malangnya ada pelancong yang bersikap tidak menghormati privasi ini dengan mengalihkan kon tersebut dan meletak kenderaan mereka. Akhirnya, penghuni tersebut tidak dapat meletakan kenderaan mereka. 

Malah ada yang memilih jalan singkat dengan meletak kenderaan secara menghalang laluan dan kenderaan orang lain. Kalau nak keluar, hon lah sahaja kononnya. 

Saya tak hairan, jika ada kereta yang dicalar, dikempiskan tayar dan diletakkan sampah di atas kereta anda sebagai tindak balas. 

Maka nak bergaduhlah anda dan mula tidak tenteram...

Salah siapa?....


Kebersihan :
Soal ini soal biasa yang berlaku. Soal kebersihan samada dihadapan apartment percutian yang disewa ataupun di kawasan meletak kenderaan.

Biasanya berlaku di akhir lawatan anda. Mengambil jalan pintas, sampah dari kenderaan anda biasanya dibuang di tepi kereta dan ditinggalkan begitu sahaja. 

Kenapa begitu ? Anda mungkin merasakan akan ada kuli yang akan menyapu sampah anda itu. Tahukah anda kami membayar membayar caj perkhidmatan untuk pembersihan di kawasan kediaman kami setiap bulan bermula dari RM 46 hinggalah RM 110 bagi unit kediaman. Malah ada yang mengupah secara terus pekerja pembersihan untuk mendapatkan kehidupan yang selesa. 

Anda datang, anda ingin berehat dan bercuti dan masalah kebersihan dan mungkin beranggapan bukanlah tanggungjawab anda sendiri. 

Tidak begitu menghairankan kami sebenarnya. Kawasan kediaman anda di sana mungkin tidak dijaga kerana anda telah didik sebegitu dari kecil. Bukan salah anda... tapi salah mereka yang mendidik anda semasa kecil. Kini, anda dalam proses untuk mendidik anak-anak anda pula untuk bersikap 'terpuji' ini. 

Saya selalu melihat ini berlaku. Ada beberapa keping gambar sempat saya rakamkan sebagai bukti sikap buruk dan keji ini. Insyallah akan saya kongsikan kemudian jika kapasiti blog ini diselesaikan kelak. 

Malah kejadian semalam, di kediaman saya terdapat sekumpulan orang dewasa antaranya bertaraf makcik dan pak cik yang bersembang dibahagian bawah apartment percutian sambil memakan kacang. Seperti yang telah diajarkan kepada mereka, kulit kacang boleh dan perlu  dibuang begitu sahaja. 

Mereka ketawa panjang sehingga melewati 11.30 malam. Kalau suara anak gadis, mungkin dah boleh dianggap sebagai langsuir. Tetapi ini langsuir pencen. 

Anak saya yang berusia 3 tahun turut menjengok ke bawah selepas saya menjengok ke bawah beberapa kali sebagai 'tanda' ketidakselesaan kami sekeluarga dengan bunyi bising namun mereka masih tidak faham. Kalau ditegur, mahu bertumbuk agaknya.

Anak saya lantas menyapa... " Amboi ... sepah saje... buang sampah kat rumah adik" .. teguran ini diulang beberapa kali dan selalunya begitulah anak saya akan menyapa pelancong yang bersikap buruk dan keji ini (Sebenarnya telah diajar.kih kih). 

Akhirnya mereka berlalu pergi selepas mengajuk kata-kata anak saya itu. Tapi kulit kacang dan plastik masih tetap tidak dikutip. Mungkin esok sahaja barangkalinya, fikir saya.  

Esoknya , bukan setakat kulit kacang tersebut tidak dikutip tetapi ditambah pula sampah yang lain di tepi kereta mereka. 

Kawan saya yang mengusahakan apartment percutian mengeleng kepala. Notis yang besar telah ditampal di setiap pintu dan tangga. Malah tong sampah yang disediakan tidak lah jauh sangat dari kereta mereka. 

Tak apalah .. saya katakan kepadanya, bukan salah dia dan mereka. Tetapi salah ibu bapa mereka yang mendidik mereka melakukan ini biarpun umur mereka sekitar 50 an dan dari kereta mereka bukan orang bekerja biasa..

Saya percaya yang saya maksudkan 'mereka' itu bukanlah anda... 

Kurang Ajar:
Sikap ini juga jelas ditonjolkan oleh segelintir pelancong yang menyewa apartment percutian. Yang terbaru saya saksikan sendiri, bagaimana beberapa orang dewasa mengucapkan kata-kata yang agak bernada kurang ajar bila membuat aduan mengenai apartment sewaan mereka selepas ditunjukkan oleh 'runner'.

Katanya " low class lah apartment ko. Tuala pun tak ada, sabun satu aje dalam bilik air sedangkan kami ni ramai' dan macam-macam lagi.

Saya perhatikan mereka ini tidak buat 'homework". Apartment percutian memang tidak menyediakan tuala mandi. Kalau nak macam hotel, carilah hotel. 

Saya melihat ketegasan si runner. " Tak apalah.. apartment saya ini memang low class dan tidak menepati citarasa anda semua., Tak apalah. Saya tidak dapat membantu.  Tolong cari yang lain ya. 

Terus si runner tadi menelepon pelanggan yang lain dihadapan mereka dan berlalu pergi walaupun ditahan oleh mereka. 

Rupa-rupanya mereka nak mintak kurangkan harga sewaan. Kalau ya pun nak mintak diskaun, jangan la bersikap kurang ajar kerana anda tidak tahu bagaimana pula kalau mereka kurang ajar semula kepada anda. 

Akhirnya, runner tadi terus berlalu dan mulalah mereka mengomel mengatakan tidak bagus dan adil untuk diperlakukan sedemikian. 

Salah seorang budak lelaki sekitar 20 an melontarkan kata- kata... "bolehlah .. ini tempat ko..bolehlah ko berlagak sial.... " Kenapa? Kalau ditempat anda baru anda berani ke? Kenapa tidak di sini sahaja...  

Ini antara kisahnya... saya mohon anda bertimbang rasa sebagaimana kami penduduk tetap di sini bertimbang rasa menerima kunjungan anda. 

Kalau menolak, gunakan bahasa yang baik. Kalau menyewa,  hormati privasi mereka yang lain. Jaga kebersihan bersama..demi keselesaan kita bersama.. berat sangat kah permintaan ini.. 

Anda ingin melancong ke sini dan kami menerima anda seadanya...  

Jumaat, 8 Februari 2013

Rumah terbakar @ Felda Kumai

RUMAH TERBAKAR DI KUMAI4Baru-baru ini rumah salah seorang peneroka di Felda Kumai iaitu En. Azmi di blok 3, telah mengalami kebakaran yang memusnahkan sepenuhnya ruangan dapur dan bahagian belakang rumah.
 
Kejadian ini disedari oleh mereka sendiri dan segera mendapat bantuan dari jiran tertangga sebelum kehadiran BOMBA.
 
Tindakan pantas amat perlu dilakukan jika berlaku kebakaran di Felda Kumai kerana jarak yang jauh diantara felda kami ini dengan Balai Bomba yang terdekat di Triang iaitu melebih 30 km jaraknya.
 
Yang pasti akan berlaku kelewatan untuk tindakan kebakaran dan mungkin satu cadangan untuk mewujudkan pasukan Bomba Sukarela boleh membantu kelak.
 
Apapun kami mengucapkan takziah di atas malang yang menimpa keluarga Pak cik Azmi tersebut.
 
Saya percaya, pihak yang berkenaan seperti FELDA, UMNO dan PAS pasti telah menghulurkan bantuan masing-masing kepada mangsa malah jirang-jiran tetangga turut tidak akan ketinggalan.
 
RUMAH TERBAKAR DI KUMAI En AzmiKepada anak-anak Felda Kumai yang ingin menyumbang dan membantu, mungkin anda boleh salurkan terus melalui orang tua anda sebagai wakil.
 
Insyallah .. yang berat sama kita pikul dan ringan sama kita jinjing.
 
Bercerita mengenai kejadian rumah terbakar di Felda Kumai, kalau mengikut sejarahnya telah berlaku beberapa kali.
 
Antaranya yang saya ingati adalah di rumah Arwah Pok Nik blok 4 di mana kami ketika itu di dalam kelas agama di Sekolah Agama Rakyat sebelum dikejutkan dengan berita kebakaran tersebut.
 
Maka semuanya pantas berlari ke arah tempat kejadian yang sejauh lebih kurang 1 km dari sekolah agama. Mujur ketika itu mereka masih mengusahakan kedai makan bersebelahan dengan Klinik Desa Kumai dan boleh menetap di situ buat sementara. Kalau tak silap tahun 1988 atau 1989.
 
RUMAH TERBAKAR DI KUMAI2Kejadian keduanya yang masih saya ingat adalah kejadian rumah terbakar yang dimiliki kalau tak silap di blok 1 sekitar tahun 1990 an.
 
Kejadian berlaku ketika jiran-jiran tertangga di blok tersebut sedang mempersiapkan majlis kenduri dan tiba-tiba rumah jiran berhampiran terbakar.
 
Saya tidak pasti rumah yang mana satu, mungkin anda yang tahu mengenainya dapat berkongsi dengan kami di ruangan ulasan.
 
Allhamdulillah semuanya selamat tetapi selepas sahaja kebakaran dipadamkan, salah jiran mereka yang bertungkus lumus kepenatan dan akhirnya meninggal dunia dibawah pokok berhampiran rumah yang terbakar.
 
Rakan-rakan peneroka yang lain cuba membantu namun sudah ajal ditakdirkan pada hari tersebut selepas berjasa membantu memadamkan kebakaran. Al Fatihah.
 
RUMAH TERBAKAR DI KUMAIKejadian ketiga yang masih saya ingat adalah melibatkan Kedai baru En. Baduri dan Arwah Pak SuYassin. Kedua-dua kedai ini dibina bersebelahan di kawasan perniagaan yang baharu dibuka di bahagian atas kawasan perniagaan Kedai Mara.
 
Pak Cik Baduri telah membuka kedai makan dan menetap di situ manakala Arwah Pak Su Yassin masih belum berpindah ke situ. Kalau tak silap saya tahun 1990.
 
Kebakaran tersebut memusnahkan sama sekali kedua-dua kedai dan akhirnya hanya Pak Cik Baduri yang membina semula kedainya manakala Arwah Pak Su Yassin kekal di kedai lamanya. Kini kedai tersebut dibawah pengurusan anaknya, Shuhaimi.

Ini antara kejadian yang saya ingat dan saya rasa terdapat beberapa kejadian kebakaran yang lain telah berlaku cuma mungkin ketika itu saya berada di asrama.
 
Ingat ..

"api semasa kecil menjadi kawan tetapi ketika besar adalah lawan..."

Isnin, 4 Februari 2013

Nostalgia Pertunjukan Pentas @ Felda Kumai


Dah bercerita mengenai wayang pacak, saya amat pasti, tidak ramai generasi selepas tahun 1990 an mengetahui bahawa ketika awal pembukaan Felda, selain wayang pacak, pihak unit penerangan felda turut membawa hiburan pentas di setiap felda. Cuma jaraknya mungkin sekadar 2 tahun sekali.
pentas lama
gambar hiasan semata...
Yang menariknya, pentas hiburan ini membawakan artis-artis yang terkenal ketika itu bukan sekadar untuk menyanyi malah berlakon bangsawan!.

Antara yang masih saya ingat adalah Haslina Kamsan dan Ahmad B  yang melakonkan adegan bangsawan raja . Selain nyanyian mereka turut juga membuat lawak jenaka. Saya rasa Yahya Sulong dan Hamid Gurkha pun pernah datang. Rasanya Ed Osmera juga datang berlakon bangsawan.
haslina kamsan
Haslina Kamsan tengah top zaman tu
Suasana ketika malam tersebut penuh meriah dengan kunjungan semua warga felda dan pastinya saya perhatikan turut mengundang dari felda sekitar. Maka penuhlah padang bola ketika itu dan pentas tersebut ibarat pulau kerana dikelilingi penonton dari segenap penjuru bukanya hanya dari hadapan.

Pentas atau astaka padang dihias ringkas dan lampu yang dipasang bukanlah lampu spotlight berwarna warni seperti pertunjukan pentas seperti sekarang tetapi sekadar lampu kalimatang yang dlilit dengan plastik bewarna biru,kuning, merah dan hijau.  

Mikrofon pula bukannya dari jenis cordless tetapi digantung dari arah atas dan setiap kali pelakon ingin  melafazkan dialog mereka, mereka akan bergerak dalam lakonan ke sudut yang mempunyai mikrofon tergantung tersebut namun masih dalam adegan lakonan. 

Kisahnya mengenai raja dan puteri yang ingin berkahwin dengan pilihan hati dan ada babak-babak pergaduhan dan menumpahkan darah kalau tak silap saya. 

Hiburan yang dibawakan adalah untuk memberikan sedikit keriangan kepada warga felda kerana ketika itu masih dikira jauh dipendalaman sementelahan lagi tiada medium media yang lain seperti televisyen ketika itu. Peneman utama adalah kotak radio semata.

Bercerita mengenai peti televisyen, saya masih ingat lagi, namanya dipanggil peti televisyen kerana perlu membuka ‘tetingkap’ sebelum dapat melihat skrin malahan bahagian luar adalah diperbuat daripada kayu. Saya masih ingat kami memiliki satu unit berjenama Singer sebelum ayah mengantikan dengan telisyen baru berjenama Sanyo.
Tv lama
peti TV lama.. ada tingkap ...

Nostalgia Wayang Pacak @ Felda Kumai

Bila mengenang kembali sejarah lama di Felda antara yang pantas hadir difikiran saya adalah wayang pacak. Mungkin bagi generasi yang lahir pada tahun 1990 an tidak akan dapat mengimbau kembali kenangan menonton wayang pacak kerana sudah tidak diadakan lagi selepas zaman tersebut kerana bekalan elektrik yang tetap telah diperolehi.

pinjam gambar laman internet



Sama di Felda yang lain, seawal pembukaanya, Felda Kumai  amatlah tidak begitu mewah dari segala segi. Kekurangan sebegini dianggap adil dan dapat diterima oleh masyarakatnya. Cuma tak pasti kalau kini jika Felda dibuka,pasti mahukan segalanya dilengkapi sepenuhnya sebelum masuk berpindah.

Tiada kemudahan elektrik yang tetap menyebabkan tiadalah kemewahan untuk memiliki peti telivisyen. Malah kalau nak dikira jumlah tv yang ada di Felda Kumai ketika itu mungkin cukup sedikit.

Bekalan Elektrik biasanya dikongsi menggunakan generator elektrik yang dikongsi beramai-ramai dan hanya dibuka pada pukul 7 malam hingga 10 malam sahaja.

Di Felda Kumai, bekalan elektrik kami dibekalkan sepenuhnya pada tahun 1990 oleh Lembaga Lektrik Negara ataupun LLN sebelum ditukarkan kepada Tenaga Nasional Berhad.

Cuma sebelum kedatangan bekalan elektrik ini, untuk memberikan sedikit hiburan kepada peneroka dan keluarga, Unit Penerangan Felda menyediakan perkhidmatan percuma iaitu Wayang Pacak.

Cuma rutin jadualnya agak tidak menentu. Kadangkla dua bulan sekali, kadang lama sangat baru muncul kembali. 

Kami hanya tahu adanya wayang pacak bilamana van bergerak mereka melalui jalan-jalan di Felda Kumai dengan hebahan ‘Malam ini tayangan wayang di Kedai Mara dengan Filem …. . Datang lah beramai-ramai’…

Kadang-kala van tersebut sekadar mengelilingi jalan-jalan di Kumai tanpa hebahan tetapi sudah cukup sebagai isyarat  untuk kami yang kanak-kanak berlari mengejar van tersebut.

Maka setiap kali tayangan wayang pacak ini, maka bersegeralah kami menyiapkan diri. Yang mengaji, sebelum maghrib dah siap  bersila di hadapan Muqadam. Si ibu-ibu pula menyiapkan makan malam lebih awal.

Sekitar 7.30 malam maka berduyun-duyun lah kami memulakan langkah berjalan kaki beramai-ramai ke kedai mara dengan lampu suluh di tangan dan mengepit tikar di ketiak untuk dibuat alas.

Bagi yang mempunyai motorsikal tetapi ramai anak maka akan berulang-aliklah mengangkut untuk ke sana.  Yang remaja berbasikal pula mengayuh sambil berkejaran dengan lampu janaan dynomo di tayar.

Yang awal sampai ke tapak wayang pacak akan segera membentangkan tikar di hadapan layar putih. Yang meniaga pula, segera membuka gerai di bahagian tepi padang. Kacang Kuda, keropok, laksa, mee sup dan juga kuih muih dijual.

Sebaik sahaja cahaya projector dari dalam van memancar menyuluh layar putih, maka bersoraklah kami..

Selalunya Unit Penerangan akan menyiarkan sedikit pesanan penaja untuk kempen-kempen tertentu.Dan selepas itu senyap sunyilah suara-suara kami dengan mata tak terlepas pandang ke arah layar besar.

Setiap kali ada adegan yang menarik maka bersuaralah kami sebagai reaksi agedan tersebut. Antara filem yang ditayangkan seperti Abang, Azura,  Filem-filem Hindustan dan yang lain-lain.

Sebaik habis filem tersebut, maka berduyun-duyunlah kami pulang ke rumah dengan riak kepuasan. 

(Juga boleh diikuti di feldakumai.com )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...