TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Wednesday, June 27, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Jalan Pos Betau ke Ringlet...

Dalam beberapa catatan saya terdahulu samada ditulis sendiri atau memanjangkan catatan pihak ketiga ada saya terangkan bahawa untuk sampai ke Cameron Highlands boleh melalui 4 laluan tidak termasuk laluan udara.

Pertamanya laluan lama yang menjadi nadi kepada daerah perlancongan ini iaitu Jalan Pahang ataupun lebih dikenali dengan jolokan nama Jalan Tapah- Ringlet.  

Bagi laluan ini terdapat beberapa catatan yang  berkaitan seperti ini, ini, ini dan ini. (Untuk mengetahui isi INI, sila klik untuk catatan sepenuhnya.)

Manakala sekitar hujung 90 an, laluan kedua mula dibina dan akhirnya dibuka kepada umum iaitu Laluan Simpang Pulai - Kg Raja sejauh 84 km yang dibina sebagai jajaran baru perhubungan antara Perak - Pahang dan Kelantan. Saya masih belum berkesempatan untuk membuat catatan mengenai laluan ini.


Rasanya bahan-bahan seperti gambar ada dalam simpanan saya. Menjadi pilihan bagi mereka yang ingin ke daerah ini dengan lebih selesa terutamanya kepada yang berkeluarga ataupun yang datang dari arah utara tanahair.

Sama pembukaan jajaran Simpang Pulai ini adalah bersambungan pula dari Gua Musang ke Kg Raja. Jalan ini juga merupakan jajaran baru yang dibina khusus untuk menghubungkan Timur dan Utara.


Menariknya bilamana ianya dibuka dapat dilihat pembangunan dan pembukaan tanah baru untuk aktiviti pertanian sehingga Daerah Kecil Lojing dibuka secara rasmi oleh DYMM Sultan Kelantan sekitar 2011.

Panjang pula bercerita diatas jajaran laluan Ringlet ke Pos Betau di Kuala Lipis pula menjadi laluan terbaru dibuka kepada awam sekitar tahun lepas selepas melalui 4 fasa pembinaan.

Laluan ini sekitar 85 km bermula dari Pekan Lembah Bertam, Ringlet melalui kawasan tanaman sayuran, kampung-kampung Orang Asli, hutan simpan dan akhirnya bertemu semula penempatan Orang Asli Pos Betau sebelum melalui jalan ke Felda Sungai Koyan.

Petikan berita yang saya perolehi dari laman sesawang yanga laian mengatakan sebegini :
Ketua Penolong Pangarah Kanan Jalan Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang, Aminuddin Md Yusoff telah mengumumkan projek jalan utama dari Pos Betau ke Lembah Bertam dijadual siap pada Mac 2010.
Pembinaan jalan tersebut membabitkan empat pakej iaitu Jalan Sungai Koyan ke Pos Betau sepanjang 19 km, Pos Betau-Bukit Petubong dekat Sungai Temahang (22km), Jalan Bukit Petubong-Kampung Susu dekat Sungai Bertam (19.5km) dan Jalan Kampung Susu-Ringlet (18.6km).
Jalan sepanjang 79.1 kilometer tersebut telah dibina sejak tahun 1999 dan kos keseluruhan adalah sebanyak RM608 juta. 
Laluan tersebut akan lebih menarik apabila Projek hidroelektrik di Empangan Susu di Ulu Jelai dekat sini dijadual bermula Oktober 2009 dan dijangka siap pada akhir 2014. Projek yang dikendali oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu akan melibatkan kawasan seluas 388 hektar yang meliputi 2.5 peratus daripada keseluruhan kawasan tadahan hujan.
Projek itu juga akan melibatkan kerja-kerja pembinaan terowong dan stesen janakuasa yang mampu menjana sehingga 372 megawatt.

Laluannya agak santai dengan kualiti jalan yang baik dan selekoh yang tidak bergitu tajam. Selain itu sepanjang perjalanan anda akan melalui kawasan hutan dan penempatan orang asli dan sila berhati-hati jika memandu di waktu malam kerana bimbang mereka bermotorsikal tanpa lampu.

Kekurangan di laluan ini adalah gelap gelita bilamana waktu malam dan jarak antara penempatan yang agak jauh menyukarkan untuk mendapatkan bantuan jika perlu. Cuma baru-baru kegiatannya agak meriah bilamana syarikat TM SALINI telah memulakan pembinaan Empangan Jelai yang baru. Catatan mengenainya akan saya masukan kemudian bila info yang lebih tepat diperolehi. 


Dari Simpang Felda Sungai Koyan pula anda boleh memilih samada untuk ke Raub ataupun Kuala Lipis. Jika ke Raub, anda akan melalui Felda Sungai Koyan, Felda Tersang, Kampung Bukit Talam (ingatkah anda kepada kes Mona Fendi)  Kg. Cherul dan akhirnya sampai ke Bandar Raub.

Anda juga akan melalui kawasan rekreasi popular di Raub seperti Malim dan juga sungai-sungai Raub yang popular untuk aktiviti lasak.  Insyallah saya akan tambah maklumatnya nanti bila berkesempatan dan menemui kembali koleksi gambar berkenaan.


Bagi pendapat peribadi saya, jika anda dari arah timur seperti Bentong, Temerloh, Jerantut dan kawasan sekitarnya, laluan ini wajar menjadi pilihan jika ingin datang ke Cameron Highlands. Pandu Cermat Jiwa Selamat ...

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock