TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Thursday, February 20, 2014

Kellie's Castle

Masih lagi bersama aktiviti kami bersantai dan kali ini kami sekeluarga berkesempatan lari dari kesibukan Tahun Baru Cina di Cameron Highlands dengan mengunjungi Kellie's Castle di Perak. Boleh sakit jiwa kalau berada di CH di waktu cuti ini kerana terlalu padat dengan kunjungan pelancong yang bercuti di sini ... jom lari turun...
 
 
Saya kira kisah bangunan kediaman yang tidak siap ini telah anda ketahui kisahnya dan kini berpeluang pula untuk masuk ke dalamnya.
 
Sedikit sejarah yang saya petik dari laman web yang boleh anda cari sendiri ... antaranya ...
 
Istana Kellie dibina sebagai rumah kedua bagi pengusaha ladang dari Scotland bernama William Kellie Smith pada abad ke-20.
 
Tinggal jauh dari kampung halaman, Kellie berhasrat membina kediaman baru yang dapat mengembalikan kenangan di rumahnya yang jauh di Scotland.
 
Mahligai ini terletak di bahagian atas bukit yang pada asalnya adalah sebuah estet getah.

William Kellie Smith adalah seorang lelaki yang menarik dan sangat terkenal di kalangan pekerjanya dari India Selatan.
 
Seorang yang baik hati, beliau mendirikan sebuah kuil Hindu untuk pekerjanya di perkarangan kawasan mahligai tersebut.
 
Sebagai tanda penghargaan, pekerja-pekerja beliau mendirikan sebuah patung Kellie lengkap dengan sut putih dan topi dan ini menyebabkan ada andaian mengatakan beliau telat menganut agama Hindu.

Ada kisah menyatakan, beliau bersetuju untuk membina kuil tersebut selepas wabak malaria melanda dan mengakibatkan tukang-tukang rumahnya ini mati.

Malah ada juga menyatakan bahawa laluan terowong rahsianya menghubungkan bangunan utama rumahnya hingga ke kuil ini untuk tujuan kecemasan dan keselamatan kelak.

Pembinaan mahligai yang unik ini bermula pada tahun 1915. Walau bagaimana pun, ia terhenti secara mendadak dengan kematian mengejut Kellie pada tahun 1926.

 
Mahligai terpencil ini, kelihatan seakan-akan alam nyata di dalam lautan ladang di Perak, ia memaparkan satu personaliti yang kuat dan mempunyai aura misteri. 
 
Dari atas anda akan dapat melihat ladang kelapa sawit yang kini dimiliki oleh Sime Darby Plantation Berhad.
 
Selepas kematian William, isterinya mengambil keputusan untuk menjual segala aset dan hartanya di Malaya kepada sebuah syarikat perladangan iaitu Harisson and Ford kalau tak silap saya.
 
Cuma pemilik baharu ladang ini kemudian tidak menyatakan minat untuk meneruskan pembinaan istana kellie ini dan membiarkannya dimamah usang dengan tumbuh-tumbuhan liar yang akhirnya menyebabkan sebahagian struktur mulai runtuh.
 
Cuma apabila Kerajaan Negeri Perak besetuju untuk membaik pulih kawasan ini sebagai salah satu bahan monumen sejarah dan tarikan pelancongan membolehkan kita mengunjunginya hari ini.  
  
Dah cukuplah dengan sejarah di atas kerana jika tidak cukup versi yang lain boleh anda baca lagi di internet dan jika anda berkunjung ke sini.
 
Kami sampai di pusat atau  komplek perlancongan ini yang baharu dirasmikan tahun lepas sekitar pukul 1.30 petang dan memang agak panas terik. 
 
Tidak sanggup berpanas, kami mengambil keputusan untuk berehat sebentar dengan menikmati lai chi kang di kafe di situ sebelum menunaikan solat di suraunya.
 
 
Di kompleks ini terdapat kemudahan awam yang baik seperti tandas, surau, bilik tayangan dan juga gerai-gerai jualan.
 
Cuma di kafenya tidak terdapat makanan berat kecuali sekadar makanan ringan seperti mee, nasi lemak, pau dan kuih muih.
 
Tempat letak keretanya luas cuma kini perlu membayar tiket meletak kenderaan.
 
Cuaca masih amat panas dan kami tiada pilihan kerana perlu bergerak segera kerana ada satu lagi lokasi yang ada dalam perancangan kami iaitu Gua Tempurung. 
 
 
Dengan membayar tiket RM 5 untuk dewasa tempatan dan RM 3 untuk kanak-kanak kami memasuki jambatan yang menghubungkan komplek perlancongan ini dengan banguan Istana Kellie.
 
Mendaki tangga ke bangunan utama tidak memenatkan kerana tidaklah tinggi cuma panas yang membahang merimaskan kami yang biasa dengan sejuk ini.
 
Namun tidak menghalang anak-anak kecil saya berlari-lari mendaki tangga demi tangga.
 
 
Memasuki kawasan bangunan utama terdapat sebahagian bangunan yang runtuh yang dinamakan bangunan rumah asal atau Kellie House sebelum dibina Istana Kellie yang menghubungkan kedua-dua bangunan ini.
 
Senibinanya seperti yang dikatakan mempunyai unsur-unsur Monghul, India dan sedikit campuran Scotland.
 
 
Ketika anda masuk ke ruang tamu, terdapat maklumat sejarah mengenai pembinaan dan latar belakang mengenai  William Kellie Smith dan beliau menggunakan nama ibunya iaitu Kellie yang baharu meninggal sebagai nama istana ini.
 
 
Isteri saya agak kepenatan untuk melihat keseluruhan kawasan ini dan akhirnya hanya saya dan anak-anak kecil yang menerokai keseluruhan kawasan.
 
Mendaki tangga kecil naik ke tingkat atas tidak menjadi masalah cuma apabila naik ke tingkat kedua dan ketiga agak merisaukan saya kerana berada di atas bumbung bangunan yang terdedah kepada bahaya.
 
Benar juga catatan yang pernah dikongsikan oleh Mazidul Akmal dalam blognya yang mengatakan Istana Kellie ini boleh menjadi perangkap maut kerana dibahagian atas bumbung dan menaranya tidak terdapat sebarang halangan keselamatan dan bayangkan anda boleh berdiri sampai ke hujung untuk bergambar dan sangat merbahaya untuk kanak-kanak.
 
Walaupun sudah terdapat penambahbaikan dengan meletakan halangan bertali di kawasan tersebut, namun bukannya begitu selamat kerana sekadar halangan biasa yang tidak mampu menahan berat badan kita.
 
Akhirnya saya segera turun ke bawah kerana bimbang jika terlepas kawalan kerana asyik mengambil gambar, boleh merbahayakan anak-anak saya yang tidak reti untuk duduk diam.
 
Kami menghabiskan masa sekitar 1 jam di sini .
 
Saya memahami kenapa si William Kellie Smith ini membina rumahnya sebegini.
 
Pertama beliau adalah Orang Scotland yang mempunyai kawasan ladang getahnya sendiri dan membina rumah besar atau banglo bukanlah asing kerana itulah yang dilakukan oleh peladang-peladang Eropah yang membuka ladang di negara kita dahulu.
 
Mereka membina dan inginkan gaya hidup yang melambangkan kemewahan dan ketuanan mereka dan selalunya kalau anda ke ladang-ladang milik Sime Darby ataupun sebelum ini Kumpulan Guthrie atau Golden Hope, IOI atau sebelum ini Dunlop dan banyak lagi, bangunan rumah pengurus mereka amat besar dan di atas puncak bukit.
 
 
Malah kalau anda membaca sedikit sejarah William Kellie Smith yang gemarkan bersosial dengan peladang yang lain di hujung minggu dan mahukan statusnya mendapat perhatian maka anda akan memahami niatnya ini. 
 
Cuma keazaman beliau mereka, membawa sendiri bahan mentah bangunannya dari India beserta para tukang yang mahir juga dari India boleh menceritakan betapa beliau begitu mempunyai matlamat yang jelas ditambah dengan ruang lift yang kalau dibina ketika itu adalah yang pertama di Malaya.
 
 
Anda bayangkan juga tahun pembinaan adalah sekitar 1915 dan terhenti pada tahuin 1926 yang mana kalau dibandingkan dengan sejarah Cameron Highlands, beliau lebih awal mencipta gerak gaya keunggulannya kerana Cameron Highlands mula dibuka sekitar 1920 walaupun penemuaan seawal 1885 oleh William Cameron.
 
Jadi kalau anda mahu ke Istana Kellie ini, silakan dan keluar dari arah Gopeng ke Batu Gajah dan lokasinya hanya di tepi jalan sahaja...
 
Koleksi gambar kami selebihnya di sini.. klik...

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock