TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Tuesday, August 23, 2011

Rezeki Fid di lorong gelap

Aku suka KOSMO.. sebabnya banyak cerita yang boleh dibaca dan menyelami adat resam , kisah jalanan dan luar negara yang dikongsi bersama... Ceritanya ringkas tanpa perlu banyak retorik atau tajuk yang sikit radikal hanya semata-mata untuk menarik perhatian pembaca. Terlalu sensasi seperti akhbar tabloid bukanlah selera aku untuk membeli atau membaca. 

Antara kisah di Kosmo yang menarik untuk di kongsi..

Oleh BAZUKI MUHAMMAD


DENGAN penuh pesona, Firdaus Bakri meminta izin untuk ke bilik air. Katanya, dia mahu menyegarkan diri terlebih dulu sebelum wajahnya dirakam oleh lensa kamera penulis.
Sementelah menunggunya, penulis dibenarkan untuk berada di bilik yang disewanya iaitu di sebuah rumah kedai di Lorong Haji Taib, Chow Kit, Kuala Lumpur.
Bilik yang disewa Firdaus bersama seorang rakannya tidaklah besar. Bahkan, bukan sebarangan orang yang dapat menembusi kawasan itu sesuka hati.
Sukarnya cahaya melintasi menyebabkan suasana kamar lelaki yang berusia sekitar 20-an itu agak suram. Jadi, bertepatanlah dengan kadar sewanya iaitu RM25 sehari.
Pada awal perkenalan, Firdaus seolah-olah tidak membenarkan penulis menyapanya dengan nama Firdaus. Cukuplah katanya, memanggilnya dengan nama Fid. Dalam kalangan penghuni Lorong Haji Taib atau kalangan pelanggannya pula, Fid dikenali sebagai Firsya.
Atmosfera kewanitaan terserlah di kamar Fid. Barangkali menggemari warna hijau, dia memilih langsir dan tikar berwarna warna lembut itu. Tiada katil dan lenanya hanya bersandarkan sebuah tilam tebal tanpa cadar.
Untuk menghiasi dinding berwarna putih di bilik itu, Fid mereka hiasan berupa langsir comel dan di atasnya diletakkan kad dan gambar anak patung beruang.
Televisyen dipasang semasa kunjungan penulis ke biliknya pada malam itu. Daripada wayar TV yang panjang dibiarkan togel, beberapa reben merah diikat pada wayar tersebut.
Seperti asrama

FID sebenarnya tidak menyangka dia akan menjalani kehidupannya di Lorong Haji Taib.


Sememangnya dekorasi di bilik itu amat ringkas. Tiada almari mekap mahupun dapur atau peti sejuk.
Namun, getus hati penulis, bukan Fid tidak mampu tetapi ruang yang terhad menyebabkan hanya sebuah meja tulis dapat dimuatkan. Semua set alat mekap diletakkan bertebaran di atas tilam sahaja.
Mudah untuk disimpulkan, konsep kediaman Fid umpama sebuah asrama. Untuk mandi atau membasuh, bilik airnya dikongsi bersama penghuni-penghuni lain yang berada pada satu aras.
Kelekaan penulis menghayati segenap skop bilik Fid yang berhati wanita itu tersentak seketika. Fid kembali semula dan terus melabuhkan punggung di atas tilam.
Sudah menghampiri pukul 12 malam, Fid berkata, dia harus menyiapkan dirinya untuk pergi bekerja.
Lantas dia mengeluarkan cermin mekap. Dengan lemah gemalai, dia mengenakan bedak asas pada wajahnya.
Solekannya nampak tertumpu di bahagian mata. Fid memilih untuk memakai warna terang dan kemudian dia menyolek matanya dengan warna gelap.
Dicapainya celak untuk melukis pembayang mata. Untuk memastikan bebola matanya lebih terserlah, berus lembut dipilih dan diolesnya secara berhati-hati.
Sambil tangan kiri memegang cermin, Fid melentikkan bulu matanya dan menyempurnakan dengan maskara.
Akhir sekali, bibirnya yang mungil disapukan dengan pengilat bibir. Tidak tahu jenama apakah yang digunakan olehnya, namun yang pasti Fid mengalami transisi yang sangat menakjubkan. Gaya Fid menyerikan wajahnya juga ibarat jurumekap profesional.

FID menggambarkan bahawa dia memiliki kepakaran mendandan wajah seperti seorang jurumekap bertauliah.


Rambutnya yang paras pinggang disisir rapi dan dilepaskan begitu sahaja telah menyerlahkan lagi kejelitaannya.
“Abang, saya nak tukar baju,” kata Fid selepas mengambil masa-masa kira-kira 15 minit untuk menyolek wajahnya.
Mendengar kata-katanya, penulis menawarkan diri untuk keluar dari biliknya. Namun seorang kawan Fid menegah dan berkata: “Buat apa awak keluar, dia kan lelaki.”
Ya, memang benar katanya. Namun, pada ketika itu, penulis masih memvisualkan dan menganggap Fid adalah seorang wanita.
Fid dengan selamba membuka baju-T yang dipakainya dan terus memakai coli berwarna merah. Tindakannya membuatkan penulis terkesima. Dalam, sepantas kilat penulis membidik kamera.
“Abang, ambillah gambar saya dengan latar belakang langsir, ini sudut paling terbaik,” saran Fid yang memiliki bentuk badan tidak ubah seperti seorang wanita.
Sebenarnya, Fid yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur membenarkan setiap inci pergerakannya dirakam oleh penulis.
Cari pelanggan

SETIAP malam lelaki berwajah wanita ini akan menunggu pelanggan di kaki lima-kaki lima rumah kedai di Lorong Haji Taib dan kawasan berhampiran dengannya.


Fid sudah lengkap berpakaian. Dia mengenakan kasut tumit tinggi berwarna hitam dan menuruni anak tangga dengan sopan dan lenggoknya yang tersendiri.
Katanya, inilah masanya dia mula bekerja demi sesuap nasi. Di manakah lokasi tempatnya bekerja dan apakah pekerjaan? Jawapannya, hanya di Lorong Haji Taib dan dia tidak berjawatan tinggi.
Jika nasibnya baik, dalam semalam, dia memperoleh kira-kira RM150 hasil daripada kerjanya itu.
Walau pada bulan Ramadan, pekerjaan itu harus diteruskan. Bagaimanakah dia berpuasa dan menyambut Aidilfitri? Perkara itu tidak penulis gali sepenuhnya demi menjaga perasaan Fid.
Lelaki berwajah wanita itu tidak banyak cakap. Dengan beg Louis Vuittonnya, dia berdiri di satu sudut.
Kehadirannya di situ bagai dinanti-nantikan lantaran tidak sampai tiga minit, dia didatangi sebuah kereta.
Dengan gaya menggoda dan mula bermain dengan rambutnya, Fid dilihat berkata-kata sesuatu dengan pelanggan yang berpotensi untuknya pada malam itu.
Bagi seorang jurufoto, itu adalah momen yang dinanti-nanti dalam menceritakan perjalanan seorang transeksual yang seringkali dipandang sinis masyarakat.
Di sebalik keghairahan itu, tiba-tiba terpacul satu suara garau yang entah datang dari mana berteriak: “Oi, kau ambil gambar buat apa?.”
Disebabkan rasa gementar dengan ancaman sedemikian rupa, penulis meninggalkan lokasi itu dengan pelbagai tanda tanya yang masih tidak terungkai. Entah apa yang terjadi dengan nasib Fid sekarang, penulis tidak tahu.
Sebagai seorang jurufoto yang ingin menyampaikan mesej kepada masyarakat, penulis sedaya upaya cuba menyelongkar intipati kehidupan seorang transeksual atau mak nyah untuk difahami orang ramai.
Namun kerja itu tidak semudah seperti yang disangka. Firdaus Bakri yang membahasakan dirinya Fid tergolong dalam komuniti itu tidak banyak membutirkan kata-kata.
Sememangnya benar kata orang, golongan seperti itu suka memencilkan diri dan lebih senang hidup dalam dunianya sendiri.
Tiga jam bersamanya, lelaki dengan aura penuh kewanitaan itu memberitahu, dia mula menjadi perempuan sejak berumur 12 tahun.
“Bapa saya buat jahat, itu sebab saya jadi macam ni,” imbas Fid dengan nada suara kemarahan.
Sejak tragedi itu, dia menjadi penghuni Lorong Haji Taib dan tidak mempunyai pelajaran. Bulan lalu, dia pernah bekerja di sebuah restoran makanan segera tetapi tidak kekal.
Melihat wajah dan iris matanya, penulis merasakan ada kelowongan di jiwanya yang sulit untuk ditebak.
Penulis sangat berharap pertemuan yang berlangsung pada Ramadan yang ke-13 itu, membolehkan penulis menyelami isi hatinya. Malangnya, misi selama tiga jam itu gagal.
Sampai bilakah Fid akan terus terjerumus ke lembah itu? Penulis tidak dapat mengagak. Namun, jauh di sudut lelaki berwajah wanita itu, dia mahu kembali ke jalan yang diredai Allah.
Seperti yang lain, Fid mahu menjadi seperti manusia biasa yang punya anak dan keluarga. Fid meletakkan sepenuh harapan agar masyarakat tidak memandang hina orang sepertinya.
Apakah yang akan terjadi pada Fid selepas ini dan bagaimanakh dia mencorak masa depan seterusnya? Hanya Allah yang menentukan.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock