Ini bukan kisah baharu. Tetapi diperbaharui semula siarannya selepas 7 bulan kisah yang sama dibawakan kepada umum.
Selepas pendedahan pertama, kita menyaksikan di sini pelbagai paluan gendang perang dipalu seawal pendedahan dengan pelbagai janji akan melakukan penguatkuasaan dan juga tindakan yang sangat tegas.
Bukan saya yang palu gendang perang dan bukan saya juga yang mengalunkan janji asyik di atas tetapi semua pihak yang terlibat ketika itu.
Mungkin jika ada masa saya akan buat catatan ringkas mengenai alunan janji asyik yang pernah dipuisikan oleh pihak yang terbabit.
Ternyata bermula dari Ringlet yang bersempadan antara Perak dan Pahang hinggalah ke Blue Valley yang bersempadan dengan Kelantan, situasi Cameron Highlands semakin serius. Penerokaan tanah yang selama ini dibenarkan atas nama pertanian terus bermaharajalela. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana kebun-kebun haram terus wujud biarpun pernah digempur.
Sudah pastilah pendedahan kali kedua berhubung keadaan di Cameron Highlands oleh Utusan Malaysia akan dianggap satu agenda atau dendam lama oleh pihak-pihak tertentu. Namun penulis tidak mahu membuang masa melayan kelompok seumpama itu kerana apa yang penting ialah bagaimana kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengambil langkah dan usaha bagi menamatkan isu tanah tinggi itu yang dianggap ‘cerita lama, ancaman baru’.
Sememangnya penerokaan tanah di Cameron Highlands adalah cerita lama, sungai-sungai di daerah itu tercemar juga dianggap cerita lama dan sudah pasti pembangunan yang semakin rancak dilakukan di situ tanpa kawalan juga cerita lama.
Tetapi ‘cerita-cerita lama’ itu kini akan mengundang ancaman baru kepada Cameron Highlands. Tanah tinggi yang terkenal dengan cuaca sejuk itu sedang berhadapan dengan ancaman baru iaitu bencana alam sekitar lebih besar.
Bencana itu bukanlah satu rekaan atau hendak menakutkan sesiapa tetapi ia adalah realiti. Pergilah ke Cameron Highlands sekarang, lihatlah sendiri bagaimana semakin banyak kawasan di daerah itu mula mengalami hakisan tanah.
Keadaan menjadi bertambah parah apabila sungai-sungai di Cameron Highlands juga semakin tercemar termasuk mengandungi bahan-bahan bahaya yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk.
Begitu juga kewujudan kebun-kebun haram yang didakwa masih beroperasi di dalam hutan-hutan di tanah tinggi itu. Penulis akui memang apa yang dipaparkan adalah cerita lama tetapi ancaman yang menanti Cameron Highlands bukan cerita lama, sebaliknya perkara baharu yang perlu dipandang serius oleh semua pihak bertanggungjawab.
Sebab itulah, kalau pun mana-mana pihak mahu menganggap ia cerita lama tetapi janganlah mengamalkan sikap lama dengan melihat apa yang berlaku di Cameron Highlands sekarang perkara biasa. Apakah perkara biasa jika ia boleh meletakkan penduduk dalam bahaya?
Yang biasanya ialah apabila pelbagai pihak kelam kabut merancang itu dan ini apabila tragedi berlaku, yang biasanya apabila segala tindakan yang dilakukan ibarat ‘hangat-hangat tahi ayam’ yang biasanya apabila ada antara kita berpura-pura mengambil berat nasib Cameron Highlands tetapi dalam masa sama menjadi penyumbang kepada kemusnahan tanah tinggi tersebut.
Namun membiarkan Cameron Highlands terus ‘dinodai’ dan tidak melakukan apa-apa bagi memulihkan keadaan itu tidak lagi boleh dianggap perkara biasa. Cameron Highlands perlu diletakkan dalam situasi mesti diselamatkan.
Dalam soal pembangunannya, sesiapa juga yang mengunjungi Cameron Highlands akan mendapati daerah itu ‘penuh kecacatan’. Pelbagai projek yang dijalankan bukannya mengindahkan tanah tinggi itu sebaliknya ibarat ‘jalan raya yang berlubang-lubang’.
Majoriti pemandangan di situ tidak lagi dihiasi dengan kehijauan pokok-pokok atau bukit bukau yang indah sebaliknya dipenuhi pelbagai projek pembangunan. Melihat situasi di Cameron Highlands, ia seolah-olah membuktikan ada pihak tertentu bersikap selagi ada ‘ruang di situ ada peluang’, apa yang hendak berlaku kepada alam sekitar tanah tinggi itu soal kedua, bak kata orang, ‘kita fikir bila terjadi’.
Mungkin ada pihak yang berhujah bahawa segala projek di daerah tersebut sudah mendapat kelulusan. Benarkah? Kalau begitu bagaimana dengan satu projek yang didakwa dilaksanakan tanpa mengikut peraturan apabila dibina atas struktur bangunan yang tidak dirobohkan, bagaimana ia boleh diluluskan? Penulis tidak perlu menyatakan apakah projek itu tetapi ia sudah mendapat perhatian pejuang-pejuang alam sekitar di Cameron Highlands.
Seperkara lagi penerokaan tanah bukan kegiatan yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Ia samalah juga dengan perbuatan bermain mercun yang diseludup ke negara ini. Mercun sudah pasti berbunyi begitulah penerokaan tanah, ia boleh dilihat dengan jelas. Persoalannya, tidakkah pihak-pihak bertanggungjawab dari semasa ke semasa tidak nampak kegiatan itu?
Tidak kiralah sama ada ia dilakukan secara sah atau tidak tetapi soalnya, apakah kita hanya memburu keuntungan tanpa memikirkan bencana alam sekitar yang menanti?
Begitu juga dengan kebun-kebun haram yang didakwa kembali beroperasi di Cameron Highlands. Operasi besar-besaran perlu dilakukan dan pekebun-pekebun haram yang terlibat perlu dihadap ke muka pengadilan dan didakwa sebagai penjenayah alam sekitar.
Ini memandangkan mereka inilah yang sanggup memberi rasuah bagi menutup mulut anggota-anggota penguat kuasa yang bersedia menjual maruah mereka dengan sedikit imbuhan.
Pekebun-pekebun haram ini adalah penjenayah yang memusnahkan alam sekitar Cameron Highlands. Mereka meraih keuntungan melalui perbuatan jahat mereka. Penulis agak terkejut apabila ketika melawat pasar-pasar di daerah itu kerana kualiti sayur-sayuran agak teruk tetapi harganya agak mahal. Apabila penulis bertanya kepada salah seorang peniaga, dia mengakui operasi memusnahkan kebun-kebun haram banyak menjejaskan bekalan sayur-sayuran mereka.
Tanpa mahu membuat tuduhan melulu, penulis tertanya-tanya apakah selama ini, sebahagian besar peniaga itu mendapat bekalan daripada pekebun-pekebun haram? Kalau benar begitu bagaimana hasil cukai kepada kerajaan?
Sudah berapa lama perbuatan seumpama itu dilakukan? Kenapakah tidak ada pengawasan daripada agensi penguat kuasa bagi memastikan peniaga mendapat bekalan sayur daripada pekebun yang sah, bukannya pekebun haram.
Cameron Highlands sememangnya mempunyai banyak cerita lama tetapi sedang berhadapan dengan pelbagai ancaman baru. Alam sekitarnya sedang dimusnahkan dan hasil buminya diselewengkan. Justeru sebelum terlambat Kerajaan Pusat perlu bertegas bagi memulihkan Cameron Highlands.
Pembukaan satu demi satu pejabat kerajaan di tanah tinggi tersebut bukanlah penyelesaian. Letaklah berapa ramai pun pegawai penguat kuasa, hantarlah berapa ramai pun kakitangan kerajaan, ia tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada daerah itu.
Ini memandangkan Cameron Highlands memerlukan tindakan bukannya bersifat hangat-hangat tahi ayam atau sekadar satu sandiwara apatah lagi bersikap terantuk baru terngadah tetapi satu usaha yang serius dan penuh keikhlasan oleh sekelompok insan berintegriti tinggi serta sentiasa ingatkan Allah SWT dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.
Rasulullah SAW bersabda: “Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan. (riwayat Muslim).’