Tengah malam semalam, aku terbuka TV1 yang biasanya jarang menjadi pilihan di kala lewat malam berbanding chanel lain di ASTRO.. Yang istimewanya ada Drama Opah... Sambil-sambil anda membaca catatan ini apa kata anda klik dahulu video lagu temanya.
Dia seorang tua,
Pengasih dan penyayang,
Tak pernah hidup duka
bersama keluarganya.
Tetapi bagi generasi yang berusia diantara umur 30 an ke atas pasti akan merasa begitu dekat dengan cerita dan drama ini.. Membesar bersama kisah mereka saban minggu dan setiap epsiod ditunggu.
Ini kisah anaknya,
empat orang semuanya
Seorang tiada punya
yang tiga telah berkeluarga
Malah bagi kami yang duduk di kawasan felda seawal pertengahan 1980 an, sanggup bertandang ke rumah jiran yang mempunyai peti TV semata-mata untuk menonton Opah..
Opah adalah kisah biasa yang mungkin dapat kita lihat suatu ketika dahulu yang menjadi ibu dan ayah kepada anak-anaknya dan pastinya Opah kepada cucu-cucunya.
Dalam suasana keluarganya
dia serba tak kena,
Namun hatinya tetap riang
Walaupun hidupnya seorang
Watak Opah yang begitu penyayang ini dilakonkan oleh Alahyarhamah Zaiton Hussien terkenal dengan aksi latahnya dan pastinya kelibat watak Joyah yang dilakonkan oleh Norlia Ghani melekat ke bibir dan budaya masyarakat melayu sehinggakan kalau ada yang becok dan riuh mulutnya pasti dikaitkan dengan nama Joyah sehingga kini.
Watak-watak yang lain dilakonkan oleh Khatijah Abu Hassan, Abu Bakar Kassim, Zami Ismail, Mohamad Abdullah(Pak Busu), Normala Omar, Razali Buyung, Norazian Salehah, Yasmin Yusof dan beberapa nama yang lain.
Di antara cucunya,
Tiga yang amat dikenali
begitu ragam dunia muda mudi
Cucunya yang pasti akan teringat kepada Aziz M Osman yang berlakon dari kecil sehingga remaja membuktikan transisi kisah keluarga ini begitu dekat dengan kami yang mengikuti kisahnya tanpa jemu. Bob juga menarik hati kita dengan kenakalannya manakala Kathy melengkapi kerenah remaja perempuan di zaman itu.
Saban minggu kisahnya berlatarkan kisah keluarga, konflik, kasih sayang, penyelesaian masalah dan pelbagai lagi yang akhirnya mendambakan kasih sayang dan kebijaksanaan Opah sebagai penyelesai, pendamai dan rujukan.
Inilah kisah keluarga,
Opah dengan anak cucunya
Tak pernah sunyi dari suasana
Suka duka
Sedutan berikut adalah antara scene Drama Opah yang terdapat dalam youtube: Selamat mengimbau kenangan...
No comments:
Post a Comment