TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, April 8, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Galeri Masa ... mengimbas memori...

Time Tunnel pernah saya kongsikan kisahnyan di laman ini selepas mengunjungi sendiri galeri ini tahun lepas.

Ketika kunjungan itu, saya hanya menjangkakan akan menghabiskan masa sekitar 30 minit sahaja tetapi kesempatan bersembang dengan salah seorang pemiliknya, Mr See, 2 jam setengah berlalu tanpa sedar.

Bagi pengemar sejarah dan mereka tidak boleh terlepas untuk mengunjungi galeri ini.


Tin milo, dulang, botol minuman, papan tanda lama dan sebagainya yang dipamerkan di Galeria Time Tunnel seluas 7,000 kaki persegi itu membawa pengunjung mengimbas kisah-kisah silam.



'PATUTLAH bahasa Melayu Datuk Seri Ong Ka Ting (bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) bagus, baca buku ini rupa-rupanya," kata satu suara teruja sambil ketawa.

Suara itu membuatkan saya menoleh. Selepas beberapa ketika, mata saya tertumpu kepada seorang wanita yang di tangannya memegang senaskhah buku lusuh, sambil ghairah menyelak helaian muka surat buku itu satu persatu.

Selepas puas membelek, buku itu diletakkan kembali di tempat asalnya. Tanpa berlengah, saya pula mengambil giliran untuk melihat sendiri buku yang sememangnya menjentik rasa ingin tahu.

Buku berwarna merah jambu itu agak comot dengan tulisan tangan, selain tampalan pelekat roket dan objek yang sukar dipastikan bentuknya. Di muka hadapan buku itu tertulis perkataan Bachaan Asohan Tahun Kelima Bahagian II.

Di tengah-tengahnya pula, terdapat ilustrasi seorang kanak-kanak perempuan sedang membaca, sambil diperhatikan oleh adik lelakinya. Mereka berdua turut ditemani oleh seekor anjing berwarna hitam dan putih.

Memang benar! Di bahagian atas buku terbitan pihak Sino-Malay itu tertera tulisan tangan perkataan Ong Ka Ting, di samping tiga karakter bahasa Cina, yang ditulis oleh seorang kanak-kanak sekolah rendah.

Sedar atau tidak, berada di ruang sederhana besar yang sarat dengan pelbagai barang lama itu mengimbau kembali segala kenangan manis sewaktu membesar. Sedangkan kebanyakan benda-benda kecil itu, suatu masa dahulu tidak terlalu kita ambil peduli.



PENGUNJUNG seolah-olah dibawa mengimbau ke zaman dan memori sewaktu mereka membesar.

Pengasah pensil plastik, tabung harimau Maybank, loceng basikal, botol Coca-Cola, krim pemutih Hazeline Snow dan kotak minyak angin itu pantas membuatkan fikiran melayang mengimbas kembali memori. Sama ada dimarahi ibu, hari pertama ke sekolah atau apa juga seribu satu kenangan yang lain.

Tidak percaya? Luangkan masa menjengah ke Galeria Time Tunnel. Terletak di Jalan Sungai Burung, Brinchang, Cameron Highlands, Pahang, ia mungkin boleh menjadi agenda sisipan selepas puas membeli strawberi, sayur-sayuran segar atau melihat bunga-bunga pelbagai warna di destinasi yang menawarkan iklim sedikit sejuk berbanding ibu kota.

Galeria Time Tunnel itu berada di lokasi yang strategik. Papan tanda dan tulisan besar pada dindingnya pasti membuatkan sesiapa sahaja tertanya-tanya. Biarpun begitu, ia masih belum cukup popular.

Berkongsi premis dengan kedai strawberi yang membolehkan pengunjung memetik sendiri buah berwarna merah itu, Galeria Time Tunnel dimiliki oleh See Kok Shan, 46, yang bertindak selaku kuratornya.

Menurut See, hobi mengumpul barang-barang lama itu bermula sejak sedekad lalu dan ia sekadar untuk kepuasan sendiri.

"Mengikut rancangan asal, saya ingin membuka sebuah kafe antik bagi membolehkan semua barang ini dipamerkan. Malangnya, saya gagal mencari lokasi yang sesuai.

"Setelah berjumpa dengan seorang kawan, kami bersetuju untuk membuka sebuah galeri di Cameron Highlands," jelas anak kelahiran Ipoh, Perak yang membesar di Cameron Highlands itu sambil tersenyum.

Sesuai dengan namanya, Galeria Time Tunnel seluas 7,000 kaki persegi itu seakan terletak di dalam terowong yang sebenarnya berada di bahagian bawah tanah kedai menjual strawberi.


GALERI yang terletak di Brinchang, Cameron Highlands itu bukan sekadar galeri yang mempamerkan gambar atau lukisan.

Dihuni lebih 1,000 jenis barangan, penerokaan pengunjung di terowong itu dimulakan dengan sejarah penubuhan, kemerdekaan Malaysia dan cerita tentang Cameron Highlands menerusi beberapa maklumat yang dibingkaikan.

Kemudian, anda akan disambut oleh 'timbunan' pelbagai barangan termasuklah basikal tua, tempayan dan bingkai gambar yang diletakkan dalam keadaan sedikit bersepah.

Tidak berpuas hati? Teruskan perjalanan dan anda akan disambut dengan rakaman gambar-gambar pembinaan di sekitar Cameron Highlands.

Mereka yang sukakan kraf tangan Orang Asli, barangan seperti sumpit, bubu ikan dan bakul yang diperbuat daripada rotan anda boleh melihatnya di pameran tersebut.

Di satu sudut, See memaparkan beberapa keping gambar dan maklumat mengenai kehilangan misteri seorang warga Amerika, Jim Thompson. Dia hilang ketika berjalan-jalan di sebuah bukit di Cameron Highlands pada 26 Mac 1946 dan gagal ditemui sehingga hari ini.

Keseronokan kian bertambah apabila anda sampai di sudut yang berlatar belakang sebuah kopitiam. Di atas meja kayu itu, tersusun cawan dan botol minuman berkarbonat. Di bahagian atasnya, ada satu para yang menampung dulang-dulang dan kotak-kotak rokok pelbagai jenama.
INILAH buku yang pernah digunakan oleh bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting.


SEE bersantai di salah satu sudut yang berlatar belakang kopitiam di Galeria Time Tunnel.

"Tidak ramai yang tahu tentang Galeria Time Tunnel. Mereka ingat, ia sekadar galeri yang mempamerkan gambar atau lukisan. Malah, pengunjung tidak pernah terfikir boleh melihat semula barang-barang yang pernah mereka gunakan suatu masa dahulu," kata graduan Malaysian Institute of Art (MIA) itu.

Setiap barangan di situ mempunyai kisahnya yang tersendiri. Misalnya, helaian-helaian kalendar di dalam kaunter kaca adalah milik seorang wanita. Dia merekodkan segala peristiwa penting dalam hidupnya termasuk tarikh perkahwinan dan kelahiran anak-anaknya.

Apabila kembali pada tahun 2007 dan kagum dengan galeri itu, sepasang pelancong Inggeris yang meninggalkan Cameron Highlands sekitar tahun 1959 telah memberikan sejumlah 30 keping gambar lama mereka kepada See.

See mengakui benda yang paling sukar dikumpul ialah produk-produk pengiklanan yang meliputi barangan-barangan dengan pembungkusan lama. Bagi mendapatkan koleksi-koleksi itu, dia sanggup ke Singapura, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur.

Jelasnya, barang-barang itu diperoleh dari kedai-kedai yang menjual barangan terpakai, pasar lambak, kedai antik dan orang perseorangan.

Apakah barang paling mahal yang pernah dibelinya? Kata See, barang-barang lama itu sukar dinilai harganya.


GALERIA Time Tunnel terletak di bahagian bawah tanah kedai yang menjual strawberi.

Justeru, harga termahal yang pernah dibayarnya ialah lebih RM7,000 untuk mendapatkan kereta mainan yang dibeli di Singapura lima tahun lalu.

"Ada juga pengunjung yang ingin membeli barang yang dipamerkan, semata-mata kerana ingin mengimbas kembali kenangan lama. Barang-barang itu biasa sahaja seperti jam dinding, pelita minyak tanah dan buku latihan lama.

"Harganya, bergantung kepada sejauh mana sukarnya ia diperoleh. Kalau susah sangat nak dapat, biasanya saya tidak jual," kata See yang masih berusaha mencari kotak ubat gigi Darlie tahun 1970 dan 1980-an dengan ilustrasi lelaki kulit hitam (Darkie).

Selain kepuasan, maklum balas positif yang diterima daripada pengunjung membuatkan See terus bersemangat menambah koleksinya.

Tidak pasti berapa wang telah dibelanjakannya, See menyatakan galeri itu bukannya satu peniagaan yang terlalu mementingkan keuntungan. Dia hanya mahu pengunjung gembira. Mujurlah kebanyakan pengunjung kagum dengan apa yang mereka lihat di situ.

Mengambil masa selama setahun untuk memastikan Galeria Time Tunnel benar-benar bersedia dibuka kepada orang ramai, setiap bulan lelaki itu akan membeli barang-barang baru untuk dipamerkan.

See sudah ada perancangan. Galeri itu mahu ditambah keluasannya kepada 50 kaki lagi. Pada tahun 2009, dia ingin menghasilkan klip video untuk menerangkan kepada pengunjung tentang galeri dan sejarah Cameron, selain mewujudkan 'seksyen perang' yang meliputi peristiwa pendudukan tentera Jepun dan Perang Dunia Kedua.



KERETA dan basikal mainan yang dibeli di Singapura pada harga lebih RM7,000 sebuah.

Berharap galeri itu akan menjadi lokasi yang wajib dilawati oleh mereka yang datang ke Cameron Highlands, See kini giat mengumpul baju-baju zaman disko 1980-an.

"Oh, buku Ong Ka Ting itu? Saya beli pada harga RM50 senaskhah. Sebenarnya saya ingin beli buku Ong Ka Chuan juga, malangnya pekedai itu tidak mahu menjualnya kepada saya," kata See tersenyum.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0209&pub=kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2PpZQRJEV
Hakcipta terpelihara

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock