TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Sunday, August 30, 2015

Merdeka : Bendera kita

Pencipta bendera kebanggaan kita ni bernama Allahyarham Mohamed Hamzah yang berasal dari Johor Bahru, Johor. Beliau merupakan arkitek muda yang berusia 29 tahun di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor. 


Beliau menciptanya pada tahun 1947 menerusi pertandingan peringkat kebangsaan yang diadakan untuk memilih bendera untuk Persekutuan Tanah Melayu yang diundi oleh orang ramai.  

Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan. 



Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. 

Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.





Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur merah-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950. 


Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadanganSultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna DirajaPada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-Raja Melayu telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara untuk menerima rekaan berkenaan. 


Rekaan itu akhirnya mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Dan ianya dikibarkan buat pertama kalinya pada 26 Mei 1950 di dalam satu majlis menaikkan bendera yang dianjurkan oleh Persuruhjaya Tinggi British diperkarangan Istana Sultan Selangor dan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja dan Pegawai-pegawai King George VI.

Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itudikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Merdeka: Turunnya bendera Union Jack




Pada hari ini 30.8.1957, upacara menurunkan bendera 'Union Jack' telah berlangsung di Padang Bandar Hilir Melaka jam 6.30 petang. 
Upacara itu lebih awal dari tempoh berakhirnya pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu iaitu jam 12.00 tengah malam. Upacara tersebut telah disaksikan oleh Encik H.G. Hammett, Resident Commissioner di Melaka. 
Sementara itu di Kuala Lumpur bertempat di Padang Kelab Selangor bendera Union Jack telah diturunkan tepat jam 12.00 tengah malam dan jam 12.01 minit tengah malam bendera Persekutuan Tanah Melayu lambang tanah pusaka yang merdeka telah dinaikkan. 
Dengan ini bermulalah era baru bagi negara iaitu era kemerdekaan dan pengisiannya. Perjuangan menuntut kemerdekaan telah menempuhi pelbagai peristiwa suka, duka dan pengorbanan. 
Daripada siri penentangan bersenjata, perarakan bantahan, memulau sidang hingga kepada perjuangan menerusi politik demokrasi akhirnya negara telah mencapai kemerdekaan dengan bendera negara kini berkibar megah.
Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang berjalur merah putih sebanyak sebelas jalur melambangkan perikatan sebelas buah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu, begitu juga dengan lambang bintang adalah warna diraja yang menandakan kedaulatan sultan dan raja-raja. Lambang bulan adalah agama rasmi Persekutuan iaitu Islam dan jalur merah melambangkan semangat gagah berani manakala jalur putih melambangkan hasrat rakyat yang suci murni. 
Dengan penurunan bendera Union Jack pada hari ini dalam tahun 1957, berakhirlah sudah penguasaan Inggeris di bumi Malaya yang telah lama terjajah. 
Bermula dari itu, seluruh rakyat di negara ini dapat menikmati kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar.


Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Update Cuti Merdeka : Sesak teruk

Suasana laluan di Pekan Tanah Rata  tengahari tadi sehingga ke petang sesak amat teruk.  

Kenderaan bergerak perlahan memasuki Pekan dan juga di dalam Pekan malah ada ketika tidak bergerak langsung.

Saya sendiri pagi tadi terperangkap dalam kesesakan tersebut. 


Akhirnya saya membuat keputusan untuk berjalan kaki pulang ke rumah setelah 15 minit hanya bergerak 10 meter untuk keluar simpang di pasar pagi Tanah Rata. 

Saya ingatkan saya seorang, rupanya jiran seblok saya yang juga pergi ke pasar pagi membuat keputusan yang sama. Mujur apartment kami dalam bandar.


Kemudian saya sempat bersembang dengan Mr. Singh, Polis Trafik yang menjaga lalulintas dan beliau mengatakan keadaan sesak ini di kedua arah baik masuk atau keluar Tanah Rata. 

Malah katanya laluan ke Brinchang sesak teruk sehingga ke Kea Farm. 


Memang benar ianya berlaku kerana ramai pelancong yang mulai keluar dari hotel dan apartment percutian masing-masing untuk melawat kawasan tumpuan. 

Berbeza dengan keadaan sebelum pukul 10 pagi kelibat pelancong masih di kedai makan untuk bersarapan. 


Sebelum naik ke apartment, saya bertemu dengan salah seorang rakan yang mengusahakan apartment percutian di blok sama dan beliau mengatakan beliau telah menanti pelanggan nya yang dah menempah apartment ‎hampir dua jam walaupun lokasi terakhir mereka berada di atas jalan di Brinchang dan masih terperangkap dalam kesesakan.

* Saya update petang: Saya bertemu rakan saya tadi pada pukul 7.30 petang, pelanggan yang menempah apartment tadi baru sampai dan bila saya bertanya kepada mereka tentang perjalanan yang ditempuhi mereka mengeleng kepala dan berkata serik untuk datang bercuti di musim cuti umum.



Saya tumpang bertanya berapa sewaan apartment hari ini, katanya penyewa menempah apartment ini melalui runner dan dengar-dengar diletakkan pada harga RM350 semalam.....

Selamat bercuti di hari Merdeka!!!

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Merdeka : Detik Kemerdekaan


Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. 

Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan 'Stadium Merdeka'.

Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato' Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. 

Dato' Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya.

7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato' Razak menalifon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan esuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam.

9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang dari pandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera.

 Tunku telah bersiap sedia di rumahnya. Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket, Tunku menantikan saat untuk bertolak.

Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. 

'God Save The Queen' berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcik Queen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat. Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray.

Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke.

Duke kemudiannya menyerah 'Instrumen Kemerdekaan' yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik 'perlindungan' yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu.

Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut "Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah  Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka". Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci.

Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. 

Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Petikan laman blog :

http://kkawan.blogspot.com/2010/08/memperingati-detik-sejarah-kemerdekaan.html?m=1
Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Merdeka : Menuntut Kemerdekaan

Pilihan raya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955. Parti-parti seperti PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Dato' Onn bin Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak.


Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dan sebagainya bertanding dalam pilihan raya umum tersebut.Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. 

Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.

Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London untuk membincangkan perkara-perkara mengenai kemerdekaan. Rundingan ini mengambil masa tiga minggu di London. 

Perjanjian London 1956 ditandatangani pada 8 Februari 1956 yang menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka.

Pada tahun 1956, suatu Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid yang dipengerusi oleh Lord Reid dari Britian terdiri daripada pakar-pakar undang dari negara Komanwel. 

Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Reid dipinda oleh Jawatankuasa Kerja dan diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan.

Bendera Union Jack iaitu bendera British diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada tepat pukul 12 malam 31 Ogos 1957. Kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Jemaah Menteri diumumkan juga pada hari pengisytiharan kemerdekaan. 

Petikan dari laman blog:
‎http://kkawan.blogspot.com/2010/08/memperingati-detik-sejarah-kemerdekaan.html?m=1



Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Saturday, August 29, 2015

Merdeka : Tentangan terhadap Malayan Union

‎Antara detik bersejarah yang berlaku di Dataran Merdeka atau dahulu dikenali sebagai Padang Kelab Selangor adalah penurunan bendera Malayan Union dan dinaikan. 


Ini bermakna secara rasmi Kemerdekaan Negara Malaysia telah dicapai. 

Namun apakah yang dimaksudkan dengan Malayan Union?  

Kenapa ianya diwujudkan?

Apakah kelebihannya kepada British?

Apakah keburukan kepada sistem kerajaan sedia ada dan sistem beraja?

Siapakah yang menentang Malayan Union?  

Semua akan terjawab melalui slide silibus Sejarah STPM yang saya ambil dari laman blog Semekar.


Jom ulangkaji...










Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Pemegang Besi yang patah.


‎Saya memerhatikan sudah lama palang pemegang tangan di laluan pejalan kaki lima di bersebelahan Restoran Kumar di bangunan utama kedai di Jalan Besar Tanah Rata.

Agak membahayakan kerana sisa baki besi pemegang yang patah itu tepat menghala laluan dari atas dan berbentuk tajam dan inisiatif pekedai membalutnya dengan pita pelekat.

Saya pasti berisiko kepada pejalan kaki‎ khasnya kanak-kanak kerana mereka akan bergerak laju menuruni ramp tersebut.

Mohon tindakan segera MDCH yang sewajarnya.

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Merdeka : Senoi Praaq


Senoi Praaq yang bererti Pejuang merupakan Pasukan Polis Hutan (PPH) yang sebilangan besarnya terdiri daripadaOrang Asli

Pasukan ini telah ditubuhkan pada tahun 1957 dan bertindak sebagai unit bebas dan berkhidmat di kawasan perkampungan Orang Asli di pedalaman.

Pasukan Senoi Praaq merupakan satu pasukan yang paling dihormati kerana kepakaran mereka menjejak pengganas komunis semasa Darurat Tanah Melayu|darurat]] dahulu. 

Oleh kerana kecemerlangan pasukan ini membantu pasukan keselamatan menentang komunis pada masa darurat, maka pada tahun 1968 pasukan ini digabungkan dengan Pasukan Polis Hutan (PPH) sebagai Batalion 10 berpengkalan di Kem Keroh, dan Batalion 20 berpengkalan di Kem Bidor, Perak.

Pada masa ini kedua-dua Batalion ini mempunyai 2,000 orang anggota yang terdiri dari pelbagai pangkat.

‎Maklumat di atas saya ambil dari Wikipedia dan saya nak kongsikan catatan dibawah yang saya ambil dari blog. Saya terlupa nak kongsikan link. Insyallah saya akan kongsikan. Ini menarik kerana kisahnya dari seorang anak yang ayahnya adalah anggota Senoi Praaq. 


Tidak ramai mengetahui sejarah perjuangan sekumpulan pemuda Orang Asli sebelum dan selepas kemerdekaan.

Mereka juga adalah pejuang yang turut serta membantu pihak British menentang komunis malah dianggap lagenda kerana kepakaran mengesan dan memburu pengganas komunis (PKM) sehingga jauh ke dalam hutan-hutan tebal sempadan hingga ke sempadan Thailand.

Ibuku pernah bercerita kisah-kisah ayahku yang terlibat dengan pengganas komunis ketika zaman mudanya.

Kata ibu Senoi Praaq pada asalnya adalah ilham seorang mentor British bernama Tuan Noone atau R.O.D.Noone.

Senoi Praaq bermaksud "Orang Perang" dalam bahasa Semai (suku orang asli).Ketika tarikh keramat 31 Ogos 1957 semakin hampir pihak British terdesak mahu menubuhkan sebuah pasukan askar yang dapat membantu kerajaan yang baru ditubuhkan menjaga keamanan dan mengekang pengaruh komunis.

Tuan Noone telah berjumpa dengan Sir Gerald Templer,pemerintah tentera Bristish Tanah Melayu ketika itu mengenai penubuhan Senoi Praaq,cabang pasukan bersenjata di bahawa Jabatan Orang Asli.

Lewat tahun 1956 tertubuhlah pasukan ini yang dinamakan Senoi Praaq.

Bermula dengan 2 unit dan 10 orang setiap unit hasil dari penangkapan beberapa pemuda orang asli yang menyertai komunis di bawah operasi Surrendered Enemy Personnel(SEP) yang kemudiannya berkembang menjadi 3 unit.

Menjelang tahun 1957 unit ini telah berkembang menjadi 2 skuadron dan setiap skuadron dianggotai dengan 80 orang pemuda orang asli dari perlbagai suku.

Penubuhan Senoi Praaq telah memberi tamparan hebat kepada pengganas komunis.

Kepakaran orang asli menjejaki binatang-binatang hutan telah membantu mereka mengesan musuh dengan amat tepat sekali.

Bau,rasa,jejak,tanda-tanda persekitaran,bunyi binatang dan unggas rimba malah mimpi-mimpi juga adalah antara isyarat operasi.Biasanya apabila suatu kawasan itu dipercayai ada musuh ,Senoi Praaq akan ditugaskan masuk mengesan dulu.

Apabila maklumat telah diperolehi tentang anggaran berapa ramai,keadaan bukit dan anak air, jalan jalan yang memungkinkan pengganas komunis melarikan diri barulah pihak tentera akan membuat perancangan serangan.

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Merdeka: Perwira yang gugur


Menjelang kemerdekaan ini, saya kongsikan lagi catatan berkaitan dengan perjuangan kemerdekaan baik ketika menuntutnya ataupun kisah mempertahankan kemerdekaan itu.

Antaranya ada gugur dan terkorban ketika mempertahankan kemerdekaan ini.

Kisah ini saya ambil dari fb Penyokong Veteran VAT 69.

Yang telah terkorban adalah Mendiang Yob Gedu yang terlibat dalam kejadian tembakan di belakang kawasan Kem Ulu Kinta pada tahun 1980.

Kejadian ini turut mencederakan Sarjan Riboet Dekin yang parah.

Jasamu tiada terbilang...

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Update Cuti Merdeka @ Cameron : Jalan Sesak dah



Mulai hari ini, Jalan mulai sesak khasnya nak masuk dari dua arah ke Brinchang. 

Di Tanah Rata petang tadi saya lihat sesak dari arah Ringlet memasuki bandar sehingga sampai ke Taman Menara Jam.

Di tempat lain, rakan FB komuniti Cameron dan rakan menyatakan sesak yang sama di lokasi strategik.

Cuma bila bersembang mereka menyatakan tidak seteruk cuti hari buruh yang lalu.. 

Tak apa, kita tengok nanti...


Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Update Cuti Merdeka @ Cameron : Jualan bunga...

8 tahun yang lepas, bunga ros adalah antara pilihan utama kami sebaik sahaja menjadi warga Cameron Highlands.  

Maklumlah dengan kesegaran bunga ros yang pelbagai warna dan murah, pastinya mencairkan hati wanita.


Kalau di pasar malam, ketika itu terdapat beberapa gerai yang menjual bunga ros dan bunga yang lain.

Namun sejak dua menjak ini, saya memerhatikan gelagat pelancong yang membeli bunga di mana agak berkurangan.


Di pasar malam pun hanya ada dua atau tiga sahaja gerai yang menjual bunga. Malah di Kea Farm jug a hanya ada dua kedai yang menjual bunga ketika kunjungan saya dua minggu sudah dan jumaat lepas.



Adakah pasaran bunga ros semakin mengecil? Saya kurang pasti tetapi jika dilihat nilai tahunan penghasilan bunga di Cameron Highlands mencecah hampir RM 150 juta setahun khasnya yang akan dieksport masih bersinar nilainya.


Apapun jika anda datang ke Cameron Highlands, selain Kea Farm terdapat beberapa hentian lain yang turut menjual bunga ros dan yang pastinya di pasar malam Brinchang adalah lokasi kegemaran.

Selamat berbunga-bungaan...



Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Update Cuti Merdeka @ Cameron : Ubi Yakon

‎Ubi Yakon mulai ditanam di Cameron Highlands sejak tahun lepas.

Ianya dikatakan berasal dari Korea dan seakan- akan seperti sengkuang.

Rasanya manis. Rangup dan sedap dimakan mentah-mentah walaupun boleh dibuat sup.

Dahulu semasa awal diperkenalkan ke pasaran, harganya RM10 sekilogram.

Tapi kini saya melihat sekitar RM4-6 sekilogram dan ada dijual di pasar medan kea farm

Anda akan dapat melihat info kesihatan mengenai kandungan nutrien Yakon kerana masih ramai yang tidak mengetahui khasiatnya.

Cubalah rasa...


Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Update Cuti Merdeka @ Cameron : Baby Carrott


Namanya laluan diterjemahkan dalam bahasa Melayu agak luck tetapi jika dalam bahasa Inggeris lebih popular iaitu Baby Carrot. 

Saya seeing melihat keghairahan pelancong membeli lobak merah di sini. 

Namun lobak merah besar yang dijual di sini bukan ditanam di sini tetapi dibeli dari luar atau diimport sama dengan lobak merah yang dibeli anda di pasaraya di tempat anda. Tiada beza.

Jika mencari yang berbeza, anda harus memilih dan membeli baby carrot yang dijual dan ianya memang ditanam di Cameron Highlands. 

Caranya mudah iaitu beli yang masih berdaun.

Hanya sekitar RM 4 seikat atau biasanya ditawarkan dengan harga RM10 bagi tiga okay mengikut stok yang ada.

Rasanya lebih manis dan ranggup namun saiznya agak kecil berbanding lobak merah biasa.

Cubalah...

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Update Cuti Merdeka @ Cameron Highlands : Keledek Madu

Ada rakan saya yang selalu meminta saya membawa turun keledek madu jika turun.

Dia memang pengemar keledek madu setelah mencuba kali pertama ketika bercuti di sini dua tahun lepas.

Keledek Madu ini memang dijual di sini sejak dulu  cuma nak kata semuanya ditanam di sini agak mustahil jika dilihat dari jumlah keledek yang dijual sepanjang tahun. 

Mungkin ada yang ditanam di sini dan saya tidak pasti di mana kebunnya. 

Keledek Madu ini sama seperti keledek yang lain tetapi manis rasanya dan cara menyediakan keledek madu adalah dengan mengukusnya dan dimakan ‎terus semasa panas.

Kalau tak silap sekilogram harga keledek madu adalah RM6 dan anda boleh membeli yang sudah siap dikukus‎ sekitar RM 2 - 3 sebungkus.

Selamat mencuba panas-panas...


Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Update Cuti Merdeka @ Cameron Highlands : Jagung Cameron

Tinjauan ringkas saya semalam ke Kea Farm mendapati harga jagung masih lagi sama seperti dua minggu lepas.

Yang muskhilnya, ada yang dijual RM 1 sebatang bagi gred AA yang selalunya berharga RM 2 sebatang.

Lebih memeningkan persoalan adakah ianya asli dari Cameron Highlands kerana saya melihat banyak stok jagung diletakkan di gerai.

Juga akan dipromosi adalah jagung susu dan jagung madu.

Saya me nasihat kan anda membeli jagung mutiara asli yang ditanam di Cameron Highlands dan biasanya dijual agak mahal berbanding dengan jagung biasa. 

Adat bagi peniaga menyatakan semua jagung Cameron Highlands dan saya tidak mahu komen keasliaan kerana tidak mahir dan arif dengan perbezaan tersebut‎.

Jagung yang dibeli boleh dihukum dan dibakar dalam tempoh kurang 5 minit sahaja untuk merasai kemanisannya.

Jangan direbus jagung Cameron Highlands .

Selamat membeli jagung... Harap-harap asli...

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Update Cuti hari Merdeka: Harga strawberi naik..

‎Tinjauan saya semalam ke sekitar Kea Farm mendapati harga strawberry telah naik untuk harga musim cuti.

Jika hari Rabu minggu lepas, saya membeli 4 paket dengan harga RM20 berserta 2 paket kecil sebagai hadiah. 

Semalam saiz paket yang sama dijual pada harga RM13 satu dan dua paket RM25 tanpa sebarang tambahan hadiah. 

Bukan satu malah hampir ke semua gerai yang saya pergi menawarkan harga pada lingkungan harga tersebut.

Adatlah.. permintaan melebihi penawaran di musim cuti ini... 



Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Friday, August 28, 2015

Merdeka : SB berjaya meracun makanan pengganas komunis

Pasukan keselamatan mengangkat dua mayat pengganas komunis yang berjaya dibunuh. - Jabatan Penerangan
KECEKAPAN Polis Cawangan Khas (SB) dalam perang menentang pengganas komunis semasa Darurat adalah manifestasi yang menjadi kebanggaan dan bukti kecemerlangan pasukan keselamatan negara ini.
Aspek keberkesanan SB ini banyak kali diakui Chong Chor dalam fail sulit pengakuannya. Satu insiden pada 15 Ogos 1981, dia mengaku sepasukan anggotanya dari Unit Penggempur ke-16 telah diperangkap oleh SB, dengan meracun bekalan makanan yang mengakibatkan kehilangan lima anggotanya sama ada mati atau ditangkap oleh pihak berkuasa.
Pasukan diketuai Ah San telah menerima bekalan makanan yang diberikan oleh seorang wanita bernama Ah Sau, semasa berkhemah di kawasan Lanar di Kuala Lipis, Pahang. Hanya setelah seorang demi seorang anggotanya seramai tiga orang mengadu sakit perut yang kronik, baharu Ah San mengesyaki makanan tersebut telah dibubuh racun.
Pasukan Ah San yang bergerak menuju ke markas, menceritakan azab perjalanan selamam 12 hari yang hampir mematikan mereka. Kesemua mereka menghidap sakit perut dan kekejangan otot, serta tidak boleh makan kerana apa sahaja yang ditelan, akan menyebabkan mereka muntah. Mereka berempat berjaya sampai ke markas tetapi hampir tenat. Kesemua mereka pitam sejurus tiba.
Insiden tersebut mendorong Chong Chor mengutus laporan kepada ketuanya di Betong, selatan Thailand mengenai kejadian tersebut dan kehilangan lima anggotanya. Chong Chor juga melabel Ah Sau sebagai pengkhianat, dan disenaraikan dalam sasaran untuk dibunuh.
Chong Chor juga mengeluarkan kenyataan rasmi atas nama Unit Penggempur Ke-6 Jawatankuasa PKM bertarikh 1 Januari 1982, yang antara lain menggariskan gerak tindak yang perlu dipatuhi oleh anggota bagi mengelakkan diracuni 'musuh'.
Dibawah tajuk langkah mendekati orang hubungan, Chong Chor menggariskan bahawa anggota hendaklah mengamalkan kewaspadaan tinggi semasa berhubung dengan komrad yang telah lama tidak berhubungan dengan parti atau unit. Apabila berhubung, komrad hendaklah memastikan lokasi pertemuan yang dipilih hendaklah di kawasan yang mereka memiliki kawalan sepenuhnya. Mana yang boleh, elakkan bertemu pada waktu malam.
Tetapi garis panduan mengelak diracuni paling terperinci. Chong Chor mengarahkan setiap unit dengan kem kekal hendaklah membela monyet atau babi, supaya boleh dijadikan bahan ujian. Binatang tersebut boleh dijadikan bahan uji untuk menguji wujud racun atau tidak pada garam, gula, kopi, minyak masak, sayuran dan sebagainya yang tidak boleh dibasuh sebelum memasak, yang dibeli oleh ejen baharu dilantik, penyokong komunis yang dicurigai, atau komrad bawah tanah yang sudah lama tidak berhubung.
''Selepas binatang tersebut diberi makan selama sejam dan tidak menunjukkan kesan makanan itu diracun, hanya selepas itu baharu komrad dibenar memakan bahan makanan itu.
''Jika komrad harus makan atau minum bahan yang dibekalkan oleh orang ramai di tempat itu juga, komrad tidak dibenarkan memakannya secara serentak. Mereka hendaklah bergilir-gilir, lebih bagus selepas sejam.
''Jika di kem atau lokasi lain, komrad juga hendaklah memastikan beberapa orang mengujinya terlebih dahulu sebelum mengagihkannya kepada yang lain," kata Chong Chor.
Dia juga memerintahkan setiap pengganas supaya meningkatkan pengetahuan mengenai langkah mengesan dan rawatan racun menerusi pembacaan buku perubatan, atau menanya daripada orang yang tahu, atau sahabat seperti doktor-doktor.
Setiap daripada mereka hendaklah memiliki ubat-ubatan untuk rawatan kecemasan kes-kes keracunan, termasuk kesan gigitan ular, kala jengking, lipan dan tebuan




Artikel Penuh: Klik 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock