TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Thursday, October 11, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Penempatan Orang Asli Kg. Sungai Ruil

Saya pernah berkongsi catatan mengenai orang asli yang diceritakan dalam beberapa catatan sebelum ini. Saya juga berjanji didalam salah satu catatan bahawa ingin berkongsikan mengenai Kampung Orang Asli Sungai Ruil yang terletak di tengah bandar antara Tanah Rata dan Brinchang. 

Nama kat atas gambar tu patutnya: Kampung Orang Asli Sungai Ruil
Kampung ini pernah mengemparkan negara dengan peristiwa tanah runtuh yang mengorbankan 7 orang penduduknya. Catatan dari petikan berita saya muatnaikan juga dalam catatan terdahulu.

Kampung Orang Asli Sungai Ruil terletak di kaki Gunung Perdah di sempadan antara Tanah Rata dan Brinchang. Jika anda berpeluang ke sini, anda akan mendapati penempatan di sini adalah bertaraf maju kerana sosio ekonominya meluas dan bukannya bergantung kepada sumber hutan. 

Penduduknya bekerja di sekitar daerah ini samada di kedai-kedai, rumah orang, kakitangan kerajaan dan sendiri. Malah jika anda ke bermain golf di padang Golf Majlis Daerah Cameron Highlands, caddynya adalah orang asli yang datang dari Kampung ini. Taraf ekonomi mereka dibuktikan dengan deretan kereta dan kenderaan diletakkan dibahagian bawah kampung ini.

Rata-rata penduduk kampung ini mendapat pendidikan yang sempurna iaitu dari pendidikan awal sehinggalah ke pendidikan rendah dan menengah. Malaj terdapat sebuah asrama desa khas untuk pelajar orang asli di sini yang menghimpunkan pelajar-pelajar dari kampung-kampung yang lain. 



Mereka adalah terdiri dari murid-murid sekolah rendah yang dihantar ke SK Tanah Rata manakala pelajar sekolah menengah pula di tempatkan di SMK Sultah Ahmad Shah, juga di Tanah Rata. Malangnya penempatan asrama ini buat masa ini dikosongkan ekoran status keselamatan kampung ini selepas kejadian tanah runtuh yang telah berlaku dahulu. Buat masa ini mereka di tempatkan di asrama sementara di Kampung Taman Sedia. 

Dari pemerhatian kasar saya, saya mendapati kampung ini mendapat kemudahan yang amat sempurna bagi sesebuah penempatan orang Asli. Terdapat klinik desa dengan kemudahan ambulan ditempatkan di sini. 

Juga terdapat kemudahan surau bagi yang beragama Islam. Saya difahamkan separuh daripada masyarakat di sini beragama islam, manakala sebahagian lagi beragama Kristian dan mengamalkan kepercayaan masyarakat nenek moyang mereka sendiri. 

Pola penempatan di perkampungan ini agak berselerak namun struktur rumah mereka adalah lebih moden dengan papan dan konkrit menjadi pilihan utama mereka. Namun terdapat beberapa buah rumah yang masih menggunakan buluh sebagai bahan utama. 

Kedudukan rumah adalah mengikut jalur bukit yang menaik ke atas dengan kemudahan tangga konkrit disediakan. 


Saya masih teringat, kira-kira 4 tahun yang lalu terdapat sebuah galeri Orang Asli di sini yang dirasmikan oleh Tengku Mahkota Pahang, namun ketika kunjungan saya minggu yang lalu sudah tiada malah banggunannya tidak dipelihara dengan baik. Malah kemudahan penginapan Asli Lodge juga kelihatan sudah tiada. 

Kampung ini telah mendapat peruntukan sebanyak RM 100 juta dalam bajet 2012 yang lalu untuk  dibangunkan semula dengan lebih teratur ekoran kejadian tanah runtuh, namun masih belum kelihatan sebarang pembangunan projek dilaksanakan setakat ini. 

Masa hadapan kampung ini mungkin tidak akan kekal sebagaimana yang dapat dilihat sekarang jika projek pembangunan semula ini dijalankan malah ketika ini rancak dibangunkan taman perumahan baru dilaluan masuk ke sini. 

Apapun, kita mengharapkan sesuatu yang terbaik dilakukan demi menjaga warisan kampung orang asli ini kelak. 

1 comment:

Bik Baiah said...

nk contact number Orang asli lodge ni...u ade x? TQ

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock