TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Sunday, June 28, 2015

Cameron Highlands... Sejarah Stesen Hidro TNB

Saya membelek-belek koleksi rencana Utusan Online dan saya temui versi sofy copy mengenai Catatan ini ditulis oleh wartawan Utusan Malaysia yang mempunyai ruangnya di Mingguan Malaysia,  Johardy Ibrahim yang telah disiarkan dua tiga minggu yang lalu.
Saya ingin berkongsikan catatan beliau kerana sayaa tertarik info sejarah mengenai sejarah Cameron Highlands yang dikongsikan serta baharu didedahkan berbanding versi biasa dan sumber nya seiringan dengan sejarah pembangunan stesen Hidro Tenaga Nasional Berhad. 
Saya sekadar kongsikan kembali sebagai simpanan saya di blog ini dan untuk anda bersumberkan Utusan Online. 

SEBUT sahaja Cameron Highlands, terus dianggap ber­cu­ti. Tolong belikan strawberi. Beli sayur. Terkesima se­bentar. Sebenarnya, ke sana sejak Rabu lalu atas urusan rasmi bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB). Bukan saya se­orang. Ada 30 lagi wakil media dari Kuala Lumpur, Pahang dan Perak.
Tiada salah bila mengaitkan Cameron Highlands dengan percutian. Nama dalam bahasa Melayunya ialah Tanah Tinggi Cameron. Dan ia tiada kaitan dengan pelakon Cameron Diaz atau Perdana Menteri Britain, David Cameron.
Cameron Highlands ini mendapat nama daripada juruukur British, Sir William Cameron yang diberi tugas membuat peta sempadan Pahang dan Perak oleh kerajaan penjajah tersebut pada 1885.
Antara laporannya yang menarik minat Residen Perak yang berkhidmat antara 1887 dan 1889, Sir Hugh Low ialah "wujud seakan-akan pusaran di pergunungan, sementara terdapat kawasan luas cerun kecil dan dataran tinggi". Istilah Inggeris yang diguna Cameron ialah a sort of vortex on the mountains. Cameron mungkin peminat Shakespeare.
Sama sahaja seperti mana-mana wakil penjajah yang oportunis, Cameron meminta kebenaran Low untuk mem­ba­ngunkan kawasan itu menjadi sanatorium, resort kesihatan dan tanah pertanian terbuka. Laluan kecil dibuka menerusi belantara tersebut. Mungkin tiada sokongan kewangan diberi atau diperoleh, ia kekal jadi hutan dara.
Hanya 40 tahun kemudian, baharulah tindakan kon­krit dilakanakan oleh Ketua Setiausaha Negeri-negeri Me­layu Bersekutu, Sir George Maxwell yang bersetuju membangunkan wawasan asal Cameron. 

Penjajah British memiliki satu kecenderungan yang unik. Di setiap koloni, mereka mesti mahu membina kawasan rehat eksklusif. Di Malaysia ada Bukit Fraser dan kemudian Tanah Tinggi Cameron. Di Pakistan, ada Murree Hills dekat Islamabad. Di Sri Lanka ada Nuwara Eliya yang semacam klon Cameron Highlands iaitu rumah desa British dan ladang teh. 

Keadaan muka bumi sebagaimana yang digambarkan oleh Cameron: a sort of vortex on the mountains juga mendorong keputusan kerajaan Malaysia yang baharu lahir pada 1957, bersetuju untuk membina stesen jana elektrik hidro pertama di Cameron Highlands.
Kemuncak
Projek yang melibatkan tenaga kerja yang ramai serta bantuan daripada pakar jurutera dan juruteknik daripada Jerman, Austria, Itali, Switzerland dan Britain itu dimulakan pada 1959 dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Hishamuddin Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah pada 26 Jun 1963 dan operasi penuh stesen ini bermula setahun kemudiannya.
Tempoh pembinaan ini termasuk dalam Zaman Darurat iaitu keganasan Partai Komunis Malaya (PKM). 

Keadaan itu menyebabkan pembinaan tergendala serta perlahan. Ia juga menyaksikan petani keturunan Cina di kawasan itu dipindahkan ke Kampung Baru di Bertam. 

Selepas hampir kepada permulaan operasi stesen hidro yang bakal menenggelamkan kawasan rendah untuk dijadikan empangan, penduduk tersebut dipindah ke kawasan lain.
Ya, kami disajikan dengan video hitam putih terbitan Filem Negara Malaysia yang memberi butiran tentang projek tersebut. Rakan-rakan wartawan riuh ketawa semasa adegan model Mat Salleh berperahu menyelamatkan kucing domestik yang berpaut pada tunggul dalam air empangan.
Pagi Jumaat merupakan acara kemuncak program bersama TNB ini iaitu lawatan ke Pusat Kawalan Stesen Janaelektrik Sultan Yussuf atau Jor. Terletak di Batu 19 dari Tapah menuju ke Tanah Rata di Cameron Highlands, ia merupakan stesen yang berada 262.128 meter (860 kaki) di bawah tanah.
Stesen itu dikategorikan sebagai kawasan keselamatan strategik yang tidak dibuka kepada orang ramai, dan bila mendapat jemputan TNB untuk meninjau stesen hidrolektrik yang termasuk dalam "keajaiban kejuruteraan" yang pertama di Malaysia, peluang ini tidak dilepaskan. Menurut pengurus besar stesen tersebut, Mohammad Zaki Jalaludin, sejak 1964, hanya kira-kira 20 peratus teknologi yang diguna pakai dalam stesen itu ditukar, terutama membabitkan sistem kawalan bagi menyesuaikan dengan perkembangan teknologi semasa.
Namun, daripada segi mekanikal seperti turbin walaupun asalnya diimport dari Rusia, Perancis dan sebagainya, TNB telah memiliki keupayaan membina sendiri alat-alat ganti bagi jentera tersebut. Untuk proses baik pulih jentera, ia dilakukan setiap tujuh tahun dengan kos RM7 juta.
Terdapat 210 warga TNB di stesen itu, dengan pusat kawalan dikendalikan oleh pasukan lima orang yang bertugas dalam tiga shif selama 24 jam. Dengan siapnya empangan hidrolektrik Ulu Jelai bernilai RM2.7 bilion tidak lama lagi, Mohammad Zaki akan memiliki tambahan 50 tenaga kerja.
Selama ini, bila naik ke Cameron Highlands memang ada ternampak pintu masuk stesen tetapi tidaklah sedar nilai kepentingannya dan sejarah pembinaannya. Jadi ketahuilah kini, Cameron Highlands bukan sekadar suhu dingin, sayur segar dan strawberi. Ada nilai sejarah kejuruteraan yang bukan sahaja bersejarah tetapi menjadi nadi kepada pembekalan elektrik di negara ini.
Sila hafal fakta sejarah di atas yang akan tersenarai dalam kuiz Merrepak. Pengurus Komunikasi Korporat TNB, Mohd Arshi Mat Daud semasa diajukan soalan penajaan sekadar menyebut: "Kipidap. DunGibap.''

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock