Apa kata anda klik info ini.. saya tak marah ...

Gambar terkini di Facebook mrkumai.blogspot.com

Buat Carian Pantas seperti tempat makan, tips bercuti, strawberry dan sebagainya di sini:

Saturday, September 29, 2012

Bajet 2013.. ringkasannya... dari kaca mata aku...

Sepanjang hari semalam dan hari ini, antara yang hangat disembangkan adalah BAJET 2013 yang dibentangkan semalam di Parlimen oleh Menteri Kewangan 1 - YAB Dato Seri Najib Tun Razak yang juga PM kita. 


Untuk percegahan jenayah ini aku rasa wujud keperluan untuk lebih menyakinkan masyarakat dengan khidmat pasukan keselamatan sedia ada. Cuma aku mengharapkan wujud lebih kecekapan dan juga ketegasan dipamerkan dalam setiap apa jua penguatkuasaan undang-undang termasuklah permainan politik dalam perlakuan jenayah ke semua pihak.


Halatuju siswazah yang menamatkan pengajian perlu diperjelaskan lagi dari awal pengajian mereka. Aku lihat golongan sekarang ini masih memilih pekerjaan dan tidak sanggup ke hadapan. Tetapi tidak adil jika kita menuduh sedemikian tanpa sebarang peluang diberikan kepada mereka. Cuma jangan terlalu manjakan mereka. 

Aku percaya bagi mereka yang berada dalam golongan pengurusan yang menghadapi barisan lepasan dan calon pekerja ini mempunyai pandangan dari pengalaman bersama mereka. 


Pendidikan sekali lagi menjadi tunjang kepada bajet. 21% peruntukan bajet dialirkan kepada sektor ini. Cuma aku mengharapkan kali ini saluran peruntukan ini khasnya bagi kemudahan dan prasarana persekolahan di salurkan telus kepada akar umbi khasnya di pendalaman Sabah dan Sarawak yang jauh kebelakang. 

Juga Progaram Permata tu cukup-cukuplah dengan bajet tahun lepas.... hanya yang terpilih sahaja dapat manfaatnya. 


Yang peruntukan dibawah ini pula tidak langsung aku nikmati. Anak kecil lagi nak dapat RM 100. PTPTN pula aku bukanlah peminjam skim ini masa belajar dahulu. Uitm dah bagi semuanya. Makan, kolej, semuanya sekali. Mujur telepon bimbit baru berjinak-jinak dalam pasaran. Lepas zaman aku, (masa extend.kih kih) junior-junior yang dapat PTPTN ni dah macam mabuk teknologi. Telepon bimbit silih berganti. 


Untuk bajet peruntukan dibawah ini pula aku hanya mengharapkan ketelusan dalam perlaksanaan supaya hasilnya dapat dirasai akar umbi bukanya syok sendir. 


Yang ini bagus. Tahun depan ingat nak belajar buat bisnes kecil-kecilan. Dah penat jadi pekerja dan nak rasa sikit jadi bos. Walaupun pahit, kelat dan masamnya pasti akan terasa... nak kena perhalusi peluang ini. 


Yang ini juga perlukan ketelusan dan pengagihan dan mengharapkan tiada ketirisan kepada mereka yang layak seperti mana biasanya kita melihat dan mendengar hanya sebilangan yang menerimanya malah dilihat dari mata kasar, mereka terlebih layak untuk menerimanya.


Semalam semasa bajet dibentangkan khasnya kepada isu rumah ini, aku terfikir mengapa kenaikan ini tidak mampu dikawal seawalnya. Kalau sebelum 2008, aku rasa isu rumah bukanlah sesuatu yang merunsingkan rakyat kerana harganya masih ketat dikawal tetapi selepas 2008 bilamana sebilangan negeri gagal mengawal harga rumah, mula merebak ke kawasan seluruhnya. Harap cegah sebelum parah dapat dilakukan. 


Kesihatan rakyat diutamakan amat bagus. Klinik 1 Malaysia sangat bagus. Harap-harap diantara 70 buah klinik 1 Malaysia ini akan terbina di Cameron Highlands. 


Belia dan sukan berpisah tiada. Juga dengan gajet 3G yang diberi rebat. Cuma aku tak layak dah. Untuk peruntukan sukan pula, kalaulah di Cameron Highlands dibina trek balapan sintetik, aku percaya latihan sepenuhnya dapat dilakukan di sini tanpa perlu ke negara ketiga yang mempunyai hampir sama cuacanya. Kalau dulu KOAM nak buat kat Tawau ke mana di Sabah sebagai pusat latihan mereka kerana persekitaran yang sejuk, aku cadangkan pilihlah Cameron Highlands. Buat trek yang ringkas sahaj bukannya bertaraf antarabangsa. 

Kesian budak-budak sekolah berlari dalam lumpur ketika sukan sekolah dan MSSD. Dulu ada rancangan buat pusat latihan beraltitud tinggi di Lojing yang tak jadi kenyataan di zaman Azalina jadi menteri. Sayang, tak nampak apa pun hasilnya. 

Untuk rekod, Padang Utama Cameron Highlands sedang dinaiktarafkan dengan meninggikan satu atau dua kaki beserta paip bawah tanah dengan kos RM 2 juta. Tapi tak de trek dan balapan.. Ruginya... 


Sukalah bagi anda penjawat awam. Isteri aku pun suka sangat semalam. Cuma tingkatkan prestasi anda. Kami yang swasta ni selalu cemburu melihat anda bekerja dan hasil kerja anda. 

Tak mahu nak terperincikan dimana ketidakpuasan hati kami sekadar memaklumkan, anda diperhatikan dengan rasa cemburu diatas kemudahan dan juga keistimewaan sebagai kakitangan kerajaan. Yang ada anak yang dah mula nak bekerja pasti faham beza dan jurang sebagai pekerja swasta dan kakitangan kerajaan.


Yang ini juga aku dah tak layak. Pusingan pertama pun tak layak, apa tah lagi pusingan kedua. Nak panggil bujang, anak dah dua. 

Rumah pertamaku pun terlepas jugak sebab dah beli rumah pertama. Yang pasti terkena subsidi gula naik RM 0.20 tu tak dapat nak lari. Kena lari dari gula. Kurangkan gula. 


Untuk yang ini aku suka sangat-sangat. Cukai turun sikit. SSPN anak kena top up lagi. Boleh top up tambang haji..err turn aku bila ntah ... pemeriksaan percuma.. itu bagus tu... 


Yang ini tak kena secara langsung cuma aku mengharapkan peruntukan yang besar ini mampu memperkasakan sektor pertanian di Malaysia. Peluang terbuka untuk semua.

Walaupun aku tak dapat banyak sangat, tapi aku bersyukur dengan perancangan ini yang dijanjikan. Usahakan untuk ditepati. 

Kita mungkin tidak mendapat faedah langsung tetapi Insyallah kemakmuran yang diperolehi oleh yang lain akan memakmurkan sepenuhnya negara yang dicintai ini. 

Jangan jadi bangsat sangat .. tamak dan keterlaluan... tak guna kalau dapat janji-janji yang hebat tapi sampai sudah tak ditepati. 

Dah ada buktinya sekarang ini... 

Tips Melawat Cameron Highlands: Orkid Liar

Saya pernah memuatnaik dua catatan mengenai orkid yang boleh anda temui dan miliki di sekitar Cameron Highlands dan jika anda ingin membaca catatannya boleh KLIK DI SINI dan DI SINI.

Untuk siri ketiga ini saya memilih untuk berkongsikan beberapa keping gambar mengenai orkid liar yang boleh anda temui tanpa perlu memasuki hutan belantara di sini kerana ada yang dijual di luar sana. 

Saya tidak pasti apakah ini dibenarkan oleh perundangan  kita ataupun aktiviti terlarang. 

Namun sedikit kajian dan pembacaan saya mengenainya menemukan saya dengan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 (Akta 686) yang ada mengariskan panduan kesalahan yang sedikit berkaitan.

Saya mendapati 3 Apendiks yang berkaitan seperti berikut:

Apendik 1: Adalah spesis yang amat terancam pupus sama ada disebabkan oleh perdagangan atau bukan perdagangan. 

Syarat-syarat Spesisi Flora liar hanya untuk tujuan penyelidikan sahaja. 

Juga spesis APP2 dibiak secara buatan dibenarkan untuk diperdagangkan untuk eksport tertakluk kepada nurseri yang berdaftar  dengan Jabatan Pertanian dan sekretariat Cites di Geneva. (Saya mulai pening...anda ?)

Saya menfokuskan kepada Family Orchidaceae yakni orkid dan spesis berikut adalah antara yang dilarang Paphiopedilum spp., yang berdaftar dibawah source D - Sekretariat CITES seperti Aerangis ellissii, Dendrobium cruentum, Laelia jongheana, Laelia lobata, Peristeria elata (Panama National Flower), Phragmipedium spp. dan Renanthre imschootiana. 


Pening kepala ? saya pun sama... ini belum masuk Appendik 2 dan Appendik 3.. kita lupakan mereka itu dengan koleksi gambar amatur saya ini seperti di atas. 



Maaf kualiti gambar menjauh perginya... nanti saya tambahkan lagi kalau terjumpa orkid liar di sekitar sini... Koleksi lama pun entah di mana letaknya..

Friday, September 28, 2012

Halal: Status halal di premis makanan Old Town White Coffee

Mmm.. saya membaca di Laman  ini  mengenai jawapan pemilik Old Town White Coffee mengenai keperluan sijil HALAL di premisnya. 

Jika jawapan dari balasan tweeternya dijadikan ukuran, maka jelaslah bukan keutamaan mereka untuk mendapatkan pengiktirafan Halal dari pihak berkuasa, malah jawapannya memperlekehkan syariat Islam untuk mencari halal itu wajib bagi Umat Islam.

Jika ini kesungguhan pemiliknya, maka saya berjanji tidak akan ke Old Town White Cofffe  lagi selepas ini.

Pertama: individu ini Ngeh Koo Ham tidak menafikan dia adalah antara pemilik Old Town White Coffee samada dekat atau jauh , secara langsung atau tidak langsung samada benar atau tidak benar. 

Jika tidak pasti dia akan menjawab itu bukan milik saya atau saya tiada kena mengena dengan Old Town White Coffee, syarikatnya, urusannya ataupun apa jua hubungan yang berkaitan.

Kedua: NKH setelah tidak menafikan status pemilikan OTWC ini tidak menafikan pula bahawa OTWC ini mempunyai status HALAL oleh pihak berkuasa. 

Jika premis ini mempunyai sijil halal atau sedang diusahakan pensijilannya pasti akan dinyatakan dengan jelas mengenai usaha yang sedang dilakukan untuk mendapatkan pengiktirafan sijil halal.

Ketiga: NKH ini menjawab tweeter dengan mempersendakan keperluan Halal bagi umat Islam. 

Dia menganggap sijil halal hanya ditambah-tambah untuk membebankan. 

Dia tak sedar barangkali mendapatkan makanan halal adalah wajib bagi umat Islam dan antara kaedah yang mudah dan diyakini dengan mendapatkan pengiktirafan Sijil Halal dari pihak Jakim atau Majlis Agama negeri masing-masing. 

Saya mencari di Laman Web Jakim dan sah tiada OTWC dalam senarai premis makanan atau menu  mereka yang mendapat pengiktirafan "Halal" JAKIM untuk premis makanan tetapi mempunyai sijil halal yang diiktiraf bagi 22 produk pembungkusan mereka jika benarlah didaftarkan di bawah syarikat White Cafe Sdn Bhd yang beralamat di Taman Medan Percham, Ipoh. 

Maka saya sebagai umat Islam, saya akan mengenepikan premis OTWC ini mulai hari ini dan seterusnya sehingga saya diyakinkan secara rasmi pengiktirafan sijil halal oleh pihak berkuasa. 

Untuk produk pembungkusan jika saya benar-benar memerlukan bahan makanan ini  mungkin tiada masalah untuk digunakan dan jika masih terasa was-was pastinya menjauhkannya dengan pilihan alternatif yang sedia ada di pasaran boleh membantu keperluan saya, 


Wajar untuk saya meragui dan jika ada perasaan was-was , wajar saya menjauhinya. Banyak premis bukan Islam yang ada di Malaysia tetapi telah mendapat pengiktirafan halal mereka yang tanpa ragu saya kunjungi. 

Tak minum kopi di OTWC tak merugikan saya pun. Khasiat dari sumber yang halal dan lebih baik boleh diperolehi dari sumber yang diyakini. 

Anda bagaimana ? Ini bukan keputusan politik.. mencari Halal adalah wajib bagi kita yang beragama Islam... Tanyalah Ustaz yang anda kenali... saya bukan Ustaz tetapi sekadar mengikuti Tanyalah Ustaz di TV9 pada bulan puasa yang lalu serta membaca Majalah Solusi yang edisi lepas yang ada menghuraikan isu makanan halal ini 

Monday, September 24, 2012

Tun M: Bersedialah untuk bersedih...

gambar pinjam.. termasuk semua yang ada dalam catatan ini.
cuba surf laman web di didalam gambar ini. 
Semalam, Mingguan Malaysia memaparkan artikel Tun M yang mengungkit sedikit sejarah, keadaan semasa dan bakal berlaku di masa hadapan oleh golongan bangsa Melayu. 

Pesanan ini adalah dari seorang Melayu kepada Melayu yang lain. Pesanan sesama anak bangsa dan kaum lain tidak harus terasa terancam jika sesama bangsa Melayu menasihati semasa mereka seperti mana anda menasihati sesama anda. 

Kepada bangsa Melayu yang membaca artikel dan luahan serta nasihat dari Tun M ini sebaiknya berlapang dada dan jika anda memandang sinis pandangan ini, maka simpanlah sahaja di dalam hati anda kerana di antara kalangan Melayu ada yang bersetuju dengan pandangan ini dan menghargainya seperti saya.

Dari MINGGUAN MALAYSIA:


Saya sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. 

Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya- perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.


Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. 


Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka.


Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah.


Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.


Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. 


Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.


Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.


Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.


Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam.




Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. 


Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.


Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.


Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British.


Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. 


Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka.


Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. 


Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.


Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.


Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.


Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.


Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.

Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.

Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah.

Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah.

Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia.


Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.


Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka.


Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.


Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.


Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.


Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.


Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka.


Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.


Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.


Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri. 


Catatan ini tidak berharap ada ulasan-ulasan menyokong, mengampu atau menentang serta mencemuh tetapi anda baca, fahami dan rumuskan di dalam diri anda... 

Saya dah baca,,, saya dah memahami dan saya sudah mempunyai rumusan saya tersendiri... ..

Friday, September 21, 2012

Opah..drama bersiri mengamit kalbu...

Tengah malam semalam, aku terbuka TV1 yang biasanya jarang menjadi pilihan di kala lewat malam berbanding chanel lain di ASTRO.. Yang istimewanya ada Drama Opah... Sambil-sambil anda membaca catatan ini apa kata anda klik dahulu video lagu temanya.


Dia seorang tua,
Pengasih dan penyayang, 
Tak pernah hidup duka
bersama keluarganya.

Bagi generasi muda masa kini mungkin tidak mengenali dan mengetahui siapa dan apakah cerita istimewanya drama Opah ini. 

Tetapi bagi generasi yang berusia diantara umur 30 an ke atas pasti akan merasa begitu dekat dengan cerita dan drama ini.. Membesar bersama kisah mereka saban minggu dan setiap epsiod ditunggu. 

Ini kisah anaknya, 
empat orang semuanya
Seorang tiada punya
yang tiga telah berkeluarga
Malah bagi kami yang duduk di kawasan felda seawal pertengahan 1980 an, sanggup bertandang ke rumah jiran yang mempunyai peti TV semata-mata untuk menonton Opah..

Opah adalah kisah biasa yang mungkin dapat kita lihat suatu ketika dahulu yang menjadi ibu dan ayah kepada anak-anaknya dan pastinya Opah kepada cucu-cucunya. 
Kisahnya yang tabah mendidik anak-anak keseorangan dengan pelbagai masalah dan cabaran biarpun ada di antara anak-anaknya berjaya dan ada yang kurang berjaya.
 
Dalam suasana keluarganya
dia serba tak kena,
Namun hatinya tetap riang
Walaupun hidupnya seorang

Watak Opah yang begitu penyayang ini dilakonkan oleh Alahyarhamah Zaiton Hussien terkenal dengan aksi latahnya dan pastinya kelibat watak Joyah yang dilakonkan oleh Norlia Ghani melekat ke bibir dan budaya masyarakat melayu sehinggakan kalau ada yang becok dan riuh mulutnya pasti dikaitkan dengan nama Joyah sehingga kini. 
Watak-watak yang lain dilakonkan oleh Khatijah Abu Hassan, Abu Bakar Kassim, Zami Ismail, Mohamad Abdullah(Pak Busu), Normala Omar, Razali Buyung, Norazian Salehah, Yasmin Yusof  dan beberapa nama yang lain.

Di antara cucunya, 
Tiga yang amat dikenali
begitu ragam dunia muda mudi
Cucunya yang pasti akan teringat kepada Aziz M Osman yang berlakon dari kecil sehingga remaja membuktikan transisi kisah keluarga ini begitu dekat dengan kami yang mengikuti kisahnya tanpa jemu. Bob juga menarik hati kita dengan kenakalannya manakala Kathy melengkapi kerenah remaja perempuan di zaman itu.

Saban minggu kisahnya berlatarkan kisah keluarga, konflik, kasih sayang, penyelesaian masalah dan pelbagai lagi yang akhirnya mendambakan kasih sayang dan kebijaksanaan Opah sebagai penyelesai, pendamai dan rujukan.

Inilah kisah keluarga,
Opah dengan anak cucunya
Tak pernah sunyi dari suasana
Suka duka 

Sedutan berikut adalah antara scene Drama Opah yang terdapat dalam youtube: Selamat mengimbau kenangan...

Thursday, September 20, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Empangan Ulu Jelai

Mungkin ada yang agak pelik kenapa saya memasukan kisah pembinaan ini sebagai salah satu tips ke Cameron Highlands kerana tiada apa-apa yang istimewa. 

Ini mungkin tidak nampak keistimewaan bagi ramai orang namun bagi segelintir yang meminati fotografi mungkin projek ini boleh dijadikan sebagai satu projek hobi jangka panjang iaitu mengambil gambar sebelum, semasa dan selepas sesuatu disiapkan sebagai transisi masa yang boleh dikoleksikan bagi 10 tahun mendatang. 


Projek Empangan Ulu Jelai dikatakan dirancang seawal penghujung 70 an sebagai antara blueprint Lembaga Lektrik Negara (LLN) untuk jangkamasa panjang pembekalan tenaga elektrik seperti yang sebagaimana Empangan Bakun di Sarawak yang dirancang seawal 1960 an lagi sebelum direalisasikan sepenuhnya pada tahun 2012 ini selepas 30 tahun.

Petikan dari laman web TNB bertarikh 1 Mac 2011 memperincikan projek ini.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengadakan Majlis Pecah Tanah Projek Hidroelektrik Ulu Jelai, Cameron Highlands, Pahang yang disempurnakan oleh K.D.Y.M.M. Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'azam Shah.

Projek Hidroelektrik Ulu Jelai berjumlah RM2.15 billion berkapasiti 372 MW ini akan digunakan untuk menjana kuasa elektrik bagi memenuhi keperluan elektrik pada waktu puncak. Ia meliputi beberapa komponen utama iaitu pembinaan dua Terowong Pengalihan Air, Empangan Susu, Stesen Janakuasa Bawah Tanah, Terowong Tenaga, Lapangan Suis, Bangunan Kawalan dan Jalan Masuk.
Pembinaan Projek Hidroelektrik Ulu Jelai ini meliputi dua fasa.  Fasa 1 telah pun bermula pada Oktober 2010 yang lalu manakala Fasa 2 dijangka  bermula pada Mac tahun ini.

Tiga perkampungan masyarakat Orang Asli iaitu Kampung Susu, Kampung Giat dan Kampung Pinang dipindahkan ke kawasan penempatan baharu yang lebih teratur dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi pembinaan projek berkenaan.
Ini kerana, katanya pembinaan takungan Empangan Susu dijangka menenggelamkan kawasan seluas 124 hektar iaitu kawasan tiga kampung berkenaan.
Penduduk kampung-kampung yang terlibat akan ditempatkan ke kawasan penempatan baru dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang telah dikenalpasti dan juga telah dipersetujui oleh mereka sendiri dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), kata beliau.

Stesen hidroelektrik ini dijangka mula beroperasi pada bulan Disember 2015. Penakungan air dijangka  bermula pada Oktober 2015 menerusi dua Terowong Pengalihan Air sepanjang 8.4 km dan 7.5 km untuk menyalurkan air mentah secara aliran graviti dari Sungai Telom dan Sungai Lemoi ke kawasan takungan seluas 124 hektar.
Saya akan cuba mengumpulkan beberapa gambar keadaan kawasan lembah ini sekitar 2009 yang pernah saya rakamkan dan sedikit gambar terkini yang saya rakamkan awal bulan yang lalu.

Insyallah kalau umur panjang , mungkin ketika siapnya nanti akan dikongsikan pula gambarnya. Bagi anda yang datang ke Cameron Highlands melalui Jalan Pos Betau yang pernah saya kongsikan melalui catatan DI SINI saya syorkan anda berhenti seketika dan bergambar berlatarkan pembinaan emapangan ini.

Insyallah bila anda datang semula lain kali mungkin dalam tempoh 5 atau 10 tahun dari sekarang suasananya akan berbeza... 

Juga anda boleh dokumentasikan tiga buah kampung Orang Asli yang akan tenggelam dan dipindahkan ke penempatan yang baharu apabila takungan air bermula kelak.  

Friday, September 14, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Kanak-kanak Orang Asli siri 2

Seperti yang dijanjikan, ini adalah siri kedua mengenai wajah kanak-kanak Orang Asli yang pernah saya rakamkan di sekitar daerah ini samada ketika di kampung mereka ataupun jika ada majlis keramaian di sini. 

Biasanya jika ada majlis-majlis keramaian, mereka cukup gemar untuk hadir dan memberi sokongan. Gelagat mereka juga amat menarik untuk dirakamkan.

Catatan siri ini lebih kepada berkongsikan koleksi gambar yang saya ada.  

Klik gambar untuk paparan yang lebih besar.










Menarik? nak ke sana? cubalah ... 

Tips Melawat Cameron Highlands: Wajah-wajah Orang Asli siri 2

Melalui siri pertama catatan ini berkongsikan sedikit susur galur sejarah mengenai masyarakat Orang Asli dan pecahan etniknya yang begitu banyak dan sukar untuk kita mengkelaskan mereka jika bertemu kecuali bertanya. 

Catatan kedua pula lebih kepada koleksi gambar wajah-wajah mereka yang pernah saya rakamkan sendiri di sekitar daerah ini. 

Saksikan..biarkan gambar yang berbicara... Mereka adalah istimewa.....

 



 

  


Cukuplah setakat dua siri mengenai wajah-wajah orang asli yang pernah saya rakamkan.. Semuanya lelaki sahajakan. Maklumlah yang perempuan tu ada tetapi cukup payah nak rakamkan sebab sifaf pemalu mereka 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...