TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Saturday, April 6, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Kebun sayuran Organik

Saya bekerja sebagai petani. Cuma bezanya bukan sebagai tauke atau pemilik kebun tetapi hanya bekerja sebagai pengurusan ladang sayur moden berteknogi tinggi.
 
Saya kerap mendapat pertanyaan samada sayuran yang dihasilkan di kebun berteknologi tinggi adalah organik ataupun tidak.
 
Jawapan saya TIDAK. Kebun dan tanaman secara Organik merupakan salah satu amalan tanaman yang tidak menggunakan sebarang racun perosak dan baja kimia.
 
Sememangnya nampak seperti mudah tetapi cabaran untuk mengusahakan tanaman secara organik ini amat mencabar sementelahan lagi jika anda mengusahakanya di Cameron Highlands yang mana dikelilingi oleh industri sayuran yang besar.
 
Jika anda mengusahakan tanaman secara organik, anda bukan sahaja menghadapi cabaran di kebun anda sendiri tetapi turut sama menghadapi ancaman dari kawasan kebun sekelilingnya.
 
Mudah sahaja caranya, bayangkan kebun sekeliling anda mengamalkan dan melakukan semburan racun perosak dan pastinya perosak tanaman ini akan berpindah randah dan bilamana menyerang di kebun organik anda, mereka sukar dikawal.
 
Untuk lebih mengentahui cabarannya, kisah salah seorang pengusahan tanaman secara organik di Cameron Highlands ini saya kongsikan dengan anda.


Bukan mudah menjadi usahawan pertanian yang ingin memfokus kepada tanaman organik. Petani di Cameron Highlands antara yang berdepan dengan masalah tersebut dan mereka perlu menuju ke arah itu memandangkan kawasan berkenaan terdedah dengan ancaman baja kimia.

Seorang pengusaha ladang sayuran Yu Hao Enterprise, Khong Chee Choon memberitahu, pelbagai standard dan syarat ketat perlu dipatuhi sebelum sesebuah ladang itu mendapat pengiktirafan.

Selain itu, katanya, mengusahakan ladang menggunakan sistem organik juga amat mencabar berbanding sistem biasa yang lebih banyak menggunakan bahan kimia.

"Untuk melaksanakan perladangan secara organik, ia perlu bermula daripada penyediaan tanah sehinggalah kepada kaedah kawalan serangga.

"Semuanya perlu organik dan tidak menggunakan sebarang bahan kimia terlarang seperti racun serangga dan rumpai," katanya.

Beliau ditemui pada program lawatan ke tapak projek bersama Jabatan Pertanian di Cameron Highlands, Pahang, baru-baru ini.

Chee Choon yang mewarisi perusahaan ladang tersebut daripada bapanya turut berkongsi pada peringkat awal perlaksanaan sistem tersebut amat mencabar.

Ini kerana pada tahun pertama penanaman, dia telah menanggung kerugian berikutan sayur-sayuran tidak dapat dijual seperti biasa kerana tidak diminati oleh pembeli.

"Kebiasaannya orang suka pada sayur-sayuran yang kelihatan cantik, tiada kesan dimakan serangga atau ulat.

"Namun bagi sayur yang dikeluarkan daripada ladang organik kebanyakannya terdapat kesan dimakan serangga kerana tidak menggunakan racun serangga," katanya.

Tambahan, ketika awal sistem tersebut dipraktikkan, masyarakat masih tidak memahami dan masih menolak untuk membeli sayuran-sayuran organik yang tidak cantik malahan berharga mahal.

Sistem perladangan organik bermula daripada proses penyediaan tanah, penggunaan baja kompos dan kawalan serangga secara organik.

Bukan suatu perkara yang mudah kerana kebiasaannya peladang lebih suka menggunakan bahan kimia seperti baja kimia, racun kimia untuk memastikan hasil pengeluaran sayur-sayuran mereka berada di tahap yang maksimum.

Bagi Chee Choon, semasa awal pembabitannya dalam sektor perladangan sayur-sayuran bersama bapanya mereka banyak menggunakan baja dan racun daripada bahan kimia.

Justeru, untuk menukar kaedah yang telah biasa digunakan kepada cara baru agak sukar dan mengambil masa.

Malah, setelah berjaya menghasilkan sayur-sayuran organik, cabaran seterusnya adalah untuk memasarkannya.

Ini kerana, harga bagi sayur-sayuran organik agak tinggi berbanding dengan sayur-sayuran yang lain berikutan kos pada peringkat awalnya agak tinggi.

Kini setelah beberapa tahun mengamalkan sistem peladangan organik, sayur-sayuran yang ditanam nya berjaya mendapat tempat di kalangan pengguna.

Malah turut mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna di negara jiran seperti Singapura.
Chee Choon yang mengusahakan pelbagai jenis sayur-sayuran seperti kubis, lobak putih dan lobak cina kini mampu tersenyum lebar kerana produknya kini boleh didapati di pasar raya besar.

Bercerita mengenai penerimaan sijil Skim Organik Malaysia (SOM), Khong mengakui bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkannya.

Chee Choon memerlukan masa selama tiga tahun untuk mendapatkan sijil dan selama itu juga beliau mendapat tunjuk ajar secara terus daripada Jabatan Pertanian.

Setelah berjaya dalam perladangan organik, hasrat Chee Choon kini adalah untuk meneruskan usahanya itu bukan sahaja kerana mencari keuntungan semata-mata kerana harga sayur-sayuran organik yang lebih stabil.

Namun, katanya ia lebih kepada cara beliau menyumbang kepada masyarakat negara ini ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sains_%26_Teknologi/20120730/st_01/Semuanya--organik#ixzz2Pf0aDv2g
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock