TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, November 5, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Tan's Camillia Garden

Adakah anda peminat bunga camellia, anthurium dan juga bunga-bunga yang agak sukar di temui seperti magnolia, gardenia, orkid liar. Atau anda pengemar lily dan juga azalea?.

Jika anda mencari tumbuhan ini dan banyak lagi yang tidak saya sebutkan dengan persekitaran nurseri tanaman yang seakan liar, saya ingin mencadangkan kepada anda untuk singgah ke Tan's Camellia Garden yang terletak di Tanah Rata.

Untuk ke sini anda perlu memasuki Lily Apartmement yang terletak bersebelahan Taman Jam ketika memasuki Tanah Rata. Bagi mereka yang gemarkan trek kembara lasak, laluan denai 1 kalau tak silap saya berada dipermulaan taman ini (untuk mendaki Gunung Jasar dan Perdah).

Taman ini dinamakan dengan Camellia kerana mengkhususkan kepada bunga Camellia yang difahamkan oleh  pemiliknya mempunyai lebih 200 spesis di sini. 

Tanaman ini ditanam serata pelusuk laman ini yang juga merupakan rumah pengusahanya, Mr. dan Mrs. Tan. 

Hanya mereka berdua yang mengusahakan taman persendirian ini dan saya mengidamkan suasana sebegini jika mempunyai rumah di sini. 

Sebuah banglo ala Enggeris yang dikelilingi bunga-bungaan yang ditaman ala taman liar. Sekadar impian. 


Menurut Mrs Tan, mereka mengusahakan taman ini seawal 1980 an dengan minat utama dimulakan oleh suaminya yang berkelulusan botani dari universiti tempatan.

Mereka membangunkan taman ini dengan pembukaan tanah dan penebangan pokok yang minima untuk mewujudkan taman semulajadi di pinggir hutan. 

Dengan susun atur banglo di sudut tepi dan laman yang luas dihadapan dan sisi kirinya, ianya ditanam dengan bunga-bungaan khasnya camellia. 

Banyak lagi jenis bunga-bunga lain yang ditanam dan dibiakan di sini. Susun aturnya seperti taman semulajadi yang sedikit kurang penjagaan semata-mata ingin mewujudkan suasana 'secret garden'.




Anda boleh membeli anak-anak pokok di sini dengan harga yang boleh ditawar menawar. Jika anda melihat koleksi catatan mengenai bunga camellia, magnolia, gardenia dan anthurium, kebanyakan koleksi ini saya rakamkan di sini dan saya akan memasukan koleksi lily dan buah tin juga nanti. 



Terdapat juga koleksi orkid liar yang dijual di sini serta beberapa lagi jenis bunga-bungaan yang sedikit sukar ditemui. Juga terdapat sedikit koleksi bunga ros dan beberapa jenis tanaman herba. 



Membawa anak-anak kecil di sini dan melihat mereka berlari-lari sungguh mengembirakan cuma kerana susunatur taman ini memerlukan permerhatian anda kerana bersempadan dengan hutan. Jangan biarkan sangat anak-anak anda terlalu jauh kerana bimbang serangga atau binatang kecil seperti ular dan lipan atau lebah muncul secara tiba-tiba. 

Pastikan mereka dekat dengan anda dan tidak terlalu bebas memasuki kawasan yang semak samun.




Kunjungan saya ke sana untuk kebeberapa kali amat selesa dan menyenangkan kerana Mrs Tan amat mesra dan sentiasa memberikan maklumat mengenai tanaman yang terdapat di tamannya. 

Malah kerapkali beliau turun ke sana sini untuk mendapatkan spesis yang saya soalkan sebelum itu. Di akhir kunjungan kami membeli beberapa anak pokok seperti 2 spesis bunga camellia yang mempunyai dua warna, 2 anak pokok magnolia, 2 anak pokok gardenia, 1 anak pokok tiger fern dan juga lily menambah koleksi camelia kami di rumah. 

Harga bagi tanaman yang lain agak berpatutan tetapi untuk anak pokok camellia agak sedikit mahal bergantung kepada spesis yang ditawarkan dan selalunya agak sukar ditemui di sini dan Malaysia barangkali. 

Kami,  suami isteri mengelarkan taman ini sebagai 'Secret Garden' kerana kunjungan kami yang pertama adalah hanya selepas 6 tahun menetap di Cameron Highlands!!! 

Malah bila saya ajukan kepada rakan-rakan, ramai juga yang tidak mengetahui kewujudan taman camellia ini. Kalau ada yang tahu, mereka ingatkan ianya banglo persendirian yang tidak boleh dikunjungi. 

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock