TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, July 13, 2015

Menunaikan Zakat Fitrah di Cameron Highlands

‎Saya kongsikan suasana penduduk Cameron Highlands menunaikan kewajipan membayar Zakat Fitrah di bulan Ramadan di Cameron Highlands. 

Untuk kariah Tanah Rata, sejak tujuh tahun dulu saya menunaikan Zakat Fitrah dengan Amil yang amat dihormati di sini iaitu Arwah Pak Cik Zainal atau lebih dikenali sebagai Pak Cik Bulat di rumahnya di Taman Sedia. 


Kemudian untuk dua tahun lepas saya ‎menunaikan kewajipan ini dengan pengganti Arwah Pak Cik Bulat iaitu menantunya Ustaz  Yusof Rose kerana usia beliau yang sudah lanjut usia.  

Namun kami tak lama dapat membayar zakat bersama Ustaz Yusof Rose kerana telah kembali ke rahmatullah tahun sudah sebulan selepas Ramadhan.

Kini, tugas amil diturunkan kepada seorang lagi waris Arwah Pak Cik Bulat, iaitu Ustaz Nordin. 


‎Sepanjang bulan puasa, kita boleh menunaikan Zakat Fitrah kepada beliau samada selepas waktu solat fardu di Masjid Abu Bakar, Tanah Rata kerana beliau merupakan Bilal di situ sama seperti Arwah Ustaz Yusof Rose.

Setiap petang di bulan Ramadhan ini, kita boleh menemui beliau di Pasar Ramadhan Tanah Rata di meja yang sama selalunya Arwah Pak Cik Bulat duduk menanti mereka yang hendak menunaikan Zakat Fitrah iaitu di hadapan Gerai Zainab Sam.


Manakala bagi mereka yang berada di Ringlet, Imam Mat dari Masjid An Nur di Ringlet adalah Amil bertauliah yang selalunya menjadi tumpuan untuk masyarakat muslim sekitar membayar zakat.

Beliau merupakan Imam  sukarela di masjid tersebut dan tugasan harian selaku Posmen ‎menjadikan beliau mudah ditemui sepanjang hari. Malah setiap malam beliau akan berada di Masjid An Nur untuk mengimamkan solat terawih dan bagi mereka yang ingin membayar zakat. 

Malah beliau mudah dijemput ke pejabat atau kawasan sekitar jika ada majlis tertentu sebagaimana yang kami lakukan untuk pekerja asing membayar zakat fitrah mereka di kebun kami. 


Manakala untuk kawasan Brinchang dan ke atas saya tidak pasti siapakah amilnya kerana tidak pernah membayar Zakat Fitrah di sana ekoran perjalanan harian dan tugas saya bertumpu sekitar ‎Tanah Rata dan Ringlet.

Bagi penduduk Cameron Highlands yang lama menetap di sini mungkin boleh berkongsikan sejarah awal Amil-amil Zakat di sini.

Untuk makluman, kadar Zakat Fitrah yang ditetapkan oleh Majlis  Agama Islam Pahang adalah RM 7 seorang yang berzakat bagi tahun 2015.

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock