Jika tadi kisah mengenai Makam Hang Kasturi, kali ini membawa pula catatan mengenai Makam Hang Jebat yang juga lima bersaudara yang lain diketuai oleh Hang Tuah, Hang Lekir dan Hang Lekiu.
Makam Hang Jebat terletak berdekatan dengan Makam Hang Kasturi iaitu di Jalan Gelanggang, Kampung Pali, Bandar Hilir Melaka. Dari Bangunan Stadthuys, hanya mengambil masa 2 minit perjalanan yang lancar dan sejauh 400 meter.
Cuma bagi yang tidak biasa, makam ini terletak diantara celahan bangunan dan laluannya juga sempit.
Saya yang menaiki motorsikal ketika kunjungan ini juga terlepas pandang kepada makam ini dan terpaksa beberapa kali membuat pusingan perjalanan kerana laluan sehala di sini .
Kisah Hang Jebat agak sama versinya dengan Kisah Hang Kasturi dan saya sendiri tidak pasti yang mana satu betul dan salah.
Apapun versi yang biasa kita dengar, Hang Jebat yang dilantik mengantikan Hang Tuah dengan pangkat Laksamana telah menerima Keris Taming Sari yang dikatakan boleh memberikan kesaktian kepada pemegangnya iaitu kekebalan dari sebarang senjata.
Dengan Taming Sari, Hang Jebat yang sememangnya dari awal telah marah dengan titah sultan membunuh Hang Tuah akibat fitnah oleh Pateh Karma Wijaya telah mengamuk dan menuntut bela.
Kemuncaknya istana telah dirampas dan Sultan Mansur Shah terpaksa melarikan diri. Ketika berkeluh kesah, baginda telah mengatakan alangkah bagus jika Hang Tuah masih wujud dan Bendahara Tun Perak (kalau tak silap) telah mengakui Hang Tuah tidak dibunuh seperti titah Sultan tetapi disembunyikan.
Akhirnya Hang Tuah dibawa pulang dan menerima titah untuk membunuh Hang Jebat biarpun tanpa Taming Sari. Hang Jebat yang terkasima dengan kemunculan Hang Tuah telah menerangkan bahawa tindakannya menderhaka bukan kerana kepentingan peribadinya tetapi kerana kezaliman Sultan menghukum tanpa usul periksa.
Namun ibarat katanya 'terlajak perahu boleh diundur terlajak perbuatan terimalah padahnya'. 'Alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan' menyaksikan Hang Tuah dan Hang Jebat bertarung sehingga dikatakan berlangsung selama 3 hari tiga malam.
Akhirnya biarpun tanpa Taming Sari, keris yang dikatakan mendatangkan kebal, Hang Tuah berjaya menumpaskan Hang Jebat yang menderhaka kerana 'kematian'nya dengan menggunakan helah pertarungan.
Makam Hang Jebat ini mempunyai pengaruh Melayu Acheh dan senibinanya juga melambangkan makam pembesar dengan Batu Nisan Acheh yang terbina diatasnya.
Persoalannya jika anda membaca antara dua catatan makam ini; Hang Kasturi danHang Jebat; siapa yang sebenarnya membela dan menderhaka ?
Biarlah pakar yang menentukan....
No comments:
Post a Comment