TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Showing posts with label felda. Show all posts
Showing posts with label felda. Show all posts

Thursday, July 8, 2021

Felda .. satu kebanggaan....

 Hari ini adalah HARI PENEROKA FELDA peringkat kebangsaan. 


Saya ada kongsikan beberapa catatan mengenai Felda berdasarkan pengalaman saya sendiri anak atau generasi kedua FELDA dan juga sedikit pembacaan serta pengalaman sendiri. 

Saya kongsikan link jika anda berminat untuk membaca catatan terdahulu saya mengenai FELDA. Malangnya ada gambar-gambar awal yang saya gunakan tidak dapat dilihat dalam catatan-catatan ini. Rugi pula sekadar copy and paste gambar ini dahulu bukan 'insert picture' yang lebih kekal. 

Klik kepada catatan-catatan dibawah ini;

Asal penubuhan FELDA

Menjadi Peneroka dan Penerokawati

Masuk ke Rumah Baru

Hari pertama ..

Seorang Penerokawati

Seorang Peneroka

Rumah Lama Felda

Felda Kumai ...

Felda Kumai..2 

Pembukaam Felda Kumai 2 ..

Nostalgia Kenduri Kahwin di Felda... 

Nostalgia wayang Pacak ...

Nostalgia jalan tanah di Felda.

Nostalgia zaman sekolah di Felda...

Nostalgia Pertunjukan Pentas di Felda

Jasa guru-guru di Felda

Tradisi beraya di Felda 

Felda ..mengimbas sejarahnya.. 

Felda .. mengimbas sejarahnya 1..

Felda Kumai 1980 an...

Kenangan mengundi PRU ... errr Ahli Parlimen kami jadi Timbalan Perdana Menteri hari ini...

Orang blok saya...

Maklumat-maklumat dalam catatan saya ini mungkin ada yang tidak tepat dan sebab itulah saya katakan sekadar dari pengalaman saya semata serta sedikit pembacaan sahaja. 

Satu lagi Lain Padang Lain Belalang ... jadi mungkin tidak sama suasana di Felda yang lain ...

Thursday, September 22, 2016

Felda Kumai.. saje nak kongsi

Setelah lama tak balik ke kampung halaman, minggu sudah sempena kenduri adik dan juga cuti satu Malaysia saya kembali ke sana. 


Masuk sahaja dah dapat lihat pintu gerbang yang berwarna baharu kuning merah seperti Negeri Selangor pula.


Cuma tak sempat nak rakam gambar sekitar Felda Kumai kerana sibuk urusan kenduri adik. 
Apapun terbaik Felda Kumai. 

Itu sahaja saya nak kongsi... saya kan orang Kumai...



Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Friday, April 22, 2016

Homestay di Felda Kumai, Bera , Pahang


Saya nak kongsikan salah satu perkhidmatan homestay di Felda Kumai, Bera, Pahang.

Bagi mereka yang memerlukan khidmat homestay untuk urusan sekitar di Bera, anda boleh menghubungi pemilik Homestay ini untuk urusan seterusnya. 

Ingat hubungi mereka iaitu :
Puan Jiah 019-9969494 atau Puan Azemah 019-9351086
dan bukannya saya kerana saya sekadar berkongsi maklumat ini. 

Selamat datang ke Felda Kumai, Bera Pahang.

Kampung saya ni...

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Thursday, September 10, 2015

Felda Kumai di awal 1980..

Saya mendapat gambar ini telah lama namun setelah saya perhatikan betul-betul tahun lepas, baru saya perasan, ini adalah Felda Kumai. 

Felda Kumai adalah Felda saya dan nama mrkumai.blogspot.com adalah berinpirasikan dari nama Felda saya ini sendiri.


Felda Kumai terletak di Daerah Bera, Pahang.


Saya pernah dan beberapa kali membuat catatan berkaitan dengan Felda saya ini.

Melihat kepada gambar di atas, saya menjangkakan ianya sekitar tahun 1980-1982.


Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Tuesday, August 25, 2015

Kenangan cikgu-cikgu di SK Felda Kumai

‎Semalam saya menonton Majalah 3 di TV3 mengenai guru-guru yang berkhidmat  di pendalaman di Sarawak. 

Juga mengenai kisah cikgu-cikgu yang memang berasal dari kawasan pendalaman yang mendapat peluang menjadi guru dan kembali berbakti di kawasan masing-masing.


Saya terus teringat akan guru-guru saya di SK Felda Kumai yang suatu masa dahulu juga di kira pendalaman kerana kemudahan yang ada amat terhad dan suasana penempatan yang sangat serba kekurangan sama seperti peneroka yang lain.



Bergelap di malam hari, berdebu di tengah hari, paip ada air tak ada dan pelbagai lagi sama seperti kami. 

Namun semua ini tidak melemahkan semangat mereka malah mereka dapat mengadaptasikan kehidupan mereka dengan masyarakat setempat. 


Jasa mereka tetap akan dikenang!

Terima kasih Cikgu...

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Saturday, August 8, 2015

Facebook SK Felda Kumai

Petang-petang sebegini, dalam keadaan berkabus dan angin kuat menderu di luar rumah di Cameron Highlands, saya mengisi ruang waktu melayan FB saya dan terlintas pula untuk mencari rakan-rakan dari Felda Kumai. 


Namun yang saya temui adalah laman FB SK Felda Kumai ‎dan tentunya seronok melihat dan dapat mengikuti perkembangan serta aktiviti terkini Sekolah Kebangsaan LKTP Felda Kumai. 



Tempat jatuh lagi dikenang... Ini kan pula tempat mulai mengenal abc,123, mengira, membaca dan semuanya.... 


Bukan sedikit juga kenangan dan persahabatan yang terjalin di laman sekolah ini yang kekal dikenang sehingga kini. 


Malah bukan juga seorang dua yang berjaya membina kerjaya yang hebat dan jika tidak bernasib baik masih akan tetap mengenang jasa warga sekolah ini khasnya guru-guru yang biasa tetapi jasanya amat luarbiasa. 

Jadi kepada rakan-rakan sefelda, jaldilah rakan SK Felda Kumai di Facebook. 

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Friday, July 24, 2015

Blok 13 Felda Kumai, Bera, Pahang.

(Catatan ini adalah catatan awal saya kongsikan di laman mrkumai.com dan kisahnya dekat dengan diri saya iaitu mengenai kampung halaman saya dan kisahnya saya fokuskan kepada  kawasan kejiranan saya).

Catatan kali ini  ingin membawakan anda secara lebih dekat untuk mengenali sendiri atau mengenangkan kembali sesuatu di Felda Kumai. 

Buat permulaan, saya sebagai anak Felda Kumai dari Blok 13 ingin berkongsikan kisah kami. 


Jom ….Blok 13 terletak dibahagian tenggara Felda Kumai iaitu bersebelahan dengan Blok 12 dan bersambungan pula blok 14 dan 15 dibahagian hujungnya. 

Di bahagian atasnya, bersempadanan dengan Hutan Simpanan Chini terutama dari rumah Pok Ku (Tuan Abdulah Tuan Ngah) sehinggalah ke penghujung blok 13 di rumah Tuan Haji Tukiman.

Blok 13 seperti Blok yang lain mempunyai 24 buah keluarga yang terdiri pelbagai negeri dari semenanjung dari Perlis sehinggalah ke bahagian Johor. 

Pelbagai bahasa atau loghat dapat dilihat dan dipertuturkan oleh generasi kami di sini. Namun bagi generasi yang sekitar 20 an, loghat negeri Pahang biasanya lebih kedengaran dari loghat negeri asal keluarga mereka.

Bermula dengan nombor rumah 289 hinggalah kepada nombor 308 di sepanjang Jalan Bunga Janda Kaya (Kalau tak silap saya dahulu adalah Jalan Indera Mulia). 

Kalau mengikut sejarah, Haji Ridzuan dan Hajah Saudah merupakan peneroka terawal yang menetap di blok 13 jika pendaftaran peneroka diambil kira. Ini kerana setiap kali peneroka mendaftar diri, mereka akan diberikan nombor peneroka mengikut pendaftaran dan membuat undian rumah yang menentukan lokasi blok dan rumah mereka. 

Mereka didaftarkan dengan nombor 12586. Manakala mengikut nombor pendaftaran 12960 yang dimiliki oleh Haji Wak Kadirin serta Isterinya, merupakan ahli blok terakhir yang melapor diri dan mengundi untuk ditempatkan di blok 13 ini. 

Blok 13 di ketuai oleh Ketua Blok En. Adlan bin Adol ataupun dipanggil Pak Ngah Lan oleh generasi kami.


Sejarah ketua blok menyaksikan beberapa ahli blok telah mengambil peranan ini terdahulu seperti Pak Lang Don (Abdul bin Din), Pak Su Jaafar (Jaafar Kassim), Pak Cik Zaitong ( Zaitong Awang), Hj Tukiman (Tukiman Mohamad) dan Arwah Pok Osman (Othman Awang). (Jom betulkan saya…)

Saya akan cuba membuat catatan khusus mengenai peranan ketua blok yang tidak atau kurang didendangkan oleh generasi kini.

Pak Su Pin (Pin bin Seman dan Isteri Harison Rejab) yang berasal dari Kayangan, Perlis merupakan peneroka yang paling tua dikalangan ahli blok 13 dengan rekod kelahiran beliau 1 Mac 1942 ataupun sekitar 71 tahun. 

Manakala Isterinya yang dikenali Mak Su pula berusia 70 tahun merupakan antara penerokawati yang paling tua. Mak Long (Halimah Abdullah ) merupakan antara yang paling tua dikalangan yang lain iaitu dilahirkan pada tahun 1933. 

Ahli blok 13 telah kehilangan beberapa orang ahli bloknya seperti Arwah Pak Long Ujang (Ujang bin Yatim) pada tahun 1989 (Ketika ini, beliau adalah pengusaha kantin sekolah Kumai). Jenazahnya disemadikan di Kampungnya di Lanchang, Pahang. 

Pada tahun 1990, Pak Haji Mahmud (Haji Mahmud Ismail) pula menyusul mengadap Ilahi selepas penat membantu persediaan membuat balai kenduri di rumah Pok Oak (Daud bin Muda). Saya masih teringat, saya dan rakan, Naim, ditugaskan untuk ke rumah ahli blok yang lain memaklumkan arwah tengah nazak di rumahnya petang tersebut. Akhirnya arwah menghembuskan nafasnya ketika di Klinik Kesihatan di Bera 32 pada petang itu juga. 

Kemudian beberapa lagi ahli blok turut sama meninggalkan kami seperti Pok Mat (Che Mamat Che Seman) yang sakit tua di kampungnya Paya Luas Temerloh , Haji Wak Busro (Busro bin Amil), Pak Long Jaafar (Jaafar bin Ishak ), Pak Sahak (Ishak bin Jusoh) serta ketua Blok kami sendiri sekitar tahun 2006, Pok Osman (Othman Awang). 


Manakala kaum ibunya kehilangan sahabat mereka, Allahyarhamah Mak Su Piah Sopiah bt Bakar) yang meninggal ketika pulang ke kampung Kuala Kurau, Perak.

Kehilangan ini ibaratkan pergi bercuti yang tidak kembali oleh rakan-rakannya kerana tidak sempat untuk menatap wajah sahabat mereka ketika saat akhirnya. 

Al-fatihah kita sedekahkan kepada mereka yang telah mendahuli kita untuk kembali kepadaNYA. Al-Fatihah. 

Blok 13 mempunyai sesuatu yang dibanggakan. Syarikat Pinggan Mangkuk (SPM) yang dikatakan yang pertama diwujudkan di Felda Kumai untuk keperluan pinggan dan peralatan majlis kenduri kendara yang ditubuhkan pada tahun 1984 atau 1985 (sebelum saya tadika). 

Awalnya persatuan SPM ini ditubuhkan untuk kemudahan ahli blok mengadakan kenduri selepas pengalaman kenduri di rumah Pak Su Pin untuk Kak Shila yang dikatakan kenduri kahwin yang pertama di Felda Kumai ketika itu. 

Kemudian SPM ini berkembang dengan pantas kerana anak-anak semakin menginjak dewasa dan kenduri kahwin kerap diadakan. Malah saya difahamkan keahlian syarikat pinggan mangkuk ini menjangkau sehingga blok 17 keahlian. 


Dikatakan juga seramai 60 orang peneroka menjadi ahlinya menjadikannya sebagai yang terbesar di Felda Kumai. Saya masih teringat ketika kecil, bangsal stor SPM terletak di antara rumah Pak Ngah Lan dan Arwah Pak Sahak. 

Insyallah akan saya perincikan dalam kenangan kenduri kendara di Felda Kumai kelak. Blok 13 juga amat berbangga dengan salah seorang ahli bloknya iaitu Haji Ridzuan Abd Hamid yang bertugas sebagai Bilal bagi Masjid Jamiatun Mukminin kita. 

Malah pada tahun 2005 kalau tak silap saya, beliau telah mewakili Negeri Pahang ke Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Negeri Perlis sebagai QARI Negeri Pahang. Masyarakat Kumai memanggil beliau dengan gelaran Ustaz tetapi bagi generasi kami di blok 13, lebih mesra dengan panggilan Pak Aji selepas beliau menunaikan haji pada tahun 1988 bersama isterinya Mak Aji (Saudah bte Ibrahim). 

Blok 13 pernah memenangi tempat kedua dan ketiga bagi kategori lanskap blok terbaik (sepanjang pengetahuan saya). 

Generasi blok 13 sama seperti generasi blok yang lain. Ada yang berjaya dengan jawatan tinggi dan juga ada yang kurang berjaya namun masih membanggakan.

Keakraban generasi blok ini boleh dilihat ketika hari raya di mana berkumpulnya semua lapisan generasi berkunjungan ke rumah-rumah ahli blok sebagai satu tradisi yang tidak luput ditelan zaman malah generasi kedua turut sama menyertainya. 


Semoga ahli blok 13 baik dari lapisan peneroka dan generasinya dapat mengekalkan apa yang telah wujud dan diwarisi. Insyallah, saya akan menambah apa-apa jua bahan mengenai blok ini. 

Kepada pembaca generasi dari blok 13 yang ingin menambah bahan cerita, ayuh kita kongsikan di ruangan ulasan….

Kepada generasi dari blok yang lain, apa kata anda sumbangkan pula kisah mengenai blok anda bersama. 

Saya percaya kisah-kisah sebegitu amat berbeza dari kisah yang lain apatah lagi dikisahkan pula oleh anda sendiri…

Saturday, July 18, 2015

Beraya di Blok 13 Felda Kumai Bera Pahang

Saya nak berkongsikan suasana beraya di hari raya pertama dengan tradisi beraya bersama-sama dari rumah ke rumah di kalangan komuniti blok 13 Felda Kumai.


Ini bukan sekali dua tetapi telah berlangsung lebih dari 30 tahun di kalangan kejiranan ini blok ini.

Tetapi sebelum saya bercerita mengenai aktiviti beraya kami ini sedikit pengenalan bagi mereka yang tidak biasa dengan sistem penempatan di Felda.

Pertamanya,  Felda yang saya maksudkan adalah F E L D A   K U M A I yang terletak di Bera Pahang yang mana di dalam Gugusan Bera.


Jiran sekitar kami adalah Felda Mayam, Tementi, Rentam, Sebertak, Purun dan Bukit Kepayang.

Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai Felda Kumai ini, anda boleh KLIK untuk ke catatan awal saya mengenainya.

Keduanya, penempatan di felda berasaskan sistem blok di mana semua peneroka dibahagikan kepada blok masing-masing iaitu mengikut baris atau jalan dengan jumlah sekitar 25-30 buah rumah bagi setiap blok yang juga merupakan sistem kerja secara berkelompok dalam operasi di ladang serta pengurusan aktiviti kemasyarakatan.

Untuk rekod kalau tak silap saya Felda Kumai mempunyai 540 buah rumah peneroka yang kemudian telah dibahagikan kepada blok-blok tertentu antaranya B L O K  1 3 .

Setiap blok mempunyai keunikan masing-masing iaitu pelbagai asal usul seperti negeri dan juga suku seperti Banjar dan Jawa.

Contohnya di blok 13, kami ada Orang Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor di kalangan ahli blok kami ini.

Ini menjadikan ianya unik kerana kepelbagaian asal usul ini memberi warna tambahan dalam aktivti budaya masyarakat Melayu khasnya juadah hari raya yang pelbagai.


Berbalik kepada suasana beraya di Blok 13, aktiviti kami beraya adalah secara bersama bermula sebelum raya tetapi yang dinanti adalah pagi raya. 



Selepas bermaafan bersama keluarga di rumah masing-masing selepas sembayang raya, kami akan bergerak secara berkumpulan ke Rumah Pak Lang Don iaitu rumah yang pertama sekali selepas sempadan dengan Blok 12.

"Kami" yang dimaksudkan adalah semua generasi terlibat.

Bukan sekadar ayah tetapi generasi kedua iaitu anak-anak yang dewasa diikuti oleh generasi ketiga iaitu cucu-cucu dan kalau tak silap saya sudah ada generasi keempat iaitu cicit turut sama dalam rombongan dari rumah ke rumah ini. 

Saya pernah berkongsikan kisah ini setiap tahun. Klik untuk catatan penuh tahun-tahun terdahulu mengenai keunikan tradisi kami ini. 

Jadi tahun ini saya nak berkongsikan gambar sahaja. Boleh?


Bila saya kongsikan suasana beraya di kumpulan whatsapps group saya, ramai yang mengatakan ada majlis kenduri ke ? 

Ada juga yang mengatakan mereka tak sangka ada kumpulan yang masih melakukan aktiviti ini yang dikatakan hanya digambarkan dalam tv sahaja sebagai tradisi tetapi realiti terlalu kurang dilakukan.


Saya ingin mengatakan, lain padang lain belalang. Budaya yang berbeza bergantung di kawasan tersebut dan kita perlu saling hormat menghormati apa juga amalan yang dilakukan dalam sambutan hari raya.


Jadi tiada masalah bagaimana anda menyambut hari lebaran dan bagi kami di Blok 13 Felda Kumai, inilah kebanggaan dan saat yang dinantikan setiap kali hari raya menjelma.  



Cuma di kala berkumpul begini sayu jugak bila ada dikalangan ayah-ayah mengatakan entahkan dapat mereka bersama rombongan di tahun hadapan.

Tahun ini nampaknya kami tak dapat bersama Arwah Pak Su Pin dan Arwah Mok Dah yang telah kembali ke ramahtullah mengiringi rakan-rakan mereka dari generasi pertama blok 13 yang terlebih awal dijemput Ilahi seperti Arwah Pak Sahak, Arwah Pok Osman, Arwah Pok Mat, Arwah Wak Busro, Arwah Haji Mahmud, Arwah Pak Long, Arwah Pak Long Jaafar dan Arwah Mak Su.

Al Fatihah kepada semua Allahyarhamah ibu-ibu dan Allahyarham ayah-ayah blok kami ni . 

ALFATIHAH...







Selamat Hari Raya.. 
Maaf Zahir dan Batin. 

Kata mak saya dahulu, dari rumah ke rumah, biasanya ahli rombongan akan bertakbir raya!!!...

Mmm.... mungkin boleh dihidupkan semula tahun hadapan... kena pakat ramai-ramai ini...

Friday, May 2, 2014

Felda ... kewujudan tanah rancangan dan bandar baharu

Dalam catatan yang lepas yang memetik kertas kerja En. Jamaluddin Lamin berkenaan mengenai petikan Kertas Kerja yang ditulis sekitar 1987 oleh beliau mengenai "Smalholder Management in Oil Palm: Malaysian Experience". 
 
Seperti yang saya janjikan saya akan berkongsikan pula sedikit maklumat bagaimana pembukaan tanah rancangan felda dan apakah keperluannya pula pembukaan bandar baharu.
 
 
Mengikut kertas kerja ini, beliau menerangkan bahawa pada tahun 1955 terdapat hampir 116,000 permohonan tanah yang diterima oleh pejabat tanah seluruh negara dan ada di antaranya diragui dan bertindih.
 
Di atas usaha kerajaan, satu badan kerajaan diwujudkan untuk menyelesaikan tuntutan tanah ini dan antara yang dicadangkan adalah negara memerlukan pelan rancangan yang amat kukuh untuk memastikan pembangunan tanah ini kelak dilakukan seiring dengan pembangunan ekonomi dan sosial.
 
Maka FELDA ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan dengan tugas utama mempromosikan  dan membantu penyiasatan, mewujudkan formula pembangunan, dan memajukan pelan pembangunan atas nama penerokaan tanah di semenanjung.
 
Pada tahun 1956-60, Felda tidak memainkan peranan secara terus  kepada kerja-kerja pembangunan bagi mengelakkan sebarang salah faham fungsi kerajaan negeri atas hak milik tanah namun ianya menyaksikan fasa pembangunan yang amat perlahan dengan hanya 14 skim tanah rancangan dapat dibangunkan dalam tempoh itu melibatkan keluasan 5,910 ha tanah getah.
 
Hanya selepas itu kerajan persekutuan membuat rancngan dan perjanjian di antara kerajaan negeri, maka pembangunan tanah rancangan dapat dijalankan secara terus dibawah Felda.
 
Hasilnya dari tahun 1961 hinggalah 1975 seluas 291,818 hektar tanah berjaya dibangunkan terutamanya melibatkan tanaman kelapa sawit diikuti dengan getah dan tanaman yang lain seperti koko, kopi dan tebu.
 
Pembangunan tanah rancangan bermula dibawah satu pasukan peninjau yang membuat kajian secara menyeluruh mengenai kesesuaian kawasan yang bakal dibangunkan sebagai kawasan penempatan terutamanya mengambil kira keadaan muka bumi, kawasan tidak rendah untuk mengelakan banjir dan kesesuaian jarak untuk peneroka ke tempat kerja.
 
Kawasan yang sesuai kemudian akan dirancang dan dibangunkan dengan penempatan peneroka yang lengkap dengan kemudahan seperti jalan raya, rumah kediaman, balai raya, masjid, klinik, kawasan perniagaan, pejabat felda dan sekolah.
 
Namun pembangunan tanah rancangan tidak sepenuhnya dibuat secara bersendirian oleh Felda sebaliknya sumbangan dari agensi kerajaan yang lain seperti di dalam jadual di bawah:
 
 
Kawasan penempatan Felda atau dikenali sebagai Tanah Rancangan selalunya dibina dengan kemampuan menempatkan sekitar 300- 400 buah keluarga dengan keluasan sekitar 1,600 hingga 1,800 ekar.
 
Ianya kemudian bakal menampung kehidupan masyarakat seramai 1600 hingga 2000 orang penduduk hasil perkembangan keluarga peneroka kelak.
 
Peneroka hanya dibawa masuk setelah kemudahan asas ini telah dibina dan biasanya setiap tanah rancangan mampu disiapkan dalam tempoh 30 hingga 36 bulan selepas kerja meneroka kawasan hutan dimulakan.
 
 
Maka bermulalah kehidupan sebagai peneroka yang ketika itu akan menetap di tanah rancangan dengan serba kekurangan seperti kemudahan asas harian seperti air dan elektrik malah menerima ancaman binatang buas juga.
 
Kedudukan tanah rancangan yang jauh ke kawasan pendalaman dan baharu diteroka menjadikan mereka ini agak terasing malah bagi sesetengah rancangan felda ianya amat jauh dari bandar ataupun pekan terdekat.
 
Ini diburukan lagi dengan kemudahan pengankutan samada milik sendiri ataupun awam yang amat terhad ketika itu.  
 
Penyelesaian yang dirancang oleh FELDA adalah mewujudkan bandar-bandar baharu yang melengkapkan dan mendekatkan kemudahan dan juga keperluan para peneroka.
 
Biasanya bandar baharu yang dibuka adalah terletak di kawasan tengah beberapa buah felda yang yang bersebelahan.
 
Maka kawasan yang lengkap dengan kemudahan kesihatan, perniagaan yang lebih besar, kemudahan pejabat kerajaan dan seumpamanya akan memudahkan urusan pentadbiran dan peribadi peneroka.
 
Mungkin anda pernah mendengar nama-nama bandar seperti Bandar 32, Bandar 22, Bandar 16 dan sebagainya.
 
En. Jamaluddin Lamin kemudian mengambil contoh pembangunan Bandar Baru 22 yang terletak di Keratong 2, yang terletak di Wilayah Pahang Tenggara dan pastinya melibatkan agensi kerajaan yang bertanggungjawab iaitu DARA.
 
Kawasan pembangunannya terletak di tengah-tengah gugusan felda ini menjadikan ianya seperti pusat kegiatan utama kepada masyarakat peneroka sekitarnya seperti sekolah menengah, kawasan industri desa, bengkel-bengkel, pusat kesihatan dan sebagainya. 
 
 
Apapun kini, mungkin bandar-bandar baharu ini tidaklah begitu aktif berbanding dahulu kerana kemudahan pengangkutan yang lebih baik mampu dimiliki oleh peneroka yang lebih mudah mengunjungi pekan-pekan utama yang berada sekitarnya.
 
Bagi saya, ini adalah konsep pembangunan yang berjaya dilakukan oleh pihak Felda dan jika anda ke kawasan perladangan atau estet, konsep yang sama dibangunkan oleh pihak syarikat untuk memastikan keperluan pekerja dan juga perniagaan mereka disokong dengan aktiviti sosial ekonomi pekerja dan masyarakat setempat.

Thursday, May 1, 2014

Felda ... masuk ke rumah baru...

Catatan ketiga dari petikan Kertas Kerja En. Jamaluddin Lamin kali ini saya kongsikan pula bagaimana selepas calon peneroka berjaya di pilih  untuk di tempatkan di tanah rancangan Felda, mereka akan menerima sebuah rumah baharu dan beberapa kemudahan yang lain.
 
Antaranya adalah sebuah rumah baharu yang siap dibina lengkap tetapi bukan semua lengkap dengan kemudahan asas seperti bekalan air ataupun elektrik. 
 
Catatan awal saya mengenai rumah peneroka berdasarkan pemerhatian saya  pernah dikongsikan di sini.. klik.
 
Rumah peneroka adalah jenis yang biasa dan seragam dibina oleh Felda di seluruh negara walaupun ada beberapa versi rekaannya terutama penghujung 1980 an.
 
Koleksi Pak Abu. Alumni Asrama Felda.. katanya Jengka 11
 
Namun yang paling popular adalah rekaan awal yang dibina sekitar 1970 an sehingga penghujung 1990 an seperti gambar Pak Abu di atas.
 
Bahan utamanya adalah kayu. Mungkin kerana bahan mentah utama iaitu balak lebih mudah diperolehi ketika itu ketika pembukaan tanah rancangan oleh Felda yang sememangnya dari hutan belantara.
 
Mengikut kertas kerja En. Jamaluddin Lamin ini beliau berkongsikan beberapa ciri asas pembinaan rumah peneroka iaitu;
 
Rumah peneroka yang asas mempunyai beranda atau anjung dengan sebuah ruang tamu berukuran 12 kaki  x 10 kaki.
 
Hanya ada satu sahaja bilik tidur yang juga sama keluasan dengan ruang tamu.
 
Manakala ruang makan adalah seluas 10 kaki x 10 kaki, dapur kecil 6 kaki x 10 kaki, bilik air 6 kaki x 3 kaki dan sebuah tandas cangkung di belakang rumah bersaiz 3 kaki 3 inci x 4 kaki 6 inci.
 
susun pelan lantai Rumah Asal Peneroka Felda
 
Atau secara ringkas saiz rumah 20 meter x 50 meter dengan keluasan lantai 42 meter persegi atau 450 kaki persegi.
 
Bahan binaan adalah kayu keras yang menjadi asas rangka rumah dan kayu kayan yang telah dirawat dan berbumbungkan asbestos.
 
Keluasan tanah pula adalah sekitar 0.10 ha untuk kemudahan laman dan juga ruang bercucuk tanam dibahagian belakang rumah.
 
Semua serba kosong. Tiada perabot ataupun pendawaian elektrik.
 
Itulah anugerah pertama untuk para peneroka yang mendapat peluang menjadi peneroka.
 
Saya percaya mereka amat bersyukur menerima hadiah pertama ini.
 
Saya pernah berkongsikan bagaimana pengalaman saya sendiri yang berpeluang untuk mengikut pak cik saya mendaftarkan diri mereka sekeluarga untuk menjadi warga felda .
 
Catatannya di sini. Klik
 
Dalam catatan akan datang yang masih memetik kertas kerja En. Jamaluddin Lamin, saya akan cuba kongsikan pula bagaimana pembentukan tanah rancangan atau kampung kecil beserta pembukaan bandar-bandar kecil sebagai sokongan kepada penempatan beberapa tanah rancangan.
 
Selepas itu saya akan berkongsikan pula petikan bagaimana pembahagian lot ladang dan bagaimana sistem kerja yang diamalkan oleh pengurusan Felda.

Wednesday, April 30, 2014

Felda.. Info pengambilan peneroka dan penerokawati ..

Ini adalah catatan kedua mengenai petikan Kertas Kerja yang ditulis sekitar 1987 oleh En. Jamaluddin Lamin mengenai Smalholder Management in Oil Palm: Malaysian Experience.
 
Catatan pertama di sini ...klik
 
Catatan kedua ini pula saya ingin berkongsikan bagaimana FELDA memilih peneroka dan penerokawati untuk ditempatkan di tanah rancangan felda yang terpilih.
 
peneroka
 
Untuk menjadi seorang peneroka bukannya mudah.
 
Bukan sekadar mengisi borang dan memohonnya namun terdapat beberapa prosedur yang perlu dihadapi oleh pemohon sebelum diterima masuk menjadi peneroka.
 
Pertama, En. Jamaluddin Lamin berkongsikan bagaimana Felda mengaturkan bahawa calon peneroka mestilah dipilih dan ditemuduga sendiri bersama isteri.
 
Ini kerana FELDA melihat peranan isteri amat penting dalam menyokong serta memberi kestabilan dalam skim komuniti dan menyokong kepada suami dalam kehidupan harian.
 
penerokawati
 
Satu Jawatankuasa Pemilihan yang terdiri daripada wakil FELDA, Pejabat Daerah dan Kerajaan Negeri akan melakukan sesi pemilihan dari permohonan yang diterima sehinggalah kepada sesi temuduga calon yang telah disaring.
 
Antara kriteria utama adalah mestilah rakyat Malaysia yang telah berkahwin berumur di antara18-35 tahun (atau sehingga ke 40 tahun bagi bekas tentera), tiada rekod jenayah, tidak mempunyai tanah di pendalaman melebihi 2 ekar atau atau lebih dari satu lot di kawasan bandar.
 
antara kriteria penilaian semasa di temuduga.
Selebihnya pula adalah berdasarkan kriteria pemilihan dan pengamatan kesihatan, kemahiran, saiz keluarga yang akan dianalisa ketika sesi temuduga.
 
Di Malaysia, pemilikan dan urusan berkaintan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan adalah menjadi keutamaan oleh kerajaan negeri tersebut semestinya untuk menempatkan anak negeri masing-masing terlebih dahulu.
 
Hanya negeri yang mempunyai kekurangan permohonan dan pemilihan calon yang layak sahaja akan dibuka untuk anak negeri lain untuk dipilih dan ditempatkan di tanah rancangan felda.
 
 
Alhamdulilah, ayah dan mak saya terpilih untuk katergori kedua iaitu penempatan anak negeri dari luar Negeri Pahang walaupun berasal dari Negeri Perak.
 
Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan mengikut kisah yang dituturkan oleh ayah saya, beliau menghadiri temuduga di Pejabat Daerah Bentong untuk pemilihan ke Felda dan ketika itu Menteri Besar Pahang sendiri antara panel temuduga.
 
Alhamdulillah .... syukur.... 
 
Catatan awal saya bertajuk " Menjadi Peneroka" boleh anda baca di sini ..klik dan catatan Menjadi seorang Penerowati pula di sini ..Klik

Tuesday, April 29, 2014

Felda... Info pengambilan peneroka...

Saya menemui catatan ataupun artikel yang amat menarik yang ditulis sekitar 1987 oleh En. Jamaluddin Lamin bertajuk  "Smalholder Management in Oil Palm: Malaysian Experience".
 
Kertas kerja ini dibentangkan ketika Sesi "Workshop on Management of Oil Palm Industry, November 24-25,1987 di Medan Indonesia.

Saya agak tertarik untuk membaca kertas kerja beliau ini kerana terlihat gambar ini yang seakan-akan seperti pemandangan di felda saya iaitu Felda Kumai, Bera Pahang.

Salah satu penempatan Felda sekitar awal 1980 an... jika saya amati , rasanya felda saya ini .. FELDA KUMAI..

Susunatur penempatannya seperti jalan dan kedudukan masjid sama seperti yang ada di felda saya itu.
Antaranya beliau mengisahkan bagaimana pengalaman Malaysia membangunkan industri Kelapa Sawit  berkonsepkan "smallholder" yang melibatkan pembukaan tanah hutan untuk penempatan peneroka yang terlibat secara langsung dalam industri kelapa sawit, getah, dan koko serta tebu.


Di awal kertas kerjanya beliau membawa pembaca kepada keadaan semasa pengeluaran komoditi utama seperti kelapa sawit, getah, koko dan kopi oleh Negara Malaysia kepada keperluan dunia.

Kemudian beliau berkongsikan bagaimana kerajaan memfokuskan projek pengeluaran bahan komoditi ini oleh agensi kerajaan seperti Felda, Risda dan Felcra yang mempunyai peranan dan halatuju masing-masing yang khusus.
 
Antaranya FELDA yang membawa misi serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan dan pada masa sama pengeluaran besar-besaran minyak sawit.

Menumpukan kepada pengalaman felda ini, beliau berkongsikan pula bagaimana peluang kepada rakyat tempatan yang jauh tertinggal dari segi ekenomi dan pembangunan  di berikan peluang untuk mengubah cara hidup mereka dengan lebih baik.


Cara pengambilan peneroka dan juga bagaimana sistem yang dijalankan mampu memberikan peluang mereka menambah pendapatan harian.

Saya tidak berniat untuk berkongsikan sepenuhnya kertas kerja beliau sebaliknya saya akan kongsikan petikan bergambar yang saya ambil dari kertas kerja beliau yang dimuatkan dalam Majalah The Planter issue November 1988.
  
Sebagai anak generasi Felda saya sentiasa berbangga menjadi sebahagian kisahnya dan amat bersyukur kerana terpilih menjadi sebahagian kecil watak dalam sejarah dan pembangunannya sehingga kini.

Alhamdulillah ...

* Saya membuat beberapa catatan lain mengenai kertas kerja En. Jamaluddin Lamin ini secara pengkhusan kepada beberapa isu seperti pengambilan peneroka, kemudahan rumah peneroka dan juga cara kerja atau sistem upah yang pernah diamalkan supaya lebih fokus kepada isinya untuk kita lebih memahami secara lebih mendalam.
 
 

Saturday, January 4, 2014

Nostalgia ; Menjelang persekolahan .. siri 2

Siri kedua catatang mengenai menjelang persekolahan ini sekitar pengalaman saya pula membuat persiapan persekolahan anak saya sendiri. Juga saya akan berkongsikan kisah yang sama dikalangan rakan-rakan saya.
 
Biarpun anak saya sekadar masuk pra sekolah di sekolah kebangsaan dan adiknya pula tadika Majlis Agama Islam di Cameron Highlands, persiapan yang dibuat oleh kami suami isteri mengalahkan macam masuk darjah satu sudahnya.
 
 
Seawal cuti sekolah saya dan isteri sudah membeli belah kelengkapan sekolah dan tentunya kami melakukannya di bawah kerana mahukan pilihan yang lebih dan harga yang mungkin sedikit murah.
 
Antara pasaraya yang kami kunjungi adalah seperti Hari-Hari, Mydin dan juga Tesco yang menjalankan Promosi Balik Ke Sekolah.
 
Beria-ria kami memilih uniform ringkas, kasut, stokin, beg, botol air sebelum anak-anak lebih pula excited bila ke kawasan alat tulis.
 
Kami mengambil peralatan yang berkenan dan harganya pula selepas itu baharu dibandingkan. Teringat juga saya ketika membeli belah hari itu kepada kenangan saya bersama ayah dan mak 28 tahun yang lalu.
 
Kami tidak membantah dan memilih tetapi sekadar menguji saiz baju dan seluar serta kasut. Malah ada dikalangan rakan-rakan yang kasut mereka diukur dengan lidi atau tali di rumah sebagai tanda saiz untuk dibeli oleh ayah mereka di pekan kelak.
 
Kami tidak menunjuk-nunjuk baju itu dan ini untuk dibeli. Bagnya pula sekadar yang murah dan mampu beli dan ketika zaman saya tiada bag sekolah berlatarkan watak kartun dan sebagainya. Hanya warna yang berbeza.
 
Sejumlah wang dibelanjakan dan ketika dan selepas membayarnya saya terkenang-kenang benar bagaimana ayah saya membayar semua kelengkapan sekolah kami adik beradik biarpun bergaji kecil dan berkat mereka berdua menyimpan wang lebih awal.
 
Jangan terperanjat , ada di masa saya kecil dahulu ibu dan bapa yang pergi ke kedai pajak gadai untuk mendapatkan sedikit wang tambahan buat membeli kelengkapan sekolah anak-anak mereka.  
 
Kini saya sendiri mengalami pula pengalaman ini dan saya bersyukur kerana diberikan rezeki untuk kemudahan anak-anak saya ini tanpa mengalami kesusahan yang perlu dihadapi sebagaimana yang diharungi oleh ayah dan mak dengan begitu tabah.
 
Terima kasih mak .. terima kasih ayah...
 
Menjelang hari persekolahan, ingatkan membeli belah tempohari sudah mencukupi tetapi bila diamati semula masih ada yang belum dibeli. Maka sekali lagi kami membeli belah peralatan yang masih tertinggal.
 
Pada hari persekolahan pula, selepas sesi taklimat, kami menghantar anak ke kelas masing-masing. Di akhirnya saya membayar pula semua yuran dan caj berkaitan.
 
 
Sejumlah wang dibayar dan saya tidak mempunyai masalah untuk tersebut kerana berniatkan dengan ikhlas untuk pendidikan anak-anak.
 
Namun ada juga kenalan yang sedikit mengomel kerana jumlahnya dikatakan terlalu besar. Saya memahami kerana bukan seorang anak beliau tetapi 4 orang semuanya termasuk yang di asrama.
 
Mujurnya cikgu tidak mendesak untuk dibayar pada hari yang sama tetapi boleh secara ansuran mengikut kemampuan. Mereka memahami beban yang ditanggung untuk persekolahan anak-anak ini.
 
Saya bersyukur kerana di Cameron Highlands, jumlah yang perlu dibayar masih murah. Malah peluang untuk menghantar anak-anak ke pra sekolah, tadika dan juga pusat asuhan mudah kerana populasi penduduk yang kecil.
 
Komposisi kaumnya seperti Melayu, India, Cina dan Orang Asli. Jumlah yang kecil ini dibantu lagi dengan jumlah sekolah yang banyak untuk sekolah rendah seperti Sekolah Kebangsaan Tanah Rata, SKJC Tanah Rata, SJKT Tanah Rata, Sekolah Kebangsaan Convent , SJKC Brinchang, SK Brinchang yang membantu membuat pilihan dan menjadikan kepadatan pelajar yang lebih kecil di dalam kelas memberikan lebih tumpuan oleh guru-guru kelak.
 
Teringat sembang-sembang dengan adik beradik ketika bercuti yang tinggal dibandar besar seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam yang perlu menghantar anak-anak ke sekolah pra milik swasta kerana pendapatan sekeluarga yang melebihi had ditetapkan bagi membolehkan mereka yang berada dibawah had pendapatan diutamakan.
 
 
Untuk sekolah swasta ini pula bukan kecil belanjanya dan perlu diselesaikan lebih awal.
 
Sebab itulah saya gemar dan suka menetap di daerah kecil ini kerana kelebihan yang ada walaupun sesetengah menganggap jauh dari bandar. Bukan setiap hari kita nak bershopping sakan. Ok lah tu...
 
Kelas fardu ain juga ditawarkan di sekolah yang sama pada sesi petang dan ini memudahkan kami untuk menghantar dan menjemput anak-anak kerana berada di sekitarnya sahaja.
 
Bila saya menghitung kembali jumlah perbelanjaan yang diperuntukkan untuk anak-anak kecil saya, saya sekali lagi bersyukur kerana diberikan kemampuan yang seadanya ini untuk memberi peluang kepada mereka mendapatkan ilmu dunia dan akhirat dengan lebih selesa.
 
Cuma harapan saya mereka memanfaatkan peluang yang terhidang ini sebaik mungkin dan mendapat keberkatan dalam ilmu mereka.
 
Jauh di sudut hati, mungkin inilah juga doa dan harapan yang diberikan oleh mak dan ayah saya ketika mereka bertungkus lumus dan mengerah keringat untuk memastikan kami adik beradik mendapat ilmu yang boleh membantu kami di masa hadapan...
 
Tanpa pengorbanan mereka dan juga iltizam mereka menghadapi semua kesusahan, kami belum tentu dapat berdiri seperti mana sekarang ini...
 
Hargai mereka... di kala anda menghantar anak-anak ke sekolah.... sampaikan pula berita gembira dan syukur anda kepada mereka .... permulaan yang tiada ternilai ...
 
Terima kasih mak dan ayah.....

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock