TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, August 22, 2011

Perjumpaan wajib setahun sekali

 

 "Perjalanan jauh tak kurasa, kerna hati ku melonjak sama, ingin berjumpa sanak saudara yang selalu bermain di mata..." 


Ini adalah sebaik lirik yang amat popular iaitu Balik Kampung  oleh Datuk Sudirman Haji Arshad. Liriknya amat ringkat tetapi sarat dengan kisah yang berlegar di kalangan kita. 


Menjadi siulan di hari menjelang raya, bagi mereka yang akan bergerak dan melalui perjalan yang jauh dari kota dan bandaraya untuk pulang ke kampung  halaman. Niat dan matlamatnya hanya satu meraikan dan menyambut Hari Raya atau lebaran bersama keluarga di desa ataupun kampung. Ianya menjadi tradisi yang amat tidak boleh ditinggalkan.... 


Selamat pulang beraya di kampung tetapi utamakan keselamatan ketika dalam perjalanan kerana mereka yang menunggu di kampung pastinya tidak mahu menyambut dengan air mata kesedihan yang di hari kegembiraan menyambut kemenangan... 


BERGOTONG-ROYONG menganyam ketupat antara aktiviti lazim yang dapat dilihat di kampung-kampung.



HARI ini merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh setiap muslimin dan muslimat selepas sebulan menunaikan ibadah puasa. 1 Syawal, detik terindah untuk bertemu ibu dan ayah tercinta, kaum keluarga, sanak saudara mahupun sahabat handai untuk memohon kemaafan.
Kepada warga kota yang mempunyai kampung halaman, Aidilfitri seakan-akan kurang serinya jika tidak pulang beraya bersama keluarga. Menyambut lebaran dengan pulang ke kampung sudah menjadi sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia.
Namun, harga yang terpaksa dibayar oleh setiap warga kota ialah mereka terpaksa meredah kesesakan di lebuh raya, bahkan tidak kurang yang terperangkap berjam-jam di atas jalan raya.
Bagaimanapun, semua kesulitan itu menjadikan perjalanan untuk pulang ke kampung sesuatu yang mengujakan.
“Suasana menyambut hari lebaran di kampung tiada tolok bandingnya kerana ia mewah dengan nilai kasih sayang dan semangat kekeluargaan.
“Pada waktu inilah kita dapat melihat jalinan silaturahim melalui tradisi menganyam ketupat, membakar lemang, mengacau dodol, merendang dan sebagainya,” kata Ketua Kampung Kampung Ketoyong, Tanjung Malim, Perak, Rozaini Mohamed, 48.
Menurut Rozaini, kemeriahan menyambut Aidilfitri di kampung sukar diungkapkan dengan kata-kata. Hanya mereka yang merasai pengalaman itu sahaja tahu betapa nikmatnya beraya di kampung halaman.
Walaupun kebanyakan kampung mengalami transformasi rumah kayu kepada rumah separa batu, budaya dan tradisi yang disemai selama ini tidak pernah luntur.
Bahkan budaya mengalun takbir raya dari rumah ke rumah pada malam raya masih kekal hingga ke hari ini selain tradisi bermaaf-maafan pada pagi raya.
Kata Ruzaini: Terdapat banyak perbezaan beraya di bandar dan kampung. Kalau tiada beza, masakan ramai yang sanggup berpusu-pusu membeli tiket bas untuk pulang berhari raya di kampung, meredah kesesakan jalan raya dan sebagainya semata-mata untuk berada bersama keluarga tersayang.
“Istilah kampung itu sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya. Sukar menzahirkan dengan kata-kata perbandingan kemeriahan menyambut hari raya di kampung.
Bagi seorang suri rumah, Saadiah Mamat, 33, beraya di kampung lebih seronok berbanding di bandar kerana kemeriahan suasananya.
“Di bandar kita sukar bertemu dengan aktiviti gotong-royong membakar lemang, menganyam ketupat, mengacau dodol dan sebagainya. Pada masa yang sama kita dapat mempelajari kemahiran membuatnya.
“Di kampung semua adik-beradik dan sanak saudara berkumpul beramai-ramai sambil menghulurkan tangan bersalam-salaman tanda memohon kemaafan,” katanya ada sesetengah kawasan kejiranan di bandar yang tidak bertegur sapa antara satu sama lain.


BERGOTONG-ROYONG menganyam ketupat antara aktiviti lazim yang dapat dilihat di kampung-kampung.



Kepada Farissyamimi Rozaini, 24, pulang beraya di kampung adalah saat-saat yang dinanti-nantikan kerana pada hari istimewa itu umpama pertemuan wajib setahun sekali.
“Pada waktu inilah kita dapat bertemu dengan sanak saudara dan rakan-rakan yang jauh yang sejak sekian lama tidak berjumpa. Masing-masing tidak putus-putus berkongsi cerita seperti tiada hari esok.
“Sudah menjadi lumrah, setiap kali hari raya, kanak-kanaklah golongan yang paling seronok kerana dapat memakai baju baru dan mengumpul duit raya,” ujarnya.
Melepas rindu
Kedatangan 1 Syawal turut dinanti-nantikan oleh warga emas di kampung kerana mereka dapat melepaskan rindu terhadap anak cucu yang sudah lama tidak pulang ke kampung.
Apakah perbezaan beraya di kampung dan di bandar? “Jarang sekali kita dengar orang beraya di bandar, kalau ada pun mungkin kerana mereka memenuhi tuntutan kerja atau tidak dapat cuti.
“Perbezaan yang ketara apabila beraya di kampung ialah suasana. Di kampung, masing-masing sibuk dengan aktiviti menziarah sanak saudara dan sahabat handai tetapi di bandar, orang ramai lebih gemar berkunjung ke pusat beli-belah selain buat hal masing-masing,” jelasnya.
Begitu juga dengan persiapan menyambut Aidilfitri. Di kampung jelas memperlihatkan suasana muafakat melalui aktiviti memasak lemang, ketupat, mengacau dodol dan sebagainya secara gotong-royong.
Keseronokan meraikan Hari Raya Aidilfitri seakan-akan kurang sempurna tanpa menziarah pusara orang tersayang.
“Menziarah pusara pada pagi raya menjadi satu kemestian, di Johor misalnya, kawasan tanah perkuburan pada pagi raya umpama berlangsungnya pesta.
“Walaupun meriah, perasaan syahdu tetap menyelubungi diri kerana kita boleh melihat ada di antara pusara yang sering diziarahi dan ada yang terbiar. Ia cukup menginsafkan,” kata Shahidah Samsudin, 28, ketika ditemui.
Sementara itu, seorang penuntut Universiti Teknologi Mara Puncak Alam, (UiTM) Izzati Afiqah Mohd. Darif, 23, menjelaskan sambutan Aidilfitri cukup bermakna bagi dirinya kerana dia bersama keluarga akan pulang ke kampung ibunya di Alor Gajah, Melaka.
Anak kedua daripada empat adik-beradik itu bertolak ke rumah neneknya pada hari terakhir Ramadan selepas bersahur.
“Selain keluarga saya, semua adik-beradik sebelah ibu juga akan pulang ke kampung.


WALAUPUN penyediaan dodol mengambil masa yang lama, ia tetap menjadi hidangan tradisi yang dicari-cari pada pagi raya.



“Kami akan berkumpul dan membahagi-bahagikan tugas seperti mengisi kuih dalam balang, memasang langsir dan membersihkan rumah,” katanya yang gemar membuat kek coklat untuk dihidang pada pagi raya.
Bagi menyemarak sambutan Aidilfitri, pada malam raya Izzati bersama sepupu-sepupunya akan memasang pelita.
Menetap selama tiga hari di kampung neneknya, tempoh tersebut dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh Izzati untuk mengeratkan silaturrahim bersama sanak saudara yang berkunjung.
Sudah menjadi kelaziman, keluarganya juga menghidangkan menu signatur pada pagi raya.
“Rendang kerang, rendang itik dan soto. Kami memang masak lebih sebab rumah nenek menjadi tumpuan pada pagi raya,” ujar Izzati yang terkenang rumah lama neneknya yang diperbuat daripada kayu.
Memakai inai
Mengakui perasaan yang berbeza apabila rumah tersebut kini diubahsuai menjadi rumah batu, saat paling indah yang menjadi rutin anak kelahiran Kuala Lumpur itu dan sepupu-sepupunya pada malam raya ialah mereka memakai inai.
“Ia seakan-akan sudah menjadi tradisi untuk mengeratkan silaturahim,” katanya yang terkenang memori indah ketika moyangnya masih hidup.
“Ketika moyang ada dulu, rumah kami lagi meriah seolah-olah ada rumah terbuka besar-besaran sebab semua generasi moyang datang ke rumah nenek untuk menyambut Aidilfitri,” kata Izzati lagi, aktiviti pada petang raya biasanya diteruskan dengan membersihkan kubur. Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Najihah Zulaika Hafiz, 28, mengakui memori menyambut Aidilfitri bersama arwah nenek di kampung masih terpahat dalam ingatannya.
“Sejak dua tahun lalu Aidilfitri terasa hambar selepas nenek meninggal dunia.
“Neneklah insan yang sangat gembira pada pagi raya apabila anak-anak dan cucu-cucunya datang menziarahi nya pada pagi raya,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu ketika dihubungi

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock