Saya ingin memanjangkan catatan dari Blogger yang saya ikuti untuk dikongsikan di sini. Tujuannya hanya untuk berkongsikan sesuatu yang saya suka dengan pembaca mrkumai.blogspot.com.
Tanpa mengambil kredit penulis dan pemilik asalnya, saya akan memberikan sedikit ulasan dan pendapat mengenai catatan blogger terbabit dan anda boleh untuk mengklik link yang disediakan untuk pembacaan sepenuhnya.. Saya mengharapkan anda memanjangkan pembacaan anda seterusnya dari laman blog mereka.
Kisah: Pulau Layang-Layang... Mejar (B) Nor Ibrahim Sulaiman
Saya menonton kisah mengenai Pulau Layang-Layang di TV3 melalui rencana yang cukup menarik di Majalah Tiga.
Pulau yang jauh di lautan dan berada disempadan negara kita ini hanya dapat didengar dan dibaca melalui media tanpa mengetahui selengkapnya.
Dari siri Majalah 3 sedikit merungkai pengorbanan pasukan tentera yang berada di sana bukan sekadar mengawasi keselamatan perairan negara tetapi lebih besar sebenarnya peranan mereka iaitu menjaga kedaulatan negara.
Tetapi bilamana saya membaca catatan-catatan yang ditulis oleh Mejar, saya amat mengkagumi segala usaha dan individu yang terlibat dari awal hinggalah apa yang dapat kita lihat kini. Bukan sedikit usaha dan pengorbanan yang tercurah untuk menjadikannya sebegini.
Pulau Layang-Layang sekarang ini bukanlah Pulau Layang-Layang yang dahulu yang sebenarnya hanyalah terumbu karang yang timbul dari dasar yang kecil.
Tapaknya tidaklah bertanah sebaliknya hanya berpasir dan berbatu karang yang cetek dan jelas kelihatan ketika air surut tetapi akan tenggelam ketika air pasang.
Kerana itulah namanya dikenali sebagai Terumbu Layang-Layang.
(Saya teringat pula mengenai Pulau Hairan yang pernah mengemparkan negara ketika 1992-1994 yang tiba-tiba kelihatan tetapi hilang pula selepas beberapa tahun.).
Pulau Layang-Layang jika dilihat kepada apa yang ada pada awal mungkin tidak menarik minat sesiapa jika dilihat dari nilai kasarnya tetapi jika dilihat dari skala ekonomi yang tidak kelihatan pasti tidak akan terlepas pandang oleh sesiapa.
Hanya mereka yang berjiwa besar dan memandang kehadapan sahaja yang bijak untuk memikirkan masa depan yang dijanjikan oleh pulau terumbu ini.
Antara Insan yang berjiwa besar adalah Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad yang segera mengarahkan untuk dibangunkan dan ditempatkan sebuah kem pengawasan untuk memastikan kedaulatan pulau terumbu ini.
‘...Pada tahun sama (1981), apabila saya menjadi Perdana Menteri, langkah pertama yang saya ambil adalah menempatkan orang kita di Layang-Layang serta mula membangunkannya sebagai pangkalan kecil dan pusat peranginan.’ Tuntutan dan penempatan anggota tentera bermakna ‘...maka secara automatik kita juga menuntut hak ke atas kawasan yang luas di sekelilingnya’ ('DOKTOR UMUM Memoir Tun Dr Mahathir' ms 366).
Kisah dan cabaran untuk membangunkan pulau ini diceritakan sepenuhnya oleh Mejar Nor Sulaiman melalui catatan beliau yang lengkap dengan kronologionya, naratifnya pula benar-benar menceritkan keperitan, cabaran, kesungguhan dan juga pelbagai lagi kisah yang tidak pernah didendangkan oleh mana-mana pihak sebelum ini.
Angkatan Tentera Malaysia yang diberikan tanggungjawab dan amanah ini amat berjasa kepada kita. Antara petikan catatan yang benar-benar saya ingin kongsikan mungkin dapat diringkaskan seperti ;
Apabila kumpulan pertama seramai 11 orang anggota Paskal, termasuk saya, mendarat dan menduduki Terumbu Layang Layang (TLL) secara tetap pada awal Mei 1983 dari KD MUTIARA, tidak terdapat sebarang infrastruktur di sana.
Ponco digunakan sebagai khemah untuk tempat tinggal. Semasa air pasang, kawasan kering yang terdapat di TLL berukuran lebih kurang 40 kaki panjang dan 5 ke 10 kaki lebar. Jadi, khemah-khemah perlu didirikan di atas kawasan kering ini.
Sering terjadi apabila cuaca buruk, air laut akan masuk ke dalam khemah semasa anggota sedang tidur dan mebasahi pakaian dan peralatan yang ada di dalam khemah! Kerana kepenatan, ada juga anggota Paskal yang terus tidur walaupun pakaian mereka telah basah!
Disebabkan ketiadaan infrastruktur, anggota melakukan tugas pemerhati (Observation Post) di atas batu karang yang berada di sekitar kawasan khemah baik pada siang atau pun malam hari.
Semasa air pasang, anggota perlu meharungi air laut untuk merapat ke tempat tugas di atas batu-batu karang tersebut.
Ada kalanya mereka terpaksa mengharungi air laut hingga ke paras dada di dalam gelap untuk ke tempat tugas di atas batu!
Di siang hari, anggota terdedah kepada panas terik matahari dan pada malam hari mereka terdedah kepada tiupan angin kencang Laut China Selatan tanpa sebarang perlindungan.
Pada bulan Monsoon pula, mereka dibasahi hujan yang mencurah-curah tanpa henti baik pada siang atau pun di malam hari.
Setelah bertugas di TLL selama dua minggu atau lebih, semua anggota Paskal kelihatan lebih mirip kepada ‘African’ daripada ‘Asian’ kerana terbakar matahari!
Ikuti seterusnya di Jotting of X Nuri Pilot Mejar (B) Nor Ibrahim Sulaiman di SINI Anda pasti akan teruja dan berterima kasih kepada semua yang telah banyak berjasa ini. Selepas membaca kisah ini pasti anda akan lebih menghargai mereka.
Salute to all!!!
No comments:
Post a Comment