TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, March 3, 2023

PEAK 1500 di Brinchang ...

Catatan saya di Puncak 1,500 ini adalah berdasarkan pengalaman saya sekeluarga di hujung minggu sahaja.  Ini sekadar santai-santai selepas sarapan pagi di hari Ahad di mana biasanya anak-anak nak berjalan-jalan ambil angin pagi. Jadi kenalah cari lokasi baru untuk dicuba dan saya teringatkan Jungle Walk Peak 1500 ini.  


PEAK 1500

Terletak di Brinchang atau lebih tepat di Golden Hill di mana lokasi Pasar Malam Cameron beroperasi. Terdapat 2 pintu masuk ke laluan trek bertangga ini yang terletak bersebelahan dengan Somersquare atau lebih tepat lagi Jalan Golden Hill 9.

Kenapa Peak 1500 namanya... ?

Mudah sahaja untuk difahami iaitu ia dibina pada paras ketinggian 1500 meter dari aras laut atau hampir 5,000 kaki di bahagian puncak laluan trek ini.

Trek santai ini sebenarnya adalah laluan trek konkrit yang dibina oleh pihak pemaju Golden Hills untuk tujuan rekreasi penghuni di sini. Ianya dibuka secara percuma kepada semua sehingga pukul 8 malam setiap hari.

Laluannya banyak bertangga dan ada yang agak curam sebelum landai di beberapa bahagian. Ini menjadikan trek ini tidak sesuai bagi warga emas, OKU serta kanak-kanak yang baru belajar  berjalan sendiri tanpa pengawasan orang dewasa.

Trek konkrit ini dibina dengan melalui cerun bukit dan juga celahan pokok hutan yang tidak diusik semasa pembangunan di sini. Treknya ringkas tetapi menarik dengan kelembapan sekelilingnya yang tinggi dan ia mula membentuk lumut-lumut semulajadi di kawasan trek santai ini.

err ke mana pengakhiran trek ini? 

Tak jauh mana, saya sekitar 356 anak tangga sahaja kita akan keluar di Gate No 2 di jalan utama Golden Hill 9 di Somerhome dan SommerMansion.

Selain itu juga kalau anda bersantai di trek ini, anda sebenarnya masuk dari arah Brinchang namun anda akan melalui Tanah Rata dan keluar semula ke Brinchang kerana ianya terletak di antara sempadan dua pekan. Anda boleh Google Map untuk melihat garis sempadan ini. 


Pendakian kami...

Selepas bersarapan nasi lemak pandan di Brinchang, kami menujuk ke Pintu 1 Jungle Walk ini di Sommersquare Golden Hill ini. Tempat letak keretanya adalah percuma sahaja. 

Di pintu masuk Jungle Walk Peak 1500 ini sesuai untuk bergambar terlebih dahulu. Anak-anak saya memgayakan pelbagai aksi untuk dirakamkan. 

Sebelum memulakan langkahan dan pendakian, kami memanaskan badan dengan senaman ringkas. Maklumlah perut dah kenyang dengan sarapan pagi maka kenalah otot-otot bersedia untuk membawa bebanan tambahan kelak.

Sebaik mendaki, laluannya dimulakan tangga yang menegak dan berlumut baik di bahagian atas konkrit malah dengan kawasan pemegang tangan. Kena lebih berhati-hati di sini namun macam biasa anak-anak terlebih pantas ke hadapan mendaki tanpa rasa penat dan takut. Kami yang tua ini sekadar santai sahaja di belakang.

Suasana semasa pendakian agak sejuk dengan kabus dan juga hujan yang turun rintik-rintik sahaja. Kalau bukan hujan mungkin juga air embun yang masih belum kering kerana kelembapan yang tinggi. Jadi kenalah memakai pakaian seperti wind breaker yang kalis air tapi ringan.  

Angin juga bertiup lemah di beberapa kawasan yang terbuka. Semua ini bagaikan lengkap dalam memberikan pengalaman dan suasana rekreasi santai kami ketika itu.

Tak lama kami sampai dibahagian yang landai tetapi melingkar juga laluannya kerana mengikut kontur cerun bukit. Kami berehat dahulu mengambil nafas sebelum meneruskan perjalanan santai ini.


Tumbuhan yang ada disekeliling semua masih basah dan berlumut nipis. Namun di laluan santai ini terdapat sedikit runtuhan kecil yang menghalang trek namun masih mudah untuk dilaluan. 

Halangan kecil sebegini sebenarnya menambah rencah keseronokkan yang sedikit memberikan cabaran kepada pendakian santai terutama kepada anak bongsu kami yang riuh meminta tolong dan berusaha untuk melepasi halangan tersebut tanpa mengotorkan kasutnya... Buat kecoh sahaja kan...


Kami akhirnya sampai di Puncak 1500 ini. Landmarknya mudah iaitu terdapat tangga yang menuju ke bahagian atas di mana terletaknya kawasan lantai rata yang menandakan kawasan tertinggi dalam trek pendakian ini.  Namun ketika ini terdapat pokok yang rebah di laluan masuk platform tersebut. 


Terdapat beberapa sudut pandangan yang menarik dari celahan pokok di sini kerana ianya berkabus. Terasa kita di atas kabus yang tebal. Juga kelihatan pokok-pokok yang unik di kawasan puncak ini. 


Selepas kawasan ini kami mula menuruni kawasan berbukit dan jangkaan kami meleset kerana rupanya ada lagi satu bahagian pendakian sebelum menuruni ke kaki bukit. 



Kami mengambil masa sekitar 40  minit sahaja untuk pendakian santai di sini. Selebihnya banyak berhenti untuk mengambil gambar sahaja. 

Trek ini memang santai namun seperti mana saya katakan awal tadi ianya tidak sesuai untuk warga emas, OKU dan juga kanak-kanak di bawah 4 tahun yang masih belum kuat berjalan. Kalau nak berdukung selalu nampaknya mak ayahnya perlu kuat sepanjang pendakian ringkas ini... 


Di pintu 2 ini kami kembali ke Brinchang selepas bersantai-santai di puncaknya yang berada di dalamm kawasan Tanah Rata.


40 minit tak meletihkan kami..... maklumlah baru lepas sarapan... maka kami memutuskan untuk menyambung cabaran rekreasi kami ke Gunung Perdah pula ..... 

Nanti saya kongsikan catatannya... Klik di SINI

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock