Percutian kami di Kelantan diteruskan dengan kunjungan kami ke Pantai Cahaya Bulan atau lebih dikenali dengan singkatan PCB oleh penduduk tempatan.
Saya masih ingat lagi di zaman sekolah dahulu namanya dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi yang dikatan diberikan oleh seorang Askar British yang menderita kerana cintanya tidak berbalas.
Namun ianya ditukar dengan nama sekarang ekoran juga namanya seolah-olah mengundang pengunjung untuk membuat maksiat di sini. Itu kata peniaga air kelapa di sini.
Pantai Cahaya Bulan merupakan tapak pendaratan tentera Jepun untuk menyerang British pada 8 Disember 1941. Malah kalau anda membaca sejarah pada subuh penduduk tempatan dikejutkan dengan pendaratan Jepun ke sini kerana tiada tanda-tanda pencerobohan sebelum ini.
Rupa-rupanya Tentera Jepun mendapat kerjasama Kerajaan Siam ketika itu melalui Negara Thailand sebagai syarat tidak akan menakluk dan menjajah negara tersebut kerana kononya ingin membebaskan Asia dari penjajahan asing. Maka slogan, "ASIA untuk Orang ASIA" dilaungkan semasa penjajahan ini.
Persisiran pantai ini mengikut wikipedia adalah sepanjang 1.2 kilometer dan dahulunya kawasan pantai ini berpasir putih dan landai sehingga sesuai untuk berkelah bersama keluarga.
Namun kini, sebahagian pantai ini kelihatan hilang serinya kerana tembok penahan ombak terpaksa di bina bagi mengelakan hakisan akibat ombak yang kuat terutamanya ketika musim tengkujuh yang membawa angin monsoon.
Tembok penahan ombak ini penting untuk mengelakan hakisan yang pernah berlaku dan masih berlaku sekitar persisiran pantai ini. Namun pada penghujung tahun lepas, kejadian ombak besar masih lagi mampu melangkaui tembok penahan ombak ini sehingga air laut melimpahi dan menyeberangi jalan sehingga menenggelamkan seketika kedai-kedai makan yang berdekatan.
Kunjungan kami pada waktu petang masih terasa panas tetapi mujurlah angin atau bayu laut ketika itu mengurangkan kepanasan. Membeli layang-layang dengan harga sekitar RM6 setiap satu pasti amat berbaloi kerana tiupan angin yang kuat membolehkan layang-layang sentiasa terbang tinggi.
Sambil-sambil berjemur di tepi pantai ini, nikmati air kelapa sejuk dan juga gorengan pelbagai makanan laut yang menyelerakan. Cuma kunjungan kami hanyalah pada waktu siang sahaja dan malam pastinya lebih meriah.
Berdekatan dengan PCB ini, terdapat bengkel dan kedai batik yang dibuka untuk kunjungan anda namun kami memilih untuk melihatnya dari dalam kereta sahaja. Mungkin di lain kali kami boleh menetap di hotel atau resort sekitar Pantai Cahaya Bulan untuk lebih menerokai kawasan persisir pantai ini.
No comments:
Post a Comment