Saya ingin berkongsikan sejarah Kesultanan Melayu Perak yang bermula pada tahun 1528 sepertimana dari catatan wartawan Utusan Malaysia dibawah.
Kenapa saya sangat suka berkongsikan mengenai Pertabalan DYMM Sultan Perak tetapi tidak pula ketika Kemahkotaan Sultan Johor yang lalu?
Kerana saya adalah kelahiran Taiping, Perak dan susur galur keluarga saya dari negeri ini menjadikan Perak dekat di hati.
Cuma 35 tahun yang lalu, saya sekeluarga menetap di Pahang setelah bapa saya diterima sebagai Peneroka di Felda Kumai, Bera di Negeri Pahang.
Dalam diri saya dan apa yang saya pamerkan, Pahang adalah negeri saya yang sangat banggakan dan bersyukur kerana menjadi rakyat DYMM Tuanku Sultan Pahang manakala Perak adalah tersemat dekat di dalam diri sebagai asal usul keluarga saya yang tidak dapat saya lupakan.
KESULTANAN Melayu Perak bermula pada tahun 1528, apabila dua tokoh pembesar di negeri itu, iaitu Tun Saban dan Nakhoda Kassim menghadap Sultan Mahmud Shah di Kampar, Sumatera.
Pertemuan kedua tokoh itu bertujuan memohon kepada Sultan Mahmud supaya seorang putera baginda menjadi sultan di Perak.
Permintaan itu dibuat oleh kedua-dua mereka berikutan wasiat pemerintah di negeri itu yang bernama Tok Masuka.
Sebelum meninggal dunia, Tok Masuka mewasiatkan supaya tempatnya digantikan dengan seorang raja yang berasal daripada anak cucu Sang Sapurba supaya zuriat raja-raja yang turun dari Bukit Si Guntang tidak terputus di Tanah Melayu.
Hasil pertemuan itu, Sultan Mahmud telah meminta putera baginda, Raja Muzaffar menjadi Sultan Perak.
Raja Muzaffar kemudiannya telah pergi ke negeri tersebut dan ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama pada 1528 dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah.
Bertitik tolak daripada itu, institusi Kesultanan Melayu Perak terus berkembang sehinggalah ke hari ini.
Sehingga hari ini, termasuk Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Perak telah mempunyai sebanyak 35 sultan.
Berdasarkan sejarah, Sultan Perak ke-27, Almarhum Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah merupakan sultan paling singkat memerintah iaitu selama setahun dari 1886 hingga 1887.
Sultan Perak ke-11, Sultan Mahmud Iskandar Shah pula paling lama memerintah iaitu selama 67 tahun dari 1653 hingga 1720.
No comments:
Post a Comment