TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Showing posts with label peneroka. Show all posts
Showing posts with label peneroka. Show all posts

Friday, November 2, 2012

Felda Kumai... dari kejauhan...

Felda Kumai......jika anda pernah membaca catatan terawal saya adalah berkenaan dengan sedikit maklumat mengenai Felda ini.  Anda boleh menyambung bacaan catatannya di SINI.

Apapun saya sekadar ingin berkongsikan gambar felda ini yang saya rakamkan sekitar setahun dua yang lalu dari lokasi kegemaran saya semasa kecil. Malangnya saya tidak mempunyai Kamera ketika itu untuk merakamkan gambar. Jika tidak pasti akan dapat saya bandingkan dengan perubahan ketika ini. 


Apapun antara sebab saya ingin berkongsikan gambar-gambar ini adalah untuk simpanan hari  yang akan datang kerana takut tersalah letak koleksi gambar ini. Juga kepada anak felda ini yang mungkin tidak pernah ke sini untuk menikmati pemandangan feldanya sendiri. 


Felda Kumai di sebelah tenggaranya bersempadan dengan Hutan Simpanan Chini yang melebar jauh ke Felda Chini di Pekan. 

Jika zaman pendudukan awalnya hutan ini begitu banyak menyimpan khazanah dan menjadi kebiasan kepada kanak-kanak dan orang tua untuk keluar masuk mencari sesuatu seperti buah-buahan hutan seperti keranji, berangan, kembang semangkuk dan daun palas.


Jika kenduri kendara, hutan inilah yang membekalkan kayu api dan kayu untuk membuat khemah. Malah jika ada yang ingin menambah ruang rumah, hutan inilah juga yang membekalkan kayu-kayan yang diperlukan dengan memotongnya terus di hutan biarpun aktiviti ini haram.


Hutan ini juga menjadi sumber daging haiwan liar yang esotik seperti landak, burung-burung, kancil dan sebagainya biarpun bukan mudah untuk diperolehi dan tentunya aktiviti ini haram di sisi undang-undang. 


Felda Kumai sehingga kini membangun dengan perkembangan warganya. Dari ayah dan ibu yang masih muda ketika mendaftar masuk sebagai peneroka, menghadapi pelbagai cabaran kesusahan hidup ketika zaman kejatuhan ekonomi dan harga minyak sawit sekitar 1985 sehinggalah kepada sukarnya mendapat kemudahan asas yang sempurna biarpun ada disediakan. 


Namun jalur-jalur hidup yang sedikit berselirat ini akhirnya membuahkan hasil. Intipatinya adalah kesungguhan, ketabahan, kesabaran, kemuafakatan dan pelbagai lagi nilai murni yang terbentuk dan dibentuk dikalangan generasi pertama ini. 


Hasilnya generasi kedua membuka langkah yang panjang untuk keluar dari kancah kehidupan ini untuk hidup yang lebih baik .


Kini generasi ketiga juga meneruskan rentak langkah yang lebih panjang dan pantas. Mereka kini bukan lagi bangsa dan generasi yang mundur dan terpinggir tetapi kini antara penyumbang utama dalam pembangunan negara. 


Saya bersyukur malah amat bersyukur menjadi sebagahagian kisah warisannya... Alhamdulillah ... 

Friday, July 20, 2012

Felda: Kenduri perkahwinan.. kenangan 80-90an...

Minggu lepas adalah hari yang agak sibuk bagi kami sekeluarga. Sibuk kerana meraikan dan menyambut orang baru. Orang baru yang dimaksudkan bukanlah kelahiran bayi samada anak saudara, adik baru ataupun cucu baru tetapi ahli keluarga baru melalui perkahwinan.
 
 
Pendek kata adik aku kahwin dan kami mendapat adik ipar dan orang tua kami mendapat menantu dan anak-anak saudara dah boleh memanggil 'Mak Tam'.
 
 
Tetapi yang ingin dikongsikan bukanlah mengenai "mak tam" baru ini tetapi bagaimana persediaan kami dan ahli blok membantu menyediakan persiapan kenduri kahwin. Nampak dan dengar macam majlis perkahwinann biasa dan sememangnya majlis yang biasa dianjurkan dan bukan bertaraf 'wedding of the year' pun.  Yang ingin dikongsikan bagaimana mengamit kenangan seawal pembukaan felda atau tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP), menganjurkan majlis kahwin.

Catatan ini juga mungkin tidak mengambarkan keseluruhan budaya masyarakat Felda di seluruh dunia menganjurkan majlis perkahwinan dan jika tidak satu Malaysia mungkin Felda se Negeri Pahang mengamalkannya.
 
 
Jika tidak mungkin Felda di Wilayah Bera yang mengamalkan dan jika tidak sewilayah yang mengamalkan, mungkin Felda Kumai yang mengamalkan dan jika tidak semua blok di Felda Kumai yang mengamalkan. aku pasti dan amat berbangga untuk mengatakan bahawa ahli keluarga Blok 13 telah mengamalkannya dari dulu sehingga kini.
 
 
Pendek kata, lain padang ..lain belalang... 

Blok 13, Felda Kumai mempunyai 24 orang keluarga peneroka bermula dari rumah bernombor 289 hinggalah bernombor 313. Mempunyai pelbagai negeri asal baik dari Perlis sehinggalah ke Johor menambah resam budaya dan tampak meriah bilamana  iadun adat dan resamnya menjadi satu.

Persiapan Majlis Perkahwinan  seawal 1980 an- Kenduri terawal;

Kenduri yang pertama oleh rumah Pak Su Pin (Haji Pin Bin Seman), Kak Shila kalau tak silap aku. Majlis seawal 1982 atau 83 dengan serba ringkas tetapi cukup meriah. Rata-rata keluarga peneroka yang lain anak-anak mereka masih bersekolah.
 
 
Gotong Royong menjadikan majlis ini mudah dilaksanakan tetapi kemudahan pinggan mangkuk, periuk belanga, khemah dan sebagainya amat terhad dan terpaksa meminjam dari jiran-jiran tetangga. Pingan dan talam dipinjamkan, meja dan kerusi makan dibawa bersama, beras dan sumbangan duit dihulurkan oleh jiran tertangga.

Majlis berlangsung meriah. Laut kenduri di rewang bersama. Persiapan bermula seminggu dua awal. Si ibu-ibu berkampung setiap petang menyiapkan kuih muih dan juga mengoreng kerisik. Bunga telor di anyam bersama.

Pengalaman pertama yang serba kekurangan menginsafkan dan lahirnya idea mewujudkan "Syarikat Pinggam Mangkuk"atau sinonim dengan singakatan SPM di kalangan ahli blok untuk mengumpulkan duit sumbangan sesama sendiri membeli periuk belanga, pinggan mangkuk dan sebagainya.
 
 
Difahamkan antara yang pertama usaha sebegini di Felda Kumai. Dari hanya 24 buah keluarga Blok 13 bergabung, kini dianggarkan mencecah lebih 80 buah keluarga dari sebahagian blok 11,12, 14,15 ,16 malah 17 menjadi ahli SPM ini.

Pertengahan 1980 an:

Mula majlis kenduri rancak dianjurkan lantaran anak-anak menginjak usia muda dan mula berpasang-pasangan. Majlis kenduri diatur menjadi yang semeriahnya
 
 
Kemelesatan ekonomi sedikit sebanyak meragut dana kahwin namun kemuafakatan sesama ahli blok dan jiran blok membantu. Untuk mengingati senario ketika ini, aku cuba buat melalui 'point to point' dan jika ada ingin menambah masukan dalam ruangan ulasan.
  1. Majlis merisik biasanya menjemput ahli keluarga jiran terdekat sahaja. Majlis bertunang pula diadakan seringkasnya sahaja dan dijemput ahli blok. Ada juga yang tidak bertunang secara besaran sekadar bertukar cincin.
  2.  
     
  3. Bila ditetapkan tarikh kenduri, mula-mula dibuat "Mesyuarat Blok" oleh tuan rumah sebulan awal selepas Isyak diikuti bacaan yasin. Tugas-tugas kenduri diagihankan antara sesama. Ada yang  bertugas memasak, membuat air, si penagah, membasuh pingan mangkuk dan sebagainya.
  4.  
     
  5. Ahli blok menyumbang RM 5 sekeluarga dan beras dalam  2 kilo seorang. Ada yang menambah rokok dan juga gula dan sebagainya dan tuan rumah akan membalasnya bila giliran mereka pula tiba untuk berkenduri kahwin.
  6.  
     
  7. Dua atau seminggu awal pada hari sabtu majlis mendirikan khemah atau 'balai' dibuat. Antara lain mencari kayu di hutan untuk membuat khemah. Anak-anak muda dan si bapa memanjat lori usang untuk ke pinggir hutan bersisip parang di pinggang. Kayu yang lurus dicari. Manakala pokok balak tumbang di potong untuk dijadikan kayu api.
  8.  
     
  9. Si ibu pula sibuk di dapur bergotong royong memasak makanan tengahari. Ringkasnya, nasi berlauk ikan masak kari kampung dan ikan masin menjadi menu yang sangat lazat dan menyelerakan beserta sayur kangkung ataupun kubis dan sambal belacan.
  10.  
     
  11. Khemah didirikan dengan kayu hutan dan diikat dengan tali rafia sekemasnya. Ketika ini kerusi dan meja diperbuat dari papan panjang yang dipasang kemas menjadi kerusi panjang dan meja panjang untuk tetamu duduk menjamu selera kelak.
  12.  
     
  13. Seminggu atau lebih, si ibu-ibu bertandang ke rumah bakal pengantin setiap petang untuk membuat juadah kuih muih seperti bauhulu, loyang, rempenyek dan pelbagai lagi. Sebilangannya pula memotong kotak-kotak rokok (bekas kotak untuk dozen besar) empat segi dan distapler dibahagian hujungnya untuk membuat bekas telor.  Kerisek antara bahan wajib untuk disediakan sebelum kenduri. Acar limau juga dibuat awal bagi diperap rasa dan teksturnya yang lebih lembut.
  14. Sebilangan kaum bapa memotong dan membelah kayu api dan disusun dibawah rumah untuk dijadikan bahan bakar.  
  15.  
     
  16. Menjelang hari perkahwinan, semua jiran bertandang seawal pagi memasang kanvas bumbung khemah dan mula menyusun peralatan yang dibawa dari stor peralatan di sebelah rumah Arwah Pak Sahak. Petangnya si ibu pula memotong bawang, cili, mengiling cili dan sayur dan menjamu pekerja-pekerja.
  17.  
     
  18. Lembu yang ditempah disembelih menjelang Maghrib. Jika lauknya ayam, biasanya ayam hidup disembelih, dicelur dalam air panas dan dicabut bulunya satu persatu.Teringat seronoknya memanggang ayam yang disembelih untuk memastikan bulu-bulu dibakar sebelum dipotong kecil pada waktu malam kelak.
  19.  Telur ayam pula  direbus untuk dimasukan ke dalam bekas telor. Manakala ada jiran-jiran yang menyumbang bunga telor yang dibuat sendiri untuk dihiaskan di samping Pelamin  yang ringkas dibina juga melalui gotong royong.
  20.  
     
  21. Biasanya di waktu malam menjelang hari perkahwinan, akan diadakan majlis berkhatam Quran ataupun marhaban. Waktu ini corong-corong speaker dipasang untuk memeriahkan majlis. Manakala bagi sebilangan yang lain, mula melapah dan memotong daging lembu ataupun ayam yang disembelih petang tadi.
  22. Selepas marhaban atau berzanji selesai ..mulalah di pasang video ... syok ooo.. bukan semua ada video dan tv dan pastinya rancangan gusti ditayangkan!!! Hulk Hogan!!!! Lewat pagi, tentunya bersambung dengan filem hindustan seperti Sanggam dan yang lainnya. Filem Rambo juga menjadi permintaan hangat untuk ditayangkan.
  23.  
     
  24. Sambil-sambil tu ada yang masih memasak di dapur seperti pati sirap, mengukur kelapa, sup tulang dan sebagainya buat bekal awal hari esok.
  25.  
     
  26. Seawal pagi jiran bertandang selepas subuh dan terus dengan tugas masing-masing tanpa di suruh. Yang tukang masak mula nak memasak, yang tukang air mula membacuh air teh dan kopi buat sarapan, yang si ibu pula mula menanak pulut dan nasi goreng.
  27. Si muda mudi yang menjadi penagah mula menyusun kerusi dan membersihkan meja dikhemah utama.
  28. Seawal 11 pagi, bila nasi siap di tanak, lauk kawah masih mendidih. Talam dan pingan mangkuk mula disusun untuk menghidangkan jamuan.
  1. Dari jauh mula kelihatan berbondong-bondong dan berbalam-balam kaum ibu bertamu berjalan kaki dibawah perik matahari dan kelihatan si bapa pula menaiki motorsikal sama seorang atau suami isteri. Manakala kanak-kanak pula ada yang berbasikal dan berjalan kaki sama menuju ke rumah pengantin. Semua berbaju baru dan segak bergaya.
  2.  
     
  3. Pukul 12 bermula jamuan di bawa masuk ke khemah dan rumah. Tetamu lelaki mula duduk menanti juadah dihidangkan dengan 4 orang setalam. Si ibu pula masuk ke rumah dan makan bersila manakala si kanak-kanak berlari-lari berebut dalam beratur memegang pingan untuk nasi lalu ke bahagian lauk dan akhirnya air seperti nasi campur lalu duduk bercangkung di tepi dapur, tebing longkang, atas kayu api dan dibawah pokok untuk menjamu selera.
  4. Bila tetamu ingin pulang, bersalamanlah mereka dengan tuan rumah dengan istilah 'salam berkaut' dan ketika ini RM1 yang dibalut kertas tisu menjadi kebiasaan. Tanda penghargaan dari tuan rumah diberikan dengan sebiji telor rebus sebagai tanda terima kasih.
  5.  
     
  6. Selepas Zohor pengantin datang samada untuk dinikahkah di rumah ataupun di masjid. Berarak tanpa kompang dan hanya beriringan dengan bunga manggar. Biasanya pengantin lelaki segak berpakaian raja sehari dan bercermin mata hitam besar dengan keris kemas di sisi pinggan.
  7.  
     
  8. Sebelum masuk, silat pulut dipersembahkan untuk menyambut pengantin yang duduk di atas kerusi bergandingan.
  9.  
     
  10. Bersanding pula ringkas di atas pelamin tetapi penuh sesak disaksikan oleh yang lain. Kamera pula hanya satu dua buat kenangan di kemudian hari.
  11.  
     
  12. Kenduri bermula seawal pagi tetapi berakhir sekitar 5 petang dengan juadah berterusan di hidangkan.
  13. Habis kenduri, jiran tetangga setia mengemaskan peralatan khasnya pingan mangkuk. Tidak disiapkan hari yang sama, esoknya kembali bertamu membuka khemah dan balai dan sebagainya.
  14.  
     
  15. Pengantin baru dalam malu dan segan pada hari seterusnya mula mengunjungi rumah jiran tertangga untuk memperkenalkan isteri atau suami disamping mengucapkan terima kasih atas bantuan menjayakan majlis.
  16. Seminggu atau dua selepas itu biasanya tuan rumah membuat kenduri kesyukuran ataupun dipanggil Kenduri Cuci Balai sabagai tanda syukur dan ucapan terima kasih kerana menjayakan majlis kenduri yang dianjurkan. 

Ini sahaja buat masa ini yang saya terlintas mengenai Kenangan Kenduri Kahwin di Felda seawal 1980ab dan 1990 an dan saya percaya akan ditambah lagi bila teringatkan kembali.

Sesungguhnya kemuafakatan dan juga semangat bersatu padu dikalangan jiran tertangga ketika ini amat kuat dan sungguh mengagumkan.  

Monday, September 12, 2011

Felda Kumai, Triang Pahang..siri ke 2.. Bukit Bertangga

Dalam catatan terdahulu mengenai Felda Kumai, aku ada menyatakan secara ringkas mengenai kawasan rekreasi yang amat digemari di sana iaitu Rimba Rekreasi Bukit Bertangga. 


air terjun  utama 
Asalnya nama kawasan ini popular di kalangan penduduk Felda Kumai sebagai Air Terjun Bukit Bertangga sebelum dinaiktaraf oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menjadi kawasan hutan lipur yang didaftarkan sekitar 1998-99. 


Air Terjun Bukit Bertangga ini diberikan nama sempena nama bukitnya iaitu Bukit Bertangga seperti di dalam peta topo yang dikeluarkan oleh Jabatan Pemetaan dan Ukur Negeri Pahang.

Bukit Bertangga mengikut cerita lisan penduduk lama sudah lama diketahui dan ditemui semenjak Felda Kumai mula dibuka penempatan secara rasmi pada tahun 1979 tetapi hanya mula dikunjungi bilamana sebuah syarikat pembalakan meneroka kawasan sekitarnya untuk aktiviti pembalakan dan kemudahan jalan balak yang terbina ketika itu menjadikan ianya mula dihubungkan dengan masyarakat Felda Kumai berbanding perlu merentas denai hutan atau laluan lama.


Selain daripada itu faktor keselamatan masih menjadi halangan pada awal penempatan Felda Kumai kerana dibuka sebahagiannya bersempadanan Hutan Simpanan Kekal Chini yang melebar luas ke Daerah Rompin.


Laluan masuk sekitar 3 km yang berturap ...
Tidak hairanlah pada awal pembukaan sehingga 1990an, masih terdapat pagar-pagar elektrik yang menggunakan kuasa bateri dipasang di sepanjang sempadan hutan dan Kampung termasuklah ladang.


Malah mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa stesen kuasa bagi pagar elektrik ini adalah berdekatan dengan Blok 17 dan ianya diselia oleh pegawai Felda secara bergilir-gilir

Masih dapat aku ingat renjatan lemah setiap kali memegang wayar kabel pagar elektrik yang hanya dua talian sekitar tinggi 2 kaki dari tanah dan dua kaki berselang di bahagian atas dan kayu bertiangkan kayu 2 inci x 2 inci tetapi kami dimaklumkan ia akan mampu menghalang binatang liar seperti gajah, beruang, harimau dan babi.


Namun bagi bintang kecil seperti biawak, musang, monyet dan sesaiz dengan mereka pastinya tidak dapat dielakkan. Bagi mereka yang rumahnya bersempadan dengan hutan seperti blok 12, 13, 17, 19 pasti peristiwa binatang liar memasuki kawasan rumah menjadi satu kebiasaan dan jika ayam atau itik menjadi habuan kepada musang juga kisah biasa biasa jika ditengah malam ayam berkokok bersahutan.

Terdapat beberapa kes awal pencerobohan binatang liar seperti babi dan gajah khasnya di blok 12 yang kalau tak silap ingatan aku seawal 1985 terdapat pencerobohan gajah. Malah terdapat juga beruang yang ditangkap oleh Jabatan Mergastua (kini Perhilitan) dilaporkan di kawasan hutan simpanan ini. 

Hutan Simpanan Kekal Chini
Hutan Lipur
Hutan Simpanan Kekal Chini dianggarkan seluas 61,973 ha persegi  yang menjangkau antaranya ke kawasan Hutan Simpanan Kekal Chini dan Hutan Simpanan Kekal Chini Tambahan yang berkongsi sempadan Daerah Rompin dibahagian Tengara meliputi kawasan Felda Rentam, Kumai, Mayam  dan Bera manakala Hutan Simpanan Kekal Purun melebar ke sempadan Pekan. 

Ianya merupakan hutan simpanan kekal yang digazetkan olej Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan sebahagian kompatmen hutan ini sekitar kawasan Felda Kumai telah dilakukan pembalakan  menjadikan sebahagianya kini adalah hutan sekunder namun kawasan Bukit Bertangga ini masih terpelihara..

Bukit Bertangga.
Berbalik kepada Bukit Bertangga, ianya berada pada ketinggian 400 kaki dari paras laut dan merupakan  kawasan hutan lipur yang berada dalam kompartment 72 dan 76 Hutan Simpan Chini  dan seluas 2 hektar dan satu-satunya yang didaftarkan berstatus Hutan Lipur oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bagi Daerah Bera untuk tujuan rekreasi. 

Sebenarnya terdapat satu lagi kawasan air terjun iaitu Air Terjun Terapai yang berada berdekatan Felda Mayam tetapi ianya belum didaftarkan mungkin kerana faktor lokasi yang agak jauh untuk dikunjungi berbanding Bukit Bertangga dengan kenderaan biasa dan kurang selamat barangkali.

Alur sungai
Bukit Bertangga mempunyai  2 air terjun setinggi 30 meter dan 20 meter namun tidak sesuai untuk mandian ekoran kedudukan yang agak berbukit dan bercerun batu dan memerlukan pendakian. Malah kolam mandiannya jugak amat kecil dan sukar untuk didekati namun bagi mereka yang berhajat pastinya ianya bukan penghalang.

Pada awalnya, kawasan utama Bukit Bertangga adalah lebih popular dibahagian kawasan atas air terjun utama yang perlu didaki sejauh 500 hingga 1000 meter pendakian bekas laluan lori balak sebelum memasuki denai yang melalui kawasan pokok-pokok besar, cerun dan akar pokok. Dahulu jalan balak yang dibina memudahkan pendakian malah bagi yang berani, pendakian dengan menaiki motorsikal menjadi pilihan  tetapi kini ianya tidak lagi sempurna dan sesuai bagi kunjungan keluarga. 

Apabila sampai di kawasan bersebelahan air terjun, pengunjung peru mendaki celahan batu untuk naik ke alur utama dan meneruskan perjalanan dan pendakian melalui denai yang bersebelahan alur sungai sebelum sampai di kolam utama.

Di awal pembukaanya, kolam ini menjadi tumpuan utama pengunjung untuk mandi dan berenang ataupun terjun dari atas tebing dan pokok. Kini ianya sudah dilupai malah amat jarang menjadi pilihan untuk pengunjung melakukan pendakian ke sini kerana faktor keselamatan dan juga keselesaan. 

Bukit Tangga kini...,
Jambatan baru
Dengan liku-liku air yang mengalir dikawasan yang diklasifikasikan sebagai  hutan pamah dan Berbukit, Bukit Bertangga mempunyai permukaan rata dan berbukit yang mengandungi batu-batu besar , batu berlapis, cerun dan sungai yang mengalir di alur-alur batu. 

Laluan masuk utama ketika itu hanyalah melalui kawasan ladang ataupun berjalan kaki merentas denai laluan yang telah dinaik taraf ketika ini.


Malah apabila sampai masih terdapat jambatan kayu balak yang menghubungkan kawasan rekreasi utama yang terbentuk seolah-olah tanjung.


Kawasan ini sebenarnya menjadi kawasan 'mantai' bagi kegiatan pembalakan di mana kayu balak dikumpulkan dan semua jentera dan rumah pekerja ditempatkan di sini. 

Dahulu kawasan ini hanya dihubungkan degnan jambatan kayu balak tetapi kini jambatan kayu balak telah digantikan dengan jambatan konkrit yang boleh dilalui oleh kenderaan ringan ataupun pejalan kaki jika anda membuat pilihan untuk meletakan kenderaan di kawasan sebelum jambatan ini yang telah dinaik taraf dengan kawasan khusus untuk meletakan kenderaan. Bagi yang bermotosikal atau pacuan empat roda selalunya akan terus menyeberangi kawasan ini.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah membangunkan kawasan di sekitar jambatan ini sebagai kawasan rekreasi utama dengan membersihkan alur sungai dan semak samun serta menambah kemudahan seperti pondok rehat, tandas dan bilik menyalin pakaian, kawasan perkhemahan, taman hutan, tempat meletak kenderaan dan  laluan bertangga ke kawasan kolam mandian. 

Di sini juga anda boleh melihat ratusan malah mungkin ribuan pokok-pokok hutan yang ditanam semula sempena kempen menanam sejuta pokok yang dilancarkan pada 1999 bagi menyokong Hari Hutan sedunia ataupun atau program sokongan membida Sukan Asia 2006. (Tak pasti yang mana satu programmnya). 

Yang pastinya ianya dilakukan secara bergotong royong oleh penduduk Felda Kumai. Yang peliknya menaman pokok di dalam hutan? Bukankah bagus kalau di tanam di sekitar kawasan kampung. Tak apa kita tinggalkan isu ini kerana pastinya kunjungan anda di Bukit Bertangga akan bertemankan suasana damai dan aman.
kawasan perkhemahan
Selamat untuk kanak-kanak (Tanggungjawab sendiri)
Selepas hujan lebat.. 
Juga selepas hujan lebat
Alur sungainya pula amat sesuai untuk aktiviti riadah dan selamat bagi kunjungan berkeluarga kerana berarus perlahan dan jika hujan tiada limpahan air yang kuat. Manakala kolam mandian dewasa tidaklah terlalu dalam dan tidak berisiko untuk mandi manda. 

pilihan kanak-kanak bermandi manda
Bagi mereka yang ingin bermalam, amat tidak digalakan kerana faktor jarak yang agak jauh dari kawasan kampung dan kemudahan elektrik yang terhad tetapi jika dilakukan secara berkumpulan yang besar dan mungkin sebagai program, anda boleh mendapatkan khidmat kawalan keselamatan daripada pasukan RELA Felda Kumai. 
antara kolam mandi
Sesungguhnya ianya amat kecil dan begitu ringkas tetapi bagi penduduk Felda Kumai, ianya sesuatu yang dibanggakan malah menjadi destinasi pilihan jika pulang ke Kampung halaman. 


Selamat berkunjung ke Rimba Rekreaksi Bukit Bertangga...

Gambar terbaru Bukit Bertangga , 24 Jun 2012. ketika musim kemarau dan alur airnya agak kecil. Persekitaran agak mendukacitakan sedikit kerana kurang terjaga nampaknya. Apapun masih sejuk seperti biasa...


sekadar memanjangkan blog yang berkongsi pengalaman berkunjung ke Bukit Bertangga..
Blog AzMask  , Blog Raja Bulan ,Blog Feldakumai.com Blog MrKumai.picasaweb , Blog key-sah are-ku Ke???  dan blog Uzhair menarik dengan gambar air terjun utama yang jarang dipanjat orang ...

Wednesday, August 3, 2011

RM42.6 juta 'duit raya' Felda

Memandangkan aku adalah Generasi Felda atau anak Felda, maka tak salah rasanya untuk akukongsikan apa jua mengenai Felda samada baik atau pun buruk. Yang baik mungkin boleh kita kongsikan bersama dan yang burukkita jadikan iktibar dan semoga ianya dapat dipulihkan dan diperbaiki. 

Cuma untuk meruntuhkan sepenuhnya institusi ini tidak akan mendapat SOKONGAN dari aku dan janji aku, aku akan di antara ramai yang akan bangun menentang... aku tahu... tidak berseorangan... 

Kali ini, imbuhan hari raya walaupun sekadar RM 400 bagi setiap peneroka, pastinya ianya adalah sumber yang halal dan tidak dari lumba kuda atau hasil perjudian... 

Alhamdulillah ... bukan untuk aku, tetapi untuk PENEROKA di luar sana... termasuklah ayah dan mak aku...

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian 'duit raya' kepada kesemua 112,635 warga peneroka Felda membabitkan peruntukan berjumlah RM42.6 juta.

Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah itu, seramai 100,357 peneroka atau 89.1 peratus yang bersama Felda akan menerima RM400 seorang iaitu melibatkan peruntukan berjumlah RM40.14 juta.

Tambah beliau, bakinya iaitu seramai 12,278 atau 10.9 peratus peneroka yang tidak bersama Felda pula akan menerima RM200 seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM2.46 juta.
"Bayaran akan dibuat kepada semua peneroka dalam minggu kedua bulan Ramadan dan dibayar di peringkat rancangan Felda seluruh negara.

"Pemberian ini adalah untuk menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan Felda di samping membantu perbelanjaan persiapan menjelang Hari Lebaran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najib menambah, pemberian duit raya kepada warga Felda tahun ini meningkat RM5.41 juta atau 14.54 peratus berbanding RM37.20 juta tahun lalu.

Pada tahun lalu kata beliau, peneroka yang bersama Felda atau yang menjual hasil kepada Felda menerima RM350 seorang manakala yang tidak bersama Felda pula RM150 seorang.

"Saya berharap pemberian wang ini akan dapat meringankan beban kewangan para peneroka dalam membuat persiapan menyambut ketibaan Syawal.

"Di kesempatan ini juga, saya ingin menyeru kepada peneroka yang tidak bersama Felda agar dapat kembali bersama Felda bagi memaju dan memakmurkan lagi tanah rancangan," katanya. 

Wednesday, July 27, 2011

Lagu Rasmi FELDA

Mungkin ramai yang tidak pernah mendengar lagu ini malah aku percaya lebih ramai diluar sana tidak tahu bahawa Felda mempunyai lagu Rasmi sekian lama. Bagi mereka, lagu mungkin sekadar lagu. Sekadar didengar ataupun dinyanyikan.

Asrama Felda Kuantan yang baharu.
Bagi aku, inilah antara lagu yang aku dan rakan-rakan seAsrama Felda nyanyikan  mungkin bukan sekadar puluhan malah ratusan kali dan tidak mustahil mungkin juga sudah  ribuan kali sejak tahun 1991 hinggalah kini. 
Ini adalah antara lagu yang akan dinyanyikan bagi pelajar-pelajar Asrama Felda di setiap perhimpunan, majlis perjumpaan ataupun aktiviti mingguan. Setiap kali dinyanyikan, lantonan suara bergema segenap dewan walaupun tanpa muzik dan konduktor. Setiap kali dinyanyikan juga, terasa semangat kian berkobar dan begitu bersemarak malah inilah saat yang di tunggu-tunggu setiap kali perhimpunan ataupun perjumpaan ... 

Lagu ini akan dinyanyikan bersama lagu Warisan (bermula anak kecil main api....) yang juga sentiasa dinyanyikan dengan penuh peringatan kepada diri sendri akan nasib bangsa dan agama serta tanah air tercinta mungkin suatu hari nanti akan berlaku dan boleh berlaku  dan kalau tak silap aku ada sebuah lagi lagu yang aku lupa tajuknya... 

Aku ingin berkongsi di sini lagu ini... LAGU FELDA... hayati ... 


Juga ingin aku kongsikan lagu yang cukup bermakna ini...  Nanyikan dan hayati liriknya... 

Kalaulah mengingatkan sesama melayu itu dianggap Rasis... jumud .. maka aku rela digelar rasis dan jumud asalkan Melayu terus kukuh dan bersatu kembali...

Hayati lagu-lagu ini ... 

Tuesday, July 26, 2011

Felda.. Ini siapa...

"Ini propaganda Kerajaan!!! Ini satu lagi agenda bodoh kerajaan, mengambil kesempatan dikalangan peneroka yang tidak belajar tinggi. FELDA telah menganiayai peneroka. Mereka menindas sebenarnya. Mereka zalim !!! Ayuh kita saman kerajaan kerana membawa nenek moyang kita keluar dari kampung dan masuk Felda... Ayuh kita tuntut kerugian!!! Ayuh kita bubarkan sahaja Felda... Ayuh kita hancurkan FELDA... "
Itu mungkin kata-kata sebahagian daripada kita yang mungkin tidak kenal siapa FELDA. Tiada hubungan dengan Felda  malah mungkin cemburu dengan FELDA. 

Aku bangga menjadi generasi Felda.. malah aku pasti ayah dan mak aku juga bersyukur menjadi warganya, keluarganya dan sebahagian dari kisah penderitaan, kisah ketabahan, kisah kejayaannya. 


ku syukur kerana dilahirkan , dibesarkan dan masih di FELDA. Aku pasti kakak aku, abang aku dan adik-adik aku pasti sama merasainya betapa bersyukurnya lahir sebagai generasi FELDA. Aku pasti mereka juga berbangga sebagaimana aku rasa bangga dengan Felda.

AKU TIDAK PEDULI dengan si tolol dan si Bodoh di luar sana samada generasi Felda sendiri atau pun mereka dari luar.  Mereka bukan sekadar berlagak bodoh, tapi mereka sememangnya benar BODOH dan TOLOL... TULI... 


Anda terasa? Anda Marah? Mau berlawan hujah? Mau tegak benang yang nyata basah?

Tak apalah.. kerana aku juga AMAT MARAH bilamana anda mengata malah mengeji mengenai FELDA kerana jasa anda tiada apa berbanding FELDA.
Jasanya bukan sedikit terhitung dari anda langsung tiada bernilai. Maaflah emosi sedikit sebab tak mahu jadi ANJING yang mengigit tangan Tuan yang  memberi makan... 

Hayati Sajak ini...

Ini Siapa ?

Aku bukan seorang Majikan

Aku bukan seorang Kerani

Habis Siapa ?

AKU ADALAH SEORANG

P.E.N.E.R.O.K.A

 Aku adalah seorang Peneroka


Dalam menyngkap lembaran ingatan lalu

Tika hendak berhijrah ke tanah bertuah ini

Seluruh Keluarga hanya dapat menghantar

Dengan linangan air mata dan doa restu

Tanah sekangkang kera yang ditinggalkan

Peninggalan Arwah ayah

Seolah olah turut berdoa

Ya Allah !!! Selamatkan hijrahnya

Dan Murahkan rezekinnya

TIDAK SEPERTI AKU HANYA SEKANGKANG KERA

Di saat mula tanah FELDA ini di pijak

Kepala di terpa seribu pemikiran

Seribu Kejanggalan

Seribu Kepayahan

Seribu Kekurangan

AKU PERNAH MENANGIS

Dalam mendayong basikal tua

Menghantar kuih

Ke merata warong penjaja

Mengutip sayur di ladang

Apa saja yang ada

sekarag aku kesat air mata ini

Biar kering

AKU TIDAK MAUH MENANGIS LAGI

Lantaran Hidup di tanah bertuah ini

Membawa seribu perubahan

Yang tidak dapat di nilai

Aku hanya dapat mengangkat dua tangan

Bersyukur kepada mu Ya Allah

Dan Berterima kasih yang berjuta

KEPADA MU WAHAI CUCU DATOK BAHAMAN

Wahai anak anak ku

Cucu cucu ku

Kau lah jagalah sebidang tanah FELDA ini

Tanah Bertuah , Tanah milik kita

Jadi kan lah Tanah Pusaka

AWAS !!! JAGA ia !!!

JANGAN SAMPAI JATUH KE TANGAN ORAMG LAIN 

Wahai anak anak ku , cucu cucu ku

Tahu kah kau

DiTanah permata ini lah

Yang Mengisi dada dada mu

Dengan Permata Hidup

INGAT !!!!

Kau Jangan sampai menangis

Seperti Ayah

Yang bermandi TANGIS

HIDUP DI TANAH SEKANGKANG KERA

Sekalong Al Fatihah untuk arwah ibu

yang mendorong aku

BERHIJRAH KETANAH BERTUAH INI 

Sekarang  tahulah

INI SIAPA ..



SAJAK oleh Hj Asari Othman - seorang peneroka felda

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock