TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Showing posts with label perlancongan. Show all posts
Showing posts with label perlancongan. Show all posts

Friday, November 16, 2012

Catatan Perjalanan : Jonker Walk.. Laman Datuk Wira Dr. Gan Boon Leong

Kita lari sikit dari Cameron Highlands kerana saya ingin berkongsikan mengenai salah satu sudut di Jonker Walk yang mungkin ramai tidak sedar ia wujud iaitu Laman Datuk Wira Gan Boon Leong.

Siapa beliau? Apakah keistimewaan beliau sehinggakan Kerajaan Negeri Melaka membina laman khas beliau di Jonker Walk? 

Beliau adalah bekas Mr. Universe, Mr Asia dan Mr ASEAN dalam sukan membina badan dan menjadi lagenda hidup yang banyak menyumbangkan khidmatnya dalam memajukan sukan membina badan di Malaysia. 


Komitmen beliau dalam sukan ini berterusan dari awal 1960 an hingga kini biarpun berusia 80 tahun  namun masih menyumbangkan khidmat sebagai kepimpinan sukan ini. Klik Laman blog ini untuk mengetahui kisah beliau sepenuhnya. KLIK

Di Jonker Walk, satu laman khas dibina sebagai mengenang jasanya bukan sahaja kepada sukan ini tetapi juga kepada sumbangan beliau dalam Jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mendapat pengiktirafan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia dari UNESCO.


Untuk ke laman ini, anda hanya perlu memasuki Jalan Hang Jebat ataupun terkenal dengan nama Jonker Walk dan selepas pintu gerbangnya akan menemukan anda dengan laman ini di sebelah kanan. 




Selain laman ini yang mempunyai tugu penghargaan kepada Datuk Wira Gan terdapat satu lagi tugu keemasan yang dibina dihadapan akademi membina badan milik beliau. 




Mungkin persingahan anda ke sini sekadar beberapa minit boleh membantu anda mengenali lebih lanjut mengenai Mr. Universe ini.

Thursday, November 8, 2012

Catatan Perjalanan: Perigi Hang Tuah

Catatan perjalanan kali ini saya bawakan anda ke Perigi Hang Tuah yang terletak di Kampung Duyong, Melaka. 


Perigi ini dikatakan digali oleh Laksamana Hang Tuah di zaman kecilnya untuk kegunaannya sendiri semasa beliau membesar di Kampung tersebut.

Mengikut petikan laman web Negeri Melaka, pada asalnya perigi ini kecil sahaja tetapi lama kelamaan menjadi besar dan semakin dalam. Perigi ini dikatakan tidak pernah kering walaupun di musim kemarau. 


Metos dan dongeng yan tersebar mengatakan air diperigi ini sentiasa jernih dan mampu mengubati penyakit. Malah ada juga menceritakan perigi ini tempat tinggal roh Hang Tuah yang menjelma sebagai seekor buaya putih secara jelmaan dan hanya orang alim sahaja yang dapat melihat jelmaan ini.


Saya tidak mempercayai dongeng ini. Anda?  terpulanglah untuk percaya ataupun tidak. Kadang-kala kita melawat tempat-tempat sebegini sukar untuk lari dari kisah dongeng dan juga kisah tersiratnya.  

Untuk ke Kampung Duyong ini, anda boleh melalui Semabok Dalam di mana di persimpangan saya dapati satu projek yang mengikut papan tanda projek tersebut sebagai membangunkan Kompleks Perigi Hang Tuah. 



Atau dari Lebuh AMJ, anda boleh memasuki kampung ini dan terus ke Kampung Duyong. 

Terdapat gerai jualan di sekitar perigi Hang Tuah ini tetapi kemudahan seperti gelanggang silat (kalau tidak salah saya) agak terbiar dan menyakitkan mata.

Sebenarnya kali pertama saya ke sini adalah pada tahun 1989 ketika rombongan sekolah saya dahulu dan saya masih ingat ketika kunjungan tersebut, sedang dilakukan kerja-kerja men'tar'kan jalan di situ. 

Saya juga masih ingat agak ramai juga pengunjung ketika itu dan masing-masing beratur untuk mengambil air telaga ini untuk dibawa pulang. Kami yang masih murid sekolah ketika itu sekadar melihatnya dari luar sebelum lebih banyak tertumpu di gerai jualan di sebelahnya. 


Kunjungan saya kali ini sekadar menyesatkan diri ketika pulang bercuti di rumah mertua. Untuk ke lokasi perigi ini, saya melalui beberapa perkuburan lama yang sedang dibaik pulih. Ini membuktikan kawasan Kampung Duyong ini sememangnya perkampungan yang agak lama bagi negeri ini. 

Maka mungkin benarlah sejarah yang berkaitan dengan Hang Tuah mempunyai susur galurnya di sini. 

Tips Melawat Cameron Highlands: Senarai semak lokasi persingahan ...

Hari ini 8 November 2012. Lusa akan bermulalah cuti persekolahan yang panjang sehingga awal tahun hadapan. Maka menjadi resam di Cameron Highlands ini, maka akan bermulalah waktu puncak di Cameron Highlands. 

Seperti biasa, jalan-jalan akan sesak, apartment percutian akan sentiasa penuh walaupun bertambah mahal, hotel-hotel akan mengenakan surcaj, kedai-kedai makan akan mula menjual mahal kepada kami penduduk tempatan (sesetengah kedai makan akan 'banned' / NO tapau), harga-harga makanan akan naik sedikit, pusat-pusat jualan akan dibuka sepanjang masa, pasar malam Brinchang akan dibuka setiap malam.

Kea Farm pastinya akan sesak teruk manakala Sungei Palas Tea atau pun Bharat Tea Centre akan sentiasa penuh. 

Jadi bagi anda yang mahu ke sini, harap-harap dah melakukan sedikit kajian atau 'homework' ke mana nak pergi... mari mrkumai bantu anda... 

Saya ringkaskan sedikit mengenai lokasi-lokasi yang mungkin boleh membantu anda membuat jadual perjalanan anda kelak di sini.

Harap catatan ringkas ini dapat membantu... 

Pekan Ringlet: 
Catatanya mengenai telah dimuatnaik dan anda boleh membuat carian mengenainya. Terdapat Stesen Minyak di sini jika anda memerlukanya selepas 64 km ataupun 145 km perjalanan. 


Berehat sebentar untuk makan tengahari boleh juga dilakukan di sini. Jika anda mahu mencuba penginapan yang eskulisif ala Enggeris, LAKEHOUSE boleh menjadi pilihan tetapi agak jauh dari pusat bandar utama iaitu Tanah Rata.

Pekan Habu: 
Habu menjadi permulaan untuk anda melawat. Menyimpang ke Jalan Boh, anda boleh singgah di Bee Farm secara percuma atau meneruskan perjalanan ke Boh Plantation untuk ladang teh. Pemandangan menarik untuk kebun water cress di sepanjang laluan ini yang tidak terdapat di tempat lain. 


Jika tidak mahu ke Jalan Boh ini, anda boleh ke Tanah Rata dan masih lagi berpeluang untuk melihat Ladang Teh milik Bharat Tea Plantation yang terletak di pinggir jalan sahaja. Nikmati secawan teh dengan pemandangan ladang teh yang menakjubkan.  

Pekan Tanah Rata:
Tanah Rata adalah pekan utama di Cameron Highlands. Jika memerlukan pengeluaran wang di bank, majoritinya terdapat di sini. Kedai Makanan Melayu juga banyak terdapat di sini selain makanan segera seperti Marrybrown ataupun lebih esklusif di Starbuck Cafe.

Kemudahan kesihatan yang tidak dijangka juga terdapat di sini dengan klinik dan hospital.


Kemudahan apartment percutian juga kebanyakan bercambah di sini dengan pelbagai pilihan lokasi seperti Arabela, Anthrium , Carnantion Park, Royal Lily dan banyak lagi. Juga terdapat pilihan hotel bajet dan sederhana bajet  di sini.

Kampung Taman Sedia: 
Kenapa saya mengecilkan skop untuk kampung ini. Anda boleh membuat carian catatanya di mrkumai ini kerana saya telah berkongsikan banyak tempat menarik untuk anda kunjungi di sini. Dari Kampungstay sehingga ke Chalet, penginapan anda lebih ringkas dan mudah di sini. 


Perkembangan pengusaha kebun strawberry dan juga produk hiliranya menyebabkan kampung ini menjadi tumpuan yang khusus dari pelancong untuk mencari produk usahawan tempatan dan tentunya halal menjadi keutamaan. 

Berdekatan dengannya adalah Air Terjun Parit yang pernah menjadi tumpuan pelancong dalam sejarah Cameron Highlands ini. Juga terletaknya satu-satunya kawasan perkhemahan yang lengkap dengan kemudahan di bawah pentadbiran Jabatan Hutan Daerah Cameron Highlands. 

Untuk siri kedua, saya akan berkongsikan secara ringkas mengenai Bandar Brinchang ke atas. Juga secara ringkas... 

Wednesday, November 7, 2012

Catatan Perjalanan: Stadthuys..

Satdhuys di waktu malam dalam catatan terdahulu menceritak sedikit sebanyak asal usul sejarahnya. 

Anda perlu membaca catatan pertama mengenai Stadthuys untuk mengetahuinya kerana catatan kedua ini lebih kepada fungsi bangunan ini di waktu kini dan sedikit gambaran di dalamnya. 

Stadthuy kini merupakan Muzium Sejarah dan Ethnografi yang mana turut bersambungan dengan 4 lagi muzium dan galeri iaitu Galeri Laksamana Cheng Ho, Muzium Sastera, Muzium Pemerintahan Demokrasi dan Muzium Yang Di Pertua Negeri. 



Tiket masuk hanya RM 5.00 seorang dan dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 5 petang. Muzium-muzium ini saling bersambungan di dalam bangunan Stadthuys ini dan anda boleh mengetahui sejarah silam mengenai Melaka sehinggalah kepada sejarah Malaysia kini. 


Melawat dalaman bangunan ini yang dibina 1650 an ini , anda akan menemui ruang halaman di tengah bangunan dan terdapat juga sebuah perigi yang dikenali sebagai Perigi Portugal. Memasuki bangunan ini sahaja anda bleh melihat sistem peparitan bawah tanah yang dibina dan dikatan bersambungan terus dengan Sungai Melaka. 



Ruang Galeri Laksamana Cheng Ho memperlihatkan sejarah kedatangannya ke Melaka dan pelbagai barangan bersejarah seperti tembikar Cina dan pinggan mangkuk. 


Muzium Pemerintahan Demokrasi pula menampilkan sejarah kepimpinan negara yang menerima pakai sistem Demokrasi dan pemerhatian saya sedikit terhad mungkin kerana bahannya juga diperlukan di Memorial Pengistiharan Kemerdekaan yang terletak di Dataran Pahlawan atau kaki bukit Kota A Famosa. 



Di bahagian luar, anda boleh melihat bagaimana deretan kedai cenderahati dibuka untuk anda pengunjung lain membeli cenderahati dibawa pulang. 



Manakala di suatu sudut, deretan beca-beca pula menanti anda untuk disewa dan dibawa menyelusuri Bandar Hilir Melaka ini.  Insyallah akan saya kongsikan mengenai keistimewaan beca-beca ini di catatan yang lain. 

Tuesday, November 6, 2012

Catatan Perjalanan: Makam Hang Jebat

Jika tadi kisah mengenai Makam Hang Kasturi, kali ini membawa pula catatan mengenai Makam Hang Jebat yang juga lima bersaudara yang lain diketuai oleh Hang Tuah, Hang Lekir dan Hang Lekiu. 

Makam Hang Jebat terletak berdekatan dengan Makam Hang Kasturi iaitu di  Jalan Gelanggang, Kampung Pali, Bandar Hilir Melaka. Dari Bangunan Stadthuys, hanya mengambil masa 2 minit perjalanan yang lancar dan sejauh 400 meter. 

Cuma bagi yang tidak biasa, makam ini terletak diantara celahan bangunan dan laluannya juga sempit. 


Saya yang menaiki motorsikal ketika kunjungan ini juga terlepas pandang kepada makam ini dan terpaksa beberapa kali membuat pusingan perjalanan kerana laluan sehala di sini . 

Kisah Hang Jebat agak sama versinya dengan Kisah Hang Kasturi dan saya sendiri tidak pasti yang mana satu betul dan salah. 


Apapun versi yang biasa kita dengar, Hang Jebat yang dilantik mengantikan Hang Tuah dengan pangkat Laksamana telah menerima Keris Taming Sari yang dikatakan boleh memberikan kesaktian kepada pemegangnya iaitu kekebalan dari sebarang senjata. 


Dengan Taming Sari, Hang Jebat yang sememangnya dari awal telah marah dengan titah sultan membunuh Hang Tuah akibat fitnah oleh Pateh Karma Wijaya telah mengamuk dan menuntut bela. 


Kemuncaknya istana telah dirampas dan Sultan Mansur Shah terpaksa melarikan diri. Ketika berkeluh kesah, baginda telah mengatakan alangkah bagus jika Hang Tuah masih wujud dan Bendahara Tun Perak (kalau tak silap) telah mengakui Hang Tuah tidak dibunuh seperti titah Sultan tetapi disembunyikan. 


Akhirnya Hang Tuah dibawa pulang dan menerima titah untuk membunuh Hang Jebat biarpun tanpa Taming Sari. Hang Jebat yang terkasima dengan kemunculan Hang Tuah telah menerangkan bahawa tindakannya menderhaka bukan kerana kepentingan peribadinya tetapi kerana kezaliman Sultan menghukum tanpa usul periksa. 

Namun ibarat katanya 'terlajak perahu boleh diundur terlajak perbuatan terimalah padahnya'. 'Alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan' menyaksikan Hang Tuah dan Hang Jebat bertarung sehingga dikatakan berlangsung selama 3 hari tiga malam.


Akhirnya biarpun tanpa Taming Sari, keris yang dikatakan mendatangkan kebal, Hang Tuah berjaya menumpaskan Hang Jebat yang menderhaka kerana 'kematian'nya dengan menggunakan helah pertarungan. 

Makam Hang Jebat ini mempunyai pengaruh Melayu Acheh dan senibinanya juga melambangkan makam pembesar dengan Batu Nisan Acheh yang terbina diatasnya.

Persoalannya jika anda membaca antara dua catatan makam ini; Hang Kasturi danHang Jebat; siapa yang sebenarnya membela dan menderhaka ?  

Biarlah pakar yang menentukan.... 

Catatan Perjalanan: Makam Hang Kasturi

Tips atau catatan percutian kali ini menjengah kembali Melaka. Untuk catatan kali ini saya sebenarnya ada membuat catatan mengenai makam Hang Jebat dan Kasturi terdahulu tetapi koleksi gambar yang saya muatnaikan adalah versi collage dan ada kawan yang mengesyorkan supaya saya mengekalkan saiz gambar secara individu untuk lebih mudah dilihat. 

Jadi saya buatkan catatan yang berasingan untuk kedua-dua makam ini dengan gambar yang juga berasingan. Harap memuaskan hati kawan saya tersebut, Banyak cakap aku parang karang !!! kih kih ... 

Saya mulakan dengan Hang Kasturi. Kisahnya kalau di cari di laman blog yang lain membawakan kisah yang berbeza-beza malah kalau ikut pemahaman kita dari kisah semasa kecil juga berbeza. Mujur di makam ini terdapat papan info yang berkongsikan kisahnya. 

Hang Kasturi adalah salah seorang pahlawan lima bersaudara terdiri daripada Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu di zaman pemerintahan Melayu Melaka pada era Sultan Mansur Shah (1456-1477). 

Mereka lima bersaudara merupakan hulubalang yang dilantik untuk menjaga keamanan negeri ini ketika itu. Hang Tuah mengetuai mereka dengan pangkat Laksamana.

Umum mengetahui bahawa Hang Jebat telah menderhaka kepada sultan apabila Hang Tuah dihukum bunuh akibat fitnah berselingkuh dengan dayang di istana. Dikatakan Sultan Mansur Syah telah dipengaruhi oleh pembesar dari Majapahit yang sememangnya amat iri hati dengan kasih sayang dan kepercayaan yang diberikan oleh Sultan kepada Hang Tuah. 


Tanpa usul periksa, Sultan merasa murka dan segera menjatuhkan hukuman bunuh. Menurut catatan sejarah Melayu, dikatakan Hang Kasturi merupakan orang yang sebenarnya telah mengamuk dan menderhaka kepada sultan akibat tindakan yang tidak adil itu. 

Terkenal dengan laungan ketika mengamuk ' Raja adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja disanggah", Hang Kasturi mengamuk sehinggakan Sultan dan kerabat serta pembesar terpaksa melarikan diri dan keluar dari Istana.  


Bilamana Hang Tuah kembali setelah diampunkan tetapi sebelum itu telah disembunyikan oleh Bendahara di Ulu Melaka, Hang Tuah menjunjung perintah dan titah Sultan untuk menghapuskan penderhaka yang dimaksudkan. 

Dengan berat hati, tugas perlu dilaksanakan. Akhirnya, Hang Kasturi tewas dan meninggal dunia di atas pangkuan Hang Tuah.


Makam Hang Kasturi terletak di penghujung Jonker Walk di Jalan Hang Jebat. 

Anda boleh berjalan kaki melawat Jonker Walk di Bandar Hilir Melaka dan akan sampai di Makam Hang Kasturi. 

Jika menaiki kenderaan, sekadar 5 minit perjalanan dari bangunan Stadthuys jika tiada kesesakan. 

Makam ini mempunyai senibina India kerana mempunyai ruang meletak lilin di antara dinding makam tersebut. Tiada bayaran dikenakan untuk memasuki makan yang terletak di antara celahan bangunan lama ini.



Selamat melawat makam Hang Kasturi...

Friday, November 2, 2012

Catatan Percutian : Stadthuys di Melaka...

Antara tarikan utama yang amat popular di Melaka adalah bangunan Stadthuys di Jalan Laksamana , Bandar Hilir Melaka. Catatan kali ini saya kongsikan mengenai sejarah ringkas mengenai bangunan bersejarah ini dengan dua siri catatan.

Stadthuys merupakan Bahasa Belanda yang membawa maksud Dewan Perbandaran. Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Garbenor Belanda. Maka tidak hairanlah jika anda melihat senibina Belanda digunapakai sepenuhnya dalam mereka senibina bangunan ini.

Terdapat sebuah bilik yang dipercayai bilik pejabat  Gabenor dengan perbezaan jelas kelihatan dari segi syiling bilik yang berbeza  dengan ukiran yang halus. 

Malah jika anda melawat kawasan dalaman bangunan ini yang dijadikan muzium, anda akan memasuki bilik yang dimaksudkan dengan susun atur seperti pejabat Gabenor.

Antara kesan peninggalan yang lain, selepas Belanda, bangunan ini juga diambilalih oleh Portugal dan antara kesan peninggalan di ruang lamanya terdapat sebuah perigi. Manakala sistem perparitan dalamannya ditemui dibahagian bawah lantai yang menuju terus ke sungai. 

Bangunan ini juga merupakan antara titik tolak pendidikan barat di sini iaitu dilamannya terbina sebuah sekolah yang dinamakan Malacca Free School yang beraliran Enggeris, 

Pendidikan percuma yang diberikan berjaya menarik minat hampir 200 orang pelajar pada zaman puncaknya yang rata-rata dikuasai oleh pelajar kaum Cina. 

Menyambung kisah mengenai bangunan ini, warna maroon atau atau merah yang dicat pada bangunan ini merupakan tarikan utama untuk pelancong ke sini. 

Malah bangunan yang bersebelahan iaitu Melaka Church dan Muzium Senilukis serta bangunan yang terdapat di Jalan Laksamana ini turut berwarna yang sama. 

Ada kajian menunjukan, asalnya ianya berwarna putih sebelum di cat kepada merah. Malah ada kajian yang menunjukan terdapat lapisan warna biru ditemui didinding bangunan ini. 

Untuk ke sini caranya mudah sahaja, anda perlu ke Bandar Hilir Melaka samada melalui mana-mana jalan utama yang menyambungkanya ke sini. Malah berseberangan sungai adalah Jonker Walk yang amat terkenal dengan kunjungan pelancong. 

Anda boleh meletak kenderaan berhadapan dengan bangunan ini di pintu masuk utamanya tetapi perlu mematuhi kupon meletak kenderaan jika tidak mahu di saman oleh penguatkuasa. 

Jika anda berhajat untuk lama, anda boleh membeli tiket sehari berharga RM 5 ataupun kupon mengikut jam pada kadar RNM 0.60 sejam. Saya sendiri menyaksikan beberapa kereta disaman kerana tidak meletakan kupon tiket. 

Untuk siri kedua saya akan berkongsikan mengenai fungsi bangunan ini sebagai Muzium dan bagaimana peluang anda untuk menerokai dalaman bangunannya. 

Untuk mendapatkan suasana yang berbeza, kunjungan malam lebih tenang dan tidak panas berbanding siang  tetapi kedai-kedai cenderahati tidak dibuka pada waktu malam. 

Wednesday, October 17, 2012

Catatan Perjalanan : Kereta Lembu @ Melaka

Berjalan dan bercuti di Melaka memang tidak akan dapat memenuhi semua tempat kerana terlalu banyak lokasi perlancongan yang ditawarkan. Puluhan muzium dan juga kawasan rekreasi yang terdapat menjadikan negeri ini destinasi padat untuk percutian.

Sebelum anda membaca catatan ini, apakata anda mainkan video klip ini untuk mendapatkan mood mengenai kereta lembu nyayian Helen Velu.



Satu lagi ikon kebudayaan bagi negeri ini yang tidak terdapat di mana-mana negeri lain adalah kereta lembu yang menjadi salah satu kenderaan utama suatu masa dahulu.

Saya memetik sejarah kereta lembu ini dari laman web wikipedia yang menarik untuk dikongsikan bersama anda:

Ciri-ciri kereta lembu di Melaka berbanding di negeri lain adalah bentuk bumbungnya seakan-akan bertanduk dan berwarna warni di mana kereta lembu yang diperbuat dari kayu mempunyai dua roda besar dan disangkut kepada dua ekor lembu dengan gandar kayu. 

Mushi Abdullah dalam hikayatnya ada menceritakan bahawa selain kereta lembu, kereta kerbau atau pedati kerbau juga digunakan oleh pedagang untuk menarik barangan dagangan khasnya di kalangan pendangan Cina sehingga abad ke 20. 

Beliau juga ada menerangkan kegunaan lain kereta lembu ini seperti petikan:

" Maka dengan seketika itu juga diberinya perintah menyuruh bawa mayat itu, lalu dimasukan ke dalam pedati kerbau, maka di suruhnya canangkan berkeliling negeri..."

Pada asalnya sebelum wujudnya kereta-kereta beroda di kalangan masyarakat petani di kampung-kampung, mereka telah tahu menggunakan sejenis sistem pengangkutan yang dipanggil bentang.

Kereta bentang ini tiada beroda dan ditarik oleh binatang seperti lembu dan kerbau. 

Pengunaan sistem pengangkutan ini bertujuan untuk faedah diri sediri seperti menarik padi, kayu api dan barang lain yang berat-berat.

Kenderaan ini biasanya dapat dilihat di sawah padi dan dusun terutama dalam tahun-tahun 1880 an.

Sekarang kereta kerbau dan lembu sudah tidak digunakan lagi selain sekadar bahan tontotan dan tarikan pelancongan semata. 

Untuk anda mengalami sendiri pengalaman unik menaiki kereta lembu, jika anda ke Melaka anda perlu pergi ke Ayer Keroh bersebelahan dengan MacDonald dan Muzium Orang Asli atau Taman Botani Ayer Keroh.

Terdapat lebih dari lima unit kereta lembu semasa kunjungan saya ke sana. Saya difahamkan caj menaiki kereta lembu ini adalah RM 20 bagi satu perjalanan sekitar 10 minit yang boleh memuatkan 4-6 orang penumpang. 

Jika satu keluarga mempunyai 5 orang penumpang, kosnya jatuh sekitar RM 4 sahaja. Jika seorang sahaja, maka RM 20 kos seorang. Ini apa yang saya dimaklumkan dan mungkin berbeza jika anda sampai di sana. 

Kereta lembu , Dari Melaka ,
Di tarik pula oleh, Lembu perkasa

Hah… kereta lembu, Rodanya dua
Jalannya tak laju , Sejam sebatu


( korus )
Mari oh mari,  Kita naik beramai-ramai

Pergi bertemasya , Mandi safar di pantai


Hah… itulah dia , Pusaka datuk ku,
Pasti kan ku jaga,  Setiap waktu

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock