TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Saturday, July 18, 2015

Beraya di Blok 13 Felda Kumai Bera Pahang

Saya nak berkongsikan suasana beraya di hari raya pertama dengan tradisi beraya bersama-sama dari rumah ke rumah di kalangan komuniti blok 13 Felda Kumai.


Ini bukan sekali dua tetapi telah berlangsung lebih dari 30 tahun di kalangan kejiranan ini blok ini.

Tetapi sebelum saya bercerita mengenai aktiviti beraya kami ini sedikit pengenalan bagi mereka yang tidak biasa dengan sistem penempatan di Felda.

Pertamanya,  Felda yang saya maksudkan adalah F E L D A   K U M A I yang terletak di Bera Pahang yang mana di dalam Gugusan Bera.


Jiran sekitar kami adalah Felda Mayam, Tementi, Rentam, Sebertak, Purun dan Bukit Kepayang.

Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai Felda Kumai ini, anda boleh KLIK untuk ke catatan awal saya mengenainya.

Keduanya, penempatan di felda berasaskan sistem blok di mana semua peneroka dibahagikan kepada blok masing-masing iaitu mengikut baris atau jalan dengan jumlah sekitar 25-30 buah rumah bagi setiap blok yang juga merupakan sistem kerja secara berkelompok dalam operasi di ladang serta pengurusan aktiviti kemasyarakatan.

Untuk rekod kalau tak silap saya Felda Kumai mempunyai 540 buah rumah peneroka yang kemudian telah dibahagikan kepada blok-blok tertentu antaranya B L O K  1 3 .

Setiap blok mempunyai keunikan masing-masing iaitu pelbagai asal usul seperti negeri dan juga suku seperti Banjar dan Jawa.

Contohnya di blok 13, kami ada Orang Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor di kalangan ahli blok kami ini.

Ini menjadikan ianya unik kerana kepelbagaian asal usul ini memberi warna tambahan dalam aktivti budaya masyarakat Melayu khasnya juadah hari raya yang pelbagai.


Berbalik kepada suasana beraya di Blok 13, aktiviti kami beraya adalah secara bersama bermula sebelum raya tetapi yang dinanti adalah pagi raya. 



Selepas bermaafan bersama keluarga di rumah masing-masing selepas sembayang raya, kami akan bergerak secara berkumpulan ke Rumah Pak Lang Don iaitu rumah yang pertama sekali selepas sempadan dengan Blok 12.

"Kami" yang dimaksudkan adalah semua generasi terlibat.

Bukan sekadar ayah tetapi generasi kedua iaitu anak-anak yang dewasa diikuti oleh generasi ketiga iaitu cucu-cucu dan kalau tak silap saya sudah ada generasi keempat iaitu cicit turut sama dalam rombongan dari rumah ke rumah ini. 

Saya pernah berkongsikan kisah ini setiap tahun. Klik untuk catatan penuh tahun-tahun terdahulu mengenai keunikan tradisi kami ini. 

Jadi tahun ini saya nak berkongsikan gambar sahaja. Boleh?


Bila saya kongsikan suasana beraya di kumpulan whatsapps group saya, ramai yang mengatakan ada majlis kenduri ke ? 

Ada juga yang mengatakan mereka tak sangka ada kumpulan yang masih melakukan aktiviti ini yang dikatakan hanya digambarkan dalam tv sahaja sebagai tradisi tetapi realiti terlalu kurang dilakukan.


Saya ingin mengatakan, lain padang lain belalang. Budaya yang berbeza bergantung di kawasan tersebut dan kita perlu saling hormat menghormati apa juga amalan yang dilakukan dalam sambutan hari raya.


Jadi tiada masalah bagaimana anda menyambut hari lebaran dan bagi kami di Blok 13 Felda Kumai, inilah kebanggaan dan saat yang dinantikan setiap kali hari raya menjelma.  



Cuma di kala berkumpul begini sayu jugak bila ada dikalangan ayah-ayah mengatakan entahkan dapat mereka bersama rombongan di tahun hadapan.

Tahun ini nampaknya kami tak dapat bersama Arwah Pak Su Pin dan Arwah Mok Dah yang telah kembali ke ramahtullah mengiringi rakan-rakan mereka dari generasi pertama blok 13 yang terlebih awal dijemput Ilahi seperti Arwah Pak Sahak, Arwah Pok Osman, Arwah Pok Mat, Arwah Wak Busro, Arwah Haji Mahmud, Arwah Pak Long, Arwah Pak Long Jaafar dan Arwah Mak Su.

Al Fatihah kepada semua Allahyarhamah ibu-ibu dan Allahyarham ayah-ayah blok kami ni . 

ALFATIHAH...







Selamat Hari Raya.. 
Maaf Zahir dan Batin. 

Kata mak saya dahulu, dari rumah ke rumah, biasanya ahli rombongan akan bertakbir raya!!!...

Mmm.... mungkin boleh dihidupkan semula tahun hadapan... kena pakat ramai-ramai ini...

1 comment:

Anonymous said...

selamat hari raya. terima kasih atas catatan. keep the spirit high !

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock