Cuti sekolah yang sedang berlangsung dua minggu ini tidak dapat ke mana-mana kerana tugasan.
Namun demi melayani permintaan anak-anak yang dah kejemuan di rumah, maka saya membawa mereka ke ladang teh yang terdekat dengan rumah iaitu Bharat Tea Plantation.
Jaraknya sekitar 4 km dari rumah di Tanah Rata menuju ke Habu dan saya memilih untuk ke Hentian Tea pertama jika dari Tanah Rata.
Tujuannya untuk memberi peluang kepada anak-anak melakukan tea walk di sekitarnya berbanding dengan hentian kedua yang agak terhad kawasan yang boleh dilalui.
Memang agak ramai pelancong ketika hari itu tambahan lagi menuju hujung minggu.
Kami tidak berlama di kawasan meletak kereta atau tea centre sebaliknya terus ke bahagian bawah.
Ramai yang mengambil gambar secara selfie atau wefie di setiap ceruk dan sudut yang difikirkan menarik.
Pemerhatian kami, mudah kali ini untuk turun ke bawah kerana sudah bertangga batu yang kemudianya bersambung dengan denai tangga yang telah dibuat sehingga ke kawasan rata ladang teh ini.
Jadi tidak risau mengenai keselamatan anak-anak untuk menuruni bukit ini dan terus ke celahan pokok teh kerana ianya telah dinaiktaraf kemudahan pejalan kaki di sini.
Namun masih kurang sesuai untuk warga emas kerana perlu mendaki pula semasa balik.
Kami berjalan menuju ke sisi sebelah kanan sehingga ke penghujung laluan denai.
Di sini kurang pelancong kerana agak jauh perjalanan tetapi bagi kedua anak kecil saya mereka tidak kisah untuk menerokai setiap sudut di sana.
Dari sudut ini juga kelihatan sisi yang berbeza dari kebiasanya dengan pemandangan tea centre dari sudut bawah serta sempadan hutan simpan dan ladang teh.
Kami menghabiskan sekitar sejam di kawasan ladang teh ini sebelum balik ke Tanah Rata.
No comments:
Post a Comment