TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Thursday, May 21, 2015

Kebun anggur @ Lembah Bertam

Untuk catatan hari ini saya nak berkongsikan Kebun Anggur di Lembah Bertam.


Ada di antara penduduk Cameron Highlands yang telah berkongsikan mengenai kebun anggur ini dalam facebook mereka. 

Namun masih ramai yang tidak tahu kewujudannya di bumi Cameron Highlands.

Sebenarnya terdapat beberapa pengusaha tanaman anggur di sini namun semuanya adalah berskala amat kecil seperti di LEMBAH BIRU (Blue Valley), Stesen Mardi Tanah Rata dan di Lembah Bertam.


Malah di kebun anggur ini pun pengusahanya jugak mengatakan sekadar suka-suka atau hobi sahaja yang telah dimulakan sejak sepuluh tahun yang lalu.

Saya ke kebun ini tengahari tadi bersama seorang kawan dan disambut oleh tuannya seorang pekebun bunga berbangsa Cina yang sangat ramah. 


Kebunnya di dalam rumah plastik dengan varieti anggur berbiji berasal dari Australia. 

Terdapat dua plot tanaman anggur yang dimilikinya di sini dan selalunya plot tanaman utama adalah menjadi tumpuan kerana rata dan lebih banyak pokok yang ditanam serta matang. 


Malah keadaan plot tanaman tersebut rata, sangat terjaga kebersihannya serta cantik dengan rimbunan pokok anggur dibahagian atas manakala buahnya akan berjuntaian ke bawah. 

Namun plot tersebut dalam kunjungan saya tadi sudah habis musim buahnya bulan lalu. 

Jadi pemiliknya membawa saya ke plot kedua yang terletak di atas kebun dengan permukaan bercerun. 


Pokok anggurnya ditanam di atas teres yang telah diratakan dan pemerhatian saya sekitar 30 batang pokok anggur terdapat di situ. 


Buanhnya amat manis dan boleh dipetik dalam tempoh dua atau 3 minggu dari sekarang namun katanya plot ini tidak dibuka untuk jualan dan orang ramai kerana kualitinya agak jauh berbanding plot utama. 


Di musim buah yang sudah dimasak, kebun anggur ini dibuka untuk kunjungan awam dan jika bernasib baik  terdapat jualan anggur mengikut jumlah yang masak ketika itu.


Beliau menjual anggur yang masak sekitar RM 18-20 sekilogram namun terlupa pula saya nak tanya tadi adakah petik sendiri ataupun tidak.

Untuk ke sini, jika anda melalui Jalan Sg Koyan ke Ringlet, dan ternampak ada papan tanda "Sweet Grape" diletakkan di persimpangan masuknya, maka ini bermakna kebun ini dibuka untuk kunjungan awam kerana buahnya mulai masak dan sesuai untuk dijual.

Papan tanda ini hanya akan diletakkan di jalan masuk
jika musim berbuah di kebun anggur ini

Manakala di luar musim, ianya ditutup sepenuhnya.

Cuma di sini, anda perlu meletak kenderaan di luar bahu jalan utama kerana laluan masuk sempit dan tidak sesuai untuk kenderaan biasa. 


Malah kawasan di hadapan kebun anggur ini jugak sempit untuk meletak kenderaan yang pada perkiraan saya tadi sekitar diua buah kereta sahaja. 

Tidak mengapa kerana selain kebun anggur, saya mencadangkan anda berjalan-jalan melihat kebun bunga kekwa di laluan masuk sejauh 150-200 meter. 


Juga terdapat kebun sayur-sayuran tradisional di sebelahnya yang mungkin boleh anda singgah dan mengalami pengalaman yang berbeza.


Pastikan anda memakai kasut yang sesuai seperti kasut sukan dan bertapak rata kerana melalui jalan kebun dan tanah. 


Kebun ini tidak sesuai untuk orang tua warga emas dan bayi namun masih boleh dikunjungi bagi kanak-kanak berusia 5 tahun ke atas.



Saya tinggalkan anda melihat koleksi gambar anggur di ladang di Lembah Bertam ini. 


Dan menurut kata pemilik kebun anggur ini, jangkaanya BULAN OKTOBER 2015 ini adalah musim buah anggur di plot utamanya akan masak dan kebun anggur ini akan di buka untuk kunjungan awam . 

Ingat .. BULAN OKTOBER 2015...  

Jika anda nak ke sana, catatan terkini saya ini ada panduan arahnya;















No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock