TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Showing posts with label orang asli. Show all posts
Showing posts with label orang asli. Show all posts

Tuesday, October 25, 2016

Buah Tampoi @ Gerai Mamud

Saya nak kongsikan kisah buah ini yang kini musimnya di Cameron Highlands.

Jika anda menggunakan laluan Tapah ke Cameron Highlands, anda akan dapat melihat jualan buah ini di gerai milik Orang Asli.

Buah apa tu ? Saya sendiri tak pernah tahu secara terperinci.

Jadi saya ke Gerai buah kawan saya Mamud yang pernah dan selalu saya kongsikan.


Dari Mamud, beliau mengatakan buah ini dinamakan Tampoi mengikut buku manakala bagi nama  tempatan orang Perak khasnya Tapah adalah Larah.

Orang Terrengganu dan Kelantan pula digelarkan buah Leke.

Manakala bagi orang Pahang memanggil buah ini Laban. Ini saya sendiri dengar dari seorang mak cik yang singgah membeli buah ini dari Raub.


Buah Tampoi ..Larah ... Leke ... Laban ini mempunyai dua jenis iaitu kuning dan merah.

Bezanya tentunya warnanya tetapi jika ingin buah yang manis Tampoi berwarna merah lebih manis malah yang kuning agak masam.

Tampoi Merah

Tampoi kuning ..


Di Gerai Mamud ini, beliau mulai menjualnya sejak dua minggu lepas dengan harga RM 5 sekilogram.

Jadi selamat mencuba ... beli di Gerai Mamud tau sebab dia kawan saya, masyarakat Orang Asli dari Batu 14 Jalan Tapah yang gigih berusaha mencari pendapatan dan hasil lain yang turut dijualnya adalah petai, buah cempedak dan juga durian.


Semua hasil jualan ini dari kampungnya dan sumbernya bergantung musim buah-buahan dan hasil hutan ini.

Lokasi Gerainya di Jalan Utama berhampiran Bharat Tea Plantation iaitu di antara dua hentian teh Cameron Valley.


Jika anda berniat untuk tawar menawar, jangan minta harga keterlaluan kerana mereka ini berniaga bukan untuk membeli sebuah kereta mewah atau Iphone 7 tetapi sebagai sumber pendapatan untuk perbelanjaan harian mereka.


Wednesday, July 27, 2016

Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil berwajah baru

Kisah perkampungan Orang Asli Sungei Ruil pernah saya kongsikan dalam beberapa catatan terdahulu. 


Antara kisahnya adalah tragedi tanah runtuh yang menyebabkan 7 mangsa terkorban dan akhirnya dibangunkan semula untuk keselamatan dan keselesaan bagi penduduknya. 

Kini setelah hampir 3 tahun, kampung ini kembali diduduki sejak dua bulan lepas dan pastinya dengan wajah yang baru. 


Moden. Cantik. Serba lengkap malah melebihi mana-mana taman perumahan awam di Cameron Highlands. 

Kunjungan saya minggu lalu memang kagum dengan suasana dan kemudahan yang disediakan. 

Semuanya secara percuma!!! 

Cuma dari satu sudut, akan ada yanga mengatakan hilang keaslian ciri-ciri perkampungan orang asli di sini. 


Terpulang kepada anda. Jika saya pemilik rumah ini saya sudah pasti bersyukur dengan kurnian ini. Percuma. Lebih baik dan sangat selesa. 

Hanya 4 keping gambar ini saya kongsikan kerana suasana berkabus mulai bertukar hujan lebat. Insyallah di lain kali saya kongsikan lagi. 



Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Monday, February 24, 2014

Pejabat Agama Islam Daerah CH @ Perkampungan Orang Asli Lemoi

Pejabat Agama Islam Daerah CH atau PAID CH mempunyai laman Facebook mereka sendiri yang berkongsikan aktiviti-aktiviti mereka di sekitar Cameron Hihghland.
 
Saya turut menjadi rakan fb laman mereka ini.
 
Antara yang menarik bagaimana aktivti dakwah yang dijalankan mereka ke Perkampungan Orang Asli dan antara yang pernah mereka lakukan adalah di Kampung Lemoi.
 
Saya belum pernah ke sini walaupun beberapa kali bercadang ke sini.
 
Namun laluannya bukan sedikit mencabar tetapi amat mencabar.
 
Saya pernah kongsikan kisah guru-guru di SK Lemoi yang terpaksa melalui cabaran untuk bertugas di sini. Klik SINI untuk ke catatan saya terdahulu... promo gambar ini mungkin menarik hati anda untuk melihatnya...
 
 
Semua gambar ini saya petik dari FB PAID CH.. agak menarik... malah amat amat menarik...
 
Membina Surau di Kampung Lemoi:
 
 
 
 
 
 
 
Majlis Perasmian Surau baru Kampung Lemoi..
 
 
 
 
 
 
RED - Road Expedition of Dakwah :
 
 
 
 
 
Laman FB Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands .. di sini dan hubungi mereka untuk sebarang pertanyaan ..

Sunday, February 2, 2014

Cameron Highlands : Si Penjual Petai ... Mamud

Ini bukan kisah atau catatan yang pertama mengenai si penjual petai. Saya telah menulis dan berkongsi mengenai kisahnya dalam beberapa catatan awal.
 
 
Cuma kisah yang si penjual petai ini saya kongsikan lagi kerana beliau adalah MAMUD A/L BANGUS... jiran saya berdepan pintu...
 
Jadi. kalau orang bertanya apakah keistimewaan saya tinggal di Cameron Highlands, jawapan bonus saya adalah saya berjiran dengan Keluarga Orang Asli.
 
Mamud berusia sekitar awal 40 an dan berasal dari daerah Batang Padang iaitu sekitar kampung Orang Asli batu 14, Jalan Pahang.
 
Beliau sama seperti Orang Asli yang lain iaitu berkeluarga dan lebih istimewa mempunyai pekerjaan yang tetap dan tinggal di bandar bersama isteri dan dua anak perempuannya.
 
Saya mengenali Mamud sejak tujuh tahun yang lalu dan mula menjadi jirannya sebloknya setahun kemudian sebelum menjadi jiran berdepan pintu  setahun kemudiannya pula.
 
Beliau bekerja sebagai pemandu peribadi kepada salah seorang Dato di sini sebelum memilih untuk menjadi pemandu van pelancong CS Travel setahun lebih yang lalu kerana inginkan masa yang lebih untuk menjalankan perniagaan sambilan beliau... menjual petai.
 
 
Petai tidak sukar diperolehi kerana saudara mara yang masih menetap di kampungnya menjadi pembekalnya.
 
Malah bukan hanya petai yang dijual tetapi juga buah-buahan hutan dan durian jika sampai musimnya.
 
Saya lihat beliau mempunyai kesungguhan dan kesetiaan dengan apa yang beliau lakukan. Tidak seperti kebanyakkan orang asli yang saya kenali yang lebih bersifat kerja sementara dan memilih pekerjaan yang sesuai.
 
 
Malah kelebihan beliau adalh bercakap dalam bahasa Melayu yang fasih dan mampu bercakap sedikit dalam bahasa Inggeris memudahkan urusan jual belinya.  
 
Kisah Mamud ini telah disiarkan di dalam Kosmo juga mengenai kisah si penjual petai.. dan saya juga pernah berkongsikan petikannya di laman ini.. anda boleh membuat carian dalam catatan terdahulu... ooo di SINI 
 
Gerai petainya terletak di antara Laluan utama ke Tanah Rata di Ladang Teh Bharat iaitu diantara Hentian Tea yang pertama dan kedua. Mudah dilihat dan meletak kenderaan.
 
Awalnya hanyalah sebuah khemah empat segi yang dipasang dan dibuka setiap hari sebelum beliau membina bangunan gerai kekal hari ini.
 
Lesen perniagaan bulanan diperolehi dari Majlis Daerah Cameron Highlands dengan kadar RM 60 sebulan.
 
Namun kekesalan timbul bila kisah lesen ini dibualkan kerana beliau mendapati setiap hujung minggu ada tambahan peniaga sementara yang datang dan berniaga di tepi jalan sepertinya tanpa mendapatkan lesen.
 
Bukan sekadar menjadi persaing perniagaannya namun lebih beruntung tanpa perlu membayar yuran lesen sepertinya.
 
Petai yang dijual masih segar. Kadangkala dari jenis padi dan kadangkala dari jenis Papan yang dijual seikat kecil atau ikatan besar. Harganya sekitar RM 10-12 atau rm 50 -80 bagi ikatan besarnya.
 
Jadi jika anda datang ke Cameron Highlands, singgalah untuk membeli petai di gerai Mamud.. sampaikan salam saya Jack .. jirannya....
 
Lihat koleksi gambar beliau ketika menjual petai di SINI

Cameron Highlands: Kampung-kampung Orang Asli...

Ini bukan kisah baharu cuma kisah yang diperbaharui mengenai Perkampungan Orang Asli yang terdapat di Cameron Highlands.
 
Catatan saya yang terdahulu sekadar separuh sahaja kisah dan jumlahnya. Untuk catatan ini, saya kongsikan maklumat yang baharu saya perolehi perkampungan orang asli yang terdapat di Cameron Highlands.
 
Photo: Bila belek laporan lama... Ada 37 buah kampung Orang Asli di Cameron Highlands... 

Hanya 16 buah sahaja yang pernah saya sampai.. 

Kena jelajah lagi ni..
 
Ini sekadar maklumat yang saya ada.
 
Kepada adik-adik pelajar IPT yang membacanya jangan pula minta saya untuk maklumat lanjut dan urusan yang berkaitan ya.. ada pihak yang berwajib yang  boleh anda hubungi... JKOA.....
 
sekadar berkongsi info...
 
Jom kita tengok...  yang berwarna merah tu saya dah pergi ....
 
1. Kg Sg Ruil - dah pergi
2. Kg Sg Ubi
3. Kg Sg Kabuk
4. Kg. Sg Tiang
5. Kg. Sg Chohong
6. Kg Kuala Boh
7. Kg Pangan
8. Kg Leryar
9. Kg Susu
10. Kg Sg Relong
11. Kg Pos Menson
12. Kg Telimau, Lemoi
13. Kg Pos Lemoi
14. Kg. Chenan Cherah
15. Kg. Rening LZ
16. Kg. Sg Pinang
17. Kg Cheros
18. Kg Terakit
19. Kg Tiat
20. Kg Sg Loon
21. Kg Teji
22. Kg Renglas
23. Kg Abu
24. Kg Sg. Getan
25. Kg. Sg Telimau, Terisu
26. Kg pos Terisu
27. Kg Sg Jarik
 
Saya sekadar menjejak kaki ke 16 buah kampung daripada 27 buah kampung yang ada di sini. Itupun sekali atau dua kali saja ke sana bersama keluarga kecil saya...
 
Untuk daerah yang bersempadan dengan Cameron Highlands iaitu Daerah Batang Padang, Perak  terdapat 42 buah penempatan Orang Asli dan kebiasaanya anda boleh melihat sebahagian daripada perkampungan-perkampungan Orang Alsli ini di jajaran Jalan Pahang atau dikenali Jalan Tapah ketika menuju ke Cameron Highlands. 
 
Bagi Mukim Chenderiang, Perak pula terdapat 9 buah Perkampungan Orang Asli , Mukim Bidor mempunyai 10 buah  Perkampungan Orang Asli , Mukim  Sungkai 9 buah Perkampungan Orang Asli dan Mukim Slim 23 buah Perkampungan Orang Asli menjadikan 101 buah di Daerah Batang Padang ini.
 
Banyak kan ?
Seronok kalau dapat berjalan-jalan ke perkampungan ini dan jika dapat membuat profile catatan di sini .
 
Apapun 101 dan 27 buah perkampungan Orang Asli ini tidak akan selesai jika tidak dimulakan dengan langkah ke sebuah penempatan sebagai permulaan....
 
silakan.... catatan awal saya mengenai perkampungan orang asli, wajah-wajah mereka, rumah tradisional dan beberapa lagi catatan berkaitan telah saya kongsikan... silakan membaca...

Thursday, November 7, 2013

Cameron Highlands : Perkampungan Orang Asli Pangan

Sebuah kampung orang asli yang dilalui oleh kami peserta kayuhan Thompson Trail adalah Kampung Pangan iaitu yang terletak di penghujung Ladang Teh Boh bahagian Farlie.
 
 
Namun jika mengikut laluan TT yang baharu ini, Kampung ini terletak di permulaan sebelum masuk ke kawasan ladang teh.
 
Jika dahulu kampung ini adalah kampung pertama dilalui untuk perkampungan orang asli yang lain di bahagian dalam termasuklah ke Kampung Kuala Boh, Relung, Rantau, Pos Mensun, Teji, Tiat , Cheros , Pos Telanok dan sebagainya, kini laluanya berubah menjadikan kampung mereka kampung terakhir di penempatan ini.
 
Bagaimana hendak menyebut nama kampung ini. Sebutan suku katanya adalah Pan - Gan
 
Ini adalah sebutan yang betul kerana semasa saya ditanya mengenai kampung ini oleh salah seorang rider, saya menyebut Pangan tetapi seorang kanak-kanak orang asli membetulkan sebutan saya dengan Pan - Gan.
 
Saya sempat bersembang dengan salah seorang penduduk dewasa di sini. 
 
Katanya, jumlah penduduk sekitar 250-300 orang bercampur peringkat umur. Cuma saya terlupa nak bertanyakan suku kaum mereka di sini .
 
Rasanya masih lagi suku kaum Semai yang merupakan majoriti suku kaum di Cameron Highlands.
 
Penduduknya ada yang bekerja di Ringlet, pembinaan empangan dan juga sebagai pekerja ladang teh bersebelahan perkampungan mereka.
 
Saya menemui kanak-kanak di sini. 
 
Mereka sama seperti kanak-kanak Orang Asli yang lain yang masih malu-malu tetapi berani untuk mendekati kami bila tidak diperhatikan. 
 
Mereka teruja melihat pelbagai jenis basikal yang melalui kampung mereka ini biarpun dari jauh sahaja.
 
 
Mereka juga memberikan pose yang amat menarik setiap kali lensa saya menghala ke arah mereka. 
 
Senyuman mereka, melirik manja dan sedikit reaksi takut dipamerkan secara ikhlas.
 
 
Saya kongsikan gambar yang saya rakamkan dengan mereka dan masing-masing ketawa dan seronok mengerumuni saya. 
 
 
Insyallah di lain kali saya akan mencuci gambar-gambar mereka ini sebelum kembali ke kampung mereka dan menyerahkan kepada mereka sebagai tanda kenang-kenangan. 
 
Biasanya saya akan bersama keluarga kecil saya mengunjungi kampung orang asli sebagai aktiviti di hujung minggu dan cuti . 
 
Seperti catatan saya ke Perkampungan Sungai Ubi berdekatan di Tanah Rata di sini.
 
 
Seronok sebenarnya membuat aktiviti sebegini yang sedikit berlainan.
 
Terkilan pula bila memikirkan kalau di Kg. Kuala Boh, kanak-kanak di sana diberikan sedikit cenderhati dan buah tangan dari para rider yang disediakan oleh pihak penganjur.
 
Mujurlah saya mempunyai beberapa bar coklat yang saya bawa dan dikongsikan bersama mereka biarpun sedikit.
 
 
Mengikut sembang-sembang dengan beberapa orang dewasa di sana, terdapat 4 jenis bentuk rumah bantuan yang terdapat di kampung ini.
 
Yang asalnya adalah rumah tradisional mereka. Setiap tahun, kerajaan membina beberapa unit rumah baharu secara percuma kepada penduduk dari jenis kayu seperti rumah peneroka felda sehinggalah rumah batu.
 
Bentuknya berubah-ubah mengikut tahun dan terkini adalah bentuk rumah yang dijadikan tempat rehat para rider yang kelihatan selepas melalui laluan off road.
 
Singgah di kampung ini memang melegakan bagi sesetengah rider kerana melepasi satu peringkat yang amat meletihkan mereka.
 
Untuk lagi koleksi gambar di Kampung Pangan boleh dilihat di sini
    

Cameron Highlands : Perkampungan Asli Kuala Boh

Catatan mengenai Orang Asli ini saya bawakan dari kesempatan saya bersama masyarakat orang asli di sini ketika Thompson Trail 2013 yang berlangsung baharu ini.
 
Antara kampung yang di singgahi adalah Kampung Kuala Boh.
 
 
Kali terakhir saya ke sini adalah pada tahun 2008 melalui jalan masuk utamanya ketika itu iaitu Ladang Teh Boh, Habu.
 
Ketika itu laluanya adalah berturap simen dan mempunyai beberapa bahagian yang telah rosak kerana tanah runtuh. Manakala jalan baharu Sungai Koyan ke Ringlet masih dalam fasa pembinaan.
 
Namun masih dapat dilalui kenderaan hilux saya.
 
Kesempatan kali ini arah jalan masuknya berubah dengan melalui Pos Menson. Laluannya masih yang sama cuma arahnya kini berbeza.
 
 
Perkampungan ini masih lagi seperti dahulu dalam pengamatan saya kecuali beberapa buah rumah baharu telah dibina oleh pihak kerajaan.
 
Pastinya bersama kanak-kanak masyarakat orang asli di sini menjadi tumpuan bukan sahaja kepada saya tetapi juga peserta kayuhan TT ini.
 
 
Malah saya lihat kanak-kanak juga nampaknya seronok melayan kerenah dari pelbagai ceruk rider yang datang sambil sempat bermain-main dengan basikal yang pelbagai bentuk.
 
 
Juga bersembang-sembang dengan Tok Batin beliau menyatakan seramai 350 orang penduduk masyarakat orang asli menetap di sini dan ada di antaranya bekerja di TM Salini, pembinaan empangan yang baharu berdekatan.
 
Saya kongsikan gambar kanak-kanak di sini untuk kita hargai wajah unik ini.
 
  
 
Mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pos Menson yang terletak di laluan masuk ke perkampungan mereka bagi peringakat sekolah rendah.
 
Manakala bagi peringkat sekolah menengah, mereka berulang alik ke SMK Ringlet yang terletak hampir 20 km jauhnya setiap hari.
 
Namun ada juga pelajar yang menetap di Asrama Smk Sultan Ahmad Shah tanah rata. 
 
 
Melihat wajah-wajah unik yang kalau tak silap saya dari suku kaum Semai ini memang agak tertarik.
 
Di sebalik kenaifan wajah mereka terselit sikap lucu yang dipamerkan setiap kali bersembang dengan mereka.
 
 
Juga yang pasti sikap malu tetapi ingin tahu mengenai kunjungan kami ke sana.
 
 
Apapun jika anda ke sini, bawakan sedikit kegembiraan kepada anak-anak kecil ini dengan membawa sedikit buah tangan seperti makanan ringan, peralatan menulis dan sebagainya sebagai tanda penghargaan ini kepada masyarakat mereka yang unik ini.
 
Koleksi gambar selebihnya di sini .Klik

Monday, November 4, 2013

Thompson Trail 2013- Kampung Orang Asli Kuala Boh

Bagi peringkat ini, para riders telah sampai ke Check Point Pertama yang juga merupakan water station.

Namun disebalik air dan bungkusan roti yang menyambut mereka, sebenarnya terdapat satu lagi tarikan unik di sini.

Perkampungan Orang Asli Kampung Kuala Boh


Perkampungan yang mempunyai seramai lebih 350 orang penduduk ini diketuai oleh Tok Batin (yang terlupa saya bertanya nama).


Dan kalaulah tak silap saya mereka adalah dari kalangan suku kaum Semai.

Rumahnya bercampur-campur dengan masih yang bercirikan tradisional dan ada pula yang sudah berubah wajah hasil bantuan kerajaan. Untuk catatan koleksi rumah masyarakat ini pernah saya kongsikan di SINI

Bagi mereka yang tidak pernah sampai ke perkampungan masyarakat yang unik ini, mereka akan menghabiskan lebih masa bergambar, beramah mesra dan mendekati masyarakat ini khasnya kanak-kanaknya.


Keletah anak-anak melihat basikal, mendapatkan sedikit makanan ringan dan berposing sakan untuk bergambar menghiburkan para riders.

Mereka bersekolah di Pos Menson bagi kanak-kanak sekolah rendah dan SMK Ringlet bagi sekolah menengah yang terletak sekitar 28 km jauhnya.

Kampung ini dahulunya merupakan kampung yang mesti dilalui jika mahu ke Pos Menson ataupun kampung-kampung lain tetapi setelah dibuka, kampung ini menjadi kampung penamat laluan berkenderaan.

Di sini saya melihat para rider berhenti rehat menikmati air dan roti serta ada yang mengambil peluang meninjau masyarakat orang asli yang begitu ramah menyambut mereka.


Juga tidak terlepas peluang adalah bergambar bersama masyarakat orang asli berlatarkan rumah tradisional mereka.

Pihak penganjur juga menyediakan sedikit makanan ringan untuk diagih-agihkan kepada kanak-kanak oleh para rider.


Melihat mereka mengerumuni para rider untuk mendapatkan hadiah makanan ringan sedikit menyeronokan.

Setiap soalan yang diajukan kadang-kala dijawab dengan jawapan yang lucu.

Senyum Tok Batin jelas kelihatan dengan kesempatan yang diberikan kepada penduduknya dalam acara berbasikal ini. Kanak-kanak berpeluang menlihat pelbagai jenis basikal bukit yang sebelum agak asing kepada mereka.

Selalunya mereka menerima rider dalam jumlah yang kecil tetapi kali ini seramai 1900 riders hadir ke kampungnya.

Gambar-gambar yang dirakamkan oleh lensa para rider yang akan dikongsikan kepada rakan-rakan mereka yang lain dan ini tentunya satu bentuk promosi kepada kampungnya.

Untuk koleksi lensa saya anda boleh lihat di sini dan di sini

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock