TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Saturday, April 6, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Aroma Tanaman Herba di Stesen Mardi

Saya pernah membuat beberapa catatan mengenai tanaman herba yang kebanyakkan saya perolehi info dan sumber gambar melalui lawatan saya ke Stesen MARDI.
 
Saya membuat catatan ini dengan tujuan berkongsi maklumat yang mungkin boleh membantu anda ketika datang bercuti ke sini.
 
Saya menemui petikan berita ini dari Kosmo Online yang ditulis oleh  KHADIJAH MOHAMAD NOR (khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my) . Saya perasan penulis banyak menceritakan mengenai Cameron Highlands setiap kali berkunjung ke sini.
 
Seronok membaca catatan bergenre sebegini. Teruskan usaha anda Puan/Saudari Khadijah.


LELAKI berkulit hitam manis itu tekun membelek serumpun tanaman herba parsli yang segar menghijau. Melihat kesuburan pohon kecil yang ditanam di Taman Dapur (Edible Garden) itu, bibirnya pantas mengukir senyuman.
 
Berpuas hati dengan perkembangan tumbuhan dari Barat itu, langkahnya diatur pada tanaman yang lain. Daun pudina, stevia, thyme, rosmari, oregano, sage, selasih, lemon balm dan nasturtium semuanya tumbuh mekar.

Situasi itu secara tidak langsung menjadikan suasana di taman tersebut diselubungi kehijauan yang cukup menyejukkan pandangan.

Itulah antara rutin Mohd. Syawali Hamid, 37, selaku Pembantu Penyelidik, Bahagian Penyelidikan Hortikultur di Taman Agro Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Cameron Highlands sejak empat bulan lalu.

Beliau pernah bertugas selama dua tahun di stesen Mardi Serdang, Selangor sebelum dipindahkan ke stesen Mardi Cameron Highlands pada awal Januari lalu dan diberi tanggungjawab khusus untuk menjaga tumbuhan herba.

“Setiap pagi, saya akan meluangkan masa untuk melihat perkembangan aneka tumbuhan herba Inggeris yang terdapat di Laman Dapur dan Taman Herba yang terletak berhampiran pintu masuk taman agroteknologi ini.

“Taman Herba di Cameron Highlands mula diusahakan sejak tahun 2009. Sehingga kini terdapat 22 jenis herba Inggeris dan tujuh jenis herba kampung yang ditanam dan membiak dengan sempurna menggunakan kaedah biji benih.


TAMAN DAPUR dipenuhi suasana kehijauan hasil penanaman pelbagai jenis herba Inggeris dan sayur-sayuran lain.


“Malah, dalam keadaan cuaca sejuk di Cameron Highlands ini, tidak susah untuk menjaga kesemua tumbuhan tersebut. Namun, hujan yang kerap akan memberi kesan terhadap pertumbuhan pokok herba,” ujar beliau sambil menunjukkan tanaman herba rosmari yang berada di hadapannya.

Tambahnya, tumbuhan herba seperti rosemary, thyme, pudina dan oregano paling mudah dijaga memandangkan ia terdiri daripada spesies menjalar.

“Tumbuhan daripada spesies ini tidak memerlukan penjagaan yang teliti. Biasanya pembajaan dilakukan dua minggu sekali.

“Di samping itu, daun-daun herba ini juga perlu disembur dengan sejenis baja cecair iaitu folikr kerana herba tersebut mendapat makanan daripada daunnya. Herba Inggeris berbeza dengan herba kampung yang memperoleh makanan dari bahagian akarnya,” terang Mohd. Syawali.

Bagaimanapun katanya, bagi rosemary, ia agak sensitif dengan hujan kerana boleh menjejaskan pertumbuhannya.

“Jika terlindung daripada hujan dan cuaca teruk, tumbuhan ini boleh tumbuh setinggi dua hingga tiga kaki seperti yang terdapat di Taman Dapur,” ungkap beliau sambil memberitahu di Asia, kebiasaannya daun herba rosmari digunakan untuk menghilangkan bau hanyir daging.

Sementara itu, menurut Pengurus Stesen Mardi Cameron Highlands, Dr. Wan Abdullah Wan Yusoff, kesemua benih herba Inggeris yang ditanam di Cameron Highlands diimport dari dalam dan luar negara.

Bekalan yang diperoleh ditanam di kawasan Taman Dapur yang berkeluasan kira-kira 500 meter persegi. Taman ini merupakan konsep baru landskap masa kini yang mempunyai dwifungsi iaitu kecantikan dan hasilnya boleh dinikmati.


LANDSKAP Taman Herba di Mardi Cameron Highlands dijaga dengan rapi.



Melalui Taman Dapur ini pelbagai jenis tanaman yang boleh dimakan dan diolah dalam bentuk landskap edible dipamerkan di dalamnya.

“Ia direka dengan gabungan, gubahan dan adunan pelbagai variasi tanaman makanan. Antaranya sayuran berdaun seperti kobis dan salad, sayuran berbuah (tomato dan cili), sayuran umbisi (lobak dan kentang) dan sayuran memanjat (petola dan labu).

“Selain itu, ia turut ditanam dengan tanaman ulaman dan herba serta tanaman dalam air seperti selada air (water crest), daun kesum dan pegaga.

“Kombinasi tanaman jangka pendek seperti sawi dengan tanaman jangka panjang (asparagus) dengan nisbah sesuai 70:30, dapat memberikan impak landskap yang berpanjangan,” kata Wan Abdullah sambil berkongsi teknik untuk menghidu bau tumbuhan herba dengan cara memetik dan kemudian direnyukkan dengan jari sebelum dicium.

Di taman ini, pelawat berpeluang melihat pelbagai jenis tanaman dan merasai kemanisan daun stevia, keharumnya lurutan herba rosemary dan indahnya gantungan buah di pergola.

Apa yang pasti, konsep landskap begini dapat memberi pengajaran dan pembelajaran terutama kepada pelawat daripada golongan pelajar.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0523&pub=kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2PfNQUqgu
Hakcipta terpelihara

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock