Bila mengenang kembali sejarah lama di Felda antara yang pantas hadir difikiran saya adalah wayang pacak. Mungkin bagi generasi yang lahir pada tahun 1990 an tidak akan dapat mengimbau kembali kenangan menonton wayang pacak kerana sudah tidak diadakan lagi selepas zaman tersebut kerana bekalan elektrik yang tetap telah diperolehi.
pinjam gambar laman internet |
Sama di Felda yang lain, seawal pembukaanya, Felda Kumai amatlah tidak begitu mewah dari segala segi. Kekurangan sebegini dianggap adil dan dapat diterima oleh masyarakatnya. Cuma tak pasti kalau kini jika Felda dibuka,pasti mahukan segalanya dilengkapi sepenuhnya sebelum masuk berpindah.
Tiada kemudahan elektrik yang tetap menyebabkan tiadalah kemewahan untuk memiliki peti telivisyen. Malah kalau nak dikira jumlah tv yang ada di Felda Kumai ketika itu mungkin cukup sedikit.
Bekalan Elektrik biasanya dikongsi menggunakan generator elektrik yang dikongsi beramai-ramai dan hanya dibuka pada pukul 7 malam hingga 10 malam sahaja.
Di Felda Kumai, bekalan elektrik kami dibekalkan sepenuhnya pada tahun 1990 oleh Lembaga Lektrik Negara ataupun LLN sebelum ditukarkan kepada Tenaga Nasional Berhad.
Cuma sebelum kedatangan bekalan elektrik ini, untuk memberikan sedikit hiburan kepada peneroka dan keluarga, Unit Penerangan Felda menyediakan perkhidmatan percuma iaitu Wayang Pacak.
Cuma rutin jadualnya agak tidak menentu. Kadangkla dua bulan sekali, kadang lama sangat baru muncul kembali.
Kami hanya tahu adanya wayang pacak bilamana van bergerak mereka melalui jalan-jalan di Felda Kumai dengan hebahan ‘Malam ini tayangan wayang di Kedai Mara dengan Filem …. . Datang lah beramai-ramai’…
Kadang-kala van tersebut sekadar mengelilingi jalan-jalan di Kumai tanpa hebahan tetapi sudah cukup sebagai isyarat untuk kami yang kanak-kanak berlari mengejar van tersebut.
Maka setiap kali tayangan wayang pacak ini, maka bersegeralah kami menyiapkan diri. Yang mengaji, sebelum maghrib dah siap bersila di hadapan Muqadam. Si ibu-ibu pula menyiapkan makan malam lebih awal.
Sekitar 7.30 malam maka berduyun-duyun lah kami memulakan langkah berjalan kaki beramai-ramai ke kedai mara dengan lampu suluh di tangan dan mengepit tikar di ketiak untuk dibuat alas.
Bagi yang mempunyai motorsikal tetapi ramai anak maka akan berulang-aliklah mengangkut untuk ke sana. Yang remaja berbasikal pula mengayuh sambil berkejaran dengan lampu janaan dynomo di tayar.
Yang awal sampai ke tapak wayang pacak akan segera membentangkan tikar di hadapan layar putih. Yang meniaga pula, segera membuka gerai di bahagian tepi padang. Kacang Kuda, keropok, laksa, mee sup dan juga kuih muih dijual.
Sebaik sahaja cahaya projector dari dalam van memancar menyuluh layar putih, maka bersoraklah kami..
Selalunya Unit Penerangan akan menyiarkan sedikit pesanan penaja untuk kempen-kempen tertentu.Dan selepas itu senyap sunyilah suara-suara kami dengan mata tak terlepas pandang ke arah layar besar.
Setiap kali ada adegan yang menarik maka bersuaralah kami sebagai reaksi agedan tersebut. Antara filem yang ditayangkan seperti Abang, Azura, Filem-filem Hindustan dan yang lain-lain.
Sebaik habis filem tersebut, maka berduyun-duyunlah kami pulang ke rumah dengan riak kepuasan.
(Juga boleh diikuti di feldakumai.com )
No comments:
Post a Comment