Pasukan keselamatan mengangkat dua mayat pengganas komunis yang berjaya dibunuh. - Jabatan Penerangan |
KECEKAPAN Polis Cawangan Khas (SB) dalam perang menentang pengganas komunis semasa Darurat adalah manifestasi yang menjadi kebanggaan dan bukti kecemerlangan pasukan keselamatan negara ini.
Aspek keberkesanan SB ini banyak kali diakui Chong Chor dalam fail sulit pengakuannya. Satu insiden pada 15 Ogos 1981, dia mengaku sepasukan anggotanya dari Unit Penggempur ke-16 telah diperangkap oleh SB, dengan meracun bekalan makanan yang mengakibatkan kehilangan lima anggotanya sama ada mati atau ditangkap oleh pihak berkuasa.
Pasukan diketuai Ah San telah menerima bekalan makanan yang diberikan oleh seorang wanita bernama Ah Sau, semasa berkhemah di kawasan Lanar di Kuala Lipis, Pahang. Hanya setelah seorang demi seorang anggotanya seramai tiga orang mengadu sakit perut yang kronik, baharu Ah San mengesyaki makanan tersebut telah dibubuh racun.
Pasukan Ah San yang bergerak menuju ke markas, menceritakan azab perjalanan selamam 12 hari yang hampir mematikan mereka. Kesemua mereka menghidap sakit perut dan kekejangan otot, serta tidak boleh makan kerana apa sahaja yang ditelan, akan menyebabkan mereka muntah. Mereka berempat berjaya sampai ke markas tetapi hampir tenat. Kesemua mereka pitam sejurus tiba.
Insiden tersebut mendorong Chong Chor mengutus laporan kepada ketuanya di Betong, selatan Thailand mengenai kejadian tersebut dan kehilangan lima anggotanya. Chong Chor juga melabel Ah Sau sebagai pengkhianat, dan disenaraikan dalam sasaran untuk dibunuh.
Chong Chor juga mengeluarkan kenyataan rasmi atas nama Unit Penggempur Ke-6 Jawatankuasa PKM bertarikh 1 Januari 1982, yang antara lain menggariskan gerak tindak yang perlu dipatuhi oleh anggota bagi mengelakkan diracuni 'musuh'.
Dibawah tajuk langkah mendekati orang hubungan, Chong Chor menggariskan bahawa anggota hendaklah mengamalkan kewaspadaan tinggi semasa berhubung dengan komrad yang telah lama tidak berhubungan dengan parti atau unit. Apabila berhubung, komrad hendaklah memastikan lokasi pertemuan yang dipilih hendaklah di kawasan yang mereka memiliki kawalan sepenuhnya. Mana yang boleh, elakkan bertemu pada waktu malam.
Tetapi garis panduan mengelak diracuni paling terperinci. Chong Chor mengarahkan setiap unit dengan kem kekal hendaklah membela monyet atau babi, supaya boleh dijadikan bahan ujian. Binatang tersebut boleh dijadikan bahan uji untuk menguji wujud racun atau tidak pada garam, gula, kopi, minyak masak, sayuran dan sebagainya yang tidak boleh dibasuh sebelum memasak, yang dibeli oleh ejen baharu dilantik, penyokong komunis yang dicurigai, atau komrad bawah tanah yang sudah lama tidak berhubung.
''Selepas binatang tersebut diberi makan selama sejam dan tidak menunjukkan kesan makanan itu diracun, hanya selepas itu baharu komrad dibenar memakan bahan makanan itu.
''Jika komrad harus makan atau minum bahan yang dibekalkan oleh orang ramai di tempat itu juga, komrad tidak dibenarkan memakannya secara serentak. Mereka hendaklah bergilir-gilir, lebih bagus selepas sejam.
''Jika di kem atau lokasi lain, komrad juga hendaklah memastikan beberapa orang mengujinya terlebih dahulu sebelum mengagihkannya kepada yang lain," kata Chong Chor.
Dia juga memerintahkan setiap pengganas supaya meningkatkan pengetahuan mengenai langkah mengesan dan rawatan racun menerusi pembacaan buku perubatan, atau menanya daripada orang yang tahu, atau sahabat seperti doktor-doktor.
Setiap daripada mereka hendaklah memiliki ubat-ubatan untuk rawatan kecemasan kes-kes keracunan, termasuk kesan gigitan ular, kala jengking, lipan dan tebuan
Artikel Penuh: Klik
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment