Apa kata anda klik info ini.. saya tak marah ...

Gambar terkini di Facebook mrkumai.blogspot.com

Buat Carian Pantas seperti tempat makan, tips bercuti, strawberry dan sebagainya di sini:

Monday, February 24, 2014

Pejabat Agama Islam Daerah CH @ Perkampungan Orang Asli Lemoi

Pejabat Agama Islam Daerah CH atau PAID CH mempunyai laman Facebook mereka sendiri yang berkongsikan aktiviti-aktiviti mereka di sekitar Cameron Hihghland.
 
Saya turut menjadi rakan fb laman mereka ini.
 
Antara yang menarik bagaimana aktivti dakwah yang dijalankan mereka ke Perkampungan Orang Asli dan antara yang pernah mereka lakukan adalah di Kampung Lemoi.
 
Saya belum pernah ke sini walaupun beberapa kali bercadang ke sini.
 
Namun laluannya bukan sedikit mencabar tetapi amat mencabar.
 
Saya pernah kongsikan kisah guru-guru di SK Lemoi yang terpaksa melalui cabaran untuk bertugas di sini. Klik SINI untuk ke catatan saya terdahulu... promo gambar ini mungkin menarik hati anda untuk melihatnya...
 
 
Semua gambar ini saya petik dari FB PAID CH.. agak menarik... malah amat amat menarik...
 
Membina Surau di Kampung Lemoi:
 
 
 
 
 
 
 
Majlis Perasmian Surau baru Kampung Lemoi..
 
 
 
 
 
 
RED - Road Expedition of Dakwah :
 
 
 
 
 
Laman FB Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands .. di sini dan hubungi mereka untuk sebarang pertanyaan ..

Thursday, February 20, 2014

Kembara @ Gua Tempurung ... Top of World

Siri kedua kisah kembara kami di Gua Tempurung kali menyambung pengembaraan kami sekeluarga ke laluan pakej kedua.. iaitu Top Of World... 
 
Saya rasa kenapa pakej ini dinamakan sebegini adalah kerana kita akan melalui kawasan yang tertinggi sekali di dalam Gua Tempurung ini.
 
Pakej satu, Golden Flowstone dan pakej dua ini dikategorikan sebagai pakej Kering iaitu tidak melibatkan sebarang laluan ataupun aktiviti basah.
 
Manakala pakej 3 dan 4 adalah aktiviti basah dan melihat gambar yang disediakan dan di gantung di kaunter menunjukan melibatkan aktiviti lasak termasuklah mengharungi air.
 
Saya teruja untuk kembali ke sana dan menghabiskan keempat-empat pakej ini.
 
Laluan pakej dua Top of World ini memerlukan pendakian ke puncak dengan tangga yang agak curam selepas sahaja anda melepasi checkpoint Golden Flowstone.
 
 
Berada di atas rabungnya, anda akan menuruni pula untuk ke laluan ke pakej tiga. Ketika ini keadaan bumbung atau siling gua rendah dan kecil berbanding di pakej satu yang bumbungnya meninggi di atasnya.
 
Di sini ketika melalui ruangan kecil, anda akan merasa deruan angin yang melaluinya. 
 
Kebiasaanya pengalaman saya ke beberapa gua seperti Kota Gelanggi, Senyum dan Kelam memang akan merasainya sebegini. Malah ada yang menamakan gua tersebut sebagai Gua Angin.
 
Laluan ini di atasnya pula agak landai dan menuju penamatnya adalah di laluan menuruni bukit untuk ke peringkat seterusnya.
 
 
Kemudian anda perlu kembali semula menggunakan laluan yang sama untuk ke muka gua.
 
Pemerhatian saya di kawasan ini lebih kepada batuan keras yang terbentuk dengan permukaan yang amat rata dan licin berbanding di permukaan dinding dan bumbung di kawasan Golden Flowstone.
 
 
Kalau melihat keadaanya saya menjangkakan, pergerakan angin yang lebih laju menyebabkan laluan atau lubang gua lebih terhakis dan tiada pertumbuhan kepada batuan lain.
 
Malah suasananya juga agak kering berbanding lembab di laluan awal.
 
Namun ianya sekadar pendapat peribadi. Untuk lawatan di sini juga terdapat pemandu arah yang boleh anda tanya untuk lebih lanjut dan tepat.
 
Dengan hanya RM 9 untuk kedua-dua tahap atau peringkat pengembaraan di sini, saya sangat-sangat menyarankan anda untuk memilih Gua Tempurung ini.
 
 
Ada pendapat mengatakan dengan pembinaan tangga dan jambatan di dalam gua ini akan menyebabkan keasliannya terhakis dan boleh merosakkan khazanah di dalamnya.
 
Saya sedikit bersetuju tetapi lebih terbuka dalam soal peluang kepada semua peringkat umur untuk mendekati keunikkan gua terutamanya bila berkaitan dengan keselamatan.
 
Malah binaan tangga dan jambatan membantu bahagian lain lebih terpelihara kerana pengunjung tidak akan melalui kawasan selain yang dikhaskan.  
 
 
Pengalaman saya menerokai sendiri gua di Kota Gelanggi memang amat menyeronokan kerana perlu menyelit masuk, merangkak, meniarap, mengharung air dan pelbagai lagi. Namun ianya hanya sesuai untuk saya dan segolongan yang lain.
 
Untuk membawa isteri, anak-anak kecil ataupun remaja perjalanan sebegitu memang tidak sesuai tetapi dengan kemudahan di Gua Tempurung ini adalah amat memudahkan semua peringkat umur.
 
Keasliaannya mungkin tercalar tetapi lebih ramai yang dapat menghargai dan pihak yang bertanggungjawab keatasnya dapat melakukan penyelenggaran seperti yang saya lihat persekitaran dalam gua adalah amat bersih tanpa sampah sarap.
 
bangga sungguh Hakimi .. hakikatnya .. Bangang sungguh mamat ni ..
 
Hanya saya melihat berlaku juga vandalisma dengan menconteng permukaan gua. Namun ketika di gua yang lain saya melihat lebih lagi vandalisma kerana tiada pengawasan sepanjang masa.
 
Jadi jika anda ingin mencari laluan kembara santai, pilih sahaja Gua Tempurung ini.
 
Kemudahan lain juga disediakan dengan aktiviti tambahan. Saya dah berkira-kira dengan kakitangan saya untuk ke sini sebagai aktiviti kami kelak... Insyaallah ...
 
 
Untuk koleksi Gambar kami selebihnya di sini.. KLIK 

Kembara @ Gua Tempurung ... Pakej Golden FlowStone...

Gua Tempurung.. saya mendengar namanya bukan setahun dua tetapi dari seawal tahun 1997 tahun dan setelah lebih 17 tahun saya berkesempatan buat pertama kali singgah dan memasuki kawasannya guanya..
 
Setelah kami sekeluarga ke Kellie's Castle seperti yang saya kongsikan dalam catatan sebelum ini, kami mula bergerak ke arah Gopeng Perak untuk ke kawasan perlancongan Gua Tempurung ini ...
 
 
Mudah dicari kerana jalan masuknya jelas bertanda dan agak selesa pemanduannya ke sini.
 
Tiba di kaki gua, saya rasa agak lewat kerana tiba sekitar 3.45 petang. Dari pintu masuk gua, saya dan anak-anak menghampiri kaunter tiket dan dimaklumkan hanya pakej satu iaitu Golden Flowstone yang masih dibuka untuk kunjungan kerana waktu yang sudah lewat untuk ke pakej seterusnya. 
 
Saya terpaksa akur dan melupakan pakej kedua , ketiga dan keempat yang akan saya kongsikan dalam catatan seterusnya.
 
 
Pakej Golden Flowstone ini melibatkan laluan kering yang selesa dengan menggunakan laluan bertangga dan jambatan yang telah disediakan.
 
Tetapi sebelum itu, rasanya terlalu cepat pula untuk saya berkongsikan kisah kami menerokai pakej ini tanpa berkongsikan sedikit maklumat mengenai Gua Tempurung ini...

Maklumat ini juga saya petik dari laman web yang lain .. kali ni wikipedia versi bahasa melayu pilihan saya:
 
Gua Tempurung terdiri daripada lima kubah besar yang silingnya menyerupai tempurung kelapa, dengan setiap kubah mempunyai bentuk stalagmit dan stalaktit yang berbeza. Selain itu, setiap kubah berbeza dari segi suhu, aras air, dan kandungan batu kapur dan marmar.
 
 
Gua Tempurung merupakan salah satu gua batu kapur terbesar di Semenanjung Malaysia.
 
Gua Tempurung merupakan sebuah gua yang menjadi tumpuan pelancong yang merentasi satu kilometer dari Sungai Siput sehingga Kuala Dipang dan terdiri daripada lima siling kubah yang berbentuk tempurung.
 
Gua Tempurung terletak di Gopeng, sekitar 24 kilometer selatan bandar Ipoh. ia juga hanya 15 minit memandu dari Sungai Kampar yang juga merupakan tumpuan para pelancong untuk aktiviti berkayak atau berakit merentasi jeram.
 
Dipertengahan gua ini terdapat satu stalagmit yang berbentuk seperti gergasi.
 
Memandangkan gua ini menjadi tumpuan pelancong, kerajaan negeri Perak telah memelihara dan memulihara kawasan gua ini supaya lebih menarik dan mesra pelancong.
 
Gua gua kini dilengkapi lampu , tangga dan titi serta kemudahan awam lain turut disediakan. Bagi mereka yang suka aktiviti lasak, acara meredah sungai dalam gua turut diadakan.
 
 
Selain menyimpan khazanah alam, gua ini turut tertulis dalam sejarah Malaysia. Gua ini menjadi tempat persembunyian komunis pada masa dahulu daripada 1950 hingga 1960. Manakala semenjak daripada tahun 1970, Gua Tempurung telah dijadikan lombong bijih timah.
 
Ok? Cukup? Kita berbalik kepada kisah kami pula.
 
Untuk masuk ke sini, tiket berharga RM 6 untuk dewasa dikenakan bagi setiap pengunjung.
Manakala kanak-kanak pula RM 2.50 seorang dan akan diberikan stiker berwarna jingga untuk ditampal di baju.
 
Bolehkan kanak-kanak masuk ke dalam gua ini? Untuk pakej ini dan pakej dua tiada masalah.
 
 
Saya sendiri membawa anak berusia 4 tahun dan 6 tahun malah ketika di dalam gua terdapat kanak-kanak yang lebih muda dari anak saya malah saya juga berselisih dengan seorang bapa yang membawa bayinya ke dalam yang pada pandangan saya berusia setahun lebih sahaja.
Namun utamakan keselamatan baik yang fizikal mahupun yang rohani dan jasmani. Kita masuk ke dalam gua bang ooi... bukannya pasaraya...
 
Melalui kawasan permulaan pintu gua masih terdapat cahaya matahari yang menyelit masuk tetapi sebaik mendaki tangga yang pertama, kawasan semakin gelap tetapi usah risau, gua ini diterangi oleh lampu-lampu yang menyuluh kawasan tumpuan dan hasilnya amat cantik.
 
 
Pakej Golden Flowstone melibatkan laluan kering sekitar 40 minit sehinggalah ke kawasan pemerhatian batu-batuan yang unik dan bewarna keemasan dengan limpahan lampu yang dipasang.
 
Laluan ini tidaklah begitu tinggi tetapi masih perlu mendaki tangga-tangga untuk ke bahagian atasnya.
 
 
Uniknya di sini adalah bentuk batuan yang menarik di dinding gua yang amat luas dan besar baik di kiri ataupun kanan.
 
Dinding-dinding gua ini menampilkan corak batuan yang pelbagai akibat dari hakisan air dan angin ratusan tahun yang membentuk laluan gua ini sendiri.
 
 
Saya membawa kamera tanpa tripod dan hasilnya menangkap gambar dalam suasana yang kurang cahaya memang mengecewakan hasilnya namun boleh lah untuk dikongsi di sini .
 
Lain kali saya akan membawa tripod dan lebihkan masa untuk meninjau di sisi kerana untuk kunjungan ini saya lebih banyak mengejar anak-anak saya yang seronok mendaki dan melalui jambatan ke kawasan dalam gua tanpa rasa penat dan risaukan keselamatan mereka.
 
 
Pakej kami memberikan kami peluang melihat beberapa lokasi yang amat cantik dan kami memilih untuk menerokai sendiri gua ini tanpa mengikuti pemandu arah yang disediakan.
 
Sebenarnya dengan pakej yang anda bayar itu, anda diberikan sekali pemandu arah yang akan bergerak dalam waktu yang ditetapkan dengan jumlah pengunjung sekitar 15 sekumpulan.
 
 
Saya menemui kumpulan-kumpulan yang mengikuti pemandu arah ini yang berhenti di beberapa lokasi untuk menerangkan setiap sudut gua dan jenis batuan yang ada.
 
Rugi sebenarnya tidak mengikuti pemandu arah yang sarat dengan maklumat dan info mengenai sudut-sudut gua ini.

Insyallah lain kali kerana saya sebenarnya kesuntukan untuk berlama-lama di sini.
 
Untuk pakej satu ini saya menghabiskan masa untuk 20 minit untuk sampai ke Check Point Golden Flowstone dan sepatutnya berpatah balik selepas sampai di sini namun.... 
 
 
sebaliknya kami diberi peluang untuk menyambung pula ke Top Of The World yang merupakan pakej kedua sebenarnya... terima kasih ...
 
itu akan saya kongsikan kisahnya dalam catatan yang lain ...
 
Untuk koleksi gambar yang lain .. klik di sini ...

Kellie's Castle

Masih lagi bersama aktiviti kami bersantai dan kali ini kami sekeluarga berkesempatan lari dari kesibukan Tahun Baru Cina di Cameron Highlands dengan mengunjungi Kellie's Castle di Perak. Boleh sakit jiwa kalau berada di CH di waktu cuti ini kerana terlalu padat dengan kunjungan pelancong yang bercuti di sini ... jom lari turun...
 
 
Saya kira kisah bangunan kediaman yang tidak siap ini telah anda ketahui kisahnya dan kini berpeluang pula untuk masuk ke dalamnya.
 
Sedikit sejarah yang saya petik dari laman web yang boleh anda cari sendiri ... antaranya ...
 
Istana Kellie dibina sebagai rumah kedua bagi pengusaha ladang dari Scotland bernama William Kellie Smith pada abad ke-20.
 
Tinggal jauh dari kampung halaman, Kellie berhasrat membina kediaman baru yang dapat mengembalikan kenangan di rumahnya yang jauh di Scotland.
 
Mahligai ini terletak di bahagian atas bukit yang pada asalnya adalah sebuah estet getah.

William Kellie Smith adalah seorang lelaki yang menarik dan sangat terkenal di kalangan pekerjanya dari India Selatan.
 
Seorang yang baik hati, beliau mendirikan sebuah kuil Hindu untuk pekerjanya di perkarangan kawasan mahligai tersebut.
 
Sebagai tanda penghargaan, pekerja-pekerja beliau mendirikan sebuah patung Kellie lengkap dengan sut putih dan topi dan ini menyebabkan ada andaian mengatakan beliau telat menganut agama Hindu.

Ada kisah menyatakan, beliau bersetuju untuk membina kuil tersebut selepas wabak malaria melanda dan mengakibatkan tukang-tukang rumahnya ini mati.

Malah ada juga menyatakan bahawa laluan terowong rahsianya menghubungkan bangunan utama rumahnya hingga ke kuil ini untuk tujuan kecemasan dan keselamatan kelak.

Pembinaan mahligai yang unik ini bermula pada tahun 1915. Walau bagaimana pun, ia terhenti secara mendadak dengan kematian mengejut Kellie pada tahun 1926.

 
Mahligai terpencil ini, kelihatan seakan-akan alam nyata di dalam lautan ladang di Perak, ia memaparkan satu personaliti yang kuat dan mempunyai aura misteri. 
 
Dari atas anda akan dapat melihat ladang kelapa sawit yang kini dimiliki oleh Sime Darby Plantation Berhad.
 
Selepas kematian William, isterinya mengambil keputusan untuk menjual segala aset dan hartanya di Malaya kepada sebuah syarikat perladangan iaitu Harisson and Ford kalau tak silap saya.
 
Cuma pemilik baharu ladang ini kemudian tidak menyatakan minat untuk meneruskan pembinaan istana kellie ini dan membiarkannya dimamah usang dengan tumbuh-tumbuhan liar yang akhirnya menyebabkan sebahagian struktur mulai runtuh.
 
Cuma apabila Kerajaan Negeri Perak besetuju untuk membaik pulih kawasan ini sebagai salah satu bahan monumen sejarah dan tarikan pelancongan membolehkan kita mengunjunginya hari ini.  
  
Dah cukuplah dengan sejarah di atas kerana jika tidak cukup versi yang lain boleh anda baca lagi di internet dan jika anda berkunjung ke sini.
 
Kami sampai di pusat atau  komplek perlancongan ini yang baharu dirasmikan tahun lepas sekitar pukul 1.30 petang dan memang agak panas terik. 
 
Tidak sanggup berpanas, kami mengambil keputusan untuk berehat sebentar dengan menikmati lai chi kang di kafe di situ sebelum menunaikan solat di suraunya.
 
 
Di kompleks ini terdapat kemudahan awam yang baik seperti tandas, surau, bilik tayangan dan juga gerai-gerai jualan.
 
Cuma di kafenya tidak terdapat makanan berat kecuali sekadar makanan ringan seperti mee, nasi lemak, pau dan kuih muih.
 
Tempat letak keretanya luas cuma kini perlu membayar tiket meletak kenderaan.
 
Cuaca masih amat panas dan kami tiada pilihan kerana perlu bergerak segera kerana ada satu lagi lokasi yang ada dalam perancangan kami iaitu Gua Tempurung. 
 
 
Dengan membayar tiket RM 5 untuk dewasa tempatan dan RM 3 untuk kanak-kanak kami memasuki jambatan yang menghubungkan komplek perlancongan ini dengan banguan Istana Kellie.
 
Mendaki tangga ke bangunan utama tidak memenatkan kerana tidaklah tinggi cuma panas yang membahang merimaskan kami yang biasa dengan sejuk ini.
 
Namun tidak menghalang anak-anak kecil saya berlari-lari mendaki tangga demi tangga.
 
 
Memasuki kawasan bangunan utama terdapat sebahagian bangunan yang runtuh yang dinamakan bangunan rumah asal atau Kellie House sebelum dibina Istana Kellie yang menghubungkan kedua-dua bangunan ini.
 
Senibinanya seperti yang dikatakan mempunyai unsur-unsur Monghul, India dan sedikit campuran Scotland.
 
 
Ketika anda masuk ke ruang tamu, terdapat maklumat sejarah mengenai pembinaan dan latar belakang mengenai  William Kellie Smith dan beliau menggunakan nama ibunya iaitu Kellie yang baharu meninggal sebagai nama istana ini.
 
 
Isteri saya agak kepenatan untuk melihat keseluruhan kawasan ini dan akhirnya hanya saya dan anak-anak kecil yang menerokai keseluruhan kawasan.
 
Mendaki tangga kecil naik ke tingkat atas tidak menjadi masalah cuma apabila naik ke tingkat kedua dan ketiga agak merisaukan saya kerana berada di atas bumbung bangunan yang terdedah kepada bahaya.
 
Benar juga catatan yang pernah dikongsikan oleh Mazidul Akmal dalam blognya yang mengatakan Istana Kellie ini boleh menjadi perangkap maut kerana dibahagian atas bumbung dan menaranya tidak terdapat sebarang halangan keselamatan dan bayangkan anda boleh berdiri sampai ke hujung untuk bergambar dan sangat merbahaya untuk kanak-kanak.
 
Walaupun sudah terdapat penambahbaikan dengan meletakan halangan bertali di kawasan tersebut, namun bukannya begitu selamat kerana sekadar halangan biasa yang tidak mampu menahan berat badan kita.
 
Akhirnya saya segera turun ke bawah kerana bimbang jika terlepas kawalan kerana asyik mengambil gambar, boleh merbahayakan anak-anak saya yang tidak reti untuk duduk diam.
 
Kami menghabiskan masa sekitar 1 jam di sini .
 
Saya memahami kenapa si William Kellie Smith ini membina rumahnya sebegini.
 
Pertama beliau adalah Orang Scotland yang mempunyai kawasan ladang getahnya sendiri dan membina rumah besar atau banglo bukanlah asing kerana itulah yang dilakukan oleh peladang-peladang Eropah yang membuka ladang di negara kita dahulu.
 
Mereka membina dan inginkan gaya hidup yang melambangkan kemewahan dan ketuanan mereka dan selalunya kalau anda ke ladang-ladang milik Sime Darby ataupun sebelum ini Kumpulan Guthrie atau Golden Hope, IOI atau sebelum ini Dunlop dan banyak lagi, bangunan rumah pengurus mereka amat besar dan di atas puncak bukit.
 
 
Malah kalau anda membaca sedikit sejarah William Kellie Smith yang gemarkan bersosial dengan peladang yang lain di hujung minggu dan mahukan statusnya mendapat perhatian maka anda akan memahami niatnya ini. 
 
Cuma keazaman beliau mereka, membawa sendiri bahan mentah bangunannya dari India beserta para tukang yang mahir juga dari India boleh menceritakan betapa beliau begitu mempunyai matlamat yang jelas ditambah dengan ruang lift yang kalau dibina ketika itu adalah yang pertama di Malaya.
 
 
Anda bayangkan juga tahun pembinaan adalah sekitar 1915 dan terhenti pada tahuin 1926 yang mana kalau dibandingkan dengan sejarah Cameron Highlands, beliau lebih awal mencipta gerak gaya keunggulannya kerana Cameron Highlands mula dibuka sekitar 1920 walaupun penemuaan seawal 1885 oleh William Cameron.
 
Jadi kalau anda mahu ke Istana Kellie ini, silakan dan keluar dari arah Gopeng ke Batu Gajah dan lokasinya hanya di tepi jalan sahaja...
 
Koleksi gambar kami selebihnya di sini.. klik...

Wednesday, February 19, 2014

Taman Buaya dan Rekreasi Melaka

Destinasi yang pernah kami sekeluarga pergi kali ini kami berkongsikan pula Taman Buaya dan Rekreasi Melaka di Ayer Keroh.
 
 
Lokasinya amat mudah. Bertentangan dengan pintu masuk Zoo Melaka atau lebih mudah hanya di sebelah McDonald Ayer Keroh.
 
Kali pertama saya pergi ke sini adalah selepas UPSR tahun 1990 kalau tak silap saya. Dan kini 2013, saya pergi sekali lagi setelah beratus kali sekadar melalui dihadapannya sejak 7 tahun yang lalu.
 
Dan kali ini saya tidak berseorangan tetapi bersama dengan keluarga kecil saya.
 
Kalau mengimbau masa dahulu, rombongan sekolah yang saya ikuti memilih taman buaya ini sebagai salah satu tempat melawat ke Melaka.
 
Cuma masih saya ingat, selain buaya, tumpuannya kami adalah rumah hantu yang terdapat disini serta rumah kaca yang memeningkan kami mencari jalan keluar.
 
Namun ketika saya kembali ke sana baharu ini, taman yang seluas 3.5 hektar ini sudah tiada tarikan sebegitu.
 
Saya  melihat kepada koleksi buayanya yang diletakkan di dalam kandang. Saya masih teringat dahulu kami berkesempatan melalui jambatan yang mana merentasi kandang buaya dibawahnya tetapi kini lebih kepada kandang pameran saya untuk dikelilingi.
 
 
Cuma tarikan baharu adalah Taman Burung bersangkar serta rumah reptilia, rumah mamalia dan juga miniatur bangunan Malaysia yang terdiri daripada  13 monumen.
 
Yang istimewanya ketika kami sampai sekitar pukul 2.30 petang Ahad, terdapat pertunjukan buaya yang dilakukan oleh kakitangan mereka.
 
 
Antara kemahiran pertunjukan mereka bermula dengan pertunjukan silap mata yang sangat ringkas sebelum pasukan pertunjukan buaya mengambil tempat dan menjadi tumpuan utama.
 
Kami dimaklumkan pertunjukan pada bulan 10 -12 adalah amat mencabar kerana buaya dalam mood mengawan dan biasanya akan lebih menganas.
 
Ini betul kerana sekitar sebulan dua ini kita asyik mendengar ada sahaja mangsa yang dibaham buaya di Sarawak tetapi masuk ke bulan dua ini, agak sunyi sepi.
 
Malah untuk mengeluarkan buaya dari kandangnya sahaja cukup mencabar kerana mereka bertindak ganas.
 
Aksi mengangkat buaya kecil, memberus gigi tidaklah begitu mencabar rasanya kerana saiz buaya yang kecil.
 
 
Namun aksi bersama buaya dewasa dengan memasukan tangan ke dalam mulut buaya yang ternganga dan memasukan duit menggunakan mulut sendiri memang agak mengerunkan.
 
 
Kalau dia ngap... hilang tangan .. dan kepala... duit ke mana ... kepala ke mana...  Tetapi kedua aksi mereka ini amat berani.
 
 
Penutup tirai kami dijanjikan dengan tarian buaya.
 
Tertanya-tanya juga awalnya bagaimana buaya ini akan menari dan akhrinya terjawab dengan aksi si gembala buaya mendukung dan menari lagu rasa sayang bersama buaya yang didukungnya.
 
 
 
Yang terbaru pula adalah taman air yang serba ringkas untuk kanak-kanak. Dan sememangnya kami sengaja ke sini kerana anak-anak asyik meminta untuk mandi dan bermain di kolam.
 
Untuk ke Melaka Wonderland Park, agak ramai orang di hujung minggu manakala untuk ke A Famosa pula agak jauh.
 
Kami menghabiskan sejam lebih di kolam ini berbanding dengan lawatan ke kandang buaya yang hanya sekadar melalui pinggiran kandang sahaja....
 
Tiket masuk adalah RM 15 untuk dewasa di hujung minggu dan anak-anak kami percuma kerana dibawah umur 5 tahun ... kalau tidak RM 12 seorang.
 
Kemudahan surau agak selesa cuma tiada kedai makan di dalam kecuali gerai buah-buahan sahaja di dalamnya. Makan dahulu di McDonald sebelum masuk.
 
Lawat laman web mereka di SINI manakala gambar kami di sana selebihnya di SINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...