TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Wednesday, March 1, 2023

Mencari durian di Kampung Orang Asli Cameron Highlands

Saya ada kongsikan kisah saya sekeluarga menikmati musim durian di Jalan Tapah Cameron Highlands sebelum ini. Catatanya di SINI.

Kali ini saya nak berkongsikan kisah saya mencari durian di Kampung Orang Asli di kawasan Ringlet sendiri. Seperti biasa kampung tersebut adalah kampung rakan sekerja saya. 

Cuma musim durian kali ini di kampungnya sudah masuk minggu kedua dan dijangka berakhir dalam tempoh seminggu dua lagi. Juga musim durian kali ini juga dijangka tamat untuk tahun ini dengan kampung-kampung orang asli yang lain seperti Teji, Susu, Telanok dan yang lebih bawah juga telah habis lebih awal. 

Kiranya kampung rakan sekerja saya ini adalah yang kampung terakhir buah durian gugur pada pusingan musim durian kali ini. Kampung yang saya maksudkan adalah Kampung Rantau iaitu bersebelahan dengan Kampung Menson serta tak jauh dari Kampung Leryar yang keduanya terletak di pinggir jalan. Kampung Rantau ini kena masuk ke dalam sedikit. Ketiga-tiga kampung ini serentak musim durian gugur dengan Kampung Kuala Boh juga masih mempunyai baki durian.

Pegang pada Janji

Jadi saya pergilah ke kampung ini dengan temujanji awal menempah durian. Saya sangat mengangumi soal menepati janji di kalangan Orang Asli ini dalam bab durian kerana mereka akan menolak tawaraan untuk membeli durian secara on the spot kerana masing-masing sudah berjanji terlebih dahulu dengan peraih buah durian yang akan datang ke kampung mereka. Saya tanyakan juga adakah mereka telah mengambil pendahuluan dari peraih namun dijawab tiada pendahuluan diambil tetapi hanya berpegang pada janji.

Kisah berpegang pada janji ini juga saya telah maklum sebenarnya di mana kalau saya nak membeli durian di Kampung Leryar pun sama situasi malah saya pernah mengambil durian yang saya tempah awal melalui pintu belakang kerana rakan pekerja saya itu tidak mahu si peraih berkecil hati. Betul lah tu sebab kita beli sekali sekala tetapi mereka berurusan setiap hari dan setiap kali musim durian. Kadang-kadang satu kampung mempunyai beberapa peraih yang berasingan tetapi sudah mempunyai pembekal durian masing-masing.

Jika mahu durian, kena tempah sehari dua awal dan mereka akan asingkan buah durian untuk kita dan buah untuk peraih awal-awal. Itulah yang saya lakukan untuk misi mencari durian dengan 2 hari awal saya menempahnya. 

Di Dusun Durian.

Berbalik kepada kisah durian di dusun rakan sekerja saya ini, buahnya kali ini tidaklah terlalu banyak kerana banyak yang rosak kali ini. Buktinya ada banyak longgokan buah durian yang rosak dibuang di pangkal pokok. 

Kami masuk ke dusunnya di mana hampir 20 pokok durian milik keluarganya berusia sekitar 10-30 tahun malah ada  lebih 40 tahun ke 50 tahun kerana semuanya diwarisi dari keluarga mereka sendiri. 

Jarak dusun buah duriannya tidaklah jauh hanya sekitar 500 meter sahaja dari kampungnya dan kelihatan beberapa pondok menunggu durian dibina di beberapa sudut dusun menandakan pemilik pokok durian yang berbeza.  

Saya bertanya samada mereka akan bermalam di pondok menunggu durian dan jawapannya tidak. Ini kerana lokasinya dekat dengan rumah dan tiada kes kecurian berlaku. Malah kawan saya itu menunjukkan kawasan tanah perkuburan hanya 50 meter dari dusunnya. Baru saya nak ajak bermalam di pondok menunggu durian menanti durian gugur...  

Buah durian yang baik dibawa pulang setiap pagi dan petang sebelum dikumpulkan di rumah masing-masing.

Urusan Jual Beli.

Sebaik sahaja peraih buah durian  buah masuk ke kampung, masing-masing membawa keluar durian ke depan rumah. Hampir setiap rumah saya lihat ada longgokan durian untuk si peraih durian tersebut.  

Ada yang banyak buahnya dan paling sedikit saya lihat ada adik yang memegang hanya sebiji sahaja buah durian bersaiz besar. Tak lepas-lepas tangganya memegang durian. saya rasa dia tak nak adik-adiknya yang lain mengambil durian. Kiranya hasil jualan durian itu adalah bahagian dirinya sahaja. Manakala kanak-kanak yang lain ada yang mempunyai sekitar 3 biji durian. 


Bagi orang dewasa pula, mereka mempunyai lebih banyak jumlah durian untuk dijual kepada peraih. semuanya telah diasingkan mengikut gred tertentu contohnya buaha bewarna kuning, bersaiz besar dan juga bersaiz kecil. Ini dikira saringan pertama kerana si peraih akan menyaringkan sekali lagi sebelum menawarkan harga. 

Maka sampailah si peraih memilih buah durian. Mereka membersihkan dan mengasingkan grade buah tersebut sebelum menimbangnya. Ada yang bernilai RM 5 sekilo dan ada yang bernilai RM 7 sekilo malah ada yang berniai RM 10 sebiji. 

Saya melihat sendiri urusan tawar menawar di antara penjual dan peraih yang berlangsung secara santai sebab bukan sehari dua mereka berjual beli. Masing-masing sudah mengetahui gred durian masing-masing dan harga yang akan ditawarkan. 

Buah durian yang dibeli dibawa masuk ke dalam hilux dan dikumpulkan di Kampung Menson di mana saya melihat 3 khemah kenduri didirikan dan hampir 50 peratus penuh. Kata si peraih, lori syarikatnya akan datang membawa ke semua durian ini untuk pasaran di Melaka dan Johor. Jauh kan .... 

Apapun durian yang saya makan di situ dan dibawa pulang memang sedap dan baru sangat rasanya... 

Selebihnya saya kongsikan sahaja gambar-gambar jalan-jalan kami di kampung ini.. misi mencari durian.... 


Jangan tanya saya nombor telepon sesiapa di sini baik si rakan saya ataupun si peraih durian ya... saya kongsikan kisah saya semata...


1 comment:

Azizi Cameron said...

Terbaik Mr Kumai.. Thanks for sharing

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock