TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Tuesday, September 11, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Bila CH Berkabus...

Topik mengenai Cameron Highlands yang terlintas di fikiran untuk dikongsikan bersama anda kali ini mengenai suasana pemandangan beberapa lokasi di sini ketika berkabus.

Mungkin ini juga merupakan ikon ataupun trademark tersendiri bagi kawasan tanah tinggi  ini. Malah kalau datang ke sini semasa ianya sedang diselubungi kabus baik pagi, tengahari, petang ataupun malam pastinya tidak akan terlepas untuk dirakamkan suasana ini sebagai kenangan berkunjung ke sini.

Cuma kalau ditanya kenapa dan bagaimana keadaan berkabus boleh terhasil? Puas jugak saya mencari jawapan di laman web namun tiada penjelasan yang konkrit. 

Mungkin anda mempunyai maklumat dan ilmu berkaitan bagaimana kabus dihasilkan dan bolehlah berkongsi di ruangan ulasan nanti.

Apapun untuk mencari suasan berkabus di sini sebenarnya tidak tetap atau menentu waktunya. Malah jika ditanya bulan-bulan tertentu jugak agak sukar untuk dijanjikan memandangkan perubahan cuaca ketika ini.


Namun mungkin bulan-bulan yang mengalami taburan hujan yang tinggi seperti bulan Jan , Februari, Ogos, September dan penghujung tahun merupakan antara bulan yang mempunyai keberangkalian yang tinggi untuk melihat Cameron Highlands diselubungi kabus.


Pemerhatian saya juga kadang kala tidak perlu hujan untuk ianya berkabus malah kadangkala seawal pagi sekitar pukul 10 pagi sudah ada kawasan yang berkabus. Malah kalau anda perasan, kabus hanya mengambil masa yang singkat untuk datang dan pergi.

Jika anda melihat kabus mula memenuhi kawasan berdekatan dengan anda, saya mengesyorkan anda untuk mengambil gambar terlebih dahulu kerana kadang-kala begitu pantas. 

Jika memandu pula, nyalakan lampu kenderaan anda untuk keselamatan dan panduan pengguna yang lain. Elakkan memandu terlalu laju kerana jarak penglihatan agak terhad ketika ini.

Mencari tempat yang menarik untuk bergambar ketika suasana berkabus tidaklah terlalu bebas memilih tetapi adalah lebih baik jika berlatar belakang bangunan yang bercirikan tudor yang banyak terdapat di sekitar pekan ini. 

Anda juga boleh memilih untuk bergambar  berlatar belakang papan arah untuk mengambarkan lokasi anda kelak.

Bagi mereka yang gemar dan tidak berkira dengan sedikit usaha tambahan yang sedikit lasak, pemandangan diatas puncak gunung seperti Gunung Brinchang, Ladang Teh, Hutan Lumut Mossy Forest dan kawasan hutan mungkin agak berbaloi dengan hasil pemandangan yang amat menarik ketika waktu berkabus.

Kawasan perumahan yang agak tinggi seperti Puncak Arabella di Tanah Rata selalunya agak mudah diselubungi kabus tebal baik awal pagi ataupun lewat malam. 

Manakala kawasan hotel seperti Equatorial Hotel, Strawberry Park dan mungkin juga sekitar di Brinchang juga selalunya mudah diselubungi dengan kabus malah amat menarik kerana senibina tudornya melengkapkan suasana ketika berkabus. 


Suhu ketika ini mungkin sekitar 16-19 darjah celcius dan sedikit berangin  ketika suasana berkabus menjadikannya lebih menarik untuk dinikmati biarpun sebentar sahaja.

Jadi kalau anda datang ke sini dan tidak berkesempatan untuk merakamkan suasana berkabus, cuba lagi di lain kali dan mungkin sedikit gambar-gambar ini boleh berkongsikan mengenai bila Cameron berkabus...

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock