Saya sudah lama tidak singgah ke Ladang Teh Habu kecuali yang terakhir pada tahun lepas rasanya semasa Cameron Highlands Thompson Trail 2014 iaitu sekitar Oktober.
Namun minggu sudah, saya sempat ke sana semasa waktu rehat saya dan kali ini sekadar bersahaja ke sana tanpa persediaan atau niat awal.
Memasuki kawasan ladang teh milik BOH ini, saya secara kebetulan melihat sekumpulan penuai daun teh sedang berehat sebelum menyambung kembali kerja menuai teh mereka.
Saya mendekati kumpulan ini.
Mereka terdiri dari tiga kumpulan menuai yang mana setiap kumpulan penuai mempunyai 3 orang pekerja iaitu dua orang penuai menggunakan mesin dan seorang lagi pengumpul dan juga penarik mesin.
Dari jauh saya melihat mereka sedang bersiap untuk memulakan kerja selepas berehat.
Dua daripada kumpulan ini adalah pekerja dari Nepal manakala satu kumpulan lagi adalah pekerja dari Lombok , Indonesia.
Dari perbualan singkat saya dengan pekerja Nepal, lokasi mereka menuai pucuk daun teh ini adalah Division 'Ulong' dan saya tidak pasti apakah betul ejaan tersebut kerana untuk memahami patah kata pekerja Nepal ini agak sukar.
Saya kemudian bergerak ke kumpulan penuai dari Indonesia dan kali ini sememangnya amat mudah berkomunikasi kerana sama bahasanya.
Dengan pengalaman hampir 2 tahun, pekerja yang bernama Hilwaluddin memberitahu mereka mampu menuai daun teh sehinggan 200-300 kg sehari setiap orang mengikut keadaan pokok daun teh yang terdapat dikawasan tersebut.
Tempoh selama 2-3 bulan diperlukan untuk kembali ke kawasan yang sama bagi menuai daun teh untuk pusingan seterusnya.
Mesin yang digunakan adalah mesin pemangkas pucuk teh dari luar negara dan katanya dari India. Manakala bagi mesin penarik adalah hasil inovasi tempatan.
Saya rasa ini satu kaedah yang amat bagus untuk menarik mesin memandangkan pengalaman saya melihat penuai daun teh sebelum ini agak susah dan memerlukan tenaga yang banyak untuk menarik mesin pemangkas terutamanya dikawasan yang bercerun.
Kini mereka hanya perlu memastikan mesin pemangkas berada di atas rimbunan daun teh manakala mesin penarik bergerak yang dikawal seorang lagi rakan akan menarik mesin pemangkas tersebut sehingga kembali ke puncak bukit..
Saya akan berkongsikan beberapa catatan yang lebih kepada koleksi gambar ketika saya ke sini dan rasanya mungkin hanya sedikit penerangan dalam catatan seterusnya.
Untuk catatan kedua mengenai kunjungan saya ke Ladang Teh BOH ini boleh anda ikuti di sini. Klik
These pictures were sent with Picasa, from Google.
Try it out here: http://picasa.google.com/
No comments:
Post a Comment