Saya pernah membuat catatan mengenai pusat teh ini dalam catatan terdahulu.
Malah jika ditanya oleh rakan-rakan dan pembaca mrkumai, sukar untuk saya menidakkan lokasi ini sebagai lokasi wajib yang perlu anda kunjungi jika ke sini.
Bagi saya, mengunjungi pusat teh ini memberikan pengalaman yang berbeza baik dari pengetahuan pemprosesan teh ataupun menikmati pemandangan yang amat menarik dan indah.
Cuma di waktu cuti yang puncak, lokasi ini sukar dikunjungi kerana bukan sahaja jalan yang berliku dan sempit tetapi jumlah pelawat yang terlalu ramai.
Apapun nak mendapatkan yang terbaik, kenalah berusaha ... saya pasti, usaha anda untuk ke sini akan berbaloi...
Oleh ROSMAH DAIN
UMUM sudah mengetahui mengenai kehebatan teh yang telah menjadi minuman kegemaran ramai sejak berabad-abad lamanya bagi semua golongan dan lapisan masyarakat.
Pernah suatu masa dahulu, minuman ini menjadi bahan dagangan mewah dan menjadi rebutan yang dibawa oleh pedagang ke kepulauan Eropah, nusantara dan Tanah Melayu.
Malah dikatakan selain kopi, teh menjadi pilihan minuman bagi kebanyakan golongan bangsawan di negara-negara terkemuka pada ketika itu.
Mengikut catatan sejarah, teh telah ditemui dan diminum di negara China sejak 5,000 tahun oleh seorang bangsawan berbangsa Cina yang bernama Shen-Nung, manakala India pula menjadi negara pengeluar dan penanam teh terkemuka dunia.
Sejarah teh di Malaysia pula bermula pada tahun 1929 apabila seorang yang bernama J.A. Russel telah mengusahakan ladang teh pertama di Sungei Palas, Cameron Highlands, Pahang dan menamakannya BOH.
Kini, BOH Plantations Sdn. Bhd. merupakan pengeluar teh utama negara berkeluasan 1,200 hektar yang mempunyai empat ladang teh iaitu BOH, Sungei Palas, Fairlie di tanah tinggi dan Bukit Cheeding (di tanah rendah).
Syarikat ini yang menanam, memproses, membungkus dan memasarkan sendiri teh keluaran mereka menghasilkan empat juta kilogram teh iaitu bersamaan lebih kurang 5.5 juta cawan setiap hari.
Selain terkenal sebagai mengembangkan industri minuman popular negara, ladang BOH di tanah tinggi Cameron juga mendapat tempat di hati pengunjung sebagai salah satu destinasi yang harus dilawati apabila berada di pusat peranginan bersuhu sejuk itu.
Seiring dengan konsep tema dan moto pengiklanan mereka -BOH ada Ummmph, frasa ini cuba membina ikatan kekeluargaan dan persahabatan menerusi secawan teh.
Dalam usaha sebagai pemangkin dalam menjalinkan kemesraan bersama rakan-rakan dan orang tersayang, Pusat Teh BOH yang terletak di tanah tinggi Cameron di Sungei Palas ini pasti menjanjikan suatu kenangan manis untuk anda.
Sejak ia dibina beberapa tahun dahulu, pusat ini telah diperbesar dan dipermodenkan untuk menampung kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus ke sini.
Setiap bulan pusat ini menerima sejumlah lebih kurang 25,000 pelancong dan yang paling tinggi pernah dicatatkan ialah pada bulan Disember 2007 iaitu 41,000 orang.
Jika anda seorang yang sukakan kehijauan dan suasana semula jadi, pusat teh yang terletak di ladang BOH ini adalah tempatnya.
Dibina di aras tertinggi kemuncak Sungei Palas dan berhampiran Gunung Brinchang, suasana dikelilingi kehijauan, kesegaran dan aroma asli teh terutama ketika anda berada di anjung Kafeteria Teh Ria yang setinggi 20 kaki serta dipenuhi bunga-bungaan.
Pusat ini turut menyediakan pelbagai kemudahan, penerangan dan pendidikan termasuk sejarah dan penanaman, cara pemprosesan, pembungkusan, pemasaran dan sebagainya.
Sebaik anda memasuki Pusat Teh BOH, kunjungan anda akan disambut oleh imbauan kenangan sejarah pembuatan teh secara manual pada ketika dahulu dan bilik-bilik pameran.
Bilik tayangan juga disediakan untuk anda mengetahui cara-cara teh dipetik dan diproses. Begitu juga turut dipaparkan mengenai ilham iklan-iklan yang dibuat oleh syarikat ini sejak dari tahun 1970-an sehinggalah sekarang.
Melewati bilik-bilik berkenaan anda akhirnya akan ke kafeteria yang menyediakan hidangan petang kuih-muih lazat sambil dihidangkan dengan teh BOH pelbagai perisa dan aroma yang anda gemari dari kilang terus ke cawan anda.
Bagi mereka yang ingin bersantai, inilah tempatnya. Kafeteria ini direka sebegitu rupa mencerminkan stail kontemporari, direka moden tanpa menafikan elemen-elemen asli yang mewarnai persekitaran kawasan ini.
Duduk minum-minum teh di sini sambil menjamah hidangan petang melihat kehijauan teh di sekeliling anda sambil dihembus udara segar dingin dari bukit adalah pengalaman yang tidak anda akan lepaskan.
Ambil masa anda bersama keluarga atau insan tercinta sambil mengagumi ciptaan Tuhan berlandaskan kehijauan suasana semula jadi teh dalam suasana yang menyamankan.
Bagi anda penggemar teh sejati, sudah tentu tidak melepaskan peluang menikmati teh keluaran BOH yang hanya boleh didapati di sini iaitu didatangkan terus dari ladang-ladang khusus.
Teh berkualiti tinggi ini hanya terdapat di sini dan tidak di pasar raya-pasar raya tempatan. Mutu dan kualitinya yang terjaga menjamin kesinambungan kelazatan dan aroma yang menawan seperti teh Bukit Cheeding , teh Palas Supreme dan Gunung Chantek dari Taman Teh BOH.
Sekiranya anda inginkan pengalaman yang lebih mencabar, pusat teh yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang ini turut menyediakan pakej lawatan ke kilang teh, berjalan di tengah-tengah kehijauan ladang teh sebelum dijamu dengan minuman teh
Tidak cukup rasanya jika anda kembali tanpa membawa sebarang buah tangan. Di Pusat Teh BOH, disediakan kedai barangan untuk anda membeli segala jenis teh keluaran BOH yang anda perlukan di samping cenderahati-cenderahati lain.
Sesungguhnya pengalaman setengah hari meninjau kehebatan pusat teh yang pernah menerima Anugerah Khas Menteri Pelancongan pada 2007 atas usaha-usaha syarikat ini memartabatkan industri pelancongan negara tidak berakhir begitu sahaja.
Setiap kali anda berkumpul beramai-ramai menikmati secawan teh BOH kenangan pasti akan menggamit jua.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1209&pub=utusan_malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm#ixzz2PfHVa9C6
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment