TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Showing posts with label fotografi. Show all posts
Showing posts with label fotografi. Show all posts

Monday, November 26, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Kedai Gambar dan Kamera


Catatan yang baru sahaja saya kongsikan sebelum ini berkenaan aktiviti mengambil gambar di Cameron Highlands dan saya memahami kadangkala ada yang terlupa dan alpa membawa perkakasan kamera anda terutamanya pengecas bateri.


Maka terpaksalah anda membeli pengecas bateri yang baru di sini untuk membolehkan anda merakamkan gambar ketika melancong di sini. 

Mungkin ada yang akan tercari-cari di mana kedai kamera yang boleh anda kunjungi untuk keperluan terdesak ini.

Kalau ada berada di Brinchang, hanya terdapat sebuah kedai menjual peralatan dan mencuci gambar iaitu Kedai Foto Tridi yang terletak berdekatan dengan Pasaraya Jimat.

Manakala kalau anda berada di Tanah Rata terdapat 3 buah kedai yang berkaitan dengan kamera ini iaitu yang pertama Carina Photo yang terletak bersebelahan dengan Agro Bank di Persiaran Camilia 3 yang membawa jenama Kedai Kodak. 

Jika anda tidak kisah dengan jenama, Jenama Fuji ataupun sebenarnya terdapat banyak pilihan yang lain juga boleh anda perolehi dengan mengunjungi Kedai Foto Tridi yang terletak bersebelahan dengan Bank Simpanan Nasional (BSN). 

Manakala terdapat sebuah lagi kedai gambar di Tanah Rata iaitu bersebelahan dengan Hong Kong Shanghai Bank atau HSBC tetapi saya sudah terlupa nama kedainya. Kalau tak silap saya berjenamakan Konica. Tetapi kedai ini cukup mengelirukan ramai orang kerana kedai ini bukan semata kedai gambar tetapi juga kedai pakaian, kasut dan juga peralatan lain. Dahulu asalnya kedai gambar tetapi kini di pelbagaikan.

Cuma untuk mendapatkan peralatan gantian yang mungkin diperlukan jenama kamera anda belum pasti terdapat di sini. Apapun tidak salah untuk bertanya, mana tahu ada rezeki anda...

Kalau tidak beli sahaja kamera yang baharu... asalkan dapat merakamkan gambar di sini...

Monday, November 19, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Peralatan Kamera yang sesuai

Ada seroang kawan yang sama 'kaki' dengan saya telepon semalam mengenai rancangan dia bercuti di sini hujung bulan ini. Di samping mintakan saya menempah apartment percutian, kami sembang-sembang mengenai Cameron Highlands ketika ini. 

Antara komen ringkas saya .. 'sesak teruk di hujung minggu'.

Dia kata dia sanggup sebab di KL pun sesak setiap hari. Topik lain yang menjadi perbualan kami mengenai yang menyebabkan kami 'sekaki' .. iaitu hobi mengambil gambar.. maklumlah kawan saya itu baru sahaja membeli D600.. itu yang sebenarnya tujuan dia ke sini.. nak cuba kamera baru. 

Pertanyaan mengenai cuaca menjadi topik seterusnya. Apakah hujan di sini dan bilamana saya nyatakan sudahpun musim hujan dia mengeluh. Maklumlah .."bini muda barunya" .. mana boleh kena hujan...

Dan seterusnya kami bersembang antara selitan lokasi yang boleh kami masukkan untuk melampiaskan "nafsu hobi" kami hujung bulan ini sekitar 15 minit.

Saya terfikir. Ada baiknya saya turut berkongsikan tips untuk mereka yang kaki fotografi.. cuma saya amatur dan jika pandangan saya ini boleh diikuti, baguslah..kalau salah tu..maafkanlah... kan senang aje syaratnya.. 

Pertama : Kamera dan peralatan yang sesuai ... 

Semua kamera adalah amat sesuai di sini. Baik yang ringkas ataupun yang lebih hebat boleh dibawa. Bagi pengemar DSLR pastinya sudah tersiap senarai keperluan peralatan yang akan dibawa.

Juga jangan lupa membawa peralatan dan akeseori yang diperlukan seperti tripod, pengecas bateri dan sebagainya. 

Untuk membeli pengecas bateri yang diperlukan oleh kamera anda agak terhad di sini dan sukar untuk menepati keperluan sebenar. 

Dicadangkan membuat senarai semak peralatan anda. Soal keselamatan kamera anda pula saya tidak berani menjanjikan apa-apa. 

Mungkin ada yang bertanya jika ditinggalkan di bilik hotel atau dalam kereta adakah ianya selamat. Namun pengalaman saya sendiri, suasana keselamatan di sini agak selesa berbanding di bawah sana namun bukannya satu yang dijamin sepenuhnya. 

Sebaiknya, anda sentiasa memastikan peralatan kamera anda dalam keadaan yang selamat dan terjamin. Cuma diingatkan... "Malang tidak berbau"... sediakan payung sebelum hujan.

Kedua: Genre fotografi.
Sudah datang ke Cameron Highlands, pastinya genre fotografi lanskap menjadi keutamaan kerana pemandangan ladang teh, straweberry dan juga suasana berkabus mendekatkan anda kepada genre ini. 

Namun masih ada peluang untuk mereka yang gemarkan macro dan fotografi jalanan malah mungkin juga boleh melihat burung-burung yang terdapat di pergunungan ini. Saya pernah melihat dan menyertai sekumpulan peminat burung yang merakamkan gambar burung-burung di jalan sekitar menuju Gunung Brinchang. 

Yang susah nak cari adalah mereka yang gemarkan water scene kerana tiada lokasi yang menarik untuk dirakamkan sebagai ikon seperti tasik, air terjun ataupun sungai kecil yang cantik. 

Ketiga: Lokasi menarik.
Pastinya ladang teh perlu dalam senarai lokasi anda. Pemandangan yang menhijau dan lanskap tea yang merenek rendah sukar dilepaskan.

Bangun di awal pagi untuk melihat dan merakamkan gambar pemandangan matahari terbit di Sungei Palas perlu dimasukkan walaupun bukan sesuatu yang pasti anda akan dapat melihat matahari terbit itu kelak. 

Suasana kabus dan hujan di awal pagi boleh membantutkan niat anda tetapi masih berbaloi dengan mendekati pula kumpulan pemetik daun teh yang seawal pagi telah memulakan kerja memetik daun teh.

Kemudian anda boleh pula bergerak naik ke Mossey Forest untuk merakamkan keunikan hutan dan pokok berlumut di puncak gunung setinggi 2000 meter dari aras laut sebelum memanjat menara tinjau di puncak Gunung Brinchang untuk melihat lanskap besar Cameron Highlands. Catatan mengenai lokasi-lokasi ini telah saya muatnaikkan. taip kata kunci carian anda.

Ladang atau kebun strawberry dan bunga-bungaan harus juga dimasukkan dalam senarai lokasi anda. Juga jangan lupa untuk singgah di ladang sayur-sayuran yang boleh anda kunjungi.

Lengkapkan kunjungan anda dengan rakaman candid di pasar sayur-sayuran seperti di Kea Farm.

Sudah datang ke Cameron Highlands, pastikan anda merakamkan juga pemandangan yang berlatarkan bangunan-bangunan yang bercirikan tudor dan Enggeris. Jika suasana berkabus pasti merupakan bonus tambahan kelak.

Cuaca dan persediaannya:
Cuaca di Cameron Highlands tidak menentu. Ada masanya panas terik dan selalunya hujan baik pagi, petang ataupun malam. Kalau tak hujan sekalipun, suasana kabus dan gerimis boleh muncul secara tiba-tiba. 

Sebaiknya untuk mereka yang sudah mempunyai hobi ini, pastinya keselamatan peralatan kamera diutamakan. Bak kata orang.. "bini kena hujan tak ape, tapi jangan kamera".

Persediaan seperti bag kamera kalis hujan, payung besar, poncho dan juga beberapa lagi kelengkapan utama yang lain untuk situasi ini perlu sentiasa ada. Jangan pula disangka ketika di hotel cuaca amat cerah maka, ditinggalkan payung dibilik hotel kerana kadang-kala mengikut pengalaman saya di sini , hujan boleh turun secara tiba-tiba.

Mencari dan menunggu matahari terbit selalunya tidak menjanjikan pasti akan dapat melihatnya. Kadang-kala kabus tebal atau hujan menyebabkan matahari kelihatan tiada di lokasi yang sering dilihat. 

Sebaik-baiknya jika menghabiskan masa di sini untuk tiga hari, perlu memulakan dari hari pertama lagi. Kalau tiada peluang matahari terbit hari pertama, mungkin hari kedua atau ketiga akan muncul dengan sempurna. Kalau sekadar menterjah hari ketiga sahaja, dan malangnya cuaca tidak menentu, tentunya hampa berpanjangan pula nanti.

Apa-apapun, bergantung kepada nasib anda untuk mencari gambar yang menarik dan sebenarnya di mana-mana sahaja boleh menjadi subjek yang menarik dengan hasil 'setting' dan juga 'art of seeing' tersendiri yang lebih utama.

Selamat 'menembak-nembak'... 

Monday, October 15, 2012

Gambar Kucing siri ke 4 : Si kenet

Kisah si Kenet ini penyambung kepada kisah 'abangnya' Aboon. Kenet merupakan anak kucing Jantan yang dilahirkan di Cameron Highlands dan asalnya tiga beradik. 

Saya kutip si Kenet di hadapan pejabat saya yang amat merbahaya kerana laluan anjing-anjing liar. 

Kenet berwarna hitam dan putih seperti Bendera negeri Pahang. Masa diambil, dia sekitar berumur 3 bulan dan penuh keletah manja. Saya membawa pulang untuk dijadikan teman kepada si Aboon yang keseorangan ketika itu. 

Pada awalnya, si Kenet ini tidak betah duduk di apartment tingkat empat yang sentiasa di kunci. Cuaca yang amat sejuk mungkin nampaknya biasa kepada kucing Cameron Highlands tetapi jelas masih terasa kepadanya. 

Selalunya dia akan bersidai di bumbung awning dapur rumah bawah yang sedikit curam dengan aksinya melentang memanaskan badan. 

Malah di waktu yang tiada cahaya matahari dia akan duduk di atas peti TV yang terasa suam dan panas atau minta diselimut.

Kenet kucing yang manja. Usia mudanya tidak membataskan gurauannya kepada Aboon. Diterkam, mengigit dan dan selalunya akan bergulingan antara satu sama lain. 

Kenet pantang mendengar suara kucing yang lain di bawah makan akan terjongollah kepalanya di jeriji untuk menjawab. 

Sifat manja Kenet di waktu malam memang terserlah. Kalau nak tidor, tempatnya di antara kami berdua dan mesti di dalam selimut sepenuhnya. 

Seawal pagi pula dia akan turut bangun serentak dengan isteri saya minta didukung, Bayangkan kalau menseterika baju pun mahu didukungnya.  

Selepas berpindah ke rumah baru, masih di tingkat empat, Kenet berpisah dengan Aboon kerana Aboon tiba-tiba hilang selepas berpindah ke rumah baru. Maka sifat manjanya semakin bertambah kerana sifat 'anak tunggal' ketika itu. 

Kalau balik sahaja dari kerja, tidornya di atas riba, kalau makan minta berteman, kalau nak keluar, mengiau nak ikut malah di dalam kereta akan bergerak ke depan dan belakang. Waktu malam tidornya masih sama, kalau bangun pagi, masih sama berkejaran dengan si isteri saya bersiap.

Perangai menjemur diri dengan panas masih diamalkan. Cuma di rumah baru, tiada bumbung awning rumah bawah tetapi sekadar dinding balkoni. Pernah sekali selepas balik kerja, kami tidak menemuinya di dalam rumah. Puas di cari dan isteri saya sudah nak menangis kerana baru kehilangan Aboon. 

Bila dipanggil suara lemah menjawab dari bawah dan rupa-rupanya, dia terjatuh dari tingkat empat. Tak mampu bergerak kerana tulangnya pinggangnya patah. 

Memandangkan hari sabtu, kami bergegas membawanya turun ke Ipoh dengan segera dan bila sampai di Klinik Haiwan yang hampir ditutup, dia dirawat dan perlu ditinggalkan selamat tiga hari. 

Kos rawatanya sahaja mencecah RM 300 lebih tetapi kerana dah sayang, maka kami sanggupi sahaja. Alhamdulillah, dia pulih semula selepas sebulan. Cuma malam pertama pulang ke rumah melihat dia mengesot untuk ke bilik air, mengundang sayu kami berdua kerana selalunya habis dipanjatnya satu rumah.

Peristiwa kedua, selepas kami mendapat anak pertama kami. Selepas berpantang 2 bulan di Kampung, saya membawa pulang Isteri dan anak. Ketika sampai di rumah, isteri saya memanggilnya dari bawah dan kedengaran suara riangnya menjawab malah mula mencakar pintu minta dibuka. 

Apabila dibuka, seperti biasa dia segera memanjat kakiknya untuk mintak didukung tetapi isteri saya tidak dapat melakukanya kerana sedang mendukung anak. Saya mengambil si kenet lalu mendukungnya dan dia mahu memeluk isteri saya tetapi tergamam kerana terlihat bayi dipelukan isteri saya.

Suaranya mula mengeram dan menderam dan matanya, ekornya, telinganya mula tegak kerana marah ataupun cemburu kepada isteri saya. 

Kelibatnya seperti mahu mencakar bayi kami lantas saya menjauhkan dia dari isteri dan bayi. 

Suaranya masih menderam, ekornya masih tegak dan dia mula mundar mandir dihadapan tv tanda marah. 

Akhirnya isteri saya memujuknya selepas meletakkan anak di dalam bilik dan jelas kelihatan dia perlahan-lahan kembali tenang dan seperti biasa minta didukung.

Bimbangkan bulu-bulu yang melekat akan memudaratkan bayi, isteri saya seringkali menukar baju setiap kali bersama si kenet dan baby kami. 

Sikap awalnya kepada bayi kami seperti tidak menyukainya buat 2 minggu yang pertama tetapi selepas itu, si kenet dan bayi kami Haziq bagaikan kembar. 

Di mana sahaja Haziq diletakan, pasti si Kenet akan berada disebelahnya. Jika Haziq di dalam buai, dia akan berada dibawah buaian. Setiap kali Haziq menangis, dia akan segera bingkas seolah-olah menenangkan malah akan mengiau di dapur seolah-olah memberitahu isteri saya.

Kami bimbang kerana terlalu rapat si kenet ini boleh menyebabkan asma. Maka selalunya saya akan membawanya ke tempat lain dan menasihatinya jangan terlalu dekat. Kami tak pasti, selepas hampir setahun si kenet mula menjauhkan diri dari kami dan mungkin kerana sifat jantannya mula dewasa untuk mencari betina. 

pantang bau durian, pasti akan dicakar plastik durian mintak dikupas. 
Pada awalnya setiap kali keluar kalau dipanggil pulang, pasti disahut dan naik keatas tetapi lama kelamaan tidak bersahut. Mungkin dia juga mempunyai kehidupan sendiri pula sejak detik itu..

Sunday, October 14, 2012

Gambar Kucing Siri 3: si Aboon

Catatan kucing seterusnya adalah mengenai kucing tempatan yang pernah aku bela sekitar 4 tahun yang lalu. Kucing yang menjadi teman di semua waktu maklumlah masa tu bujang dan selepas berkahwin, asyik berbulan madu .... kih kih .. 

Yang kisah biasa sebenarnya adalah kucing-kucing ini adalah baka tempatan yang biasa-biasa sahaja. Cuma yang mungkin sedikit berbeza yang boleh dikongsikan di sini adalah pengalaman membela kucing di bawah dan juga di Cameron Highlands.

Dimulakan dengan kisah kucing yang pertama; Aboon namanya. 

Dikutip dari kedai makan semasa di Batang Berjuntai semasa berusia beberapa bulan. 

Aboon merupakan kucing jantan yang berbadan besar dan muka pun nampak ganas seperti kucing kampung yang lain. 

Tiada langsung sifat dan perangai manja masa jumpa kali pertama di kedai makan. 

Tapi dah masa tu baru pindah rumah di estate di Kuala Selangor, sunyi pulak kerana sebelum ini memang membela kucing cuma hilang tanpa bernisan, maka dikutip sahaja aboon ini tanpa banyak memilih. 

Aboon ni membelanya agak mudah sebab kucing kampung. Kalau nak ke toilet, ikut tingkap dan selesai kerjanya. Cuma dalam muka yang ganas ini ada taman si budak ni.

Malam kalau tidor mesti bising kalau tengok masih depan tv. Dia tak berani nak masuk bilik sendiri. Jadi dia akan tidor di kaki ataupun dihujung sofa sementara aku tengok tv dan sebagainya. Tapi pantang aja bangun dia pasti akan ikut masuk ke bilik. 

Tempatnya di sebelah kanan. Kalau bagi sebelah kiri, mesti nak juga di sebelah kanan. Dan tidor mesti ada sentuhan paling kurang satu tangannya. 

Ditakdirkan, tuanya berkahwin dan memang dia ni jenis yang senyap tapi manja. 

Masih nak tidor sama malah seawal perkahwinan kami, separuh dari katil masih milik dia. 

Kalaulah letak di luar bilik, satu malam tak boleh tidor sebab dia akan mengiyau dan mencakar pintu bilik untuk masuk. 

Tak cukup dengan cakar, dia akan keluar rumah dan panjat tingkap dibilik  untuk masuk ke bilik. 

Berpindah ke Cameron Highlands:

Ditakdirkan, kami duduk di Kuala Selangor tak lama, berpindah pula ke puncak gunung ganang, Cameron Highlands pad tahun 2007 . Pemindahan ini membuatkan Aboon juga terpaksa berhijrah ke satu tempat yang mungkin dia sendiri tak sangka. 

Semasa berpindah ke Cameron Highlands, gelagatnya duduk didalam bakul dikala orang semua sibuk mengangkat barang seolah-olah tanda tak mahu berpindah. Namun bila dah masuk ke dalam kereta, dia yang memang biasa menaiki kereta pada awalnya seperti biasa, asyik ke depan dan kebelakang. Memanjat sana sini dan duduk di riba dan dashboard. Mungkin ingat nak berjalan ke Kuala Selangor sahaja kut. 

Bila mula mendaki Jalan Pahang ke Ringlet, tiada lagi mengiau dan memanjat tetapi hanya terduduk di kerusi belakang dengan sekali sekali menjawab bila dipanggil. Menghampiri 24 km pertama dia tiba-tiba duduk di kerusi depan dengan mulut berbuih.. 

Ooooo rupanyanya mabuk selekoh budak ini. Maka berhentilah konvoi tiga kereta kami semata-mata nak merehatkan si Aboon ini. Dua kali kami terpaksa berhenti lagi selepas itu. Kesian pula tengok dia mabuk... Siap di mandikan dengan air mineral lagi si budak ni. 

Bila sampai di Ringlet, masih mabuk tetapi kali ni jelas kelihatan bulu-bulunya berkembang berbanding biasa yang tidak langsung berkembang. 

Ini mungkin kerana kesejukan dan inilah yang berlaku selepas sampai di rumah baru. 

Bulunya sentiasa berkembang dan sentiasa ingin berkepit dengan kami untuk mencari hawa panas. 

Malah di waktu malam, kalau tidor di atas katil mesti masuk dalam selimut sepenuhnya berbanding dahulu tidak mahu berselimut langsung.

Duduk di tingkat empat ini merupakan satu lagi pengalaman kepada si Aboon malah suasana riuh dan sesak di kawasan apartment mengelirukan dia kerana sebelum ini di estate rumahnya sebuah-sebuah banglo yang terasing. 

Bunyi kereta, orang berjalan malah kucing-kucing liar di bawah memberi pengalaman yang berbeza dan terbukti disebalik muka garangnya, dia ni penakut sebenarnya. Kadang-kadang bergurau jugak kami dengannya dengan meletakkan dia luar rumah dan menutup pintu maka akan terdengarlah suaranya minta dibuka pintu.  


Aboon yang penyayang:

Melihat sifat penakutnya ini, kami kemudian mencari seekor lagi kucing buat peneman kepada si Aboon ini... dan akhirnya Aboon mendapat seekor anak kucing jantan yang bernama Kenet. 

Macam biasa, semasa pertemuan pertama, 2 minit awalnya dipenuhi dengan deraman dan cakar mencakar tetapi minit ketiga jelas berbeza. 

Kenet segera menjadi kawan baik dan mungkin kerana beza umur, Aboon sentiasa bertindak bagaikan abang kepada Kenet. Semua pergerakan si kenet akan diperhatikan dengan ekor matanya dan selalunya di mana ada kenet akan ada Aboon berdekatan dengannya. 

Kenet berbeza dengan perangai si Aboon yang akan saya kongsikan dengan catatan yang lain khas untuknya.  Kenet pantang melihat pintu terbuka pasti akan berada diluar malah turun ke bawah. 

Maka akan bisinglah si Aboon memanggilnya naik dan selalu tidak diendahkan. Suara awalnya nyaring seperti marah tetapi kemudian akan mendayu-dayu bila kenet sudah tidak kelihatan seolah-olah merayu supaya naik ke atas. 

Aboon ni pula sekadar dua kaki dari pintu dan tak berani nak turun tangga dan tentunya tidak akan mengejar si kenet yang meluru keluar. Selalunya dia akan memanggil kami untuk mengambil si kenet dari bawah. Kalau salah seorang dari kami tidak mempedulikan panggilannya, dia akan mencakar kaki kami dan bergerak ke arah pintu berulang kali. 

Bila kenet dah kami bawak naik (satu hal jugak nak kejar si kenet ni di bawah sebab suka berlari-lari macam berkejar-kejaran), Aboon akan segera menjilat bulu dan duduk bersebelahan dengan kenet. 

Kalau nak tidor siang, anda boleh melihat gambar diatas di mana mereka akan tidur berdua. Jika kenet tidak tidur, maka aboon pun tidak akan tidor. Kalau diselimutkan maka akan lamalah tidur mereka.

Apapun gelagat mereka menyeronokan kami berdua. Banyak keletahnya. 

Thursday, September 20, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Empangan Ulu Jelai

Mungkin ada yang agak pelik kenapa saya memasukan kisah pembinaan ini sebagai salah satu tips ke Cameron Highlands kerana tiada apa-apa yang istimewa. 

Ini mungkin tidak nampak keistimewaan bagi ramai orang namun bagi segelintir yang meminati fotografi mungkin projek ini boleh dijadikan sebagai satu projek hobi jangka panjang iaitu mengambil gambar sebelum, semasa dan selepas sesuatu disiapkan sebagai transisi masa yang boleh dikoleksikan bagi 10 tahun mendatang. 


Projek Empangan Ulu Jelai dikatakan dirancang seawal penghujung 70 an sebagai antara blueprint Lembaga Lektrik Negara (LLN) untuk jangkamasa panjang pembekalan tenaga elektrik seperti yang sebagaimana Empangan Bakun di Sarawak yang dirancang seawal 1960 an lagi sebelum direalisasikan sepenuhnya pada tahun 2012 ini selepas 30 tahun.

Petikan dari laman web TNB bertarikh 1 Mac 2011 memperincikan projek ini.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengadakan Majlis Pecah Tanah Projek Hidroelektrik Ulu Jelai, Cameron Highlands, Pahang yang disempurnakan oleh K.D.Y.M.M. Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'azam Shah.

Projek Hidroelektrik Ulu Jelai berjumlah RM2.15 billion berkapasiti 372 MW ini akan digunakan untuk menjana kuasa elektrik bagi memenuhi keperluan elektrik pada waktu puncak. Ia meliputi beberapa komponen utama iaitu pembinaan dua Terowong Pengalihan Air, Empangan Susu, Stesen Janakuasa Bawah Tanah, Terowong Tenaga, Lapangan Suis, Bangunan Kawalan dan Jalan Masuk.
Pembinaan Projek Hidroelektrik Ulu Jelai ini meliputi dua fasa.  Fasa 1 telah pun bermula pada Oktober 2010 yang lalu manakala Fasa 2 dijangka  bermula pada Mac tahun ini.

Tiga perkampungan masyarakat Orang Asli iaitu Kampung Susu, Kampung Giat dan Kampung Pinang dipindahkan ke kawasan penempatan baharu yang lebih teratur dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi pembinaan projek berkenaan.
Ini kerana, katanya pembinaan takungan Empangan Susu dijangka menenggelamkan kawasan seluas 124 hektar iaitu kawasan tiga kampung berkenaan.
Penduduk kampung-kampung yang terlibat akan ditempatkan ke kawasan penempatan baru dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang telah dikenalpasti dan juga telah dipersetujui oleh mereka sendiri dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), kata beliau.

Stesen hidroelektrik ini dijangka mula beroperasi pada bulan Disember 2015. Penakungan air dijangka  bermula pada Oktober 2015 menerusi dua Terowong Pengalihan Air sepanjang 8.4 km dan 7.5 km untuk menyalurkan air mentah secara aliran graviti dari Sungai Telom dan Sungai Lemoi ke kawasan takungan seluas 124 hektar.
Saya akan cuba mengumpulkan beberapa gambar keadaan kawasan lembah ini sekitar 2009 yang pernah saya rakamkan dan sedikit gambar terkini yang saya rakamkan awal bulan yang lalu.

Insyallah kalau umur panjang , mungkin ketika siapnya nanti akan dikongsikan pula gambarnya. Bagi anda yang datang ke Cameron Highlands melalui Jalan Pos Betau yang pernah saya kongsikan melalui catatan DI SINI saya syorkan anda berhenti seketika dan bergambar berlatarkan pembinaan emapangan ini.

Insyallah bila anda datang semula lain kali mungkin dalam tempoh 5 atau 10 tahun dari sekarang suasananya akan berbeza... 

Juga anda boleh dokumentasikan tiga buah kampung Orang Asli yang akan tenggelam dan dipindahkan ke penempatan yang baharu apabila takungan air bermula kelak.  

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock