Parabola di Cameron Highlands oleh warga asing ? Bukan isu baharu malah menjadi kegilaan bagi mereka. Dapat menyaksikan lebih 30 siaran dari pelbagai negara terutamanya dari negara asal memang amat digemari mereka.
Malah caj bayaran hanyalah pada awal pemasangan sahaja tanpa komitmen bulanan.
Saya pernah mendengar katanya untuk saluran Bangladesh bayaran hanya RM 800-1200 sahaja manakala Indonesia sekitar RM 500-700 sahaja.
Mudah dipasang dengan hanya kawah alluminium sahaja tanpa perlukan struktur yang besar.
Realiti di Cameron Highlands, kami duduk di kawasan tinggi, tahukah anda untuk mendapatkan siaran TV hatta TV1 dan TV2 ataupun TV3 sangat susah dan tidak jelas.
Maka orang tempatan menggunakan khidmat ASTRO malah dikatakan daerah ini adalah pelanggan teramai kalau ratio dengan penduduk di sini.
Hampir semua rumah ada ASTRO.
Saya memetik dari Blog ini untuk petikan berita dibawah:
CAMERON HIGHLANDS - bukan satu, tetapi lebih 300 parabola digunakan secara berleluasa dan terbuka oleh pekerja asing di kawasan tanah tinggi ini.
Parabola yang dilarang penggunaannya di negara ini boleh dilihat di kebanyakan rumah pekerja di kebun-kebun sayur terutama di Ringlet seperti tiada sekatan oleh mana-mana pihak berkuasa.
Siasatan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan set parabola haram itu diseludup dari Thailand, Singapura dan Indonesia yang biasanya dibawa bersama barang-barang larangan import kastam lainnya.
Selain tauke, pekerja mereka juga didapati semakin berani memasang cakera haram di bumbung rumah masing-masing sama ada secara terbuka atau tersembunyi di bahagian belakang kediaman.
“Set parabola haram yang dipasang ini mampu menerima siaran televisyen percuma dari luar negara termasuk dari negara asal warga asing berkenaan,” kata sumber yang mengiringi wartawan Utusan Malaysia ke tanah tinggi itu.
Apa yang membimbangkan, kata sumber tersebut, warga asing itu menerima setiap siaran secara langsung tanpa tapisan.
“Banyak unsur tidak baik dalam siaran televisyen yang diterima oleh parabola tersebut. Kalau begitulah caranya bagaimana mereka hendak membiasakan diri dengan budaya tempatan?,’’ kata sumber itu lagi.
Sumber itu juga mempersoalkan ketegasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam menangani masalah tersebut kerana perbuatan tersebut semakin membimbangkan.
“Sepatutnya SKMM melakukan operasi untuk membanteras habis-habisan penggunaan parabola haram berkenaan, tetapi keadaan itu seolah-olah tidak berlaku,’’ katanya.
Turut menjadi persoalan, bagaimanakah parabola itu boleh melepasi kawalan pihak berkuasa sehingga begitu mudah digunakan secara meluas di kawasan ini.
“Agensi yang terlibat perlu menjalankan siasatan rapi dan membanteras penggunaan parabola sebelum menjadi semakin tidak terkawal,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment