TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Saturday, March 4, 2023

Mendaki Gunung Perdah

Selepas kami mendaki PEAK 1500 yang hanya mengambil masa selama 40 minit, kami meneruskan aktiviti hujung minggu kami dengan mendaki pula Gunung Perdah. Jauh ke lokasi dari Peak 1500 ? Tidak hanya 650 meter sahaja dari Gate 2. Catatannya boleh dibaca di SINI


Gunung Perdah.

Gunung Perdah ini dahulu terletak di dalam kawasan Tanah Rata sering dipasangkan dengan Gunung Jasar kerana menjadi pilihan pendaki untuk melakukan dua puncak gunung serentak samada dari Gunung Jasar ke Gunung Perdah atau sebaliknya. Kedua gunung ini terletak bersebelahan sahaja di mana jarak di antaranya tidaklah jauh. 

Namun sejak 5 tahun lepas ekoran dari pembangunan Golden Hills, menyaksikan Gunung Perdah hanya tinggal puncak gunungnya sahaja dengan pembangunan perumahan hampir ke puncaknya. Tiada lagi trek pendakian asal melalui Stesen Mateorologi atau dari Kampung Orang Asli Sungai Ruil. 

Kini sampai ke bawah puncaknya sahaja terdapat tangki air bagi kawasan Somermansion Golden Hill. Untuk mendaki ke puncak Gunung Perdah ini hanya perlu mendaki longkang cerun setinggi 30 meter sahaja sebelum sampai ke puncak. 

Kenapa boleh dibangunkan kawasan puncak ini?

Jawapan yang mudah adalah kawasan Gunung Perdah ini tidak terletak di dalam kawasan hutan simpan kekal di mana pembangunan boleh dilaksanakan.


Pendakian kami..

Kami secara santai bergerak dari Gate 2 Peak 1500 ke kawasan Sommer Mansion sebelum singgah di kawasan bersebelahan tebing yang boleh melihat pemandangan Golden Hill dan juga Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil .

Jika anda ingin melihat perkampungan moden orang asli, Kampung Orang Asli ini adalah antara termoden di Malaysia. Namun pembangunannya hanya selepas peristiwa tanah runtuh yang mengorbankan beberapa orang penduduk pada 5 tahun yang lalu. 

Kawasan ini cantik untuk bersantai dan saya terbayangkan kalau boleh memacak khemah di sini, namun difahamkan kini memang telah ada syarikat yang membuat khidmat tapak perkhemahan mewah beserta dengan caravan di kawasan ini.

Berbalik dengan pendakian kami ini, trek pendakian sebenar sangat mudah. Saya boleh memandu kereta terus ke tangki air di hampir di puncak gunung ini dan hanya perlu mendaki longkang cerun untuk ke puncaknya dengan masa sekitar 10 minit sahaja. 

Namun itu bukan pilihan kami kerana mahukan lebih cabaran ataupun sedikit kelainan ataupun nak merasa sehampir mungkin pengalaman mendaki gunung secara dekat dengan cabaran alamnya. 

Jadi kami memilih untuk bermula dengan denai ringkas dari Kampung Orang Asli Sungai Ruil. Nampaklah dan rasa lebih menarik sikit bagi anak-anak.


Selepas denai tersebut, kami tiada pilihan dengan mendaki kawasan longkang cerun yang lebih panjang untuk ke puncaknya. Lebih mencabar juga kerana masih perlu mendaki di celahan longkang cerun yang ditutupi semak samun. 

Kadang-kala kami menyimpang masuk ke belukar yang nampak ada denai untuk lebih mencabar diri dan lebih nak seronok sahaja. Anak-anak pun suka menyelit sana sini di celahan belukar tersebut.

Selepas mendaki longkang cerun ini, kami sampai ke permatang Gunung Jasar. Cuma agak kecewa juga kerana hampir rata kawasan ini oleh jentera tanah yang membuat cerun bukit untuk tangki air. 

Puncak Gunung Jasar hanyalah sekitar 30 meter sahaja dan kami mudah sangat sampai ke sana. Puncak Gunung Jasar ini adalah pada aras ketinggian 1564 meter. 

Pemandangan di Puncak Gunung Perdah ini adalah kawasan hutan dan gunung ganang di bahagian baratnya manakala di bahagian timur adalah kawasan pembangunan Golden Hill.

Ketika kami mendaki tidaklah hujan namun selepas 10 minit dipuncaknya hujan mulai turun dengan sedikit lebat. Nak turun dah tak selamat ketika ini kerana longkang cerun akan dipenuh dengan aliran air maka kami mengambil keputusan untuk kekal di puncaknya. 

Mujur ada tinggalan plastik khemah lama yang ditinggalkan oleh pendaki terdahulu untuk kami berlindung. Seronok pula anak-anak kerana macam berkhemah pula.

Selepas 30 minit hujan turun, kami berpeluang untuk balik walaupun dalam renyai-renyai sebelum berhenti sepenuhnya. Untuk turun, kami memilih untuk menggunakan laluan termudah iaitu di tangki air. 

Perjalanan turun tidaklah mengambil masa yang lama namun kena berhati-hati juga sebab baru selepas hujan dan longkang cerun yang licin. 

Secara keseluruhanya kami mengambil masa 2 jam untuk mendaki ke Gunung Perdah ini dengan 30 minit terperangkap dalam hujan.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock