TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, November 9, 2012

Catatan Percutian: Pasar Besar Siti Khadijah @ Kelantan...

Esok, cuti sekolah dah bermula dan musim percutian dan moodnya semakin menebal kini.
Dalam membelek koleksi gambar dalam hard disk yang jarang dibuka ini, terjumpa pula gambar lama ketika bercuti di Kelantan tahun lepas. Elok saya muatnaikkan supaya tidak hilang pula nanti. 


Jangan marah kalau gambar lama baru nak muat naik. Atas label catatan perjalanan bersempena tema bulan ini, saya ingin berkongsikan sedikit mengenai perjalanan kami sekeluarga ke Kelantan.

Pertama, Pasar Besar Siti Khadijah. Pasar ini asalnya dikenali dengan nama Pasar Besar Buluh Kubu sebelum di tukar namanya kepada Pasar Besar Sii Khadijah sebagai penghormatan kepada kaum hawa yang merupakan majoriti peniaga di pasar ini. 


Saya akui keadaan ini kerana baik pasar basahnya hingga ke tingkat atas yang menjual kain-kain batik dan sebagainya semuanya dikendalikan oleh kaum wanita yang sungguh gigih berniaga.


Pasar ini mempunyai bentuk lapan segi dan berketinggian empat tingkat dan ditengahnya adalah foyer terbuka untuk jualan hasil tani dan produk tempatan. Di tingkat satunya pula adalah barangan makanan seperti serunding, keropok lekor, belacan, budu dan pelbagai lagi makanan tradisional Kelantan. 

Juga terdapat gerai-gerai makanan yang pastinya mengiurkan selera anda. Namun maaf jika pendapat peribadi saya ini akan mendatangkan marah di kalangan penduduk Kelantan. Sebenarnya memang kami bercadang untuk mencuba pelbagai makanan tradisional Kelantan di sini tetapi faktor kebersihan gerai dan persekitaran yang mengecewakan telah mematikan selera kami. 

Alangkah baiknya kalau gerai-gerai makanan ini menjaga kebersihan baik dari segi meja dan lantai serta persekitarannya. Soal penyediaan makanan tidak langsung ragui kerana pasti halal. Akhirnya, kami bersepakat untuk mencuba makanan tradisional di gerai luar sahaja.


Tingkat tiga dan empat pula adalah untuk pakaian dan juga peralatan lain seperti periuk belanga dan lain-lain. 

Semasa kunjungan kami ke sana, tidaklah lama dapat menerokai pasar ini kerana anak-anak dah meragam  dek kepanasan maklumlah dari Cameron Hinghlands yang sejuk turun ke Kota Bahru yang sememangnya panas. Mungkin keadaan kedai di bahagian pakaian yang amat rapat menyebabkan peredaran udara terhad menjadikannya agak panas. Kami yang dewasa ini pun terasa amat kurang selesa. 

Kesian pula melihat anak-anak yang 'melepek' duduk di bawah kipas semasa kami tawar menawar di kedai jualan batik kerana selalunya mereka akan berlari ke sana dan sini.


Kami juga sememangnya sekadar ingin melihat dan singgah di sini untuk merasai sendiri pengalaman ke pasar ini tetapi berdasarkan nasihat rakan-rakan dari Kelantan sendiri yang menggalakan kami membeli belah kain-kain batik dan sebagainya di pasar MPKB yang lebih murah berbanding di sini. 


Tips ini kami patuhi dan ikuti sepenuhnya dan memang benar, dari perbandingan harga di sini dan pasar MPKB terdapat perbezaan yang jelas jurangnya. Mereka cakap, pasar ini menjadi tumpuan pelancong, maka harganya juga mahal sedikit manakala pasar MPKB pula menjadi tumpuan orang tempatan, maka harganya murah sedikit. 


Jom ke Pasar Siti Khadijah .... 

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock