Saya ingin menyambung catatan mengenai Negeri Melaka dan jika anda membaca siri Melaka ini, sebenarnya terdapat beberapa catatan terdahulu mengenai tempat-tempat menarik di negeri yang penuh bersejarah ini seperti Jonker Walk, Makam Hang Kasturi dan Hang Jebat, Lorong Harmoni, Masjid Kampung Keling, Masjid Kampung Hulu dan juga Kampung Morten.
Anda boleh membuat carian dengan label Melaka untuk membaca siri catatan ini.
Kenapa saya memilih Melaka? Jawapan mudah kerana dalam setahun mesti saya ke sana lebih dari 5 kali dan akan menikmati perjalanan ke sana sini lebih dari 3 hari setiap kunjungan.
Kenapa? Rumah keluarga mertua di sana sekitar 5-10 minit sahaja perjalanan, maka bolehlah saya mengeksplorasi sepenuhnya Bandaraya Bersejarah ini.
Cuma selalunya saya akan pergi berseorangan kerana dah kalau nak ajak keluarga mertua, ipar duai hatta isteri sendiri mereka akan menolaknya kerana dah terlalu biasa untuk melawat mana-mana tempat di sini.
Bayangkan jika anda beria-ria untuk ke Muzium yang melata tumbuhnya, maka mereka akan mengatakan sejarahnya tetap sama dari dahulu.
Atau anda mahu pula ke Stadhuys, Jonker Walk ataupun lorong-lorong kecil yang mungkin bagi kita amat unik dan menarik tetapi sudah terbiasa kepada mereka.
Jadi selalunya 'lone ranger' tetapi cukup seronok sebab saya sepenuhnya akan lebih lama di sesuatu tempat. Lebih berpeluang untuk santai ke sana sini.
Untuk siri ini, saya akan berkongsikan mengenai Sungai Melaka. Untuk siri catatan ini rasanya saya akan buat dalam 3 siri berkaitan iaitu pertama sejarah sungai ini, kemudian pemandangan di waktu malam dan akhir sekali mengenai Melaka River Cruise.
Sungai Melaka berukuran 40 km bermula dari Muara Selat Melaka hingga ke Kg. Gadek (persimpangan Sungai Batang Tampin dengan Sungai Batang Melaka.
Terdapat beberapa anak sungai utama yang masuk ke Sungai Melaka iaitu Sungai Durian Tunggal dan Sungai Alor Gajah.
Terdapat 5 strukur pintu air di sepanjang Sungai Melaka. Struktur pertama di km1.0 iaitu barrage yang berfungsi mengawal air dengan kedalaman tertentu yang bertujuan membolehkan river cruise beroperasi dan kawalan banjir.
Jika dahulu tiada strukur air utama ini terbina dan pasang surut sungai ini mengikut pasang surut laut dan ini menyebabkan ianya tidak sesuai untuk penggunaan bot dan sebagainya.
Sungai Melaka mengikut sejarah merupakan perlabuhan yang terpenting seawal 1400 lagi.
Di sinilah letaknya pusat perdagangan utama bagi wilayah timur. Ianya turut menjadi kawasan perbandaran utama yang menarik minat bukan hanya orang tempatan tetapi menjangkau benua seperti Bristih, Belanda, Portugal, China, India dan dari Kepulauan Melayu untuk berdagang.
Ini menjadikan kawasan sekitarnya berkembang pesat bukan sekadar pertumbuhan penempatan tetapi juga pengembangan pelbagai budaya dan resam hidup serta agama.
Melalui tebing sungai ini anda akan menemui peninggalan lama yang masih terjaga rapi seperti perkampungan Melayu di Kampung Morten yang turut mendapat sentuhan peninggalan bugis, minang dan melayu malah dikatakan pendagang arab juga telah berada di sini dengan penemuan syiling lama di dasar dan tebing kampung ini.
Menyelusuri hilirnya pula akan menemukan anda dengan penempatan China dan India malah kawasan Jonker Walk dijaga rapi sejak berabab yang lalu sebagai bukti penempatan kaum China yang mewujudkan kaum peranakan baba dan nyonya hasil percampuran budaya tempatan.
Begitu juga dengan penempatan India dengan masih teguh berdiri Litle India yang menjadi saksi kepada penempatan silam mereka sehingga kini serta kewujudan masjid lama yang sinonim dengan kaum mualaf India iaitu Masjid Kampung Keling berdekatan denganya.
Lebih ke muara sungai ini anda akan mendapati bagaimana kuasa Eropah menapak dan mengungguli kawasan pusat perdagangan ini dengan peninggalan Kota A Famosa dari Portugal, Bangunan Stadhuy oleh Belanda dan Bristih masih kekal terjaga biarpun pembangunan pesat berlangsung di kawasan sekitarnya.
Kerajaan Melaka mengambil langkah tepat biarpun berbelanja besar bagi membangunkan kawasan pinggir sungai ini yang dahulu teruk tercemar dan tiada aktiviti dan kini ianya berubah 180 darjah berbeza dan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan tetapi juga kepada industri perlancongan.
Perkhidmatan bot menyelusuri sungai ini menghidup aktiviti sepanjang tebingnya samada bermula dari Taman Rempah ataupun dari Muara Sungai Melaka bersebelahan Muzium Kapal.
Persisir tebing sungai dibina laluan pejalan kaki yang mesra pengguna dan di kala malam suasananya amat menarik untuk dikunjungi dengan lampu-lampu hiasan dipasang.
Bangunan lama yang usang ketika dahulu kini berubah wajah dengan wajah baru menghadap ke sungai. Ada bangunan yang dilukis mural besar bertemakan sejarah kegemilangan Melaka dari dahulu sehingga kini.
Jika anda ingin ke sini, saya mencadangkan anda perkhidmatan bot untuk menyelusuri sungai ini ataupun menggunakan waktu petang untuk berjoging di tebingnya.
Jika bosan dilaluan tebing kanan anda boleh melintas ke seberangnya kerana terdapat beberapa jambatan pejalan kaki yang disediakan.
Jika sekadar ingin melancong, pastikan anda datang pada waktu siang dan malam kerana suasananya amat berbeza sama sekali untuk anda lepaskan.
Terdapat beberapa persinggahan menarik yang dapat dikunjungI dengan percuma.
Saya akan berkongsikan pemandangan malam sekitar tebing sungai ini di catatan berikutnya.
Saya akan berkongsikan pemandangan malam sekitar tebing sungai ini di catatan berikutnya.
No comments:
Post a Comment