Ini gambar OPS UKUR dari Jotting of Xnuripilot |
Tetapi bayangkan jika anda bersama 60 rakan tentera bertempur dan berbalas tembakan dengan 400 musuh dalam hutan, tentunya suatu pengalaman yang sukar dilupakan.
Inilah yang dialami oleh Kapten Sudirman Ahmad, 49, ketika bertugas dalam Rejimen Gerak Khas (RGK) atau komando sekitar tahun 1970-an.
Pengalaman menggempur kem pengganas komunis di sebuah perkampungan kecil di sempadan Malaysia-Thailand, 24 tahun lalu, masih segar dalam ingatan Sudirman.
Ketika itu, beliau berusia 23 tahun, dan tidak dapat melupakan detik-detik cemas bersama anggota-anggotanya yang terpaksa bertarung dengan maut untuk menghapuskan musuh negara.
Sudirman yang mengetuai skuadron bersama 60 anggota komando, diarahkan ke Gubir untuk menyerang kem komunis yang terbesar di kawasan sempadan, yang dipercayai dihuni 400 pengganas komunis.
Oleh kerana perkampungan tersebut dikawal ketat oleh pihak pengganas serta dipercayai dipasang dengan 3,600 jerangkap samar, kesemua anggota pasukannya dihantar untuk menyerang kem tersebut menggunakan helikopter pada waktu malam.
Menurut beliau, segala-galanya berjalan lancar sehingga kedatangan mereka disedari pihak pengganas dan bermulalah pertempuran di antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, pertempuran hampir setengah jam antara kedua-dua belah pihak telah mengorbankan 11 anggotanya.
''Bayangkanlah kekuatan anggota kami hanya 60 orang dan pengganas ketika itu menyerang dengan kekuatan 400 anggota.
''Namun kami tetap bertahan walaupun 11 dari kami telah terkorban,'' katanya mengingati detik-detik cemas ketika operasi di Gubir pada tahun 1974.
Bagaimanapun katanya, 22 pengganas berjaya ditewaskan dan ini menyemarakkan lagi semangat mereka untuk terus bertempur sehingga enam hari enam malam bagi melumpuhkan kekuatan pengganas, walaupun tidak mendapat sebarang bantuan pada waktu itu.
Hari seterusnya kata beliau, sebuah helikopter bersama 11 anggota tentera termasuk dua orang anggota komando menyerang dari udara tetapi malangnya kesemua mereka terkorban kerana helikopter tersebut meletup akibat serangan balas dari pengganas.
Selepas peristiwa itu katanya, mereka diarahkan berundur seketika setelah kawasan pertempuran dimusnahkan dengan tembakan meriam daripada pasukan bantuan dari luar kem.
''Kami terpaksa maju ke hadapan walaupun diarah berundur kerana tiada tempat yang selamat dan hampir kesemua kawasan dipasang jerangkap samar,'' katanya.
Beliau sendiri tercedera akibat terkena tembakan dan hampir terkena jerangkap samar tetapi nasib masih menyebelahinya dan beliau terselamat.
Akhirnya kata beliau, mereka sampai ke kawasan bukit dan berlindung di atas kawasan itu sementara menunggu bantuan datang.
Pada sebelah malam katanya, sebuah helikopter datang untuk mengeluarkan mereka dari kem tersebut dengan melakukan 14 penerbangan ulang-alik.
Tetapi katanya, 15 orang anggotanya terpaksa bertahan di atas bukit kerana pihak pengganas telah mengetahui kedatangan bantuan udara itu dan mereka terpaksa menghentikan penerbangan kerana kawasan bukit telah dikepung.
Kesemua 15 anggotanya terpaksa berundur dan melarikan diri menuju hutan dan sesat selama dua hari di situ. ''Sepanjang dua hari itu, mereka telah bertembung dan bertempur dengan pengganas beberapa kali, sebelum diberi bantuan keluar dari hutan berkenaan,'' katanya menamatkan cerita.
Kini, walaupun telah bersara beliau masih aktif dengan menganggotai Kelab Bekas Komando dan menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat di samping mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan seperjuangan.
Oleh: AZIAN ABD AZIZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment