TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Saturday, April 6, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands : Petikan berita kembara lasak...

Petikan berita seterusnya saya perolehi dari Utusan Malaysia. Catatan mengenai kemudahan dan perkhidmatan pakej lawatan kembara lasak pernah saya muatnaikan sebelum ini dan petikan berita ini pula berkongsi mengenai pengalaman sendiri mereka yang mengikutinya sendiri.
 
Saya sendiri belum berkesempatan untuk mengikuti pakej ini biarpun selalu menyarankan kepada rakan yang inginkan kembara lasak yang berharga berpatutan.
 
Insyallah di masa depan akan saya usahakan untuk mencubanya sendiri.
 
PAKEJ pelancongan menaiki Land Rover yang semakin popular di Cameron Highlands.
SELAIN keindahan ladang teh dan pengalaman memetik buah strawberi segar, Cameron Highlands juga dikenali dengan pelbagai khazanah alam semulajadinya.

Keunikan hutan berlumut (mossy forest), bunga Rafflesia dan perkampungan Orang Asli merupakan antara tarikan yang semakin popular.

Namun tarikan yang agak luar dari kebiasaan itu tidak mudah dikunjungi kerana lokasinya yang terletak di luar kawasan pekan Cameron Highlands.

Satu-satunya cara untuk merasai cabaran meredah laluan mencabar di situ adalah dengan mendapatkan pakej menaiki Land Rover yang ditawarkan di pusat peranginan itu.

Penulis baru-baru ini merasai sendiri pengalaman ala Camel Trophy yang disediakan oleh syarikat Eco Cameron Travel & Tours Sdn. Bhd (Eco Cameron).

Bermula dari pekan Tanah Rata, Land Rover yang dikemudi oleh pemandu pelancong, Satya Nagamuthu, menyelusuri lereng bukit yang sempit dan berliku.

Pengalaman menaiki pacuan empat roda yang boleh memuatkan lapan penumpang itu nyata berbeza dengan pengalaman memandu sendiri ketika kunjungan penulis beberapa bulan dahulu.

Selepas menyaksikan keindahan Ladang Teh Boh di Sungai Palas, perjalanan diteruskan ke puncak Gunung Berinchang yang berada pada ketinggian kira-kira 2,000 meter dari paras laut.

Pengembaraan Land Rover kami diakhiri dengan penerokaan hutan berlumut dan berkabus atau lebih dikenali sebagai Mossy Forest.

Menurut Satya, selain melawat tempat yang jauh dari pusat bandar, trip Land Rover itu sendiri menjadi satu tarikan yang semakin popular.

"Tiada tempat di dunia yang memiliki jumlah Land Rover seperti di sini. Semestinya pelancong berminat untuk menaikinya," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Eco Cameron, Kalianan Karupiah berkata, pakej menaiki Land Rover yang ditawarkan termasuk kunjungan ke kebun strawberi, sayur-sayuran, taman rama-rama dan kedai cenderahati.

"Buat masa ini kita menyediakan 10 buah Land Rover yang siap diubah suai untuk keselesaan pelancong.

"Setiap kumpulan akan diberikan seorang pemandu yang berpengetahuan tentang pelancongan di Cameron Highlands," katanya.

Pakej-pakej kembara menaiki Land Rover yang disediakan oleh Eco Cameron ditawarkan pada harga serendah RM50 sehingga RM100 bergantung kepada pemilihan destinasi.

Maklumat lanjut mengenai pakej pelancongan menaiki kenderaan lasak ini boleh dilawati di laman www.ecocameron.com.
 
Pejabat mereka terletak bersebelahan Maybank di Tanah Rata. Selamat mencuba..

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock