Adakah serbu, dakwa dan pinda merupakan satu cadangan baharu untuk menyelamatkan Cameron Highlands?
Saya rasa tidak!
Yang ada sekarang ini pun tidak terjangkau tindakan sepertimana yang dilaungkan akan dilakukan.
Saya pelik, saban kali laporan dari media massa mengatakan rasuah menjadikan Cameron Highlands hampir musnah, selain 19 pekebun yang didakwa terlibat dalam pemberian rasuah, tiada seorangpun kakiktangan awam yang ditangkap dan didakwa atas tindakan menerima atau meminta rasuah.
REACH melalui Presiden mereka secara terang-terangan mengatakan ada kakitangan awam yang menerima rasuah dalam bentuk pembayaran tukar tayar kereta pun langsung tak ada tindakan (sekadar yang dilihat di media massa).
Jadi sukar untuk saya mengatakan bagaimana yang terbaik untuk dilakukan.
NASIB Cameron Highlands yang berhadapan dengan kemusnahan alam sekitar akibat pencerobohan tanah melalui warga-warga asing yang diupah oleh penduduk tempatan seolah-olah terbela apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 22 orang pemberi rasuah.
Terima kasih dan tahniah SPRM atas kejayaan itu kerana ia sekali gus membuktikan bukan kata penerima malah pemberi juga tidak akan terselamat.
Bagaimanapun tugas SPRM dan Kerajaan Pusat dalam misi menyelamatkan Cameron Highlands masih belum selesai. Serbuan, tangkapan perlu disusuli dengan pendakwaan di mahkamah.
Tauke-tauke tersebut tidak harus dilepaskan kerana kalau benar mereka mengamalkan rasuah sehingga memusnahkan keindahan Cameron Highlands mereka adalah penjenayah alam sekitar yang harus menerima balasan akibat sikap tamak mereka.
Begitu juga ‘balaci-balaci’ mereka dalam agensi kerajaan, mereka juga perlu diheret ke mahkamah dan dikenakan hukuman seberat-beratnya.
Masyarakat bukan sekadar mahu melihat serbuan dan tangkapan tetapi juga pendakwaan di mahkamah.
Kita tidak mahu timbul wujud persepsi apa yang dilakukan oleh SPRM sekadar sandiwara seperti mana didakwa dalam laman-laman sosial.
Bagaimanapun penulis diberitahu oleh satu sumber, kesemua mereka sama ada tauke-tauke ladang mahupun ‘balaci’ mereka dalam lerajaan tidak akan terlepas dan pasti didakwa kerana bukti yang ada lebih daripada mencukupi.
Namun begitu, apa yang berlaku di Cameron Highlands tidak boleh dibiarkan berakhir di mahkamah sahaja, Kerajaan Pusat perlu melakukan langkah lebih tegas bagi membendung pencerobohan tanah di tanah tinggi itu.
Masanya sudah tiba untuk kerajaan memikirkan meminda akta sedia ada bagi memastikan nasib Cameron Highlands terus dibela.
Undang-undang khusus perlu diwujudkan bagi melindungi lawasan tanah tinggi bukan sahaja di Cameron Highlands tetapi juga kawasan lain.
Ini memandangkan kita tidak boleh membiarkan tanah tinggi terus diteroka dengan sewenang-wenangnya tanpa kawalan apatah lagi jika ia melibatkan pencerobohan tanah secara haram.
Kerajaan perlu buktikan mempunyai kuasa lebih hebat berbanding dengan penjenayah alam sekitar dan ‘kuncu-kuncu’ penjenayah itu dalam agensi kerajaan dengan mewujudkan undang-undang lebih tegas yang disertai hukuman mereka kepada kelompok berkenaan.
Isu Cameron Highlands tidak boleh diselesaikan secara bermusim sebaliknya berterusan. Ini termasuklah ‘operasi pembersihan’ ke atas kakitangan kerajaan yang terlibat dengan rasuah.
Satu sumber memberitahu penulis, kalau mahu bersihkan Cameron Highlands, ‘bersihkan’ dahulu agensi kerajaan di daerah itu yang segelintir kakitangannya tercemar akibat amalan rasuah.
Walaupun segelintir tetapi mereka bagaikan ‘makhluk perosak’ yang memusnahkan keseluruhan sistem pentadbiran kerajaan di situ dan mereka yang menyebabkan undang-undang hanya ibarat ‘terletak di bawah tapak kaki’ penjenayah alam sekitar. Justeru bertegaslah!
Jangan biarkan Cameron Highlands terus menangis akibat kerakusan penjenayah alam sekitar melakukan pencerobohan tanah dan ketamakan segelintir kakitangan kerajaan mahu menjamah wang haram.
No comments:
Post a Comment