Apa kata anda klik info ini.. saya tak marah ...

Gambar terkini di Facebook mrkumai.blogspot.com

Buat Carian Pantas seperti tempat makan, tips bercuti, strawberry dan sebagainya di sini:

Jumaat, 16 Januari 2015

Gerai Makan MDCH Tanah Rata


‎Perkembangan yang amat sihat dapat dilihat di Gerai Makan MDCH sejak kebelakangan ini.

Apa yang sihat? 

Semakin menjadi tumpuan untuk pilihan menjamu selera oleh orang tempatan.

Kenapa menjadi tumpuan? 

Kerana Semakin banyak gerai dibuka berbanding sebelum ini yang hanya satu gerai makan di waktu malam dan  3 gerai di waktu siang‎ dan sekarang hampir kesemua 9 buah gerai makan dibuka termasuk dua gerai pengusaha makanan Cina.

Sepanjang pengalaman 7 tahun kebelakangan ini, suasana barisan kedai makan di sini agak suram.

Antara faktor lain yang membolehkan kembali menjadi pilihan adalah ruang meletak kereta yang lebih banyak berbanding di Arked Makanan baru dan lama di Jalan utama Tanah Rata yang ditutup untuk kerja-kerja menaiktaraf‎ kawasan letak kereta. 

Sembang-sembang dengan rakan di sini pula menambah harga di Arked makanan di sana kian tidak rasional dengan rata-rata sudah mencecah RM 5 hingga 7 bagi setiap menu. 

Dan mungkin kerana mereka menfokuskan kepada pelancong. 

Di Gerai Makanan MDCH ini harganya murah sedikit.

Apa yang menarik? Itu anda kena rasai sendiri.


Cuma kekurangan kemudahan asas seperti tempat membasuh tangan, surau dan tandas sedikit memberi kesan.

Juga ruang meja yang sempit memberikan mengurangkan rasa selesa. Ruang terbukanya pula sesuai bila tidak hujan. 

Tiada khemah tambahan dibenarkan oleh pihak MDCH. 

Manakala kurang lampu yang boleh menambah lanskap sebagai tarikan di waktu malam.

Dah cerita panjang, mungkin anda tertanya di mana lokasinya? 

Di Tanah Rata berhadapan dengan Maybank.

Selamat menjamu selera.



Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia @ Cameron Highlands


Dalam berbual-bual masa sarapan pagi dengan rakan-rakan ada satu persoalan yang ditimbulkan.

Di mana Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Tanah Rata kerana di dalam surat khabar telah dinyatakan ianya telah dirasmikan.

Ada yang meneka di Jalan Tengkolok dan ada pula yang menyangka berkongsi dengan Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Persiaran Camellia 4 Tanah Rata. 

Saya menjejaki lokasinya berdasarkan bunting tanda arah di Jalan Masjid.

Jawapannya telah saya temui, lokasi Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia berkongsi dengan Pejabat Agama Islam Cameron Highlands. 

Cuma yang tak pasti apakah jenis perkhidmatan yang ditawarkan oleh mereka kerana tadi sudah melepasi waktu Pejabat. 


Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Projek Prima terkini @ Tanah Rata


‎Petang petang begini sempat saya menjengah tapak pembinaan Projek Prima di Jalan Tengkolok.

Catatan mengenainya  pernah saya kongsikan dalam catatan terdahulu. 

Kerja-kerja pembinaan sedang rancak dijalankan dari pemerhatian singkat sebentar tadi.

Tawaran kepada pembeli untuk unit berharga RM120,000 telah lama dibuka manakala unit berharga RM 200,000 juga telah ditawarkan. 

‎Yang saya dengar, unit berharga RM 200,000 agak sukar mencapai jualan penuh kerana kekangan 10 peratus deposit yang perlu diberikan atau lebih senang RM 20,000

Saya tak pasti status jualan tersebut. Anda jangan tanya saya untuk maklumat lanjut tetapi tanyalah pemaju berkenaan.


Untuk unit apartment yang lebih mahal atau penthouse tidak saya ketahui status jualan. 

Cuma bila saya melihat harga rumah projek prima di sekitar Kuantan yang menawarkan harga seen it teres sekitar RM 120,000 berbanding dengan harga Prima jenis rumah pangsa di Cameron Highlands memang sedikit terasa kejanggalan dari segi harga tawaran.

Lebih mahal dari kawasan lain jika dibandingkan jenis kediaman yang ditawarkan iaitu jenis pangsa vs teres.

Saya tiada jawapan.. anda?

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Khamis, 15 Januari 2015

Limpahan tanah di Jalan Lembah Bertam


‎Jika anda datang ke Cameron Highlands melalui Jalan dari Felda Sungai Koyan, ketika menghampiri Pekan Lembah Bertam, saya ingin berpesan untuk berhati-hati kerana terdapat limpahan tanah berpasir kadang kala berlumpur berada di atas jalan sepanjang 30 meter. 

Jika di waktu malam mungkin lebih berisiko kerana kawasan ini dalam keadaan gelap.

Setakat ini tiada tanda amaran diletakan oleh pihak berkuasa. 

Saya telah membuat aduan kepada MDCH sebentar tadi untuk tindakan mereka. 

Ingat, lokasinya ketika hendak memasuki Pekan Lembah Bertam. 

Berhati-hati.

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Rabu, 14 Januari 2015

Hanya 1000 PATI ditangkap @ Cameron Highlands


Pasti kita tercari-cari di mana perginya 29,000 baki pendatang asing tanpa izin yang dinyatakan oleh Utusan Malaysia dibawah tajuk 'Cameron ditawan'‎ bulan Oktober tahun 2014 kalau tak silap saya.

Semalam, Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan jumlah yang ditahan dan ditangkap sah sebagai PATI adalah sekitar 979 orang.. 

Laporan dari BERNAMA.

CAMERON HIGHLANDS, 13 Jan (Bernama) -- Sebanyak 979 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas di sekitar Cameron Highlands dalam tempoh 4 Dis hingga 31 Dis tahun lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim berkata PATI yang ditahan itu ditempatkan di depot yang ditetapkan untuk siasatan lanjut dan sebahagiannya sudah dihantar pulang ke negara masing-masing.

Beliau berkata operasi tersebut tidak akan dilakukan secara bermusim tetapi ia akan diteruskan dengan mengesan PATI yang cuba menyorok atau lari ke kawasan lain.

"Kita tidak akan berhenti melakukan operasi...hari ini, esok dan lusa akan diteruskan secara berkala dan tidak berhenti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Imigresen Cawangan Cameron Highlands di sini, pada Selasa.

Beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan risikan untuk memantau perkembangan mengenai PATI di kawasan tanah tinggi itu yang melibatkan agensi penguat kuasa antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan beberapa agensi penguat kuasa lain.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan laporan media sebelum ini mengenai kebanjiran kira-kira 30,000 PATI di sini sebagai tidak munasabah kerana sehingga kini dakwaan itu tidak dapat dibuktikan.

"Apabila kita buat operasi tidak dapat membuktikan (dakwaan) sedemikian, jumlah yang dapat ditangkap setakat ini jauh berbanding apa yang dilaporkan media.

"Ada yang dakwa PATI sudah lari ke Lojing di Kelantan atau Tapah, tapi bila kita lakukan operasi sebenarnya tak ramai pun PATI di sana. Saya harap media berhati-hati apabila melaporkan sesuatu isu," katanya.

Mengenai Pejabat Imigresen Cawangan Cameron Highlands beliau berkata ia dapat memudahkan urusan penduduk dan majikan yang sering merungut untuk mendapatkan perkhidmatan imigresen.

"Kita mendapat rungutan daripada penduduk dan majikan di sini, yang mana sukar untuk berurusan kerana mereka terpaksa pergi ke Kuantan atau Ipoh untuk mendapatkan permit pekerja asing atau urusan lain yang sering tidak dapat dilakukan dengan sepenuhnya," katanya.

-- BERNAMA



Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Hari Pertama @ Tadika Majlis Agama Islam Taman Sedia

‎Untuk si adik Kaisa, hari pertamanya di Tadika MAIP Taman Sedia merupakan kesinambungan tahun kedua selepas melaluinya pada usia 4 tahun, tahun 2014.


Tadika ini berkonsepkan Islamik di bawah Pentadbiran  Majlis Agama Islam Pahang.

Mereka menerima murid seawal usia 4 tahun (dengan syarat mampu berdikari sendiri) sehinggalah murid berumur 6 tahun sekitar 50 orang sahaja.

Selain tadika ini, di Tanah Rata terdapat Tadika swasta Winlon manakala pra sekolah di SK Tanah Rata dan SK Convent.


Keletah kanak-kanak yang ketakutan kerana kali pertama dapat dilihat di sini dengan usaha ibu bapa masing masing yang memujuk.

Anak saya untuk tahun keduanya di sini seperti biasa sahaja kerana sudah berpangkat "Kak Ngah".


Semoga dipermudahkan menuntut ilmu adik....



Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Hari pertama @ SK Tanah Rata

‎Tahun ini sedikit berbeza bagi saya kerana anak pertama saya menjejaki kaki ke alam persekolahan.. darjah 1.


Dan sekolah yang menjadi pilihan adalah Sekolah Kebangsaan Tanah Rata. 

Terdapat beberapa buah sekolah di Tanah Rata seperti SK. Convent, SJK Tamil dan SJK C.

Manakala di Brinchang juga terdapat sebuah sekolah kebangsaan dan SJK C.

Di SK Tanah Rata dianggarkan sekitar 420 orang murid dalam satu sesi persekolahan dengan purata 2 kelas setiap darjah.

Anak saya di antara 60 murid tahun 1 yang telah mendaftar pada tahun ini dan dibahagikan kepada dua kelas.


Ragam di hari pertama tidak banyak kerenah dapat dilihat kerana rata-rata telah melalui peringkat pra sekolah pada tahun persekolahan sebelumnya. 

Cuma kelibat ibu bapa agak teruja kerana ada yang melalui pengalaman ini buat kali pertama.

Semoga sesi persekolahan kali ini berjalan lancar. 


Di kala sebahagian pelajar dan murid di sekolah yang terlibat banjir di pantai timur yang datang ke sekolah dengan penuh cabaran dan dugaan, murid-murid di sini melaluinya dengan penuh gembira dan moga dipermudahkan segala urusan. 

Selamat menimba ilmu....

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Apa yang baharu @ CH

putik baharu ...
‎Ada yang tanya, apa yang baru di Cameron Highlands di tahun 2015?

Saya mungkin boleh berkongsikan bahawa Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan atau JPJ tealh dibuka di Marigold Square bersebelahan dengan Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands.

Juga yang terbaru adalah pembukaan rasmi Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Tanah Rata.

Alhamdulilah.. dah tak perlu lagi kami ke Ipoh untuk segala urusan yang berkaitan.

Menunggu Pejabat SPRM pula ni.


Sent from my BlackBerry 10 smartphone.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...